Isnin, 25 Mac 2013

Tanggungjawab Bersama Menangkis Fitnah.



Al Quran meletakkan tanggungjawab menolak berita fitnah di atas bahu setiap anggota masyarakat. Hanya dengan kerjasama semua pihak, fitnah dapat dibenteras dengan jayanya. 

Caranya ialan setiap muslim tidak harus terjebak dan terpalit dengan kerja dosa fitnah ini samada memulakan atau menyebarkan. Bahkan tanggungjawab mereka setiap kali menerima berita fitnah ini untuk mendustainya dan mendedahkan pembohongan itu.

Pedoman ini diturunkan Allah swt untuk membawa muslimin keluar dari kemelut peristiwa pembohongan terbesar kaum munafiqin menuduh isteri Nabi saw, Aishah ra terjebak melakukan zina.

Firman Allah swt :

إِذْ تَلَقَّوْنَهُ بِأَلْسِنَتِكُمْ وَتَقُولُونَ بِأَفْوَاهِكُمْ مَا لَيْسَ لَكُمْ بِهِ عِلْمٌ وَتَحْسَبُونَهُ هَيِّنًا وَهُوَ عِنْدَ اللَّهِ عَظِيمٌ ( 15 ) وَلَوْلَا إِذْ سَمِعْتُمُوهُ قُلْتُمْ مَا يَكُونُ لَنَا أَنْ نَتَكَلَّمَ بِهَذَا سُبْحَانَكَ هَذَا بُهْتَانٌ عَظِيمٌ ( 16 ) يَعِظُكُمُ اللَّهُ أَنْ تَعُودُوا لِمِثْلِهِ أَبَدًا إِنْ كُنْتُمْ مُؤْمِنِينَ ( 17 )

Bermaksud:

[15] Iaitu semasa kamu bertanya atau menceritakan berita dusta itu dengan lidah kamu, dan memperkatakan dengan mulut kamu akan sesuatu yang kamu tidak mempunyai pengetahuan yang sah mengenainya; dan kamu pula menyangkanya perkara kecil, pada hal ia pada sisi hukum Allah adalah perkara yang besar dosanya.

[16] Dan sepatutnya semasa kamu mendengarnya, kamu segera berkata: “Tidaklah layak bagi kami memperkatakan hal ini! Maha Suci Engkau (ya Allah dari mencemarkan nama baik ahli rumah Rasulullah)! Ini adalah satu dusta besar yang mengejutkan”.

[17] Allah memberi pengajaran kepada kamu, supaya kamu tidak mengulangi perbuatan yang sedemikian ini selama-lamanya, jika betul kamu orang-orang yang beriman.

Surah an Nur : 15-17.

Demikianlah betapa tegas dan keras teguran Allah swt terhadap sikap menerima berita tanpa ilmu kemudian bercakap sebelum menerima pencerahan. Angkara dosa yang dianggap kecil di sisi pandang manusia sedangkan itulah jenayah berat dalam neraca Allah. Sebaliknya sikap yang terpuji adalah menjaga harga diri dan bermaruah tinggi untuk mempertuturkan perkataan fitnah. Kemuncak penegasan dari Allah apabila mempertikaikan keimanan mereka yang tidak serik mengulangi kejahatan memfitnah.

Di dalam hadith Nabi saw pula ada menyatakan;

عَنْ أبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ : (إِنَّ الْعَبْدَ لَيَتَكَلَّمُ بِالْكَلِمَةِ مِنْ رِضْوَانِ اللَّهِ لَا يُلْقِي لَهَا بَالًا يَرْفَعُهُ اللَّهُ بِهَا دَرَجَاتٍ ، وَإِنَّ الْعَبْدَ لَيَتَكَلَّمُ بِالْكَلِمَةِ مِنْ سَخَطِ اللَّهِ لَا يُلْقِي لَهَا بَالًا يَهْوِي بِهَا فِي جَهَنَّمَ) رواه البخاري (6487 . (

Bermaksud:

" Sesungguhnya seorang hamba bercakap dengan perkataan yang mendapat perkenan Allah swt. Dia sendiri pun tidaklah memberinya perhatian besar, tiba-tiba Allah swt mengangkat dengannya darjat-darjat yang tinggi. Sebaliknya ada pula hamba yang bercakap dengan perkataan mendapat murka Allah swt. Dia sendiripun tidaklah memberi perhatian besar kepadanya, tiba-tiba Allah mencampak dengan sebabnya ke dalam neraka jahanam.

Hadith riwayat al Bukhari.

Justeru, menelan berita fitnah dan menjadikannya buah mulut adalah langkah tempang pertama yang membawa kepada kesilapan yang tiada noktah hujungnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan