Ikhlas adalah perlakuan hati yang menghendaki perkenan dan redha Allah swt. Ia menjadi syarat penerimaan amal di sisi Allah swt. Melalui keikhlasan niat jualah tegak dan lurusnya segalan urusan agama.
Firman Allah swt;
وَمَا أُمِرُوا إِلَّا لِيَعْبُدُوا اللَّهَ مُخْلِصِينَ لَهُ الدِّينَ حُنَفَاء وَيُقِيمُوا الصَّلَاةَ وَيُؤْتُوا الزَّكَاةَ وَذَلِكَ دِينُ الْقَيِّمَةِ . البينة : 5
Bermaksud:
“ Tiadalah mereka diperintahkan melainkan untuk beribadat kepada Allah swt dengan penuh ikhlas. Bagi Allah swt jualah urusan agama. Juga untuk mereka menegakkan solat dan menunaikan zakat. Itulah agama yang lurus.”
1. Hatta perbuatan baik kepada sesama manusia seperti membantu dengan harta benda, perkataan atau tindakan tetap disyaratkan niat yang ikhlas kerana Allah untuk mendapat ganjaran pahala di sisi Allah swt.
Firman Allah swt;
لا خَيْرَ فِي كَثِيرٍ مِنْ نَجْوَاهُمْ إِلا مَنْ أَمَرَ بِصَدَقَةٍ أَوْ مَعْرُوفٍ أَوْ إِصْلاحٍ بَيْنَ النَّاسِ وَمَنْ يَفْعَلْ ذَلِكَ ابْتِغَاءَ مَرْضَاةِ اللَّهِ فَسَوْفَ نُؤْتِيهِ أَجْرًا عَظِيمًا
Bermaksud:
Tiada kebaikan bagi kebanyakan bisikan sesama kamu kecuali sesiapa yang menyuruh untuk bersedekah, perkara baik atau mendamaikan sesama manusia. Sesiapa yang melakukan demikian kerana mencari redha Allah maka kami akan kurniakan kepadanya ganjaran yang besar. ”
Surah al Nisa’ : 114.
Ulama terdahulu memberi perhatian yang tinggi dalam urusan niat. Kata-kata mereka membuktikan kepentingan niat dan kedudukannya yang utama.
Yahya ibn Abi Kathir berkata:
“ Pelajarilah niat kerana ia lebih berharga dari amal ”.
Zubaid al Yami berkata:
“ Aku suka jika memiliki niat dalam semua perkara sehinggakan urusan makan dan minum ”.
Sufyan al Thauri berkata:
“ Aku tidak pernah membaiki sesuatu yang lebih payah daripada niatku kerana ianya sentiasa berubah ”.
Mutharraf ibn Abdillah berkata:
“ Keelokan hati adalah dengan keelokan amalan. Keelokan amalan adalah dengan keelokan niat .”
Kalangan salaf ada yang berkata:
“ Sesiapa yang sukakan amalannya sempurna, maka sempurnakanlah niatnya. Maka Allah swt membalas baik seseorang hamba apabila sempurna niatnya sekalipun dengan satu suapan. ”
Ibnu al Mubarak berkata: “ kadang-kadang kerja kecil dibesarkan oleh niat. Sebaliknya kerja besar dikecilkan oleh niat. ”
Tiada ulasan:
Catat Ulasan