Rabu, 25 April 2012

Surah al Mulk: Muhasabah Sebelum Tidur, Teman Di Alam Kubur.



Surah al Mulk ( Kerajaan ) merupakan surah yang turun di peringkat Mekah sebelum hijrah Nabi saw. Ibn 'Ashur berkata: " Sasaran surah ini beriringan dengan sasaran surah-surah Mekah yang lain". ( at Tahrir wa at Tanwir 5/29 ).  Kandungannya mempertegaskan maksud kehidupan insan di bumi Allah swt dan membawa ingatan dan kesedaran tentang keagungan kerajaan Allah swt. Seringkali manusia terlalai dari matlamat asal kewujudan kerana leka dan lupa bahawa alam ini sebenarnya tunduk kepada arahan dan peraturan kerajaan Allah swt. Terpedaya dan terpesona dengan kerajaan manusia yang diberi pinjam sementara di dunia, manusia akhirnya terpandu dan terarah mengikut kehendak kerajaan manusia, bukannya kerajaan pencipta manusia.

Justeru amat penting untuk umat manusiawi mendapat peringatan dan kesedaran yang berterusan tentang hakikat kekuasaan sebenar yang semestinya mendapat hak kepatuhan dan penyerahan diri. Maka di sini lah datangnya kepentingan surah al Mulk dalam hidup seharian manusia. Satu surah yang membekalkan hujah membuktikan kehebatan, ketelitian dan kesenian ciptaan Allah swt. Samada alam rendah di bumi mahupun alam tinggi di langit. Samada alam dekat di dunia  mahupun alam jauh di akhirat.

Maka surah ini bermula dengan mempertegaskan hak mutlak Allah swt di dalam kekuasaan dan kerajaan. Ianya tergengam kemas di dalam penguasaannya. Dialah penguasa mutlak tanpa sekutu. Maka kewajipan manusia dari ciptaannya adalah mempersembahkan amal terbaik ( ahsana amala ). Iaitu amal yang paling tulus kepada Allah dan paling menepati ajaran sunnah Rasulullah swt.

Kemudian Allah swt memperkenalkan pembuktian tanda-tanda kekuasaannya dari alam yang terpapar teguh lagi indah ini. Alam tinggi di langit yang bertingkat dengan keutuhannya dan dihiasi pula dengan bintang yang berkegemerlapan. Alam bumi yang terdapar luas untuk manusia bebas bergerak dengan mudah dan kaya pula pula hasil mahsul dan khazanah semulajadinya. Juga alam burung antara langit dan bumi yang menjadi bukti ketelitian dan kesenian dalam ciptaan ilahi.

Apatah lagi setelah manusia diberi amaran keras jika masih tertutup mata hati (kufur), maka di sana ada bukti kekuasaan yang keras bakal menunggu iaitu bahana neraka yang menjanjikan azab yang tidak tertanggung sengsaranya. Penghuninya adalah manusia yang tidak tahu mengambil pelajaran dari kebesaran bukti ketuhanan di dunia lalu mereka memilih jalan kufur dan ingkar.

Surah ini juga tidak terlupa kepada bukti kerajaan Allah swt yang terpenting iaitulah ciptaan manusia yang penuh keunikannya yang tersendiri. Ia adalah ciptaan yang penuh keseniaan dan ketelitian. Apatah lagi ciptaan manusia ini mempunyai keistimewaan yang tersediri iaitulah kemampuanya untuk menerima ilmu melalui pancaindera pendengaran, penglihatan dan hati serta akal fikiran. Sesuatu yang tidak dimiliki oleh mana-mana ciptaan yang melayakkanya untuk berperanan sebgai khalifah mengurus segala alam sekelilingnya.

Demikianlah sempurnanya perbentangan surah al Mulk mengenai keajaiban sebuah kerajaan yang hakiki berkuasa dan menolak kesamaran dan salah sangkaan kebanyakan manusia yag terpedaya dengan kekuasaan sementaran dan pinjaman untuk sebahagian manusia di dunia ini.  Maka tidak janggallah apabila surah ini mendapat kelebihan dan fadhilat besar membaca, menghafal, memahami kandungan  serta menghayatinya dalam hidup seharian. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan