Al Hafiz Ibnu al Qayyim di dalam karya agung ( زاد المعـاد في هـدي خـير العـباد ) "Bekalan hari kembali ( hari kiamat ) pada membicarakan tentang pedoman sebaik-baik hamba Allah ( Nabi Muhammad saw ) " mencatatkan kelainan cara Nabi saw menyambut raya.
Antara rumusannya dari riwayat-riwayat dalam topik ini adalah seperti berikut;
- Nabi saw bersembahyang raya di musolla iaitu tempat sembahyang yang lapang dan terbuka bukannya masjid.
- Baginda akan keluar dengan memakai sebaik-baik pakaian.
- Baginda makan beberapa biji tamar secara witir ( ganjil ) sebelum keluar pada hari idilfitri.
- Pada Idil adha pula baginda saw tidak makan sehingga pulang dari tempat sembahyang. Maka Baginda makan dari daging binatang korban.
- Baginda saw keluar dengan berjalan kaki. Sebatang tongkat dibawa bersamanya. Apabila baginda tiba di tempat sembahyang, tongkat tadi akan dipacakkan di hadapan tempat sembahyangnya.
- Apabila baginda saw sampai di tempat sembahyang, baginda saw akan bersembahyang tanpa azan dan iqamah. Juga tiada perkataan الصلاةُ جامعةٌ
- Baginda saw dan para sahabat ra juga tidak bersembahyang sebelum atau selepasnya sebarang sembahyang.
- Baginda saw bersembahyang sebelum berkhutbah. Sembahyang baginda saw adalah dua rakaat.
- Baginda saw bertakbir tujuh kali takbir selepas takbiratul ihram. Baginda saw diam sekejap di antara dua takbir. Dalam rakaat kedua baginda bertakbir sebanyak lima kali takbir.
- Baginda saw membaca surah Qaf(ق) dalam rakaat pertama dan surah al Qamarالقمر dalam rakaat ke dua selengkapnya.
- Kadang-kadang baginda saw membaca surah al a’la الأعلى dan surah al ghasyiah الغاشية .
- Baginda saw berkhutbah di atas tanah tanpa ada minbar.
- Baginda saw pulang ke rumah dengan melalui jalan berlainan dari jalan datangnya
Tiada ulasan:
Catat Ulasan