Khamis, 12 November 2009

TAFSIR SAINTIFIK : PENDEKATAN MODEN MEMAHAMI AL QURAN ( 2 )






KEUTAMAAN TAFSIR SAINTIFIK


Antara kehebatan Al Quranul Karim ialah apabila ia mendahului zaman dalam membicarakan tentang keunikan alam semesta. Pengolahan Al Quranul Karim dalam meneliti fenomena kejadian alam pula penuh dengan gambaran keindahan, keajaiban, ketelitian dan keuntuhan. Semuanya tidak terkeluar dari tujuan asal segala maqasid atau prinsip utama penurunan al Quran iaitu hidayah dan pentunjuk kepada manusiawi untuk mengenali Allah swt dengan ketauhidan dan kesempurnaannya.

Dalam pencarian sebahagian sarjana didapati bahawa tercatat di dalam al Quranul karim 457 ayat mengenai bumi, 3100 ayat mengenai langit, 27 ayat mengenai bulan, 24 ayat mengenai tumbuhan. Antara fenomena alam yang mendapat perhatian al Quran juga ialah hujan, awan, petir, guruh, graviti, tanah, bukit ( gunung ), logam dan juga alam haiwan.

Fakta ini membuktikan keperihatinan luar biasa al Quranul karim terhadap fenomena alam semesta yang dengan sendirinya menjadi satu tolakan dan ransangan yang amat kuat supaya mendekati alam ini serta menjadikannya sebagai bahan kajian dan penyelidikan untuk melihat secara halus ketelitian dan keuntuhannya. Ternyata Allah swt mengikat kuat hubungan antara al Quran dan alam.

Maka tidak jauh dari kebenaran istilah yang diberi oleh sesetengah sarjana bahawa al Quran adalah ayat Allah yang dibaca (ayat maqruah) sementara alam adalah ayat Allah yang dilihat dan diperhati (ayat manzhurah). Kedua-duanya adalah ayat Allah swt dan kedua-duanya adalah wajib dijadikan bahan tadabbur dan tafakkur.

Sungguh menarik apabila merenung Firman Allah swt yang berulang 4 kali di dalam al Quran dengan penutup setiap ayatnya ialah ;

إِنَّ فِي ذَلِكَ لآيَاتٍ لِقَوْمٍ يَتَفَكَّرُونَ

" Seseunnguhnya dalam hal yang demikian itu menjadi ayat-ayat ( tanda kebesaran Allah swt ) bagi mereka yang berfikir " . ( al Ra'd : 3, al Rum : 21, az Zumar : 42, al Jathiyah : 13 )

وَهُوَ الَّذِي مَدَّ الأَرْضَ وَجَعَلَ فِيهَا رَوَاسِيَ وَأَنْهَارًا وَمِنْ كُلِّ الثَّمَرَاتِ جَعَلَ فِيهَا زَوْجَيْنِ اثْنَيْنِ يُغْشِي اللَّيْلَ النَّهَارَ إِنَّ فِي ذَلِكَ لآيَاتٍ لِقَوْمٍ يَتَفَكَّرُونَ

" Dan Dia lah yang menjadikan bumi terbentang luas, dan menjadikan padanya gunung-ganang (terdiri kukuh) serta sungai-sungai (yang mengalir). Dan dari tiap-tiap jenis buah-buahan, Ia jadikan padanya pasangan: dua-dua. Ia juga melindungi siang dengan malam silih berganti. Sesungguhnya semuanya itu mengandungi tanda-tanda kekuasaan Allah bagi kaum yang (mahu) berfikir." (al Ra'd : 3)

وَمِنْ آيَاتِهِ أَنْ خَلَقَ لَكُمْ مِنْ أَنْفُسِكُمْ أَزْوَاجًا لِتَسْكُنُوا إِلَيْهَا وَجَعَلَ بَيْنَكُمْ مَوَدَّةً وَرَحْمَةً إِنَّ فِي ذَلِكَ لآيَاتٍ لِقَوْمٍ يَتَفَكَّرُونَ

" Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaannya dan rahmatNya, bahawa Ia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikanNya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir." (al Rum : 21)

اللَّهُ يَتَوَفَّى الأَنْفُسَ حِينَ مَوْتِهَا وَالَّتِي لَمْ تَمُتْ فِي مَنَامِهَا فَيُمْسِكُ الَّتِي قَضَى عَلَيْهَا الْمَوْتَ وَيُرْسِلُ الأُخْرَى إِلَى أَجَلٍ مُسَمًّى إِنَّ فِي ذَلِكَ لآيَاتٍ لِقَوْم ٍيَتَفَكَّرُونَ

" Allah (Yang Menguasai Segala-galanya), Ia mengambil dan memisahkan satu-satu jiwa dari badannya, jiwa orang yang sampai ajalnya semasa matinya, dan jiwa orang yang tidak mati: dalam masa tidurnya; kemudian Ia menahan jiwa orang yang Ia tetapkan matinya dan melepaskan balik jiwa yang lain (ke badannya) sehingga sampai ajalnya yang ditentukan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan Allah bagi kaum yang berfikir (untuk memahaminya)."

وَسَخَّرَ لَكُمْ مَا فِي السَّمَاوَاتِ وَمَا فِي الأَرْضِ جَمِيعًا مِنْهُ إِنَّ فِي ذَلِكَ لآيَاتٍ لِقَوْمٍ يَتَفَكَّرُونَ

" Dan Ia memudahkan untuk (faedah dan kegunaan) kamu, segala yang ada di langit dan yang ada di bumi, (sebagai rahmat pemberian) daripadaNya; sesungguhnya semuanya itu mengandungi tanda-tanda (yang membuktikan kemurahan dan kekuasaanNya) bagi kaum yang memikirkannya dengan teliti." (al Jathiyah : 13)



Bertitik tolak dari sinilah terserlah keutamaan tafsir saintifik sebagai pendekatan yang berkesan untuk mengembalikan al Quranul Karim ke persada kehidupan manusiawi khususnya ke pangkuan kaum muslimin yang sentiasa dahagakan petunjuk ilahi.

Prof Dr Abdullah Shahatah menyebut : " Tujuan asas sentuhan-sentuhan saintifik yang terdapat dalam al Quranul Karim adalah untuk menyeru orang Islam untuk mengembeling usaha mendalami persoalan-persoalan sains supaya mereka mencapai tahap kefahaman yang jitu dan kekuatan yang utuh ke arah menguasai alam membawa dua agenda besar Islam iaitu ibadah kepada Allah dan khilafah di buminya. Tidak syak lagi bahawa usaha penyelidikan yang dijalankan saintis samada di perut bumi atau di angkasaraya dengan membongkar segala rahsia dan sistem alam ciptaan Allah ini adalah sebenarnya menyahut perintah Allah swt dan menunaikan kehendak al Quranul karim yang sentiasa memberi galakan terhadap ilmu pengetahuan. [1]

Antara rumusan Dr Muhammad as Syarif pula mengenai keutamaan tafsiran saintifik al Quran adalah seperti berikut;

" Tafsir saintifik membuka pintu baru kepada dunia kontemporari bagi pembuktian al Quran bahawa ianya datang dari Allah swt. Pembuktian saintifik adalah penting kepada dunia moden terutama kepada mereka tidak bertutur dalam Bahasa Arab. Jika bangsa Arab boleh memahami pembuktian al Quran melalui mukjizat bahasa dan balaghah, maka bahasa saintifik adalah perantaran terbaik untuk mengesan pembuktian ini bagi mereka yang tidak memahami Bahasa Arab.

Bagi umat Islam khasnya, tafsir saintifik adalah wacana terbaik menyuntik pembaharuan dan kesegaran kepada Iman, keyakinan dan pergantungan kepada Allah swt. Tafsir sintifik juga adalah benteng kepada aqidah muslim moden dari serangan pemikiran dan ilmu pengetahuan yang bertuhan sains yang telah tertanggal dari baju tauhid dan tunggul iman. Tafsir saintifik berperanan besar menyelamatkan akal fikiran muslim dengan menjalinkan sains dengan keimanan kepada tuhan pencipta. " [2]

Dr Abu hajar juga berkongsi idea mengenai keutamaan metod saintifik dalam tafsir al Quran moden. Katanya :

" Pembuktian al Quran sebagai kitab yang benar datang dari Allah swt melalui mukjizat sastera dan balaghah arab semata-mata tidak lagi cukup untuk memenangi pemikiran manusia moden. Mereka telah terlalu jauh untuk mengecapi keindahan bahasa Arab dan keseniannya yang menjadi keunikan al Quran tanpa tandingan. Justeru, Tafsir Saintifik adalah pendekatan berkesan di zaman sains dan teknologi ini.

Apatah lagi setelah terbukti bertambahnya peningkatan hubung kait antara kebenaran al Quranul Karim dan keputusan atau dapatan saintifik moden selepas penemuan-penemuan baru. Terbukti sudah bagaimana al Quranul Karim telah memberi petunjuk-petunjuk samada secara umum atau terperinci terhadap penemuan-penemuan sains ini dalam rupa yang tidak menimbulkan sebarang keraguan lagi. Demikianlah suburnya tafsir saintifik ini yang mana kehadirannya semakin dirasai apabila semakin rancak penemuan sains maka semakin rancaklah juga pengembangan yang berlaku kepada tafsir saintifik. Sering kali apabila ilmu sains menemui dapatan barunya, maka ketika itulah ditemui isyarat dan petunjuknya dari Al Quranul Karim." [3]

Jelaslah bahawa Tafsir Saintifik membawa pembuktian kukuh tentang kewujudan, keesaan dan kekuasaan Allh swt tuhan pencipta. Metodologi ini juga membawa penegasan kebenaran al Quran sebagai kalam Allah swt dan berupaya menolak debatan dan hujahan mereka cuba mencari kekurangan atau menimbulkan kewaspadaan kepada kesucian al Quran. Tafsir Saintifik juga melonjak nilai iman yang tegak di atas emosi dan kejiwaan semata-semta kepada iman yang tegak di atas ilmu pengetahuan dan pembuktian kebenaran yang nyata.

Sesungguhnya melalui Ilmu pengetahuan jualah seseorang itu boleh menerima kebenaran al Quran yang akhirnya menemukannya dengan kekuasaan Allah dan kesempurnannya. Renungilah Firman Allah swt ini ;

وَيَرَى الَّذِينَ أُوتُوا الْعِلْمَ الَّذِي أُنْـزِلَ إِلَيْكَ مِنْ رَبِّكَ هُوَ الْحَقَّ وَيَهْدِي إِلَى صِرَاطِ الْعَزِيزِ الْحَمِيدِ

Dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan, mengetahui (dengan yakin, bahawa keterangan-keterangan) yang diturunkan kepadamu dari Tuhanmu (mengenai hari kiamat dan lain-lainnya) itulah yang benar serta yang memimpin ke jalan Allah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Terpuji. ( Saba' : 6 )


[1] شحاته د/ عبد الله : تفسير الآيات الكونية. دار الاعتصام بالقاهرة، ط1، 1980م.

[2] شريف د/ محمد إبراهيم : هداية القرآن في الآفاق والأنفس. بدون جهة نشر. ط -، 1986م.

[3] أبو حجر د / أحمد عمر : التفسير العلمي للقرآن في الميزان. دار قتيبة، ط1، 1411هـ / 1991م.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan