Jumaat, 6 November 2009

TAFSIR SAINTIFIK : PENDEKATAN MODEN MEMAHAMI AL QURAN ( 1 )




Pengenalan Ilmu Tafsir.

Tafsir dalam bahasa arab bermakna mendedahkan sesuatu yang tersembunyi dan menanyangkannya atau menerangkannya (al Azhariy:12/406, Ibn Manzur:5/55).

AlQuran menyatakan :

“ dan sebaik-sebaik tafsir“(al Furqan:33)

kata Mujahid : yakni keterangan (al Tabari:19/12).

Makna tafsir al Quran dalam ungkapan ulama’ tafsir tradisi;

1- Ibnu Juzai al Kalbiy (741h) : “ syarah al Quran, keterangan maknanya, dan penjelasan kepada kehendak nas al quran atau isyaratnya( bayangan ) atau seumpamanya”. (al kalbiy : 1/6)

2- Abu Hayyan al Andalusiy (745h) : Ilmu tentang cara sebutan lafaz al Quran, petunjuk, hukum samada dalam bentuk pangkal kata atau ungkapan ayat dan juga maksud-maksud yang difahami dari ungkapan ayat dan yang berkaitan dengannya”. ( Abi Hayyan : 1/26 )

3- Badruddin al Zarkasyi (794h) : Ilmu yang bertujuan memahami Kitab Allah yang diturunkan kepada Nabinya Muhammad saw, menerangkan kehendaknya, mengeluarkan hikmat dan hukumnya.(al Zarkasyiy: 1/13).

4- Ibnu Arafah al Malikiy ( 703h ) : Ilmu mengenai kehendak petunjuk al Quran dan cara pengambilan petunjuknya yang tesendiri, latar belakang penurunan dan nasakh dan mansukh. (Ibnu Arafah : 1/59).


5- Syeikh al Uthaimeen merumuskan pengenalan tafsir dengan kata kuncinya “ menerangkan makna-makna al Quran” ( al Uthaimeen: 25)



Tafsir saintifik pula ditakrifkan oleh beberapa sarjana tafsir kontemporari;

1. Dr. Solah al Khalidiy : “ Tasiran ayat al Quran secara saintifik mengikut kaedah sains moden dan mengupas isu-isu saintifik di dalam sesuatu ayat menurut analisa sains moden. ( al Khalidiy : 577)

2. Dr. Abdullah al Ahdal : “ Tafsiran ayat-ayat berkaitan ciptaan alam semesta di dalam al Quran dari perspektif dapatan sains moden”.

3. Dr Fahd alRumiy:” Ijtihad ahli tafsir membongkar hubungan antara ayat al Quran yang mebicarakan tentang alam semesta dengan penemuan kajian sains, yang mampu menyerlahkan mukjizat al quran.” ( al Rumiy : 2/549)

4. Dr Ahmad Abu hajar: Usaha ahli Tafsir untuk menafsirkan ungkapan al quran dari pencerahan pembuktian sains dan menonjolkan sudut mukjizat al Quran. ( Abu hajar:72).

5. Syeikh Abdul Majid al Zandani : “ Membongkar makna-makna ayat melalui teori-teori sains yang terbukti kesahihannya”. (al Zandani: 33).

6. Dr Zaghlul al Najjar : “ Menggarapkan semua bentuk keilmuan moden untuk meningkatkan kefahaman petunjuk ayat al Quran”. (Al Najjar:35)


Rumusan.

Tafsir Saintifik adalah usaha mengaplikasikan penemuan sains moden bagi tujuan menambah baik kefahaman makna ayat al Quran dan meluaskan pebincangannya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan