Sabtu, 13 Ogos 2011

PEMBUKAAN KOTA MEKAH : RAMADHAN 8 HIJRAH


SEBAB TERCETUSNYA PEPERANGAN

Semasa peristiwa al-Hudaibiah, di antara syarat perjanjian ialah: “ Sesiapa yang ingin menyertai Muhammad dan bersekutu dengannya, beliau berhak berbuat demikian dan sesiapa yang ingin berpihak dengan Quraisy dan bersekutu dengannya beliau berhak berbuat demikian. Mana-mana qabilah yang bersekutu dengan mana-mana kem maka ianya dianggap sebagai sebahagian dari kem itu, mana-mana pelanggaran ke atas qabilah yang menyertai kem-kem tadi adalah dianggap sebagai pelanggaran ke atas kem secara langsung.”

Berdasarkan syarat ini maka Khuza’ah telah bersekutu dengan Rasulullah, manakala Banu Bakar pula menyertai Quraisy, dengan itu kedua-dua qabilah ini menikmati keamanan dan kesejahteraan, sedang sebelum ini kedua-duanya saling bermusuhan dan saling menuntut bela dan membalas dendam yang diwarisi sejak zaman jahiliah lagi. Namun Banu Bakar masih tetap hendak membalas dendam kesumat lamanya, di mana Naufal bin Muawiyah al-Daily bersama jemaahnya banu Bakar telah keluar di Bulan Syaaban tahun kelapan (8) Hijrah, lantas menyerang Khuza’ah di malam hari, sedang di masa itu mereka sedang berada di kawasan berair yang dikenali sebagai “al-Watir” dalam kejadian berkenaan Banu Bakar telah berjaya membunuh orang-orang Khuza’ah dan sebagai lanjutan terjadilah pertarungan dan peperangan di antara keduanya dan seterusnya Quraisy menghulur bantuan senjata kepada sekutunya banu Bakar, malah beberapa tokoh Quraisy telah turut serta di dalam peperangan berkenaan berselindung di sebalik kegelapan malam, hingga mereka dapat membawa Khuza’ah ke dalam kawasan al-Haram Makkah.

Oleh yang demikian maka berkatalah Banu Bakar:

“Wahai Naufal! sekarang kita telah memasuki kawasan al-Haram ingatlah, Tuhan kau, Tuhan kau, lantas al-Khuza’ah menjawab: Wahai Bakar tiada Tuhan di hari ini, kamu sudah pun membalas dendam kesumat kamu itu, ku bersumpah, sebenarnya kamu telah melakukan pencabulan di kawasan al-Haram ini, tidakkah di sini sudah terbayar dendam kamu itu?

Setelah Khuzaah melangkah masuk ke kawasan Makkah mereka terus mendapat perlindungan di rumah Budail bin Warqa’ al-Khuza’i dan rumah kawan setia mereka yang dikenali sebagai Rafie’. Amru bin Salim al-Khuza’i terus meluru ke Madinah menemui Rasulullah. Sesampainya beliau di sana, beliau pun mempersembahkan kepada Rasul hasratnya melalui madahnya, sedang pada masa itu Rasulullah sedang duduk berbual di dalam masjid bersama-sama kaum muslimin.

Amru pun bermadah:

Duhai Tuhan ku merayu Muhammad

Sekutu kita dan bapanya yang tertua

Semasa kamu kanak-kanak dan kami bapa

Tangan erat bergenggaman

Bantulah sepenuh pertolongan

Serulah penyembah Allah menghulur bantuan

Pada mereka Rasul mulia

Semulia bulan purnama mengambang

Pabila marah mukanya bergelora

Dibelakangnya tentera seramai samudera

Mengajar Quraisy mengkhianati setia

Mengucap janji merubah kata

Di Kada’ kami dibelasah

Kerana menyangka tiada pembela

Mereka terhina, terkecil angka

Namun dendam mereka menuntut

kami dibunuh dalam keadaan ruku’ sujud.

Rasulullah terus menjawab: Kau dibela wahai Amru, kemudian Baginda diperlihatkan awan mendung merintangi langit, maka katanya lagi: Awan berarak itu, pembuka pertolongan kepada Banu Kaab.

Tidak berapa lama kemudian tiba pula Budail bin Warqa’ al-Khuza’i bersama beberapa orang dari Khuza’ah, di mana mereka menemui Rasulullah melaporkan bilangan qurban peristiwa yang nahas itu dan penyertaan langsung oleh Quraisy membantu Banu Bakar, kemudian mereka pun pulang semula ke Makkah.

ABU SUFIAN KE MADINAH UNTUK MEMBAHARUI PERJANJIAN

Tidak syak lagi Quraisy dengan tindakannya bersama-sama dengan sekutunya itu merupakan pencerobohan kepada perjanjian dan pengkhianatan terang-terangan kepada perdamaian yang dimeterai bersama itu, tanpa alasan yang boleh dimaafkan, kini Quraisy sudah pun menyedari kesalahan yang mereka lakukan itu, sekaligus merasai buruk padah dari tindakannya di luar batasan, dengan itu mereka memanggil permesyuaratan untuk sidang tergempar. Keputusannya menghantar pimpinan mereka Abu Sufian pada masa itu, untuk ke Madinah buat memperbaharui perdamaian.

Rasulullah (s.a.w) memberitahu kepada sekalian sahabatnya apa yang akan dilakukan oleh Quraisy dalam usaha mengatasi pengkhianatan mereka itu dengan sabdanya:

Kamu akan didatangi Abu Sufian untuk mengemaskan perjanjian al-Hudaibiah itu, malah memohon untuk dilanjutkan lagi tempohnya. Abu Sufian terus bergerak ke Madinah sebagaimana keputusan yang mereka persetujui, beliau bertemu dengan Budail bin Warqa’ dalam perjalanan pulang dari Madinah ke Makkah. Abu Sufian terus bertanya Budail: Kamu ini dari mana? Abu Sufian mengesyaki yang beliau ini datang menemui Rasulullah (s.a.w). Jawab Budail: Aku bersiar-siar dengan Khuza’ah di sekitar pantai tadi dan di sekeliling lembah-lembah ini. Tanya Abu Sufian yang penuh meragui: Bukankah kamu datang menemui Muhammad ? Kata beliau: Tidaklah. Setelah Budail berlepas ke Makkah, Abu Sufian berkata kepada teman yang mengiringiriya: Kalaulah Budail ini datang dari Madinah pasti tunggangannya memakan makanannya (‘alaf) yang mengandungi biji-biji al-Madinah, dengan itu beliau terus ke tempat najis unta dipecahkannya, memang beliau dapati bijian al-Madinah di dalam kandungan najis, maka kata Abu Sufian: Aku bersumpah demi Allah, Budail telah menemui Muhammad.

Walau macam mana pun Abu Sufian terus ke Madinah, pertama beliau datang menemui anak perempuannya, Ummu Habibah, setibanya di hadapan Ummu Habibah beliau pun mengayakan diri untuk duduk di atas hamparan Rasulullah (s.a.w), apa lagi Ummu Habibah pun menggulung hamparan tadi, maka kata Abu Sufian: “Kenapa wahai anakku apakah kau membencikan daku?” Maka jawab Ummu al-Mukminin: “Itu adalah hamparan Rasulullah, kau ini musyrik najis”. Jawab Abu Sufian: “Selepas kau berpisah dari ku, kau telah terkena sihir”.

Dengan itu beliau keluar dari situ, dan terus menemui Rasulullah (s.a.w), Abu Sufian menegur Baginda, tetapi Rasulullah tidak menjawab sepatah apa bun, kemudian beliau menemui Abu Ba-kar, meminta jasa baik beliau untuk menyampai hasratnya kepada Rasulullah (s.a.w) tapi jawab Abu Bakar: “Aku tidak boleh berbuat apa pun”, lantas beliau pergi menemui Umar dan beliau meminta Umar menolongnya dalam hal ini, maka jawab Umar: “Apakah aku ini yang akan menjadi orang tengah untuk kamu? Demi Allah, kalaulah aku tidak mempunyai apa pun selain debu-debu, namun dengannya pun cukup untuk ku tentangi kamu, pasti aku lakukan”, kemudian beliau datang menemui Ali bin Abi Talib di masa itu Fatimah sedang duduk di sampingnya, manakala anaknya Hasan sedang merangkak di hadapannya, kata Abu Sufian: “Wahai Ali, sebenarnya kaulah orang paling mengasihi daku, di hari ini aku datang memerlukan pertolonganmu, janganlah membiarkan daku pulang dengan hampa sahaja, daku memerlukan kau menjadi orang tengah, untuk menyampaikan hasrat ku kepada Muhammad”, kata Ali pula: “Bangsat kau Abu Sufian, sebenarnya Rasulullah sudah berazam hendak melakukan sesuatu di mana kami tidak berhak untuk berbicara dengannya” lalu beliau berpaling ke arah Fatimah dengan berkata: “Boleh tak engkau menyuruh anak engkau ini melindungi manusia ramai, maka dengan itu beliau akan menjadi penghulu seluruh bangsa Arab hingga ke akhir zaman?” Jawab Fatimah: “Demi Allah mana boleh anak ku ini berbuat demikian, malah tiada siapa yang boleh menghalang Rasulullah (s.a.w) dari bertindak”.

Di masa itu Abu Sufian terasa dunia menjadi gelap dan berkata kepada Ali bin Abi Talib dalam keadaan serba kebingungan dan putus asa: “Wahai Abu al-Hasan, aku mendapati keadaan semakin meruncing, cuba kau nasihatkan daku”. Jawab Ali: “Demi Allah, aku tak tahulah apa nasihat yang baik untuk kau, kerana kau sendiri adalah pemimpin Banu Kinanah, ayuh pergilah pinta perlindungan dari orang ramai, kemudian pulanglah ke tanah airmu”. Tanya Abu Sufian: “Apakah itu boleh memberi sesuatu yang baik untuk ku?” Jawab Ali: “Demi Allah, aku tidak menyangka demikian, cuma aku tidak ada nasihat selain dari itu”. Lantas Abu Sufian pun beredar dari situ menuju ke masjid, di sana beliau melaung: “Wahai kalian, daku memohon perlindungan kalian, kemudian dia terus memecut untanya dan beredar.

Setibanya di pangkuan Quraisy, beliau terus disoal dengan kata mereka: “Apa yang kau capai”. Jawab beliau: “Ku menemui Muhammad untuk berbicara dengannya, demi Allah tak sepatah yang dijawabnya, setelah itu aku menemui Ibnu Abi Quhafah, beliau pun sama, tidak suatu pun yang ku perolehi, kemudian terus kepada Umar Ibni al-Khattab: Ku dapati beliau musuh yang rendah profail, kemudian ku temui Ali Ibni Abi Talib, beliau adalah yang terlembut di antara kesemua, beliau telah menasihati ku melakukan sesuatu, namun demikian aku pun tak pasti apakah pendapatnya itu boleh memberi sesuatu kebaikan?” Tanya mereka: “Apakah nasihat beliau kepada kamu?” Kata Abu Sufian: “Beliau menyuruh aku meminta perlindungan dari orang ramai, maka aku pun buatlah seperti yang beliau syorkan itu”. Tanya hadirin: “Apakah Muhammad telah mempersetujuinya?” Jawab Abu Sufian: “Tidak”. Kata hadirin: “Celaka kau, penasihat kau itu tak lebih dari menambahkan cemuhan orang terhadap kau”. Jawab Abu Sufian: “Tidak! Demi Allah sebenarnya aku tak ada pilihan kecuali itu sahaja”.

PERSIAPAN UNTUK PEPERANGAN DAN IKHTIAR MERAHSIAKANNYA

Satu petikan dari riwayat al-Tabrani mengatakan bahawa Rasulullah telah mengarah Aisyah (r.a) mempersiapkan kelengkapan dan peralatan, iaitu tiga hari lebih awal, sebelum Rasulullah menerima berita pelanggaran terhadap perjanjian perdamaian. Persiapan Rasulullah ini tak siapa pun mengetahuinya, cuma di suatu hari Abu Bakar telah datang menemui anaknya dengan bertanya: “Anakku! Apa semua persiapan ini?” Jawab Aisyah: “Demi Allah! Saya pun tidak tahu”. Kata Abu Bakar: “Demi Allah, sebenarnya ini bukan masa untuk memerangi bangsa kulit kuning itu (yakni Roman), ke mana Rasulullah hendak tuju agaknya?” Jawab Aisyah: “Entahlah, demi Allah saya kurang pasti”. Di subuh hari selepas persiapan itu, tibalah Amru bin Salim al-Khuza’i bersama dengan empat puluh (40) penunggang kenderaan, Amru terus berbicara dengan Rasulullah melalui madahnya, seperti yang kita sebutkan sebelum ini. Sekalian yang mendengarnya pun mengetahui peristiwa pelanggaran perjanjian. Selepas itu disusuli pula dengan kedatangan Abu Sufian, dengan itu sahihiah peristiwa berkenaan, Rasulullah mengarah mereka supaya bersiap sedia tanpa berahsia lagi, Rasulullah memberitahu mengenai pergerakannya ke Makkah, namun beritanya tetap dirahsiakan dan ditutup rapat dengan sabdanya: Rahsiakan berita ini agar tidak sampai ke pengetahuan Quraisy supaya dapat kita gempur dan kejutkan mereka dengan kedatangan kita ke sana secara mendadak.

Sebagai usaha menutup dan mengaburkan tindakan Baginda, Rasulullah mengutus satu unit sariyah yang terdiri lapan orang di bawah pimpinan Abu Qutadah bin Rabie’ ke daerah kediaman Adham yang terletak di antara Zi al-Khasyab dan Zi al-Maruah, kira-kira sejauh tiga “Barad” dari al-Madinah. Kira-kira di awal bulan Ramadhan tahun kelapan (8) Hijrah, supaya disangka orang bahawa Rasulullah akan menuju ke sana, dan sebagai cara buat merahsiakan pergerakan yang sebenar, sariyah ini terus berjalan hinggalah sampai berita kemaraan Rasulullah ke Makkah, maka sariyah ini mengalih arahannya hingga bertemu dengan Rasulullah.

Di dalam suasana yang kritikal itu, seorang sahabat bernama Hatib bin Abi Baltaah telah mengutus risalah ke Makkah buat menceritakan pergerakan Rasulullah ke sana, beliau mengupah seorang perempuan untuk membawa risalah berkenaan. Beliau bertindak menyorok risalah berkenaan di dalam sanggulnya. Di masa itu Allah memberi tahu RasulullahNya tentang tindakan Hatib itu lantas Rasulullah mengutus Ali dan Miqdad dengan sabdanya: Ayuh kamu berdua ke sana hingga ke tempat bernama “Raudhah Khakh” kerana di sana ada seorang perempuan ya.ng membawa risalah untuk Qm-aisy. Mereka berdua terus bergerak ke sana, hingga sampai ke tempat seperti yang disebut oleh Rasulullah, setelah berhadapan dengan perempuan yang disebutkan itu, mereka meminta perempuan berkenaan turun dari kenderaannya dengan berkata: “Kamu membawa risalah?” Jawab perempuan itu: “Aku tidak ada sebarang .risalah pun”. Ali dan Miqdad pun memeriksa kenderaannya dan tidak didapati sebarang apa pun; kemudian kata Ali: “Aku bersumpah dengan nama Allah, masakan Rasulullah berdusta dan membohongi kita, demi Allah kau mesti serahkan surat itu atau kalau tidak kami telanjangkan kau”.

Setelah beliau melihat kesungguhan Ali maka katanya: “Ayuh berpaling dari sini”, setelah beliau berpaling, perempuan itu pun merungkai sanggulnya dan dikeluarkan risalah berkenaan, serta diserahkan kepada Ali, dengan itu mereka berdua kembali membawanya kepada Rasulullah.

Baginda mendapati surat berkenaan, bunyinya: (Dari Hatib bin Abi Baltaah ke hadapan Quraisy) memaklumkan mereka mengenai pergerakan Rasulullah, maka Rasulullah pun menjemput Hatib dengan bertanya: “Apakah motifnya yang membawa kamu menulis risalah kepada Quraisy?” Jawab Hatib: “Wahai Rasulullah janganlah segera menghukum ke atasku. Demi Allah daku ini tetap beiiman dengan Allah dan RasulNya, tidak sekali pun aku murtad atau menukar agama, tetapi daku ini seorang lelaki yang terikat dengan Quraisy namun bukanlah sebahagian dari mereka, cuma anak dan keluargaku sahaja berada di sana, malahan daku tidak ada sebarang ikatan kekeluargaan di sana yang boleh menjaga keselamatan di antara satu sama lain, maka di sini ku sukalah sebagai mengganti kekurangan ku tadi dengan menjadikan mereka sebagai pihak yang boleh menjaga keselamatan anak-anakku di sana.

Kata Umar: “Wahai Rasulullah serahkan sahaja si munafiq ini untuk ku penggal lehernya, orang ini sudahpun mengkhianati Allah dan RasulNya. Dia sudah menjadi munafiq.” Jawab Rasulullah: “Beliau ini adalah peserta peperangan Badar, mana tahu, boleh jadi Allah telah membuka sesuatu kepada tentera Badar. Kemudian Rasulullah bersabda: Lakukanlah apa yang hendak kamu lakukan, sebenarnya aku mengampuni kamu. Di masa itu air mata beliau mengalir dipipinya dan berkata: Sesungguhnya Allah lebih mengetahui.

Demikian kehendak Allah untuk menjaga supaya tidak ada sebarang berita mengenai persiapan dan pergerakan kaum muslimin yang sampai ke pengetahuan Quraisy.

PERGERAKAN TENTERA ISLAM KE ARAH MAKKAH

Sepuluh hari terakhir bulan Ramadhan tahun lapan (8) Hijrah Rasulullah pun bergerak keluar dari al-Madinah menuju ke Makkah dengan bala tentera seramai sepuluh ribu orang yang kesemuanya dari kalangan para sahabat. Baginda melantik Abu Rahm al-Ghaffari sebagai Amir di Madinah.

Semasa Baginda di al-Juhfah atau selepasnya, Baginda telah bertemu dengan bapa saudaranya al-Abbas bin Abdul al-Mutalib yang telah keluar bersama-sama dengan anak keluarganya sebagai seorang muslim untuk berhijrah, dan semasa Baginda di “al-Abwa”‘ Rasulullah (s.a.w) bertemu dengan anak bapa saudaranya Abu Sufian bin al-Harith dan anak emak saudaranya Abdullah bin Abi Umaiyah, tetapi Rasulullah berpaling dari mereka berdua kerana sebelum ini mereka berdua merupakan di antara orang yang banyak menyakiti dan mencela Baginda, justeru itu maka kata Ummu Salamah kepadanya: “Kedua-dua anak saudara mu itu tidakkah lebih jahat dari orang lain”. Manakala Ali pula menasihati Abu Sufian bin al-Harith dengan katanya: “Ayuh kamu datang sahaja ke hadapan Rasulullah dan katakanlah seperti mana katanya saudara-saudaraYusof kepada adik mereka:

“Kata mereka: Demi Allah sebenarnya Allah telah mengutamakan engkau dari kami, dan kendatipun kami ini sesungguhnya bersalah”.

(Yusuf: 91)

Sesungguhnya Baginda tidak akan membiarkan seseorang yang lebih baik percakapannya. Abu Sufian pun mematuhi nasihat Ali, hingga membawa Rasulullah menjawab dengan katanya:

“Kamu di hari ini tidak akan ditempelak lagi, semoga Allah mengampunkan dosa kamu dan dialah Maha mengasihani dari segala pengasih.

(Yusuf: 92)

Dengan itu Abu Sufian mendendang beberapa rangkap syairnya:

Demi jiwa ketikaku membawa panji Mengatasi kuda al-Lata melawan Muhammad Bagaikan musafir kebingungan di malam nan gelap

Masa hidayat dah tiba. Kini ku ditunjuk Bukan diri ku yang menunjuk Malah orang yang ku buru dahulu Membawa daku ke penjuru hidayah.

Kemudian Rasulullah menepuk dadaku dengan sabdanya:

“Oh! rupanya kau yang memburuku dahulu”

TENTERA ISLAM SINGGAH DI MAR AL-ZAHRAN

Rasulullah meneruskan perjalanannya dalam keadaan berpuasa. Orang ramai pun turut berpuasa, hinggalah apabila Baginda sampai ke al-Kadid, kawasan air yang terletak di antara Asafan dan al-Kadid, Baginda membuka puasanya, maka sekalian tentera pun turut berbuka. Dari situ Baginda terus bergerak hingga sampai ke “Mar al-Zahran” dikenali juga sebagai Wadi Fatimah. Semasa Rasulullah singgah di situ, waktu sudah hampir isya’, di situ Rasulullah memerintah tentera berkhemah, mereka menyalakan api, kira-kira ribuan api yang dinyalakan. Rasulullah melantik Umar sebagai orang yang bertanggungjawab.

ABU SUFIAN DI HADAPAN RASULULLAH (S.A.W)

Sewaktu Rasulullah singgah di Mar al-Zahran, al-Abbas pun mengambil baghal Rasulullah yang bernama “al-Baydha” dan keluar mencari-cari kalau-kalau ada orang yang mencari kayu api atau siapa sahaja yang boleh memberitahu kepada Quraisy, supaya mereka keluar meminta perl.indungan dari Rasulullah sebelum Baginda masuk ke Makkah.

Sebenarnya Allah telah pun menggelapkan sebarang berita dari sampai ke pengetahuan Quraisy, namun dengan tindakan mereka itu menjadikan mereka ternanti-nanti dan keluh kesah. Abu Sufian sering keluar ke pinggiran Makkah memerhati kalau-kalau dapat memperolehi khabar selanjutnya, di suatu masa beliau keluar bersama Hakim bin Hazim dan Budail bin Warqa’ untuk mendapat berita mengenai al-Madinah.

Kata al-Abbas: “Demi Allah sesungguhnya semasa ku berjalan-jalan dengan menunggangi bighal Rasulullah itu, aku dengar suara Abu Sufian yang sedang berbual-bual dengan Budail dan berbincang-bincang, di mana Abu Sufian berkata kepada Budail: Aku tidak perhah melihat api yang dinyalakan dan khemah yang tertegak seperti malam ini. Maka jawab Budail: “Demi Allah ini adalah kerja Khuza’ah, yang telah dirangsangkan oleh peperangan dahulu”. Kata Abu Sufian pula: “Takkanlah ini ‘Khuza’ah, bilangan mereka kecil yang boleh diperlekeh, takkanlah semua itu api dan tenteranya.”

Kata al-Abbas: “Aku kenali suaranya itu, laluku berkata: Wahai Abu Hanzalah? Beliau pun segera mengenali suaraku, jawab beliau: Kamu Abu al-Fadhl? Jawab ku: Ya. Tanya beliau: Apa hal kamu? Ibu bapaku menjadi qurban demi kepentingan kau, kata ku: Itu dia Rasulullah bersama-sama orangnya, dibumi Allah esok pagi Baginda berhadapan dengan Quraisy.”

Kata Abu Sufian: “Demi Ibu-bapaku, apakah jalan penyelesaiannya?” Kata ku, Demi Allah! Kalau Baginda sempat menangkap kau, pasti Baginda pancung leher kau, Ayuh ikut belakang baghal ini supaya kita menemui Baginda untuk meminta perlindungan dan keamanan.” Dengan itu beliau pun ikut al-Abbas, sedang dua orang kawannya tadi beredar pulang ke Makkah.

Kata al-Abbas: “Ku pun bawa Abu Sufian, bila sahaja kami melalui salah satu unggunan api tentera-tentera Islam mereka bertanya: Siapa ini? Tapi bila mereka melihat baghal Rasulullah (s.a.w) yang ku tunggangi itu mereka berkata: Ayuh bapa saudara Rasulullah dengan baghal Baginda, tapi bila sahaja ku sampai keunggunan api Umar bin al-Khattab, beliau menyapa, katanya: “Siapa ini”, beliau segera bangun menuju ke arah ku, bila sahaja beliau ternampak Abu Sufian di belakang ku terus beliau berkata: “Abu Sufian, musuh Allah?” Al-Hamdulillah yang membolehkan kau memegangnya tanpa janji dan ikatan. Kemudian terus beliau pergi untuk menemui Rasulullah, Daku pun terus bergegas juga hingga dapat ku dahuluinya, ku pun segera menemui Rasulullah, dan Umar pun mengikut masuk dengan berkata: “Wahai Rasulullah (s.a.w) ini dia Abu Sufian, biar ku pancung kepalanya”, kemudian sampuk ku: “Wahai Rasulullah aku telah lindungi beliau ini, dengan itu aku pun duduk berhampiran Rasulullah sambil ku memegang kepalanya, dengan kata ku: Demi Allah, di malam ini tidak ada orang yang akan berbicara dengannya selain dari ku sendiri.” Oleh kerana Umar terlalu banyak sangat mempersoal Abu Sufian maka kata ku: “Bertenanglah wahai Umar! Demi Allah, kalaulah yang dipersoalkan ini salah seorang tokoh banu Adi bin Kaab takkan ku berkata demikian.” Dan jawab beliau: “Bertenanglah wahai Abbas, demi Allah! Islam mu ini lebih suka kepada ku dari Islam al-Khattab, kalau beliau Islam, bagi .ku tidak ada apa-apa perasaan, kerana memang ku tahu bahawa keislaman mu itu lebih sayang bagi Rasulullah (s.a.w) dari keislaman al-Khattab.”

Akhirnya, kata Rasulullah: “Abbas! Ayuh pergilah ke tempat haiwan tunggangan mu itu, tapi bila subuh menjelang nanti bawa beliau ini ke hadapan ku”. Ku pun beredar dari situ. Di pagi hari itu ku pun terus bawa Abu Sufian menemui Rasulullah. Sebaik sahaja Rasulullah melihat Abu Sufian terus Baginda berkata: “Bedebah kau Abu Sufian, masih belum sampaikah masanya lagi untuk kau kenali bahawa tiada Tuhan melainkan Allah?”. Jawab Abu Sufian: “Demi kaulah ibu ayahku, betapa mulianya kau ini, betapa berlapang hati kau dan betapa cinta perhubungan kau ini? kalaulah ku mempercayai bersamanya ada sekutu yang lain pasti ku restui manfaat darinya”.

Sabda Rasulullah lagi: “Bedebah kau Abu Sufian, masih belum sampai masanya lagi untuk kau kenali yang daku ini Rasul utusan Allah?”. Kata Abu Sufian: “Demi kaulah ibu bapaku! Betapa mulianya kau, betapa berlapang hati kau dan betapa cinta perhubungan kau ini! Adapun disaat ini, hatiku masih belum boleh minerima sepenuhnya. Maka kata al-Abbas: “Bedebah sungguhnya kau ini, ayuh segera Islam, dan ucaplah bahawa Tiada Tuhan melainkan Allah dan Muhammad itu Pesuruh Allah, sebelum leher kau dipancung”. Dengan itu beliau pun memeluk Islam dan mengucap ucapan kebenaran itu.

Kemudian kata al-Abbas pula: “Wahai Rasulullah, Abu Sufian ini jenis manusia suka berbangga, buatlah sesuatu untuk beliau”. Kata Rasulullah (s.a.w): “Ya, sesiapa yang berlindung di dalam rumah Abu Sufian beliau adalah selamat dan sesiapa masuk ke dalam rumahnya dan mengunci dari dalam maka beliau pun selamat dan sesiapa memasuki Baitullah al-Haram maka beliau ini pun selamat juga”.

TENTERA ISLAM MENINGGALKAN MAR AL-ZAHRAN MENUJU KE MAKKAH

Di pagi hari itu, iaitu pagi hari Rabu tanggal tujuh (7) Hijrah Rasulullah (s.a.w) bergerak meninggalkan Mar al- Zahran menuju ke Makkah dengan memerintah al-Abbas supaya membawa Abu Sufian ke segenting suatu lembah untuk memerhati pergerakan tentera Islam dari atas tebing cerun bukit. al-Abbas pun membawa Abu Sufian ke sana. Bila tiba di situ, terdapat satu qabilah dengan panji-panjinya lantas beliau bertanya: “Wahai Abbas itu siapa?” Maka jawab Abbas seperti katanya: “Itu Sulaim”, maka sampuk beliau: “Apa peduli aku dengan Sulaim”. Lepas itu berlalu pula qabilah yang lain, maka tanya Abu Sufian: “Siapa mereka itu?” Jawab al-Abbas: “Itu Muzainah”. Kata Abu Sufian: “Apa peduli aku dengan Muzainah”. Hingga selesai semua Qabilah berlalu di situ, maka semuanya disoal, kata Abu Sufian, kesemuanya beliau menjawab: Apa peduli aku dengan yang itu dan yang ini, hinggalah diakhirnya Rasulullah memintas dari situ dalam satu kontinjen yang serba hijau, padanya al-Muhajirin dan al-Ansar, pandangan tajam ke hadapan. Kata Abu Sufian: “Subhanallah, siapa mereka ini wahai al-Abbas?”. Jawab al-Abbas: “Yang itu Rasulullah bersama kaum Muhajirin dan Ansarnya. Maka kata Abu Sufian: “Tak seorang pun berdaya berhadapan dengan mereka ini. Dan sambungnya lagi: Demi Allah wahai Abu al-Fadhl, “kerajaan” anak saudara mu ini sudah menjadi besar di hari ini”. Kata al-Abbas: “Wahai Abu Sufian, itu adalah “kenabian”. Jawab beliau; Ya, itulah satu anugerah.

Panji al-Ansar dibawa oleh Saad bin Ubbadah, sebaik sahaja beliau melintasi di hadapan Abu Sufian maka kata beliau: “Hari ini hari pertarungan, hari dihalalkan di bumi haram ini, malah di hari Allah menghinakan Quraisy. Apabila Rasulullah tiba bertentangan dengan Abu Sufian, beliau bertanya: “Wahai Rasulullah (s.a.w) tidakkah kau dengar apa yang telah dituturkan oleh Saad tadi?”. Kata Rasulullah: “Apa katanya?” Jawab Abu Sufian: “Beliau kata begini-begini”. Maka kata Uthman dan Abd al-Rahman bin Auf: “Wahai Rasulullah, kita tak boleh harap, nanti berlaku pertarungan terhadap Quraisy. Maka jawab Rasulullah: “Malahan di hari inilah Kaabah diagungkan dan dengannya Allah memuliakan Quraisy”, Kemudian Rasulullah mengutus seorang sahabat kepada Saad untuk memindahkan panji yang di bawanya tadi ke tangan anaknya Qais, dengan itu bererti panji masih tidak terlepas dari Saad lagi, namun ada pendapat mengatakan berpindah ke tangan al-Zubair.

QURAISY MENCABAR KEMARAAN TENTERA ISLAM

Sewaktu Rasulullah melalui di hadapan Abu Sufian, al-Abbas berkata kepadanya; “Ayuh selamatkan kaum kau”. Abu Sufian pun bergegas pulang ke Makkah, sesampainya beliau ke Makkah, terus beliau melaung sehabis suaranya:

“Wahai kalian Quraisy, itu dia Muhammad telah datang dengan tenteranya yang belum pernah ku saksi sebelum ini, maka sesiapa yang berlindung di rumah Abu Sufian beliau adalah selamat”, lalu isterinya Hindun binti Utbah menuju ke arahnya lantas menarik misainya dan berkata: “Bunuh si gemuk gedempul yang tak berguna ini, hodoh sungguh pengawal peninjau ini”.

Kata Abu Sufian pula: “Binasalah kamu, di hari ini jangan kamu bersombong diri, kerana hari ini Baginda telah datang dengan bala tentera yang belum pernah dilihat seramai ini, Ayuh cepat, siapa yang berlindung di rumah Abu Sufian beliau adalah selamat”. Jawab orang-orang Quraisy: “Celaka engkau, apa yang boleh menyelamatkan kami sekiranya kami berada di dalam rumah mu ini?”. Sambung Abu Sufian: “Siapa yang masuk ke dalam rumahnya dan mengunci dari dalam, beliau juga terselamat dan sesiapa memasuki al-Masjid beliau juga selamat”. Dengan itu, orang ramai pun segera berpecah dan memasuki rumahnya dan al-Masjid, di samping mengumpulkan askar-askar biasa mereka dengan berkata: “Kita kedepankan mereka ini, tapi sekiranya berlaku sesuatu ke atas Quraisy maka kita akan bersama dengan mereka ini, sekiranya mereka terbunuh maka kita bayar sahaja apa yang mereka pinta dari kita”. Di suatu tempat segolongan Quraisy yang singkat pemikiran berkumpul dengan Ikrimah bin Abi Jahal, Sufwan bin Umaiyah dan Suhail bin Amru. Tempat itu dikenali sebagai al-Khandamah bertujuan memerangi kaum muslimin. Di antara mereka ada seorang dari qabilah Banu Bakar bernama Hamas bin Qais, beliau sebelum ini bertugas mengumpul senjata, di suatu hari pernah ditanya oleh isterinya: “Kenapa kamu menyediakan apa yang ku lihat ini?”. Jawab beliau: “Kesemua ini untuk Muhammad dan sahabat-sahabatnya”. Jawab isterinya: “Tak ada suatu pun yang boleh menghalang Muhammad dan sahabat-sahabatnya”. Maka kata Hamas: “Demi Allah, sebenarnya aku hendak membuat sesuatu yang baik untuk kau, lantas beliau bermadah:

Sekira mereka mara, tiada bagiku alasan

Ini dia senjata nan lengkap peralatan

Serampang ku pun bermata dua

Tangkas pula pukulannya

Beliau ini salah seorang yang berkumpul di al-Khandamah.

TENTERA ISLAM DI ZI TAWA

Rasulullah (s.a.w) telahpun bergerak hingga sampai ke “‘Zi Tawa”, semasa berjalan Rasulullah (s.a.w) sentiasa menunduk kepalanya merendah diri kepada Allah. Setelah melihat pemberian Allah kepadanya dengan kemenangan dan pembukaan Kota Makkah, terasa seakan janggutnya mencecah belakang tunggangannya. Semasa di “Zi Tawa” Rasulullah menyusun tenteranya, Baginda meletakkan Khalid bin al-Walid di sebelah kanan bersama-sama dengan beliau ialah Aslam, Salim, Ghaffar, Muzainah, Juhainah dan beberapa qabilah-qabilah Arab yang lain. Diarahnya Khalid supaya memasuki Makkah dari sebelah bawah, dengan pesanannya: “Kalau kamu dapati ada orang-orang Quraisy yang menghalang kamu, kamu boleh bunuh mereka, hinggalah kamu menemui daku di al-Safa”.

Al-Zubair bin al-Awwam diletakkan di sebelah kiri, bersama-sama beliau ialah Panji Rasulullah, beliau diarah supaya memasuki Makkah dari sebelah atas iaitu dari arah “Kada9, panji itu dipacakkan di al-Hajjun, beliau menunggu di situ hinggalah Rasulullah sampai.

Adapun Abu Ubaidah bin al-Jarrah memimpin tentera pejalan kaki yang tidak membawa peralatan perang, beliau di arah supaya mengambil jalan “Baton al-Wadi”, bergerak hingga bertemu dan berdepan dengan Rasulullah di Makkah.

TENTERA ISLAM MEMASUKI MAKKAH

Setiap pasukan tentera Islam yang dibahagikan itu mengambil laluan masing-masing yang telah diarah kepada mereka. Adapun Khalid dan sahabat-sahabatnya tetap menundukkan sesiapa sahaja yang menghalang, namun dua orang dari sahabatnya iaitu Kurz bin Jabir al-Fihri dan Khanis bin Khalid bin Rabi’ah telah terkeluar dari kumpulannya, di mana mereka telah mengambil jalan lain menyebabkan mereka dibunuh. Golongan Quraisy yang singkat pemikiran (al-Sufaha’) telali bertembung dengan Khalid bin al-Walid dan sahabat-sahabatnya di al-Khandamah. Justeru itu maka berlakulah satu pertarungan kecil hingga terbunuh dua belas (12) orang musyrikin dan berakhir dengan kekalahan Quraisy. Hamas bin Qais yang dahulunya menyediakan peralatan senjata buat melawan Rasulullah (s.a.w) telah melarikan diri ke dalam rumahnya dan meminta isterinya mengunci dari dalam. Hal ini menyebabkan isterinya kehairanan dan berkata: “Di mana kau ini? kan dahulu kamu telah berkata-kata dan bermadah”. Jawab Hamas:

Kiranya kau menyaksi medan Khandamah

Ketika larinya Safwan dan Ikrimah

Pedang muslim telah menyambut kami semua

memenggal setiap lengan dan kepala

Tidak kedengaran selain pukulan

di belakang kami masih terdengar tetakan

Pasti kau membisu tanpa celaan.

Khalid terus mara mengeledah penjuru Makkah, akhirnya beliau sampai ke hadapan Rasulullah di al-Safa. Manakala al-Zubair maju ke hadapan hingga sampai ke Al-Hajjun di tepi masjid al-Fatah beliau memacak panji Rasulullah (s.a.w), beliau tidak ke mana-mana hinggalah Rasulullah datang.

RASULULLAH MEMASUKI AL-MASJID AL-HARAM DAN MEMBERSIHKANNYA DARI BERHALA-BERHALA

Setelah itu Rasulullah pun bangun sedang kaum Muhajirin dan al-Ansar mengelilingi Baginda dan memasuki al-Masjid, terus Baginda ke Hajar al-Aswad dan menyentuhnya dengan tangan Baginda, kemudian terus bertawaf mengelilingi Kaabah, Baginda menjatuhkan berhala-hala sebanyak tiga ratus enam pulu(i (360) .itu dari atas Kaabah, dengan busar panah yang di tangannya sambil berkata:

“Kebenaran telah datang dan kebatilan menghilang, sesungguhnya kebatilan itu telah terpadam”

(al-Isra’: 81)

“Kebenaran telah datang dan kebatilan tiada lagi menjelang dan tiada pula ia berulang ”

(Saba’: 49)

Di masa yang sama berhala-hala pun jatuh dan tumbang, hancur berderai-derai. Rasulullah melakukan tawaf di sekeliling Kaabah dengan menunggang kenderaannya, di masa itu bertawaf dengan menunggang kenderaan belum diharamkan lagi di dalam syarak. Baginda hanya melakukan tawaf sahaja, apabila Baginda menyempurnakan bilangan tawaf, Rasulullah terus memanggil Uthman bin Talhah, Baginda mengambil anak kunci Kaabah darinya dan disuruh membuka pintu Kaabah. Apabila Baginda melangkah masuk Baginda mendapati di dalamnya gambar-gambar, di antaranya gambar Saidina Ibrahim dan Ismail (a.s) yang sedang bersumpah dengan berhala. Kata Rasulullah: “Allah memusnahkan mereka yang mengada-adakan semuanya ini? Demi Allah mereka tidak pun pernah bersumpah dengan berhala”. Kemudian Baginda terlihat ukiran kayu seekor burung merpati, terus Baginda memecahkannya, manakala gambar-gambar di dalam Kaabah diperintah supaya dipadamkannya.

RASULULLAH BERSOLAT DI DALAM KAABAH KEMUDIAN MEMBERI UCAPAN DI KHALAYAK QURAISY

Selepas itu Baginda Rasulullah (s.a.w) menutup pintu Kaabah sedang Baginda di dalam Kaabah bersama Usamah dan Bilal, di situ Baginda berdiri dengan membelakang pintu Kaabah, apabila Baginda melangkah ke depan dengan jarak tiga hasta Baginda berhenti di situ, jadi dua tiang sebelah kirinya dan satu tiang berada di sebelah kanan Baginda. Di belakang Baginda tiga tiang, kerana al-Haram di masa itu didirikan atas enam batang tiang. Baginda bersembahyang di situ, setelah Baginda berjalan-jalan di dalam Kaabah, bertakbir di setiap penjurunya, menyebut kalimah Tauhid, kemudian barulah Baginda membuka pintunya, di masa itu Quraisy sedang memenuhi ruang masjid secara bersaf menunggu apa yang hendak dilakukan oleh Rasulullah ke atas mereka. Rasulullah memegang lawang pintu Kaabah, sedang khalayak Quraisy menunggu di bawah, dengan sabdanya: “Tiada Tuhan melainkan Allah, tiada sekutu bagiNya, benar janjiNya, membantu hambaNya, mengalahkan golongan Ahzab sendiriNya, ingatlah setiap warisan lama, setiap warisan Jahiliah samada harta benda atau darah kesemuanya di bawah kakiku ini, kecuali penjaga Baitullah dan pemberi minum kepada Jemaah Haji. Ingatlah, pembunuhan secara tersalah adalah hampir seperti dengan tindakan secara sengaja dengan menggunakan cemeti dan rotan dendanya terlalu berat, iaitu seratus ekor unta, empat puluh darinya sedang sarat mengandung.

Wahai kalian Quraisy, sesungguhnya Allah telah pun melenyapkan dari kamu kesombongan jahiliah, sikap bermegahan dengan baka keturunan, sebenarnya manusia adalah dari Adam sedang Adam adalah dari tanah. Kemudian Baginda membaca ayat al-Quran:

“Wahai manusia sesungguhnya Kami ciptakan kamu sebagai lelaki dan perempuan, dan Kami ciptakan kamu berbangsa-bangsa berqabilah-qabilah untuk kamu berkenalan, sesungguhnya yang termulia dari kamu di sisi Allah ialah yang paling bertaqwa, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui Lagi Bijaksana ”

(al-Hujuraat: 13)

HARI INI KAMU TIDAK DITEMPELAK LAGI

Kemudian sambung Baginda dengan sabdanya:

“Wahai kalian Quraisy, apakah yang kamu fikirkan akan ku lakukan terhadap kamu semua?” Jawab mereka: “Tentulah baik, kerana saudara seorang yang mulia anak kepada saudara yang mulia”. Maka jawab Rasulullah: “Sesungguhnya aku berkata kepada kalian seperti Yusof telah berkata kepada saudara-saudaranya:

Tiada tempelak ke atas kamu di hari ini, Ayuh beredarlah, kamu semua bebas.

KUNCI KAABAH DIKEMBALIKAN SEMULA KEPADA PENJAGANYA

Selepas semuanya itu, Rasulullah (s.a.w) duduk semula di dalam al-Masjid, di mana Ali bin Abi Talib (r.a) bangun dan menemui Rasulullah sambil memegang kunci pintu Kaabah, dengan berkata: “Wahai Rasulullah, berilah tugas menjaga Kaabah dan tugas memberi minum kepada kami, semuga Allah memberi selawat ke atas engkau”. Tetapi di dalam riwayat yang lain yang mengemukakan permohonan itu ialah al-Abbas. Di sini Rasulullah bersabda: “Di mana Uthman bin Talhah?” Dengan itu dijemput Uthman bin Talhal ke hadapan Rasulullah dan Rasulullah berkata: “Ini dia kunci untuk engkau, hari ini adalah hari kebaikan dan tunai janji”. Mengikut riwayat Ibn Sa’d di dalam kitab bernama al-Tabaqat bahawa Baginda telah berkata kepada Uthman semasa penyerahan kunci itu dengan sabdanya: “Ambillah kunci ini untuk selama-lamanya, ianya tidak akan dirampas kecuali yang zaiim, sesungguhnya Allah telah meletakkan amanatnya ke atas kamu, dan makanlah segala sesuatu yang tersampai kepada kamu dari rumah Allah ini dengan ma’ ruf”.

BILAL AZAN ATAS KAABAH

Bila masuk sahaja waktu solat Rasulullah pun menyuruh Bilal (r.a) memanjat ke atas Kaabah untuk melaung azan dari atas sana, sedang di masa itu Abu Sufian bin Harab, Utab bin Usaiyed dan al-Harith bin Hisyam duduk di laman Kaabah, maka kata Utab: “Sesungguhnya Allah telah membiarkan Usaiyed untuk tidak mendengar laungan ini, kerana ianya boleh memberangkan beliau”, maka jawab al-Harith: “Demi Allah seandainya ku mengetahui ianya satu kebenaran dari dahulu lagi ku ikutinya”, sampuk Abu Sufian: “Demi Allah, aku tidak akan.membuat sebarang ulasan, kalaulah aku bercakap nescaya anak-anak batu ini akan menceritakan segalanya”. Di masa itu Rasulullah pun muncul di khalayak mereka dengan berkata: “Aku tahu apa yang kamu semua bercakap-cakap tadi”, maka terus Baginda menceritakan apa yang mereka perkatakan tadi. Kata al-Harith dan Utab: “Kami bersaksi tuan hamba adalah Pesuruh Allah. Demi Allah tiada siapa pun di sini yang boleh menuduh bahawa si fulan telah menceritakan kepada tuan hamba.

SOLAT PEMBUKAAN KAABAH ATAU SOLAT SYUKUR

Di hari itu Rasulullah masuk ke dalam rumah Ummu Hani binti Abi Talib, Baginda bersuci kemudian sembahyang lapan rakaat di dalam rumahnya, keifika itu adalah waktu dhuha, ada orang menyangka Rasululluh sembahyang dhuha:

yang sebenarnya Baginda bersolat kemenangan di atas pembukaan kota Makkah. Di masa itu Ummu Hani telah pun memberi perlindungan kepada dua orang mertuanya, maka kata Rasulullah: “Kami melindungi orang yang dilindungi oleh Ummu Hani”. Sebelum ini saudaranya Ali bin Abi Talib menuntut untuk membunuh m’breka berdua, namun beliau telah menutup pintu rumahnya, justeru itulah maka beliau bertanyakan Rasulullah dan Rasulullah pun memberi penegasan kepada beliau.

MENGHALAL DARAH BEBERAPA ORANG KEPALA PENJENAYAH

Di hari berkenaan Rasulullah menghalalkan darah sembilan orang kepala penjenayah Makkah, malah Rasulullah memerintahkan supaya dibunuh kesembilan-kesembilan mereka walau pun didapati mereka berpaut ditirai Kaabah, mereka ialah: Abd al-Uzza bin Khatal, Abdullah Ibni Abi Surah, Ikrimah bin Abi Jahal, al-Harith bin Nufail bin Wahab, Muqis bin Sababah, Habbar bin Aswad, dua orang penyanyi wanita milik Ibn Khatal, kedua mereka ini sering mencaci Rasulullah melalui nyanyian mereka dan Sarah hamba perempuan milik seorang Banu Abdul Muttalib, beliau inilah yang membawa risalah dari Hatib bin Abi Baltaah.

Ada pun Ibni Abi Surah, telah dibawa oleh Saidina Uthman k ehadapan Rasulullah, beliau menjadi orang tengah kepada Rasulullah, maka dengan itu terhindarlah nyawa beliau dari ancaman pembunuhan, malah Rasul telah menerima pengakuan Islamnya, di mana sebelum ini Baginda menangguh untuk menerimanya, dengan harapan akan terdapat di kalangan sahabat yang bertindak membunuhnya, kerana beliau sebelum ini sudah memeluk Islam dan turut berhijrah kemudian beliau murtad dan lari balik ke Makkah.

Ikrimah bin Abi Jahal telah melarikan diri ke negeri Yaman, namun isterinya telah berusaha mendapatkan perlindungan, maka Rasulullah pun memberi jaminannya, dengan itu beliau telah berusaha untuk mendapat kembali suaminya yang lari itu, setelah bertemu beliau turut pulang ke Makkah dan memeluk Islam akhirnya beliau menjadi seorang Islam yang baik.

Manakala Ibni Khatal didapati sedang bergantung di tirai Kaabah, hal beliau telah dilaporkan kepada Rasulullah, maka kata Baginda: “Bunuh sahaja”. Maka beliau pun terus dibunuh di situ. Adapun Muqais bin Sababah telah dibunuh oleh Namilah bin Abdullah, Muqais sebelum ini telah pun ‘ memeluk Islam, tiba-tiba berlaku peristiwa di mana Muqais telah menyerang seorang lelaki Ansar menyebabkan beliau membunuh lelaki Ansar, kemudian beliau murtad dan lari menyertai kaum musyrikin di Makkah.Al-Harith merupakan orang yang paling, menyakiti Rasulullah semasa di Makkah. Beliau telah dibunuh oleh Ali bin Abi Talib.

Habbar bin al-Aswad adalah orang yang menganggu Zainab binti Rasulullah di hari beliau hendak berhijrah menyebabkan beliau terjatuh ke atas ketulan batu hingga berlaku keguguran, namun di hari pembukaan beliau telah lari dari Makkah, kemudian beliau memeluk Islam dan menjadi orang baik.

Malah seorang dari dua orang penyanyi telah dibunuh, yang kedua telah diberi jaminan keselamatan, justeru itu beliau memeluk Islam, sebagaimana berlaku kepada Sarah yang juga turut memeluk Islam.

Kata ibnu Hajar: Abu Ma’syar telah menyebut tentang mereka yang telah diisytiharkan halal darah, mereka ialah al-Harith bin Talatil al-Khuzai’e beliau telah dibunuh oleh Ali. Al-Hakim menyebut bahawa di antara mereka yang dihalalkan darahnya ialah Kaab Zuhair, cerita mengenai beliau adalah cerita yang terkenal, akhirnya beliau memeluk Islam dan bermadah memuji Rasulullah.

Adapun perihal Wahsyi bin Harb dan Hind binti Utbah berakhir dengan memeluk Islam, manakala Arnab hamba perempuan Ibnu Khatal telah terbunuh, juga Ummu Saad sebagaimana yang diceritakan oleh Ibnu Ishak, dengan itu maka genaplah bilangan mereka yang dibunuh semasa pembukaan Makkah itu lapan orang lelaki dan enam perempuan. Berkemungkinan Arnab dan Ummu Saad itu adalah dua orang penyanyi, berlaku ikhtilaf pendapat mengenai kedua-dua nama mereka atau nama keduanya itu sebenarnya nama timangan atau gelaran.

SAFWAN BIN UMAIYAH DAN FUDHALAH BIN UMAR MEMELUK ISLAM

Safwan bin Umaiyah tidaklah merupakan di antara tokoh yang dihalalkan darahnya, namun sifatnya sebagai pemimpin besar di dalam masyarakat, membawa beliau mencurigai keselamatan dirinya sendiri, maka sebab itu beliau melarikan diri, dan beliau dipohon keamanan dari Rasulullah oleh Umair bin Wahab al-Jumahi: Rasulullah pun menerima permintaan Umair itu, sebagai tanda, Baginda memberikan beliau serbannya yang dipakai semasa memasuki kota Makkah.

Amir pun segera mendapatkan Safwan yang sedang hendak menaiki kapal layar yang akan bertolak ke negeri al-Yaman. Amir cepat-cepat memegang Safwan, dan memberi tahu kepadanya bahawa beliau telah meminta dari Rasulullah untuk memberi masa kepada beliau yakni Safwan selama dua bulan untuk beliau membuat keputusan, tetapi Rasulullah telah menjawab dengan sabdanya: “Aku beri empat bulan”. Maka dengan itu Safwan pun memeluk Islam. Sebenarnya isterinya sudah pun memeluk Islam terlebih dahulu darinya sebelum ini, dan Rasulullah telahpun memperakui dengan akad pertama mereka dahulu.

Fudhalah adalah seorang wira yang berani, beliau telah datang menghampiri Rasulullah semasa bertawaf dengan tujuan untuk membunuh Baginda. Tetapi Rasulullah’semasa berseiringan dengan Fudhalah, Baginda memberi tahu beliau tentang rancangan jahat beliau yang terpendam di dalam hatinya, menyebabkan beliau terus memeluk Islam.

PENYAMPAIAN RASULULLAH DI HARI KEDUA PEMBUKAAN MAKKAH

Pada keesokan hari Rasulullah tampil ke hadapan membuat satu penyampaian kepada khalayak ramai Makkah, setelah memuji dan bertahmid kepada Allah, Baginda bersabda: “Wahai manusia kalian, sesungguhnya Allah telah mengharamkan bumi Makkah sejak langit dan bumi ini dijadikan, maka ianya menjadi haram dengan pengharaman Allah itu, hinggalah ke hari qiamat, tidak halal bagi seseorang yang beriman dengan Allah dan hari akhirat untuk menumpah darah, atau mematahkan pokok-pokok, kiranya ada orang mempersoalkan peperangan yang dilakukan oleh Rasulullah, makajawab kepada mereka: Sebenarnya Allah telah pun mengizinkan kepada RasulNya sahaja dan tidak kepada kamu, itu pun diharuskan untuk ketika tertentu sahaja, nah kini pengharaman kembali semula seperti di hari kelmarin, oleh itu yang hadir di antara kamu berkewajipan menyampaikan kepada yang tidak hadir”.

Dalam satu riwayat yang lain: Tidak mematahkan sebarang durinya, tidak mengemparkan buruannya, tidak mengambil barangan tercicir kecuali orang yang mengenalinya, dan tanah lapangnya tidak boleh dibuang air (air kecil atau air besar). al-Abbas mencelah dengan katanya: “Wahai Rasulullah kecuali pokok al-Izkhir, kerana ianya untuk hamba-hamba dan rumah mereka”. Jawab Rasulullah: “Ya kecuali pokok al-Izkhir”.

Sebelum ini Khuza’ah telah membunuh seorang lelaki dari Banu Laith membalas dendam di atas pembunuhan seorang anggota qabilah mereka. Sehubungan dengan perkara ini maka Rasulullah bersabda: “Wahai kalian Khuza’ah, elaklah tangan kamu dari pembunuhan, sebenarnya pembunuhan terlalu banyak, walau pun itu boleh memberi manfaat, sebelum ini kamu telahpun membunuh mangsa kamu dan kini biarlah aku membayar pampasannya, tetapi sesiapa yang membunuh selepas pemberitahuan ku ini di sini, maka keluarganya di antara dua pilihan, sekiranya mereka mahu darah maka darah pembunuhannya, atau sekiranya mereka mahu tebusan maka pampasanlah hams dibayar”.

Dalam satu riwayat yang lain; Maka bangunlah seorang berketurunan al-Yaman yang dikenali sebagai “Abu Syah” menyeru: “Wahai Rasulullah! Tuliskanlah itu untukku”, maka kata Rasulullah: “Ayuh tuliskanlah untuk Abu Syah”.

KECURIGAAN AL-ANSAR DENGAN PERMUKIMAN RASULULLAH DI MAKKAH

Setelah selesai semua urusan mengenai pembukaan Makkah yang merupakan tanah air dan tanah tumpah darah Baginda, maka al-Ansar mencurigai sesuatu, dan mereka berbisik-bisik sesama mereka: “Apakah kamu berpendapat bahawa setelah mereka membantu Rasulullah hingga terbuka tanah airnya ini akan Baginda terus bermaustautin di sini?”. Sedang di ketika itu Baginda tengah menadah tangannya yang mulia itu berdoa restu di atas bukit al-Safa’, setelah selesai dari doanya itu terus Baginda bertanya: “Apa yang kamu cakap-cakapkan tadi?”. Jawab mereka: “Tidak ada apa-apa, wahai Rasulullah”. Baginda terus mendesak mereka mengenai apa yang mereka bisik-bisikkan itu, hinggalah mereka mencerita yang sebenar, maka segera Rasulullah menjawab dengan penegasannya: “Aku berlindung dengan Allah, sebenarnya penghidupanku adalah dipenghidupan kamu dan kematian ku adalah dipersada kematian kamu”.

AL-BAI’AH

Setelah berjayanya pembukaan Makkah dengan pertolongan Allah itu, maka tertampillah kebenaran Islam kepada penduduk Makkah dan mereka sudah pasti bahawa tiada jalan kepada kejayaan yang hakiki kecuali dengan al-I-slam, dengan itu maka mereka semua tunduk dan patuh kepada perintah-perintah Islam, mereka semua berkumpul untuk membuat pengakuan taat setie dalam satu program baiah di mana Rasulullah duduk di Bukit al-Safa dengan sekalian yang hadir manakala Umar Ibnu al-Khattab di bawah sedikit dari Rasulullah memerhati sesiapa yang hadir di situ, dengan itu semua yang datang ke situ masing-masing membuat baiah dengan Rasulullah sekadar yang terdaya mereka lakukan.

Di dalam kitab “Madarik al-Tafizil” menyebut seperti berikut: Diriwayatkan bahawa setelah Rasulullah selesai dari proses menerima baiah daripada kaum lelaki, Baginda meneruskan penerimaan baiah dari kaum wanita pula. Rasulullah duduk di bukit al-Safa’ sedang Umar bin al-Khattab duduk di samping Rasulullah membaiah mereka dengan perintah Rasulullah, juga menyampaikan kepada mereka segala sesuatu dari Baginda. Dalam keadaan begitu, Hind bind Utbah, isteri Abu Sufian pun datang ke hadapan Rasulullah dengan cara menyamar diri kerana takutkan Rasulullah mengetahui beliau, kerana beliau masih mengingati tindakannya terhadap Hamzah. Maka Rasulullah berkata: “Aku membaiahkan kamu untuk tidak mensyirikkan Allah dengan barang sesuatu pun”.

Tugas ini dilakukan oleh Umar, dan kata Rasulullah: “Dan jangan kamu mencuri”. Maka jawab Hind: “Sebenarnya Abu Sufian seorang yang bakhil, sekiranya aku ambil sedikit dari hartanya beliau akan terkilan”, maka kata Abu Sufian: “Apa yang engkau ambil itu halal”. Lalu Rasulullah (s.a.w) pun tersenyum kerana Baginda sudah mengenali beliau dengan katanya: “Engkau ini Hindun”?. Jawab beliau: “Ya wahai Rasulullah”. Katanya lagi: “Maafkanlah daku wahai nabi Allah”, maka Rasulullah pun memaafkan beliau. Kata Baginda: “Dan tidak berzina”. Kata Hindun: “Apakah seorang wanita yang merdeka wajar berzina?”. Jawab Rasulullah: “Dan tidak sekali-kali membunuh anak- anak mereka”. Kata Hindun pula: “Kami yang memeliharakan mereka sejak kecil lagi, dan kamulah yang membunuh mereka apabila dewasa, dan merekalah yang lebih mengetahui hal ini”. Kerana anaknya Hanzalah bin Abi Sufian telah terbunuh di dalam peperangan Badar, menyebabkan Umar ketawa hingga beliau terduduk, manakala Rasulullah tersenyum sahaja.

Kata Rasulullah lagi: “Dan tidak juga melakukan perkara-perkara sumbang”. Jawab Hindun: “Demi Allah kerja sumbang itu suatu yang hodoh dan jelek, sebenarnya apa yang Rasulullah perintahkan itu adalah suruhan-suruhan yang wajar lagi matang di samping suruhannya kepada akhlak-akhlak mulia”. Seterusnya kata Rasulullah (s.a.w): “Dan tidak sekali-kali membantah terhadap kerja-kerja makruf (kebaikan)”. Kata Hindun: “Demi Allah kami menghadiri perhimpunan sedang dalam hati kami tidak ada sedikit pun cebisan-cebisan penderhakaan”.

Semasa beliau pulang ke rumahnya terus beliau memecahkan berhala-halanya sambil berkata: “Kami tertipu dengan kau”.

2 ulasan: