Umrah, Haji, Peperangan dan Perisikan.
Riwayat yang sahih sebagaimana direkodkan dalam kitab Sahih Bukhari dan Muslim bahawa Nabi saw melakukan empat kali umrah selepas hijrah dan hanya sekali haji iaitu haji selamat tinggal yang dilaksanakan pada tahun 10 hijrah.
Baginda saw keluar sendiri menyertai peperangan sebayak 25 kali menurut pandangan masyhur iaitu pandangan Musa bin ‘Uqbah, Muhammad bin Ishak, Abi Mi’shar dan lainnya di kalangan ulama sirah dan peperangan Nabi saw. Pandang kurang masyhur menyebut 27 Kali.
Muhammad bin Saad dalam at Tabaqat pula menukilkan kesepakatan bahawa peperangan yang dihadiri sendiri oleh Rasulullah saw adalah 27 kali. Manakala pasukan peperangan kecil ( saraya ) yang tidak dihadiri nabi saw pula sebanyak 25 kali. Beliau menyenaraikan satu persatu peperangan-peperangan ini disusun mengikut masa berlakunya. Ada juga yang menyebut Nabi saw tidak berperang kecuali 9 kali iaitu Badar, Uhud, Khandak, Bani Quraizah, bani Mustaliq, Khaibar, Fath Makkah, Hunain dan Thaif jika mengambil pendapat Fath Makkah itu berlaku secara kekerasan bukannya perdamaian. Dikatakan juga baginda terlibat dalam peperangan di Wadi al Qura dan al Ghabah ( antara Madinah dan Sham ) dan Bani al Nadhir. Wallahu ‘aalam.
Akhlak
Baginda saw adalah manusia paling pemurah terutama di bulan Ramadhan, paling elok sifat fizikal dan budi pekerti, paling lembut tapak tangan, paling wangi bauan, paling sempurna akal fikiran, paling bagus pergaulan, paling berani, paling mengenali Allah, paling takutkannya, tidak marah kerana diri sendiri, tidak pula bertindak kerana dirinya, marahnya hanya kerana Allah swt apabila dicerobohi larangan Allah swt, marahnya hanya untuk menegakkan kebenaran, apabila dia marah dia akan beredar dan berlalu.
Akhlaknya adalah al Quran, dialah yang paling merendah diri, menunaikan keperluan keluarganya, melayan baik mereka yang lemah, tidak diminta sesuatu lalu menjawab tidak, palung penyantun, lebih pemalu dari anak dara di kamarnya, semua mendapat keadilan yang sama dihadapannya samada keluarga terdekat mahupun bukan, orang kuat atau lemah.
Tidak sesekali menghina makanan. Jika dia mahu, dia makan. Jika tidak dia tinggalkannya. Baginda tidak makan sambil berbaring atau di atas di meja makan dan tidak pula menolak sesuatu yang harus. Baginda saw sukakan manisan dan madu. Juga tertarik dengan labu dan pernah bersabda: “ Sebaik-baik penyicah ( roti ) cuka.” Dan sabdanya : “ Kelebihan Aishah ra berbanding sekalian wanita seperti kelebihan tharid ( sejenis bubur campuran gandum dan sup daging ) berbanding makanan lain.” Bahagian kambing yang paling disukainya ialah lengan ( kaki depan )”.
Abu Hurairah ra berkata: Nabi saw keluar dari dunia tanpa sempat kenyang memakan ( roti ) dari tepung gandum ( kerana kemiskinannya ). Biasa berlalu sebulan atau dua bulan tanpa dinyalakan api di rumah baginda saw.
Baginda saw hanya menerima hadiah, tidak pula menerima sedekah dan membalas hadiah. Baginda saw membaiki selipar, menjahit pakaian, melawat pesakit, melayan jemputan samada dari orang kaya atau miskin, mulia atau hina, tanpa menghina sesiapa.
Kadang-kadang duduk belunjur, bersila dan juga berbaring. Kerap juga baginda mencangkung ( di atas pinggulnya dengan memeluk ke dua tangan ke dua betisnya ). Baginda saw makan dengan tiga jari dan menjilatnya. Minum pula dengan tiga kali bernafas di luar bekas air. Bercakap dengan dengan ucapan ringkas padat ( jawami’ al kalim ) dan mengulanginya tiga kali supaya difahami. Percakapannya jelas nyata mudah difahami pendengar dan tidak pula bercakap sesuatu yang tidak perlu.
Baginda tidak bangun dan duduk tanpa berzikir menyebut Allah. Nabi saw menunggang kuda, unta, keldai dan baghal. Juga memboncengkan Muaz ra di atas unta dan juga keldai. Baginda saw tidak membiarkan seseorang berjalan di belakangnya. Pernah baginda saw mengikat perunya dengan batu kerana kelaparan dan biasa juga tidur kelaparan bersama isteri-isterinya. Tikarnya dari kulit binatang dan diisi dengan daun-daun. Baginda saw hanya memilih untuk mengambil sedikit dari semua harta benda dunia. Allh swt kurniakannya anak kunci khazanah dunia semuanya, namun baginda saw enggan menerima dan tetap memilih akhirat.
Nabi saw seorang yang banyak berzikir dan panjang berfikir. Kebanyakan ketawanya hanyalah senyum. Kadang-kadang baginda ketawa sehingga Nampak geraham. Sangat sukakan bauan wangi dan bencikan bauan busuk. Baginda saw juga bergurau Cuma tidak bercakap melainkan yang benar. Boleh menerima uzur yang diberi seseorang yagn memohon uzur. Baginda saw sepertimana yang disifatkan Allah swt ;
لَقَدْ جَاءَكُمْ رَسُولٌ مِّنْ أَنفُسِكُمْ عَزِيزٌ عَلَيْهِ مَا عَنِتُّمْ حَرِيصٌ عَلَيْكُم بِالْمُؤْمِنِينَ رَءُوفٌ رَّحِيمٌ
“ Sesungguhnya telah datang kepada kamu seorang rasul ( utusan Allah ) dari kalangan kamu, seorang yang berat hati perkara yang menyusahkan kamu, bersungguh mencari keuntungan untuk kamu, dan seorang yang penyantun dan penyayang kepada kaum mu’minin. “ at Taubah: 128.
وَصَلِّ عَلَيْهِمْ ۖ إِنَّ صَلَاتَكَ سَكَنٌ لَّهُمْ
“ Berdoalah untuk kebaikan mereka sesungguhnya doa engkau adalah ketenangan kepada mereka.” at Taubah: 103.
Teguran Nabi saw hanya dalam bentuk sindiran seperti sabdanya : “ Apalah halnya ada manusia yang meletakkan syarat yang tidak ada dalam kitab Allah “. Nabi saw menyuruh supaya berlembut dan menggalakkannya, melarang sikap kasar dan menggalakannya sifat pemaaf, pengampun dan kemuliaan akhlak. Baginda saw sukakan mendahulukan anggota kanan ketika bersuci, memakai selipar, menyikat rambut dan semua urusannya. Tangun kirinya hanya ketika membersih najis atau apa-apa yang kotor. Begitu jugalah baginda tidur atau berbaring di atas lambung kanan dengan menghadap kiblat.
Majlis Nabi saw adalah majlis kesopanan dan kamuliaan diri, amanah dan bersih, kesabaran dan ketenangan. Tidak diangkat suara dan tidak pula ditimbul cerita perempuan. Mereka hanya berbangga dengan ketaqwaan, saling merendah diri dan dihormati orang tua serta dibelas kasih anak-anak muda, mendahulukan mereka berhajat, memelihara hak orang luar yang bertandang dan keluar sebagai pemandu kepada kebaikan.
Nabi saw melayan baik sahabatnya, memuliakan orang yang dihormati dalam sesebuah masyarakat, melantiknya sebagai penguasa mereka, suka bertanya berita kawan-kawannya, tidak bercakap kotor atau sukakan cakap kotor, tidak membalas kejahatan dengan kejahatan seumpama, sebaliknya suka memaaf dan berlapang dada. Tidak pernah memukul isteri mahupun khadam atau sesiapa kecuali ketika berperang di jalan Allah. Tidak diberi pilih antara dua perkara kecuali akan memilih yang paling mudah selama tidak berdosa.
Sandaran dalil bagi semua yang disebut ini adalah hadith-hadith sahih yang masyhur. Allha swt himpunkan untuknya kemulaiaan akhlak dan kecantikan budi. Allah swt mengurniakannya ilmu pengetahuan manusia terdahulu dan terkemudian yang dengannya tergapai kejayaan dan kesejahteraan sedangkan dia seorang yang tidak tahu menulis dan membaca. Tiada seorang guru pun yang mengajarnya di kalangan manusia. Allah swt kurniakannya sesuatu yang tidak pernah dikurnuakan kepada sesiapa pun di sekalian alam. Dialah yang menjadi pilihan Allah swt dari sekalian manusia dahulu dan kemudian. Selawat dan salam ke atas junjungan secara berkekalan sehingga hari kebangkitan.
Dalam sebuah hadith sahih, Anas bin Malik ra berkata: “ Tidak pernah aku menyentuh sutera selembut tapak tangan Nabi saw, tidak pula aku mencium bauan sewangi bau Nabi saw. Sesengguhnya aku berkhidmat dengan Rasulullah saw selama 10 tahun, tidak pernah pula dia menyebut perkataan “ uff “ dan tidak berkata apabila aku telah lakukan sesuatu “ kenapa engkau lakukan demikian “ . Bagi perbuatan yang aku tidak lakukan pula tidak pula dia berkata: “ adalah baik jika engkau lakukan “.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan