Jumaat, 17 Mei 2013

Palestin Bumi Pertemuan dan Pertembungan.


  


" Dibawa kepadaku buraq, lalu aku menunggangnya sehingga tiba di Baitil Maqdis. Aku menambatnya di lingkaran ( halaqah ) yang sentiasa ditambat di situ  ( kenderaan tunggangan ) nabi-nabi as terdahulu. Kemudian aku masuk ke masjid itu dan sembahyang dua rakaat sebelum aku dibawa ke langit "
( Petikan dari hadith Rasulullah saw dari Anas bin Malik di dalam Sahih Muslim no:209 ).                
Ajaib sungguh halaqah atau lingkaran Baitil Maqdis yang amat dikenali oleh semua nabi dan rasul utusan tuhan sebagai tempat tambatan kenderaan tunggangan mereka. Sempadan masa dan jarak tempat tidak mampu memisahkan kesatuan dan pertemuan mereka di bumi al Aqsa. 
Ibnu Umar ra pernah berkata: Baitul Maqdis dibina dan dimakmurkan oleh nabi-nabi as. Tiada sejengkal bumi di situ yang belum menjadi tempat sujud malaikat atau tempat berdirinya malaikat.
Nu'man bin Atha' pula menyebut: Tiada suatu tempat pun di Baitil Maqdis yang belum menjadi tempat sujud para malaikat atau para nabi. Semoga dahimu bersentuhan dengan dahi malaikat atau nabi.
Kehendak Allah swt dan pilihannya mentakdirkan Masjid Aqsa menjadi tempat pertemuan, perhimpunan dan perkumpulan untuk mentaatinya samada melalui ibadat atau jihad.
Maimunah ra menceritakan, aku berkata :
Wahai Rasulullah! Fatwakan kami mengenai Baitil Maqdis. Baginda saw bersabda: " Bumi perhimpunan dan dan pertemuan. Berkunjunglah kepadanya dan solat di sana kerana solat di sana seumpama seribu kali solat di tempat lain. Aku bertanya: Apa kata engkau jika aku tidak mampu ke sana? Baginda saw bersabda: Engkau hadiahkan untuknya minyak zaitun untuk diterangi pelita di sana. Sesiapa yang boleh lakukan demikian maka ganjarannya sama dengan orang yang mengunjunginya.
( Hadith riwayat Abu Dawud no:457 dan Ibn Majah no: 1407 dengan sanad sahih ).
Demikianlah Rasulullah saw menamakan Baitul Maqdis sebagai bumi perhimpunan dan pertemuan. Destinasi yang menemukan nabi-nabi terdahulu dan pejuang-pejuang agama Allah sehingga akhir zaman. Pertemuan semestinya berlaku di sana. Samada pertemuan fizikal atau spiritual. Jika tubuh badan tidak boleh sampai ke sana, maka janganlah sebarang tanda bantuan dan sokongan tidak kunjung tiba. Walupun minyak zaitun yang boleh digunakan untuk menerangi Masjid Aqsa. Biar ia terang benderang walaupun tanpa kehadiran kita. Ini kerana musuh umat Islam mahukan ianya malap kegelapan atau ditutup terus kalaupun tidak runtuh terbenam. Dalam konteks ini sepatutnya difahami hadith galakan untuk bersungguh menyediakan persiapan mengunjungi tiga masjid terbesar Islam.
Dari Abu Hurairah ra katanya: Rasululullah saw bersabda:
" Janganlah bersungguh melakukan perjalanan jauh melainkan ke tiga masjid; Masjid Haram, Masjid Nabawi dan Masjid Aqsa. "
( Hadith riwayat al Bukhari Jil2:ms86 dan Muslim no:1397 ).
Ramai pembaca hadith ini hanya memberi tumpuan kepada kelebihan dua masjid yang pertama sahaja. Disangkanya bahawa kelebihan Masjid Aqsa tiada ruang untuk mengamalkannya di masakini. Maka segala kesungguhan persiapan hanya untuk ke Mekah atau Madinah melaksanakan haji atau umrah. Mereka lupa bahawa sebenarnya bekalan lebih besar diperlukan untuk persiapan ke bumi Palestin. Di sana tiada haji dan umrah, tetapi ada jihad dan murabathah ( pertahankan tanah suci Islam ).
Maka hadith ini masih segar isi kandungannya. Semoga segala usaha untuk menyampaikan bantuan ke sana masih lagi lagi dalam lingkungan fadhilat hadith ini. Tidak sekali-kali terpisah kehebatan dua majid ini, Masjid Aqsa dan Masjid Haram sejak ia mula dibina sebagai masjid pertama dan ke dua terawal.
Dari Abu Zar: Aku bertanyakan Rasulullah saw, apakah masjid pertama yang dibina di bumi ini? Baginda saw menjawab: Masjid Haram. Aku bertanya lagi, kemudian masjid apa? Baginda saw menjawab: Masjid Aqsa. Aku bertanya: Berapa jarak anatara ke duanya? Baginda saw menjawab : 40 tahun.
( Hadith riwayat al Bukhari Jil.4,ms.177, Muslim no:520 ).
Ibnu al-Jawzi dalam karyanya Fadha'il al Quds meriwayatkan satu athar dari Aishah ra : Mekah adalah negeri agung dimuliakan Allah swt dan ditinggikan kehormatannya sebelum Allah swt mencipta mana-mana bumi selama seribu tahun. Kemudian dia menyambungnya dengan bumi Madinah dan dari Madinah pula disambung ke bumi Baitul Maqdis. Selepas seribu tahun baru Allah swt menjadi bumi ini satu ciptaan.
Demikian bumi al Quds bersatu dan bersambung dengan tanah haram Mekah dan Madinah sejak awal ciptaan dan tidak ada masa ia boleh terputus. 
Nabi saw yang lidahnya menyebut tentang kelebihan mengunjungi Masjid Aqsa kepada umatnya adalah manusia yang paling faham bahawa bumi al Quds ini tidak akan bertahan aman damai selamanya.
Sebaliknya baginda saw sendiri menbayangkan bahawa tanah Palestin akan terus bergolak dan mala petaka bertubi-tubi menimpa sebagai petanda akhir zaman dan hampirnya kiamat.
Dari Abdullah bin Hawalah al Azdi katanya: Rasulullah saw meletak tangannya di atas kepalaku dan berkata: Wahai Ibn Hawalah! Apabila engkau melihat khilafah telah sampai ke Baitul Maqdis, maka sebenarnya hampir tibalah gempa bumi, mala petaka dan pergolakan besar. Kiamat ketika itu sangat hampir dengan manusia lebih hampir dari tanganku dengan kepalamu.
( Hadith riwayat Ahmad Jil5:ms288 dan Abu Dawud no:2535 ).
     
Pergerakan pembebasan Kota al Quds bermula dengan peperangan Mu'tah, perutusan tentera Usamah bin Zaid dan peperangan Yarmouk yang menyaksikan kemenangan Islam mengalahkan tentera Romawi. Pada bulan Rabiul Awwal tahun 15 hijriah, Saidina Umar  bin al Khattab ra menerima anak kunci Kota al Quds dan mementerai perjanjian yang dikenali sebagai al Uhdah al Umariyyah.
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha penyayang;
Inilah apa yang telah diberikan hamba Allah Umar, Amirul Mukminin keamanan kepada penduduk Iliya'. Dia (Allah) telah memberikan keamanan untuk diri mereka, harta benda mereka, gereja-gereja mereka dan rumah-rumah ibadah mereka samaada yang elok atau rosak dan kepada seluruh penganut bahawa tidak sekali-kali gereja-gereja mereka dihuni (rampas) dan tidak sekali-kali dimusnahkan dan sekali-kali dilakukan kekerasan terhadap mereka samaada pada tubuh badan atau harta benda. Mereka sekali-kali tidak dipaksa untuk meninggalkan agama mereka dan tidak sekali orang Yahudi menghuni bersama mereka di Iliya'".
Menjadi kewajipan ke atas penduduk Iliya' untuk membayar jizyah sebagaimana ahli agama lain membayarnya. Menjadi kemestian ke atas mereka untuk mengeluarkan orang Rom dan perompak, maka sesiapa dari kalangan mereka yang keluar maka dia dan hartanya selamat sehinggalah dia sampai ke tempat perlindungannya. Sesiapa dari kalangan mereka mahu kekal maka dia selamat tetapi mestilah dia membayar jizyah sebagaimana yang dilakukan oleh penduduk Iliya'".
Sesiapa dari kalangan penduduk Iliya' yang mahu pergi dengan hartanya bersama-sama orang Rom maka mereka selamat sehinggalah mereka sampai ke tempat perlindungan. Sesiapa dari kalangan penduduk bumi ini yang mahu kekal maka hendaklah dia membayar jizyah sebagaimana penduduk Iliya' dan sesiapa yang mahu berada di bawah Rom dan sesiapa yang mahu kembali kepada keluarganya tidak diambil daripada mereka sesuatu pun sehinggalah mereka menuai tanaman mereka. Sesungguhnya apa yang ada di atas tulisan ini adalah janji yang bertunjang kepada Allah, Rasul dan para Khulafa' dan orang-orang Mukmin jika mereka membayar jizyah yang diwajibkan ke atas mereka.

Antara isi kandung terpenting perjanjian aman dengan penduduk kristian di Kota al Quds ( Jurusalem atau Iliya' ) ialah tidak membenarkan pedudukan Yahudi di kota ini. Sedangkan bangsa Yahudi tidaklah menimbulkan apa-apa permaslahan ketika itu. Ia hanya ilham dan pandangan jauh Saidina Umar tentang masa depan dan nasib kota ini jika diduduki sama oleh bangsa Yahudi.
Pembaca al Quran akan meneliti di awalan surah al Isra' bagaimana gambaran sengitnya pertarungan antara umat Islam dan Yahudi bangsa terlaknat ini berlaku di bumi Isra' Rasulullah saw itu. Antara lainnya Allah swt menyebut;
[4] Dan Kami menyatakan kepada Bani Israil dalam Kitab itu: “Sesungguhnya kamu akan melakukan kerosakan di bumi (Palestin) dua kali, dan sesungguhnya kamu akan berlaku sombong angkuh dengan melampau.
[5] Maka apabila sampai masa janji (membalas kederhakaan kamu) kali yang pertama dari dua (kederhakaan) itu, Kami datangkan kepada kamu hamba-hamba Kami yang kuat gagah dan amat ganas serangannya lalu mereka menjelajah di segala ceruk rantau (membunuh dan membinasakan kamu); dan (sebenarnya peristiwa itu) adalah satu janji yang tetap berlaku.

[6] Kemudian (setelah kamu bertaubat), Kami kembalikan kepada kamu kekuasaan untuk mengalahkan mereka, dan Kami beri kepada kamu dengan banyaknya harta kekayaan dan anak pinak, serta Kami jadikan kamu kaum yang lebih ramai pasukannya.

[7] Jika kamu berbuat kebaikan, (maka faedah) kebaikan yang kamu lakukan adalah untuk diri kamu; dan jika kamu berbuat kejahatan, maka (kesannya yang buruk) berbalik kepada diri kamu juga. Oleh itu, apabila sampai masa janji (membalas perbuatan derhaka kamu) kali kedua, (Kami datangkan musuh-musuh kamu) untuk memuramkan muka kamu (dengan penghinaan dan keganasannya); dan untuk memasuki masjid (BaitulMaqdis) sebagaimana mereka telah memasukinya pada kali yang pertama; dan untuk menghancurkan apa sahaja yang mereka telah kuasai, dengan sehancur-hancurnya.

[8] Mudah-mudahan Tuhan kamu akan mengasihani kamu (kalau kamu bertaubat); dan jika kamu kembali (menderhaka), maka Kami pula akan kembali (menyeksa kamu di dunia); dan kami telah jadikan neraka: penjara bagi orang-orang kafir (pada hari akhirat).
                 Surah al Isra' : 4-8.
Ternyata sekali bahawa pertarungan yang berlaku di Palestin bukanlah fenomena baru. Sejarahnya telah lama terakam di dalam al Quran. Ia bermula dengan hukuman Allah kepada Yahudi yang melanggar kehormatan Baitul Maqdis dan melakukan kerosakan dan kedurjanaan di kota suci itu. Maka Allah swt mendatangkan bangsa penzalim yang lebih dahsyat dari mereka untuk menjajah dan menakluk serta mengazabkan mereka. Itu kemusnahan pertama Kota al Quds di tangan bala tentera Bukhtunusar melakukan pembunuhan dan penghapusan etnik yang terburuk.
Juga ditafsirkan bahawa janji kekalahan pertama mereka adalah dengan kemenangan tentera  umat Muhammad saw yang layak bergelar hamba-hamba Allah swt dan penjejak langkah hambanya Muhammad saw. Mereka juga benar-benar menguasai bandar-bandar besar dan menundukkan musuh dengan mudahnya.
Sementara janji kekalahan ke dua Yahudi, inilah yang menguji iman manusia kepada janji al Quran. Petanda-petanda kepada hampirnya terjadi janji kehancuran dan terakhir ini semakin menyerlah apabila mereka kembali pulang ke Palestin dengan penuh kesombongan dan keangkuhan setelah memiliki kekuasaan dan kekayaan. Mereka kembali untuk mengulangi perlakuan durjana dan kemusnahan di bumi suci ini. Setiap mereka mengulangi kejahatan dan Allah pula mengulangi hukumannya. Demikian teruknya layanan dan ketentuan Allah swt kepada bangsa terlaknat ini. Telah tetaplah untuk mereka taqdir keburukan; Akan jatuh melakukan maksiat dan akan jatuh menerima hukuman. Tiada layanan tuhan kepada mana-mana bangsa seburuk layanan tuhan kepada bangsa Yahudi.     

Janji kemenangan Islam di Palestin secara khusus bermula dengan janji kekal bertahannya sekumpulan pemberani berhadapan dengan musuh-musuh di pinggiran Baitil Maqdis.

Dari Abu Umamah al Bahili katanya: Rasulullah saw bersabda:  Terus berkekalan wujudnya sekumpulan dari umatku yang berterus terang dengan agama, gagah mengalahkan musuh dan tidak pula tergugat dengan penyanggah mereka. Tidak pula menimpa mereka sebarang kepayahan hidup sehinggalah datangnya urusan Allah.   
( Hadith riwayat Imam Ahmad dengan sanad dhaif. Asal pangkal hadith riwayat al Bukhari dan Muslim dari hadith mutawatir ).

Hadith ini melakarkan pertembungan di Palestin khasnya adalah antara tiga golongan iaitu;
1-      Golongan penegak kebenaran dengan berani.
2-      Musuh yang menentang mereka secara terangan.
3-      Golongan pembantah yang sentiasa membantutkan pergerakan golongan penegak kebenaran bertujuan melunturkan semangat dan melemahkan pendirian. 
Kumpulan ini digambar terpaksa berhadapan dengan kesempitan hidup dan kesakitan yang amat tetapi masih gagah bertahan sebagaimana pesanan Allah kepada pejuang terdahulu;
" Mereka (kaum Yahudi dan Nasrani) tidak sekali-kali akan membahayakan kamu, kecuali menyakiti (perasaan kamu dengan ejekan dan tuduhan yang tidak berasas). Dan jika mereka memerangi kamu, mereka akan berpaling lari membelakangkan kamu (kalah dengan sehina-hinanya); sesudah itu mereka tidak akan mencapai kemenangan ".
Surah ali Imran:111.
Dan juga firmannya:
" Dan kalau kamu sabar dan bertaqwa, (maka) tipu daya mereka tidak akan membahayakan kamu sedikitpun. Sesungguhnya Allah meliputi pengetahuanNya akan apa yang mereka lakukan."
Surah ali Imran:120.

Hadith yang paling sahih dan sarih ( nyata ) mengenai kisah pertembungan antara umat Islam dan Yahudi ialah jadith berikut;

Dari Abu Hurairah, sabda Rasulullah saw: Tidak berlaku kiamat sehinggalah kamu muslimin akan berperang dengan Yahudi. Mereka akan dibunuh oleh kaum muslimin sehingga si yahudi terpaksa bersembunyi di belakang batu dan kayu. Sehingga bertuturnya batu dan kayu berkata: Hai si muslim ! Hai Abdullah ( Hamba Allah ) ! Ini si Yahudi di belakangku datang bunuhlah dia. Kecuali pohon Gharqad kerana ianya pohon Yahudi.
( Hadith riwayat al Bukhari Jil.4 ms.51 dan Muslim no.2922 ).

Demikianlah hadith ini memperincikan kisah pertarungan terakhir antara muslimin dan yahudi. Ia adalah berita qadar yang amat memberansangkan. Cuma bukanlah kita hanya berpeluk tubuh menunggu saat ini. Tentu sekali sikap ini adah kefahaman terburuk bagi maksud hadith ini. Sebaliknya kita diberi ransangan untuk menyertai jihad di Palestin untuk mendapat kelebihan dan kemuliaan yang dijanjikan. Walaupun kita tahu di tangan siapakah panji kemenangan akan tercapai.
Sungguh menarik apabila panggilan "Hai muslim!" dan "Hai Abdullah!" yang menjadi laungan batu dan pepohon. Ini dua sifat umum yang melampaui batas sempadan darah dan keturunan, warganegara dan bahasa pertuturan. Asalkan islam ( menyerah diri dan tunduk kepada Allah ) dan ubudiyyah (memperhambakan diri kepada Allah ), maka mereka bertanggungjawab untuk membebaskan Palestin dan menghapuskan kedurjanaan yahudi. Maka sesiapa sahaja yang berkerja untuk Islam di mana jua, semestinya memberi saham kepada pembebasan Palestin. Sesiapa yang diberi taufiq tuhan untuk memperhambakan diri kepada Allah di mana jua, maka dia sebenarnya terpilih untuk menjadi tentera pembebasan Palestin.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan