Oleh: Ustaz Mohd Aizam Mas'od
Dikenali sebagai pengasas mazhab yang menjadi ikutan di beberapa negara Arab dan Asia Tenggara. Ilmunya yang luas dan sifat waraknya merupakan catatan emas dalam lembaran sejarah Islam. Segala yang terpancar daripada kalbu dan pemikirannya, merupakan milik umat untuk diteguk dan dinikmati bersama.
Beliau yang dimaksudkan adalah al-Imam as-Syafie rahimahullah. Nama sebenar beliau ialah Muhammad bin Idris bin Abbas bin Usman bin Syafie bin Saib bin Abdul Yazid bin Hasyim bin Abdul Mutalib bin Abdul Manaf. Keturunan beliau bertemu dengan keturunan Nabi Muhammad SAW pada datuk Nabi Muhammad yang ketiga iaitu Abdul Manaf. Beliau dilahirkan pada bulan ini bulan Rejab tahun 150 H bersamaan 767 Masehi di Ghazzah, sebuah kampung yang terletak di Palestin,. Beliau meninggal dunia pula di Mesir pada malam Jumaat dan dikebumikan selepas Asar pada 2hb. Juga pada bulan Rejab tahun 204H, sewaktu berusia 54 tahun. Tempat asal ayah dan bonda beliau ialah di Kota Makkah. Ayahnya meninggal dunia, ketika Imam Syafie masih di dalam kandungan ibunya.
Imam Syafie ialah imam yang ketiga mengikut susunan tarikh kelahiran. Beliau adalah penyokong kepada ilmu hadith dan pembaharu agama (mujaddid) bagi abad yang ke-2 hijrah. Imam Ahmad Bin Hanbal pernah berkata: diceritakan daripada nabi muhamad S.A.W. bahawa Allah menghantar kepada umat ini seorang pembaharu kepada agama, lalu berkata Imam Ahmad: Umar Bin Abdul Aziz dihantar untuk abad yang pertama dan aku harap Imam Syafie merupakan mujadid abad yang kedua.
Semasa muda Imam Syafie, hidup dalam kemiskinan, hingga beliau terpaksa mengumpul batu-batu, belulang, pelepah tamar dan tulang-tulang untuk ditulis di atasnya, terkadang beliau terpaksa pergi ke tempat-tempat perhimpunan orang ramai meminta kertas untuk menulis pelajarannya.
Beliau sangat tekun mempelajari kaedah-kaedah dan nahu bahasa Arab. Untuk tujuan itu beliau pernah mengembara ke kampung dan tinggal bersama dengan puak Huzail selama 10 tahun. Kerana puak ( kabilah ) Huzail terkenal suatu kabilah yang paling baik bahasa Arabnya. Imam Syafie banyak menghafaz syair-syair dan qasidah dari puak Huzail, begitu juga beliau banyak menumpukan masa dan tenaganya kepada sastera dan sejarah pada masa mudanya, tetapi Allah menghendaki dan melorongkan kepadanya dalam bidang ilmu fikah.
Di antara sebabnya, pada suatu hari Imam Syafie bersyair sambil menunggang kuda bersama-sama beliau seorang lelaki. Lalu berkata lelaki itu, tidak sesuai engkau bersyair kerana itu boleh menjatuhkan maruahmu. Alangkah baiknya jikalau engkau belajar ilmu fiqh? Kata-kata itu sangat memberi kesan kepada Imam Syafie. Dari sejak itu beliau menumpukan masa dan tenaga kepada ilmu fiqh. Benarlah sabda Rasulullah S.A.W:
من يرد الله به خيرا يفقهه في الدين
“Barangsiapa yg dikehendaki Allah menjadi baik maka dia akan diberi faham dalam masalah agama”.
Ketika berumur 9 tahun Imam Syafie telah hafal Al-Quran 30 juz. Umur 19 tahun telah mengerti isi kitab Al-Muwatha’, karangan Imam Malik, tidak lama kemudian Al-Muwatha’ telah dihafalnya. Kitab Al-Muwatha’ tersebut berisi hadith-hadith Rasulullah SAW, yang dihimpun oleh Imam Malik.
Kerana kecerdasannya pada umur 15 tahun beliau telah diizinkan memberi fatwa di hadapan masyarakat dan menjawat jawatan pengetua ilmu hadith serta menjadi mufti dalam Masjidil Haram di Makkah.
Ketika berumur 20 tahun beliau pergi merantau belajar ke tempat Imam Malik di Madinah, setelah itu beliau ke Irak, kemudian ke Parsi dan akhirnya kembali ke Madinah. Dalam usia 29 tahun beliau berhijrah pula ke Yaman untuk menuntut ilmu pengetahuan. Daripada peristiwa ini jelas menunjukkan bahawa Imam Syafie seorang tekun di dalam menimba ilmu pengetahuan dan beliau benar-benar telah cuba mempraktikkan firman Allah di dalam al-Qur’an: al-Mujadilah:11
يرفع الله الذين آمنوا منكم والذين أوتوا العلم درجات والله بما تعملون بصير
“Allah telah mengangkat ke beberapa darjat bagi orang-orang yang beriman dan mencari ilmu, bahwasanya Allah mengetahui apa2 yang kamu kerjakan”.
Tentang ketaatan beliau di dalam beribadah kepada Allah diceritakan bahawa setiap malam beliau membahagikan malam itu kepada tiga bahagian. Sepertiga malam beliau gunakan kewajipan sebagai manusia yang mempunyai keluarga, sepertiga malam untuk solat dan zikir dan sepertiga lagi untuk tidur. Benarlah firman Allah di dalam al-Qur’an (Fathir:28):
إنما يخشى الله من عباده العلماء إن الله عزيز غفور
Sesungguhnya yang takutkan Allah dikalangan hamba2nya ialah para alim ulama yang benar, sesungguhnya Allah maha mulia lagi maha pengampun
Walaupun sehebat mana pun Imam Syafei beliau juga tidak lari untuk diuji oleh Allah dengan ujian-ujian dunia, bagi menilai sejauh manakah keimanan beliau terhadap Allah,Rasul dan agamanya. Terdapat satu kisah ketika Imam Syafie di Yaman, beliau diangkat menjadi setiausaha dan penulis istimewa kpd Gabenor di Yaman, sekaligus menjadi pengetua di sana. Kerana beliau termasuk orang pendatang, secara tiba-tiba memangku jawatan yang tinggi, maka ramai orang yang dengki dan akhirnya memfitnah beliau.
Ahli sejarah telah menceritakan bahawa ketika Khalifah Harun Ar-Rasyid sedang murka terhadap kaum Syiah, kerana didapati golongan tersebut berusaha untuk meruntuhkan kekuasaan Abbasiyah, mereka berhasrat mendirikan sebuah kerajaan Alawiyah iaitu taasub kpd keturunan Saidina Ali bin Abi Talib. Kerana itu di mana kaum Syiah berada mereka diburu dan dibunuh.
Sehinggalah datang pada satu hari, surat baginda Khalifah dari Baghdad. Dalam surat yang ditujukan kepada Gabenor negeri itu diberitahukan supaya semua kaum Syiah ditangkap. Yang paling penting utk ditangkap adalah para pemimpinnya, jika pekerjaan penangkapan telah selesai semua mereka akan dikirimkan ke Baghdad. Semuanya harus dibelenggu dan dirantai. Disebabkan perbuatan fitnah, Imam Syafie juga ditangkap, sebab di dalam surat tersebut menyenaraikan Imam Syafie termasuk dalam senarai para pemimpin Syiah.
Peristiwa itu terjadi pada bulan Ramadhan, Imam Syafie dibawa ke Baghdad dengan dirantai kedua belah tangannya. Dalam keadaan dibelenggu itu para tahanan disuruh berjalan kaki mulai dari Arab Selatan (Yaman) sampai ke Arab Utara (Baghdad), yang menempuh perjalanan selama dua bulan. Sampai di Baghdad belenggu belum dibuka, yang menyebabkan darah-darah hitam melekat pada rantai-rantai yang mengikat tangan mereka.
Pada suatu malam pengadilan pun dimulai. Para tahanan satu persatu masuk ke dalam bilik pemeriksaan. Setelah mereka ditanya dengan beberapa kalimat, mereka dibunuh dengan memenggal leher tahanan tersebut. Supaya darah yang keluar dari leher yang dipotong itu tidak berserak ia dialas dengan kulit binatang yang diberi nama dengan natha’.
Imam Syafie dalam keadaan tenang menunggu giliran, dengan memohon keadilan kepada Allah SWT. Kemudian beliau dipanggil ke hadapan baginda Khalifah. Imam Syafie menyerahkan segalanya hanya kepada Allah SWT. Dengan keadaan merangkak kerana kedua belah kaki beliau diikat dengan rantai, Imam Syafie mengadap Sultan. Semua para pembesar memperhatikan beliau.
“Assalamualaika, ya Amirul Mukminin wabarakatuh.” Demikian ucapan salam beliau kepada baginda dengan tidak menyebut “Warahmatullah.”
“Wa alaikassalam warahmatullah wabarakatuh.” Jawab baginda. Kemudian baginda bertanya: “Mengapa engkau mengucap salam dengan ucapan yang tidak diperintahkan oleh sunnah, dan mengapa engkau berani berkata-kata dalam majlis ini sebelum mendapat izin dari saya?”
Imam Syafie menjawab: “Tidak saya ucapkan kata “Warahmatullah” kerana rahmat Allah itu terletak dalam hati tuanku sendiri.” Mendengar kata-kata itu hati baginda menjadi lembut. Kemudian Imam Syafie membaca surah An-Nur ayat 55 yang bermaksud:
“Dan Allah telah berjanji kepada orang-orang yang beriman di antara kamu dan mengerjakan amal-amal yang soleh bahawa Dia sungguh-sungguh akan menjadikan mereka berkuasa di bumi, sebagaimana Dia telah menjadikan orang-orang yang sebelum mereka berkuasa, dan sesungguhnya Dia akan meneguhkan bagi mereka agama yang telah diredhaiNya untuk mereka, dan Dia benar-benar akan menukar (keadaan) mereka, sesudah mereka berada dalam ketakutan menjadi aman sentosa.”
Setelah membaca ayat di atas kemudian Imam Syafie berkata: “Demikianlah Allah telah menepati janjiNya, kerana sekarang tuanku telah menjadi khalifah, jawapan salam baginda tadi membuat hati saya menjadi aman.” Hati baginda menjadi bertambah lembut. Baginda Harun ar Rashid bertanya kembali: “Kenapa engkau menyebarkan faham Syiah, dan apa alasanmu untuk menolak tuduhan atas dirimu.”
Imam Syafie berkata: “Saya tidak dapat menjawab pertanyaan tuanku dengan baik selagimana saya masih dirantai begini, jika belenggu ini dibuka Insya-Allah saya akan menjawab dengan sempurna. Lalu baginda memerintahkan kepada pengawal untuk membukakan belenggu yang mengikat lmam Syafie itu.
Setelah rantai yang membelenggu kedua kaki dan tangannya itu dibuka, maka Imam Syafie duduk dengan baik kemudian membaca surah Hujarat ayat 6:
“Hai orang-orang yang beriman, jika datang kepadamu orang fasiq yang membawa suatu berita, maka periksalah dengan teliti agar kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada suatu kaum tanpa mengetahui keadaannya yang menyebabkan kamu menyesal atas perbuatanmu itu.” “Ya Amirul Mukminin, sesungguhnya berita yang sampai kepada baginda itu adalah dusta belaka. Sesungguhnya saya ini menjaga kehormatan Islam. Dan tuankulah yang berhak memegang adab kitab Allah kerana tuanku adalah putera bapa saudara Rasulullah SAW iaitu Abbas. Kita sama-sama menghormati keluarga Rasulullah. Maka kalau saya dituduh Syiah kerana saya sayang dan cinta kepada Rasulullah dan keluarganya, maka demi Allah, biarlah umat Islam sedunia ini menyaksikan bahawa saya adalah Syiah. Dan tuan-tuan sendiri tentunya sayang dan cinta kepada keluarga Rasulullah.” Demikianlah jawapan Imam Syafie dengan penuh keberanian. Baginda Harun ar Rasyid pun menundukan kepalanya kemudian ia berkata kepada Imam Syafie: “Mulai hari ini bergembiralah engkau kerana lenyaplah perselisihan antara kami dengan kamu, kerana kami harus memelihara dan menghormati pengetahuanmu yg hebat itu wahai Imam Syafie.”
Demikianlah kehidupan Imam Syafie sebagai ulama besar, yang tidak lepas dari berbagai cubaan serta seksaan dari pihak yang tak mengerti akan hakikat kebenaran yang sesungguhnya. Hanya ketabahan dan keimanan serta pengetahuanlah yang dapat menghadapi setiap cubaan itu sebagai suatu ujian dari Allah SWT yang harus kita hadapi. Benarlah kata2 pujangga Arab yang mengatakan:
العالم إذا خاف الله أهابه من كل شيء, والعالم إذا لم يخف الله خاف من كل شيء
“Org Alim, apabila dia takutkan Allah, maka semua yg wujud akan merasakan kehebatan dan menyeganinya, tetapi seorang alim apabila tidak takutkan Allah, dia sendiri pula yang akan takut kepada apa jua yang wujud”.
Demikianlah kisah seorang tokoh Islam yang tidak sepatutnya kita lupakan, kerana sememangnya kita tidak boleh lepas untuk mensyukuri beliau, kerana kebanyakan masalah-masalah agama yang kita hadapi dan kita amalkan pada hari ini adalah melalui perantaraan beliau sebagai memahami apa yg terkandung di dalam al-Qur’an dan as-Sunnah, oleh itu marilah kita mengenang semula jasa-jasa al-Imam as-Syafei rahimullah dan mengikuti jejak langkah beliau di dalam mempertahankan agama Islam ini…sesungguhnya Mazhab Syafei tidak akan wujud sekiranya tidak wujud dia yg bernama Muhammad bin Idris as-Syafei rahimahullah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan