Setiap nabi dan rasul masing-masing diutuskan untuk umat mereka. Allah SWT menamatkan perutusan para rasul dengan mengutus nabi Muhammad SAW. Risalah yang dibawa oleh nabi Muhammad adalah risalah yang bersifat sejagat/ universal dan syariat yang dibawa oleh baginda merangkumi segenap aspek kehidupan. Tiada suatu kebaikan pun melainkan ianya diperintahkan dan dianjurkan dalam ajaran/syariat yang dibawa oleh baginda. Tiada suatu kejahatan pun melainkan ianya ditegah dan diingatkan supaya diawasi serta dijauhi dalam ajaran/syariat yang dibawa oleh baginda. Syariat yang dibawa oleh baginda membawa kebaikan untuk agama dan dunia serta membawa kesejahteraan hidup di dunia dan di akhirat.
Di antara tujuan penting Allah SWT mengutuskan nabi Muhammad SAW adalah untuk menyempurnakan kemuliaan akhlak dan memperelokkan adat dan tradisi masyarakat kerana ia adalah tonggak kemajuan dan pembangunan insan dan merupakan penanda aras bagi ketamadunan yang sebenar. Maka dengan itu sudah tentunya risalah yang dibawa oleh baginda adalah risalah yang membawa rahmat untuk sekelian alam.
Daripada Abu Hurairah RA katanya:
“Sesungguhnya aku diutuskan adalah untuk menyempurnakan akhlak yang baik”
Sebahagian dari kemuliaan akhlak yang menjadi matlamat pengutusan baginda oleh Allah SWT adalah sifat malu yang menjadi perhiasan bagi diri manusia dan bukti adanya maruah bagi seseorang lelaki dan wanita. Sifat malu juga termasuk dalam salah satu daripada cabang iman.
Daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:
“Iman itu mempunyai lebih 70 cabang. Cabang yang paling tinggi ialah ucapan LA ILAHA ILLALLAH dan yang paling rendah ialah membuang halangan di tengah jalan. Sifat malu adalah sebahagian dari iman”
Menutup tubuh dengan pakaian dan timbulnya rasa malu jika tidak berpakaian adalah fokus utama fitrah semulajadi kemanusiaan. Timbulnya rasa malu jika tidak berpakaian bukanlah adat dan kebiasaan bagi sesebuah tempat sebagaimana sangkaan golongan yang menyeru kepada keruntuhan akhlak dan moral, tetapi ia adalah suatu naluri dan fitrah keinsanan yang terbit dari dalam jiwa manusia. Tiada orang yang merasa rela jika tidak memakai pakaian di khalayak ramai atau mendedahkan tempat sulitnya yang sepatutnya ditutup dari pandangan/tontonan ramai/umum, melainkan jika individu tersebut telah hilang sifat malu dan fitrah kemanusiaan yang ada dalam dirinya.
Oleh demikian Islam telah mewajibkan seseorang Muslim supaya menutup auratnya dari dilihat umum, hatta walaupun ketika bersendirian. Ini untuk menghormati jasadnya sebagai seorang manusia, juga bagi membezakan seorang manusia dengan seekor haiwan.
Allah SWT berfirman:
“Sesungguhnya Kami telah memuliakan anak Adam”
(Al-Israk: 7)
FirmanNya di dalam ayat yang lain:
“Wahai anak Adam! Sesungguhnya Kami telah menurunkan untuk kamu pakaian dan pakaian dari bulu yang dapat menutup kemaluan kamu. Pakaian taqwa itulah yang lebih baik. Yang demikian adalah tanda-tanda kekuasaan Allah mudah-mudahan mereka mengambil peringatan”
(Al-A’raf: 26)
Pakaian adalah nikmat paling besar yang dianugerahkan oleh Allah SWT kepada hamba-hambanya. Allah SWT memuliakan hambanya dengan pakaian tersebut kerana dengannya manusia dapat memelihara diri, menutup aurat serta menghias tubuh badan. Keperluan kepada pakaian amat tinggi, ia adalah sesuatu yang dipandang elok menurut akal fikiran manusia dan menurut pandangan agama.
Mereka yang mempunyai maruah akan merasa pelik terhadap mereka yang tidak memakai pakaian di sesetengah tempat, sehingga menimbulkan rasa tidak senang kepada sesetengah orang.
Biasa kita lihat gambar mereka diambil dalam keadaan tidak berpakaian, sama ada gambar tersebut bergerak (video) atau tidak (fotografi). Ini sudah tentu akan menyumbang ke arah rosaknya akhlak dan moral di kalangan muda-mudi di sesebuah negara terutamanya di negara Islam.
Allah SWT dengan kekuasaannya telah menghiaskan kulit haiwan dengan bulunya dan menumbuhkan ekor pada buntut haiwan bagi tujuan kecantikan dan menutup kemaluannya. Golongan manusia yang tidak berpakaian tersebut lebih teruk lagi keadaannya berbanding haiwan kerana tubuhnya langsung tidak dilitupi bulu sebagamana tubuh haiwan, malah mereka mendedahkan tubuh mereka begitu sahaja. Lebih menghairankan lagi mereka menganggap perbuatan sedemikian adalah suatu perbuatan yang bertamadun dan moden, bahkan mereka menjadikan perbuatan tersebut sebagai ukuran yang menunjukkan kemajuan dan ketamadunan sesuatu bangsa, sedangkan ia sebenarnya bertentangan dengan naluri keinsanan dan fitrah semulajadi kemanusiaan!
Islam adalah agama yang menyeru ke arah terbinanya sebuah masyarakat yang bermaruah/terhormat dan bersih serta tidak dikotori dengan keinginan hawa nafsu dan syahwat. Oleh itu, Islam secara umumnya melarang perbuatan mendedahkan aurat terutamanya bagi golongan wanita. Untuk menjamin kemuliaan dan kehormatan golongan wanita, Islam telah mewajibkan pemakaian tudung ke atas mereka, memerintahkan mereka agar memiliki sifat malu, menjauhi tempat-tempat maksiat yang boleh membawa fitnah. Ini bagi menjamin keelokan akhlak mereka supaya tidak tersebarnya perbuatan zina sehingga boleh meruntuhkan maruah dan keturunan mereka, sehingga seolah-olah masyarakat menjadi seumpama sekumpulan haiwan.
Islam inginkan para wanita mempunyai maruah dan kehormatan serta suci zahir dan batinnya. Sementara musuh-musuh Islam pula – yang berselindung di sebalik slogan persamaan hak/ sama rata antara lelaki dan wanita - inginkan para wanita menjadi simbol keruntuhan akhlak dengan tidak berpakaian. Islam mahukan mereka sentiasa suci dan terpelihara maruahnya manakala musuh-musuh Islam pula menjadikan para wanita sebagai mangsa dan sesuatu yang mendatangkan keuntungan bagi mereka.
Maka alangkah baiknya jika seorang bapa Muslim melatih anak perempuannya memakai tudung sejak kecil lagi, iaitu seawal usia 10 tahun atau apabila anak tersebut mulai timbul rasa keinginan kepada lelaki, seterusnya didikan tersebut berterusan sehingga kanak-kanak itu merasa selesa memakainya dan merasa sesuai dengan fitrah serta sifat malu yang ada padanya. Seterusnya sedikit demi sedikit si bapa bolehlah melatih anak perempuan tersebut memakai pakaian lain yang menutup aurat sehingga ia mencapai usia baligh. Ini bertujuan supaya tidak menyukarkan si anak untuk memakainya sekaligus.
Mengajar para wanita tentang kewajipan menutup aurat adalah suatu langkah yang perlu didahulukan berbanding kewajipan-kewajipan agama lain. Ini supaya mereka dapat hidup dengan cara terhormat dan bermaruah, agar tidak terjebak dengan gejala sosial dan dihanyutkan oleh budaya serta arus pemodenan yang tidak sihat.
Islam bukan sekadar memerintahkan seseorang Muslim supaya menutup auratnya bahkan diperintahkan juga seorang Muslim sentiasa menampilkan perlakuan yang baik dan mulia.
* Terjemahan mukadimah Fiqh Albisah Waz Zinah oleh Ustaz Zulkarnain Dollah ( الله يحفظه ويرعاه )
Nantikan terjemahan lengkap buku ini di pasaran !
Tiada ulasan:
Catat Ulasan