Khamis, 29 Oktober 2009

Haji Mabrur Amal Terbaik Selepas Iman Dan Jihad



gambar hiasan

عَنْ ‏ ‏أَبِي هُرَيْرَةَ ‏ :أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ ‏ ‏صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ‏ ‏سُئِلَ أَيُّ الْعَمَلِ أَفْضَلُ فَقَالَ ‏ ‏إِيمَانٌ بِاللَّهِ وَرَسُولِهِ قِيلَ ثُمَّ مَاذَا قَالَ الْجِهَادُ فِي سَبِيلِ اللَّهِ قِيلَ ثُمَّ مَاذَا قَالَ حَجٌّ ‏ ‏مَبْرُورٌ ‏ ([1]).

Dari Abu Hurairah ra bahawa Rasulullah saw ditanya: Apakah amal yang paling baik? Baginda saw bersabda : “ Iman kepada Allah swt dan RasulNya saw”. Baginda ditanya lagi : Kemudian apa dia ?. Rasulullah saw menjawab : Berjihad di jalan Allah. Baginda ditanya lagi : Kemudian apa dia? Baginda saw menjawab : Haji Mabrur.

Riwayat al Bukhari.

Pencerahan hadith :

1. Hadith ini membayang sikap para sahabat ra yang bersungguh ingin melakukan ibadat yang terbaik. Menuntut amal ibadat yang terbaik adalah suatu kebiksanaan di dalam mengisi umur manusia yang terbatas ini.

2. Rasulullah saw seorang yang suka melayan soalan-soalan berfaedah yang menatijah amalan dan disusuli oleh tindakan. Hadith-hadith seumpama ini banyak diriwayatkan.Dalam masa yang sama baginda saw membenci soalan-soalan yang tidak berfaedah dan tidak menatijahkan tindakan.

3. Dalam riwayat yang lain ada disebut selepas iman dan jihad ialah membebaskan hamba bukannya haji. Hadith ibn Mas’ud pula menyebut sembahyang, berbakti kepada ibubapa kemudian jihad.[2]

4. Ulama menyebut perbezaan jawaban ini kerana perbezaan suasana dan keperluan mereka yang bertanya. Kadang-kadang baginda sengaja menyebut perkara yang belum diketahui oleh orang yang bertanya atau pendengar lain tanpa menyebut apa yang telah diketahui.[3]

5. Hadith ini juga meninggikan kedudukan haji sehingga meletakan selepas iman yang merupakan ibadat teragung di sisi Allah dan jihad yang merupakan kemuncak amalan Islam.


6. Haji dikaitkan dengan iman kerana ia dilaksanakan di atas paksi keimanan kepada perintah Allah dan beriman kepada janji-janjinya. Haji juga berlansung dengan menghidupkan suasana iman yang segar yang menambahkan darjat keimanan dan keyakinan seseorang hamba kepada tuhannya.

7. Haji juga ada kaitan dengan jihad kerana jemaah haji sebenarnya berjihad dengan harta benda dan tenaganya walaupun bukan di medan perang. Apatah lagi jika dihayati kehidupan salaf bagaimana haji adalah tempat rehat bagi mereka yang penat berjihad. Ada tahun mereka keluar dalam perjalanan jihad dan ada tahun mereka keluar dalam perjalanan haji.

8. Jihad lebih baik dari haji menurut hadith ini walaupun jihad tidak dianggap rukun Islam seperti haji. Ini kerana manfaat jihad melampau batasan kepentingan peribadi kepada kepentingan agama dan ummah. Adapun haji kepentingannya lebih berbentuk peribadi. Ada yang berpendapat bahawa yang dimaksudkan dengan jihad di sini ialah apabila jihad telah menjadi fardu ain. Ketika itu tidak syak lagi bahwa jihad adalah paling afdhal tidak boleh ditandingi oleh mana-mana amal termasuklah haji.[4]



[1] البخاري،كتاب الحج،باب فضل الحج المبرور،برقم 1519،وانظر:البخاري مع الفتح،3/ 381.

[2] فتح الباري بشرح صحيح البخاري ، كتاب الإيمان ، باب من قال إن الإيمان هو العمل ، حديث برقم 25

[3] المرجع نفسه

[4] المرجع نفسه

Tiada ulasan:

Catat Ulasan