Seorang yang tersilap berbuka sebelum tiba masa tenggelamnya matahari ( masuknya waktu maghrib ) kemudian terbukti bahawa matahari belum tenggelam, ada dua keadaan.
1. Tersilap berbuka kerana sangkaan kuat bahawa telah masuk maghrib.
2. Tersilap berbuka kerana syak bahawa telah masuknya maghrib.
Ulama' bersepakat bahawa menjadi kewajipan kepada mereka yang terlibat dengan keadaan ini wajib menahan diri dari makan,minum dan bersetubuh sehingga tenggelamnya matahari.Yang menjadi perbezaan pandangan mereka hanya dalam isu kewajipan qhada' dalam keadaan pertama.
Keadaan Pertama:
Tersilap berbuka kerana sangkaan kuat ( zhan ) bahawa telah masuk maghrib sedangkan terbukti kemudiannya bahawa matahari belum tenggelam.
Ulama' ada dua pandangan mengenai kewajipan qhada' dalam kes ini.
1. Pandangan Jumhur ( Hanafi, Maliki dan Shafei ) : Wajib Qhada'
Dalil :
Umum ayat ;
ثُمَّ أَتِمُّوا الصِّيَامَ إِلَى الَّليْلِ : البقرة: 187
" Kemudian kamu lengkapkan puasa sehingga malam "
2. Pandangan Sebahagian ulama' salaf dan pilihan Ibnu Taimiah dan Ibnu al Qayyim : Tidak wajib Qhada'
Dalil :
2.1 Umum ayat ;
رَبَّنَا لاَ تُؤَاخِذْنَا إِن نَّسِينَا أَوْ أَخْطَأْنَا : البقرة: 286
" Wahai tuhan kami janganlan engkau menghukum kami jika kami terlupa atau tersilap ".
Kes ini termasuk dalam tersilap yang dimaafkan.
2.2 Sunnah ;
عن أسماء بنت أبي بكر رضي الله عنهما قالت: أفطرنا على عهد رسول الله صلى الله عليه وسلم في يوم غيم ثم طلعت الشمس .أخرجه البخاري
Dari Asma' Binti Abi Bakar ra : Kami berbuka di zaman Rasulullah saw pada suatu hari yang berawan gelap kemudian muncul matahari.
HR Bukhari.
Petunjuk hadith: Tidak disebut bahawa mereka melakukan puasa qhada'.
Keadaan Kedua:
Tersilap berbuka kerana syak bahawa telah masuk maghrib sedangkan terbukti kemudiannya bahawa matahari belum tenggelam.
Dalam kes ini sepakat mazhab empat bahawa pelakuannya berdosa dan wajib qhada' puasanya yang rosak pada hari itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan