Sabtu, 31 Oktober 2009

Tiada Siapa Terkecuali Dari Melakukan Kesilapan.



gambar hiasan

Ibn Abi Hatim dalam kitabnya al Ilal menceritakan : Abu Zur’ah ditanya tentang hadith Malik dari Az Zuhri dari Ali ibn Husain dari Umar ibn Uthman ibn Affan dari Usamah ibn Zaid. Bahawa Rasululullah saw bersabda : “ Seorang Muslim tidak boleh mendapat warisan dari seorang kafir”. Kata Abu Zur’ah: Perawi-perawi lain menyebut ‘Amr, cuma Malik yang menyebut Umar ibn Uthman.

Ibn Abi Hatim menceritakan lagi dari Ali ibn Madiniy katanya : Yahya ibn Saiid menegur Malik katanya: ‘Amar ( bukan Umar ) ibn Uthman, tapi Malik enggan menarik balik dan berkatanya : “ Uthman ada anak bernama Umar. Ini rumahnya”. [1]

Ibn Abdul Barr menyebut bahawa as Syafei dan Yahya al Qattan pernah merujuk Malik tentang perkara ini tapi Malik tetap enggan menarik balik. Ibn Abdul Barr berkata: " Malik memang tidak dapat ditandingi dari segi hafalan dan ketelitian. Namun kesilapan tidak terkecuali dari sesiapa. Ahli hadith tetap berpendapat bahawa perawi dalam sanad ini adalah ‘Amr bukan Umar. Sufian ibn Uyainah menyebut: “ Aku telah berkali-kali mendengarnya dari az Zuhri ( guru Malik ) dan cuba menyelidiknya. Dia hanya menyebut ‘Amr “. Mereka yang bersetuju dengan Sufian ialah Ma’mar, Ibn Juraij, Uqail, Yunus ibn Yazid, Syuaib ibn Abi Hamzah, al Awzaie. Kumpulan yang ramai lebih patut diterima riwayatnya.[2]

Kisah di atas adalah kejadian terpencil dalam kehidupan Imam Malik rahimahullah sebagai seorang perawi agung hadith. Dia sangat terkenal sebagai seorang perawi yang sangan teliti dan tepat. Jarang sekali tersilap atau tersasul. Tapi dalam kisah ini terbukti dia silap. Dia menyebut nama seorang perawi sebagai Umar sedangkan semua kawan-kawan sepengajian dengannya bergurukan Imam az Zuhri menyebut ‘Amr.

Yang peliknya ketegasan Imam Malik mempertahankan kesilapannya walaupun cuba diperbetulkan oleh anak murid terdekatnya seperti Imam as Syafei, yahya ibn Saiid dan Yahya ibn al Qattan. Ketegasan Imam malik semakin terserlah dari jawapannya “ Uthman ada anak bernama Umar. Ini rumahnya !!”. Namun kebenaran tetap kebenaran. Ahli hadith menganggap ini adalah illah ( kecatatan dalaman yang sukar dikesan kerana kesilapan dilakukan seorang yang amat dipercayai -thiqah- )


gambar hiasan

Contoh ini sebagaimana disebutkan adalah kisah terpencil yang tidak patut dijadikan alasan untuk merosakkan nama keagungan Imam Malik dan ketokohannya dalam ilmu hadith. Dia tetap Imam dan hujjah dalam Ilmu hadith dan kepelbagaian cabangan Ilmu Islam. Tidak tercemar sedikit pun sanjungan dan penghormatan ahli hadith kepadanya.

Ibn Abdul Barr apabila memberi komentar tentang hadith "lupanya nabi saw dalam solatnya". Dia menyebut: “ Hadith menjadi bukti bahawa kesilapan dan sifat lupa tidak terselamat darinya sesiapapun. Apabila nabi-nabi pun terkena perkara ini maka yang bukan nabi apatah lagi”. [3]

Abdullah ibn al Mubarak berkata: “ Siapalah yang terselamat dari salah dan silap ! “.[4]

Abdul Rahman ibn al Mahdi berkata : Sesiapa yang membersihkan dirinya dari kesilapan dia adalah gila”.[5]

Malik sendiri menyebut: “ Siapalah yang tidak melakukan kesilapan??”.[6]

As Syafei berkata : “ Aku menulis buku-buku ini tanpa melakukan kecuaian. Tapi kesalahan tetap akan ada. Allah swt pun telah berfirman :

أَفَلَا يَتَدَبَّرُونَ الْقُرْآنَ ۚ وَلَوْ كَانَ مِنْ عِنْدِ غَيْرِ اللَّهِ لَوَجَدُوا فِيهِ اخْتِلَافًا كَثِيرًا ﴿82

“ Patutkah mereka (bersikap demikian), tidak mahu memikirkan isi Al-Quran? Kalaulah Al-Quran itu (datangnya) bukan dari sisi Allah, nescaya mereka akan dapati perselisihan yang banyak di dalamnya.” ( surah an nisa’ : 82 ).

Maka apa sahaja yang kamu dapati di dalam buku-buku ini yang bercanggah dengan al Quran atau al Sunnah, maka aku telah menarik balik.” [7]

Ahmad ibn Hambal ditanya oleh muridnya Muhanna : Adakah Ghundar silap ? Katanya : “ Tidakkah dia manusia ? ". [8]

Contoh yang dibawa di sini kesilapan yang dikesan oleh ahli hadith terhadap Imam Malik. Di sana terdapat kesilapan yang dilakukan tokoh yang lebih hebat dan lebih terdahulu seperti Iman az Zuhri, Sufyan atThauri dan Syu'bah ibn al Hajaj. Semua tidak mengurangkan penghormatan ahli hadith terhadap mereka. Yahya ibn Ma'in pernah berkata : " Aku tidak pelik mereka yang meriwayatkan hadith dan tersilap. Tapi aku pelik mereka yang meriwayatkan hadith dan terbukti tepat." [9]


[1] العلل لابن أبي حاتم 1635

[2] التمهيد لابن عبد البر 1/241-242

[3] الاستذكار لابن عبد البر 1/521

[4] شرح العلل 1/436

[5] شرح العلل لابن رجب 1/436

[6] الآداب الشرعية لابن المفلح 2/142

[7] الآداب الشرعية لابن المفلح 2/142

[8] المرجع السابق

[9] التأريخ للدوري 2672

2 ulasan:

  1. ini taqrir mingguan ke ust..masyallah..penuh dengan maklumat..

    BalasPadam
  2. lebih kurang mcm tu la..tercatat malam test ilalul hadith bersama syeikh humaiyyid.

    BalasPadam