Khamis, 3 Jun 2010

Panduan Majlis Kenduri Perkahwinan Menurut Syariat Islamiyyah.



1) Bertujuan untuk melaksanakan ibadat kepada Allah swt.

Iaitu dengan niat mencari keredhaan Allah dan mengikut sunnah Rasulullah saw. Bukan untuk berbangga-bangga dan menunjuk-menunjukkan kemewahan dan kekayaan.


2) Menghindari perbuatan syirik dan khurafat.

Di dalam masyarakat kita terdapat beberapa adat dan kebiasaan yang melibatkan penyekutuan terhadap Allah, na’uzubillah. Semua yang bertentangan dengan Syariah Islam hendaklah ditinggalkan. Hindarkan daripada bertemu dukun untuk menentu masa dan hari majlis perkahwinan, sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: ((Sesiapa yang mendatangi dukun atau tukang sihir, lalu ia membenarkan ucapannya, maka dia telah kufur terhadap apa yang telah diturunkan kepada Muhammad SAW)) [HR: Abu Daud].


3) Mengelak dari melakukan maksiat (penderhakaan terhadap perintah Allah dan Rasul).

Mewujudkan suasana yang yang boleh membawa ke arah berlakunya maksiat, adalah satu perbuatan yang boleh mendatangkan kemurkaan Allah. Hawa nafsu hendaklah dididik supaya tidak cenderung ke arah penderhakaan.


4) Mengundang golongan yang kurang berada.

Bukanlah satu sikap yang mulia apabila tetamu yang bakal hadir dipilh dari kalangan yang kaya dan ternama sahaja. Melupakan keluarga dan sahabat handai yang

miskin dan kurang berada melambangkan kerendahan akhlak dan peribadi. Rasulullah _ telah bersabda: Maksudnya: ((Seburuk-buruk makanan adalah makanan di satu walimah, (yang) diundang kepadanya orangorang kaya dan terhalang darinya orang-orang miskin.)) [Muslim dan Baihaqi]


5) Mengelakkan ikhtilat (percampuran di antara lelaki dan perempuan). Asingkan tempat untuk tetamu lelaki dan wanita. Ini adalah untuk menghindari maksiat seperti zina mata yang seterusnya membawa kepada zina hati.

Sabda Rasulullah saw: Maksudnya: ((Dua mata itu boleh berzina, dan zinanya adalah pandangan (pada bukan mahram)) [HR Bukhari].

Firman Allah swt : maksudnya: {Dan janganlah kamu mendekati zina; Sesungguhnya zina itu adalah suatu perbuatan yang keji dan suatu jalan yang buruk} [Al-Isra’: 32]

Cara terbaik untuk menjauhi zina ialah dengan menyekat jalan-jalan yang boleh membawa ke arahnya. Al-Qur’an telah banyak menjelaskan hal ini.


6) Menghindarkan hiburan yang boleh merosakkan nilai ibadat.

Kegembiraan yang hakiki bukan terletak pada alunan muzik dan lagu-lagu perkahwinan. Ianya adalah ketenangan hati yang dikecapi apabila majlis itu benar-benar melambangakan kesyukuran pada Allah dan mengingatkan kita kepada kehidupan akhirat.

Kegembiraan palsu hanya dirasakan sementara waktu dan akan mendatangkan kesusahan apabila majlis walimah hilang keberkatannya.


7) Menghindarkan pembaziran, iaitu dengan mengadakan majlis yang melampaui kemampuan, sehingga sanggup berhutang semata-mata kerana terlalu berlebih-lebihan dan diluar kemampuan.

Mari kita renung majlis perkahwinan insan yang paling mulia di muka bumi ini, Rasulullah saw . Baginda telah menunjukkan sebaik-baik contoh dan ajaran. Adakalanya Baginda menyediakan tamar, adakalanya gandum dan adakalanya kambing. Ini semua berdasarkan kemampuan Baginda saw ketika itu.

Firman Allah swt :

Maksudnya : {….dan jangan kamu membazir, sesungguhnya membazir itu adalah saudara syaitan, dan syaitan itu sangat ingkar kepada Tuhannya} [Al-Isra’: 17]


8) Mengelakkan perhiasan yang melampau.

Sebahagian masyarakat amat gemar mengandam pengantin dan menghias rumah sehingga melampaui batas yang dibenarkan. Seringkali pengantin perempuan dijadikan barang tontonan dan dipamerkan di khalayak umum yang terdiri daripada kaum lelaki yang bukan mahramnya. Hal ini menggalakkan pergaulan bebas di antara lelaki dan wanita. Apatah lagi jika jurusolek dan jurugambar yang digunakan adalah kaum lelaki (wanita jadian).

Kesederhanaan adalah tuntutan dalam semua keadaan. Mengabaikannya seringkali mengundang krisis di dalam kehidupan seperti permusuhan akibat dengki,memandang rendah dari satu pihak, keegoan dan sebagainya. Jadi janganlah kerana warna-warni, solekan atau kecantikan yang dibuat-buat, wujud pula kehambaran dalam rumah tangga pada masa mendatang.


9) Memberikan ucapan selamat serta mendoakan kedua mempelai serta keluarga mereka.

Para hadirin jarang sekali mendoakan keberkatan apabila melihat pengantin, bahkan tidak mengetahui pun doa tersebut. Ini suatu amalan penting, kerana doa yang ikhlas akan dimakbulkan, insya’Allah.

Cuba bayangkan seandainya semua hadirin mendoakan pengantin sebagaimana yang diajar oleh Rasulullah saw , alangkah indah dan bahagianya, sesungguhnya Allah Maha Mendengar dan memperkenankan doa hamba-Nya. Marilah kita sama-sama mengamalkan ajaran Rasulullah saw ini.

Antara doa yang sering diucapkannya kepada para pengantin:

(( بَارَكَ اللهُ لَكَ وَبَارَكَ عَلَيْكَ وَجَمَعَ بَيْنَكُمَا فِي خَيْرٍ ))

Maksudnya: ((Semoga Allah memberkatimu dan mencurahkan barakah ke atasmu dan mengumpulkan kedua-dua kamu dalam kebaikan.)) [HR Ahmad & Ashabus Sunan kecuali An-Nasaiy].

Tidak lupa juga doa kepada keluarga pengantin seperti ucapan Rasulullah saw:

(( اللَّهُمَّ بَارِكْ لَهُمْ فِيمَا رَزَقْتَهُمْ وَاغْفِرْ لَهُمْ وَارْحَمْهُم ))

Maksudnya: ((Ya Allah, ampunilah mereka, dan rahmatilah mereka dan berkatilah mereka pada apa yang telah Engkau kurniakan kepada mereka)) [HR Muslim]

Mudah-mudahan kita dapat memahaminya dengan fahaman yang benar tanpa disulami dengan keraguan terhadap Kitabullah dan sunnah Rasulullah saw. Bertepatan dengan hadis ini:

((تَرَكْتُ فِيكُمْ أَمْرَيْنِ لَنْ تَضِلُّوا مَا إِنْ تَمَسَّكْتُمْ بِهِمَا؛ كِتَابَ اللهِ وَسُنَّةَ نَبِيِّهِ))

Maksudnya: ((Aku telah tinggalkan pada kamu dua perkara; sekiranya kamu berpegang dengan kedua-duanya, kamu tidak akan sesat selama-lamanya; Kitabullah dan sunnahku)) [ Muwatta’ Malik ]


Sumber :http://www.abuanasmadani.com/?p=97

Tiada ulasan:

Catat Ulasan