Sabtu, 28 Januari 2012

Tahzib Sirah Nabawiyyah - al Imam an Nawawi ( 2 )

Penyusuan dan Penjagaan.

Baginda saw disusui oleh Thuwaibah hamba Abu Lahab selama beberapa hari. Kemudian oleh Halimah binti Abi Zuaib Abdullah bin al Harith as Sa’diyah. Diriwayatkan dia pernah berkata: Baginda saw membesar dalam tempoh sehari seperti bayi lain membesar sebulan. Baginda saw membesar sebagai anak yatim di bawah jagaan datuknya Abdul Muttalib dan kemudiannya bapa saudaranya Abu Thalib.

Allah sucikannya dari kotoran jahiliah. Baginda saw tidak pernah mengagungkan sebuah berhala pun dalam hidupnya dan tidak pernah pula menghadiri mana-mana upacara kufur kaumnya. Mereka pernah memintanya untuk tujuan itu namun baginda saw enggan dan Allah swt jualah yang memeliharanya dari pelakuan itu. Dalam hadith yang diriwayatkan dari Ali ra, baginda saw bersabda: “ Aku tidak pernah menyembah berhala sekali-kali dan tidak pernah minum arak sekali-kali. Aku juga sentiasa sedar apa yang menjadi amalan orang ramai itu adalah satu kekufuran.”

Ini semua adalah layanan istimewa Allah swt terhadapnya dengan membersihkannya dari sebarang kotoran dan keaiban jahiliah. Sebaliknya baginda saw dikurniakan semua akhlak terpuji sehingga dikenali sebagai al Amin ( seorang yang dipercayai ) apabila mereka dapat menyaksikan amanah, jujur dan bersihnya baginda saw.

Apabila umurnya mencapai 12 tahun, baginda saw keluar bersama bapa saudaranya Abu Thalib ke Sham sehingga sampai ke Bushra. Baginda diperhati oleh Buhaira dan mengenalinya dengan sifatnya. Dia mendekatinya dan memegang tangannya sambil berkata: Inilah penghulu sekalian alam, inilah rasul ( utusan ) tuhan sekalian alam, inilah yang bakal diutus Allah sebagai hujah kepada sekalian alam. Mereka bertanya : Dari mana engkau tahu? Dia menjawab: Kamu ketika kamu datang dari Aqabah, tidak tertinggal satu pohon dan batu pun yang tidak tunduk sujud. Ia tidak sujud melainkan kepada seorang nabi. Demikianlah kami mendapatinya di dalam kitab-kitab kami.” Dia meminta Abu Thalib membawanya pulang kerana bimbang dengan ganguan yahudi lalu baginda saw dibawa pulang.

Baginda saw keluar ke Sham sekali lagi bersama Maisarah, hamba lelaki Khadijah membawa barang dagang Khadijah sebelum mengahwininya sehingga samapi ke pasar Bushra. Ketika berumur 25 tahun, baginda saw berkahwin dengan Khadijah. Apabila keluar ke Madinah kerana hijrah bersamanya ialah Abu Bakar, hambanya ‘Amir bin Fuhairah dan pemandu jalan Abdullah bin al Uraiqit al Laithi seorang kafir dan tiada maklumat mengenai Islamnya.

Sifat

Rasulullah saw tidak terlalu tinggi dan tidak pula pendek. Tidaklah terlampau putih dan tidak pula hitam. Rambut bukan kerinting dan tidak pula terlalu lurus. Ketika baginda saw wafat di atas kepalanya tidak lebih dari 20 helai rambut putih ( uban ). Tubuhnya tegak, jauh antara dua bahunya. Rambutnya mencapai dua bahunya dan kadang-kadang sampai ke dua cuping telinganya dan separuh telinganya. Janggutnya lebat dan jari-jemarinya pula besar. Kepalanya besar dan sendi-sendinya rapat. Wajahnya kebujuran, matanya kehitaman pekat, bulu keningnya lebat, hujung matanya kemerahan dan mempunyai bulu dada yang nipis memanjang. Apabila berjalan, dia mempercepatkan langkah seperti menurun dari tempat tinggi. Wajahnya pula bercahaya seperti bulan purnama, suaranya elok, dua pipinya nipis, bermulut luas sementara bahagian perut dan dadanya serata.

Ada bulu roma di bahagian betis dan lengannya, begitu juga di atas dadanya. Hujung tangannya panjang, kedua-dua matanya memanjang. Tumitnya sedikit daging dan antara dua bahunya ada cop kenabian seumpama telur burung khasnya merpati. Apabila berjalan seperti bumi dilipat untuknya sedangkan dia tidaklah berpenatan. Baginda saw melepaskan rambutnya dan membiarnya terbelah dua ( dahinya terbuka ). Bagainda saw meluruskan janggutnya dan sentiasa bercelak di setiap malam di setiap matanya tiga garisan celak.

Pakaian yang paling disukainya ialah qomis ( baju besar, luas dan ringan seperti jubah dipakai biasanya di musim panas ), putih dan habirah ( berwarna dari kain kasar biasanya dipakai di musim sejuk ). Lengan baju nabi saw pula sampai ke pergelangan tangan. Baginda saw pernah memakai pakaian merah bersama kain penutup tubuh ( rida’ ) dan kain bawah ( izar ), pernah juga memakai dua kain hijau, juga jubah yang sempit lengannya, juga qiba’ ( pakaian bukan arab yang dibuka dari belakang ), juga serban hitam dengan melepaskan dua ekornya ke tengah antara dua bahunya. Pernah juga Nabi saw keluar memakai pakaian hitam dari bulu. Nabi saw juga memakai cincin, khuf dan selipar.

Anak-Anak

Anak lelakinya tiga orang;

1. Al Qasim. Nabi saw bergelarnya dengannya ( Abu al Qasim ), dilahirkan sebelum kenabian dan meninggal dunia ketika berumur 2 tahun.

2. Abdullah yang juga bergelar at Toyyib dan at Thohir kerana dia dilahirkan selepas kenabian. Dikatakan at Thoyyib dan at Thohir anak lain tetapi pendapat yang sahihnya ialah yang pertama.

3. Ibrahim yang lahir di Madinah tahun ke 8 hijrah dan meninggal di tahun ke 1o ketika berumur 17 atau 18 bulan.

Anak perempuannya pula 4 orang;

1- Zainab yang dikahwini Abu al-Ash ibn ar Rabie bin Abdul Uzza bin abdul Shams iaitu sepupunya kerana ibunya ialah Halah binti Khuwailid.

2- Fatimah yang dikahwini Ali bin Abi Thalib.

3- Raqiyyah.

4- Ummu Kalthum

Kedua-duanya berkahwin dengan Uthman bin Affan, pertamanya Raqiyyah dan kemudiannya Ummu Kalthum. Kedua-duanya meninggal dunia semasa bersama Uthman justeru Uthman bergelar Zul Nurain ( tuan punya dua cahaya ). Raqiyyah meninggal pada hari Badar , Ramadhan 2 Hijrah. Ummu Kalthum pula pada Shaaban tahun 9 Hijrah.

Maka kesemuanya 4 perempuan secara sepakat, 3 lelaki menurut pendapat yang sahih. Mengikut urutanya al Qasim, Zainab, Raqiyyah, Ummu Kalthum, Fatimah,Abdullah di Mekah dan Ibrahim di Madinah. Menurut al Hafiz Ibn Hazm Fatimah lebih tua dari Ummu Kalthum. Semua anak-anaknya dari ibu Khadijah kecuali Ibrahim yang lahir dari Mariah al Qibtiyyah. Semua mereka meninggal dunia sebelum kewafatan Nabi saw kecuali Fatimah yang meninggal selepas Nabi saw 6 bulan menurut pendapat yang sahih dan masyhur.

Bapa dan Ibu Saudara.

Pertamanya al Harith iaitu yang paling tua dari anak Abdul Muttalib maka dengannya dia bergelar ( Abu al Harith ). Kemudian Qutham, az Zubair, Hamzah, al Abbas, Abu Thalib, Abu Lahab, Abdul Kaabah, hajl, Dhirar dan al Ghaidaq.

Yang menganut islam ialah Hamzah dan al Abbas. Hamzah adalah yang paling bongsu yang juga saudara susu nabi saw. Al Abbas pula kedua bongsu yang bertanggungjawab menguruskan telaga zam-zam selepas kematian Abdul Muttalib. Dia lebih tua dari Nabi saw 3 tahun.

Ibu saudaranya pula ialah Sofiyyah yang masuk Islam dan berhijrah iaitu ibu az Zubair bin al ‘Awwam. Dia meninggal di Madinah di zaman pemerintahan Umar ra. Dia adalah adik beradik kandung Hamzah dari pihak ibunya. Kemudian ‘Atikah yang dikatakan menganut Islam dan bermimpi melihat peperangan Badr dalam kisah masyhur. Juga Barrah, Arwa, Umaimah dan Ummu Hakim iaitu al Baidha’.

Isteri-Isteri.

Mengikut turutannya iaitu Khadijah, Saudah, Aishah, Hafsah, Ummu Habibah, Ummu Salamah, Zainab binti Jahsh, Maimunah, Juwairiyyah dan Sofiyyah. Sembilan orang selepas Khadijah adalah yang menjadi balu selepas kewafatannya. Nabi saw tidak berkahwin semasa hayat Khadijah selainnya. Tidak pula mengahwini anak dara kecuali Aishah. Adapun yang dicerai Nabi saw semasa hayatnya maka tidak disebut di sini kerana banyak pencanggahan tentangnya.

Baginda saw juga memiliki 2 hamba perempuan iaitu Mariah dan Raihanah binti Zaid. Dikatakan juga seorang lagi iaitu Bintu Sham’un yang dimerdekakan Nabi saw kemudiannya. Diriwayatkan dari Qatadah : Nabi saw mengahwini 15 orang wanita. 13 orang bersamanya. 11 orang dihimpun pada satu masa. Nabi saw meninggal dunia dengan meninggalkan 9 isteri.

Hamba-Hamba.

Antara mereka ialah Zaid bin Harithah bin Sharahbil bin al Kalbiy Abu Usamah, Thauban bin Bujdud, Abu Kabashah namanya Sulaim yang menghadiri perang Badar, Bazam, Ruwaifi’, Qushair, Maimun, Abu Bakrah, Hurmuz, Abu Sofiyyah Abid, Abu Salma, Anasah, Soleh ( Shaqran ), Rabah ( hamba hitam ), Yasar seorang pengembala dari keturunan Nubi, Abu Rafi’ bernama Aslam ( ada yang berpendapat lain ), Abu Muwaihibah, Fadhalah al Yamani, Rafi’, Mid’am hamba hitam yang tebunuh di Khaibar, Karkarah yang membawa barangan Nabi saw ketika musafir, Zaid datuk Hilal bin Yasar bin Zaid, Ubaidah, Thahman atau Kisan atau Mahran atau Zakwan atau Marwan, Ma’bur seorang Qibti, Waqid, Abu Waqid, Hisham, Abu Dhumairah, Hunain, Abu ‘Usaib namanya Ahmar, Abu ‘Ubaidah, Safinah, Salman al Farisi, Aiman bin Ummu Aiman, Aflah, Sabiq, Salim, Zaid bin Bula, Said, Dhumairah, Ubaidillah bin Aslam, Nafi’, Nabih, Wardan, Abu Uthailah dan Abu al Hamra’.

Hamba perempuanya pula ialah Salma Ummu Rafi’, Ummu Aiman Barakah iaitu iaitu ibu Usamah bin Zaid, Maimunah binti Saad, Khadhirah, Radhwa, Umaimah, Raihanah, Ummu Dhumairah, Mariah, Shirin adik beradik Mariah dan Ummu Abbas.

Senarai panjang nama hamba-hamba ini tidaklah bermakna berhimpun dengan nabi saw pada satu masa. Ada yang berhimpub semasa ada yang tidak.

Khadam ( Pembantu ).

Antara mereka ialah Anas bin Malik, Hind dan Asma’ anak Harithah al Aslami dan Rabi’ah bin Kaab al Aslami. Juga Abdullah bin Mas’ud yang membawa sepatu Nabi saw apabila Nabi berdiri terus diberi pakai kepada Nabi saw, apabila Nabi saw duduk, dia akan menanggalkannya dari kaki Nabi saw dan menggantungnya di lengannya sehingga Nabi saw bangun berdiri. ‘Uqbah bin ‘Amir al Juhani pula penjaga baghal Nabi saw yang memandunya dalam musafir. Bilal muazzin baginda, Saad hamba Abu Bakar as Siddiq, Zu Mikhmar ayat Zu Mikhbar anak saudara an Najashi. Bukair bin Syaddah al Laithi juga dinamakan Bakr, Abu Zar al Ghifari, al Asla’ bin Syuraik bin Auf al A’raji, Muhajir hamba Ummi Salamah dan Abu as Samh ra.

Penulis.

Al Hafiz Abu al Qasim dalam “ Tarikh Dimashq “ menyebut bahawa mereka ada 23 orang. Dia menyebut semua mereka dengan sanad-sanadnya.

Mereka adalah Abu Bakar, Umar bin al Khattab, Uthman, Ali, Thalhah, az Zubair, Ubaiy bin Ka’ab, Zaid bin Thabit, Mu’awaiyah bin Abi Sufyan, Muhammad bin Maslamah, al Arqam bin Abi al Arqam, Aban bin Said bin al Ash, adik beradiknya Khalid bin Said bin al Ash, Thabit bin al Qais, Hanzalah bin al Rabi’, Khalid bin al Walid, Abdullah bin al Arqam, Abdullah bin Zaid bin Abdur Rabbih, al Ala’ bin Uqbah, al Mughirah bin Syu’bah dan as Sijill. Ada yang menambah Suyrahbil bin Hasanah.

Ulama menyebut antara yang paling banyak menulis ; Zaid bin Thabit dan Mu’awiyah bin Abi Sufyan ra.

Utusan.

Baginda saw pernah utuskan Amr bin Umaiyyah al Dhamri mengadap al Najashiy. Dia mengambil surat perutusan Nabi saw lalu meletaknya di hadapan dua matanya. Dia turun dari katilnya lalu duduk di atas lantai. Dia telah Islam apabila tibanya Ja’far bin Abi Thalib dan elok Islamnya.

Baginda saw juga mengutuskan Dihyah bin Khalifah al kalbiy menbawa surat kepada Hiraql penguasa Rum, Abdullah bin Huzafah as Sahmiy kepada Kisra maharaja Parsi, Hatib bin Abi Balta’ah al Lakhamiy ke al Maqaiqis maharaja Mesir dan Iskandariah. Dia melayan dan bercakap baik serta hamper menerima Islam. Dihadiahkannya kepada Nabi saw Mariah dan adiknya Shirin yang diberi baginda saw kepada Hassan bin Thabit. Baginda saw juga yang mengutuskan ‘Amr bin al ‘Ash kepada dua raja Oman dan kedua-dua menganut islam. Kedua-duanya memnyerahkan tugasan pengurusan harta sedekah ( zakat ) dan kehakiman kepada ‘Amr bin al ‘Ash yang bermukim di sana sehingga wafatnya Rasulullah saw.

Baginda saw telah mengutuskan Sulaith bin ‘Amr al ‘Amiri ke al Yamamah mengadap Hauzah bin Ali al Hanafi, Shuja’ bin Wahb al Asadi kepada al Harith bin Abi Syamir al Ghassani raja al Balqa’ di dataran Sham. Baginda saw juga mengutuskan al Muhajir bin Abi Umayyah al Makhzumiy kepada al Harith al Himyariy.

Baginda saw mengutuskan al Ala’ bin al Khadhramiy kepada al Munzir bin Sawa al Abdiy raja al Bahrain. Dia jujur dan menganut Islam. Juga diutusnya Abu Musa al Ashariy dan Muaz bin Jabal ke pelusuk Yaman berdakwah kepada Islam sehingga islamya penduduk Yaman termasuk pembesar dan peniaga.

Muazzin.

Ada empat orang muazzin Nabi saw iaitu Bilal dan Ibn Ummi al Maktub di Madinah, abu Mahzurah di Mekah dan Saad bin al Qarazh di Quba’.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan