Ustaz Mohd Aizam Mas'od
Mari kita melihat sebentar ke negara barat seumpama Amerika Syarikat yang menyaksikan berleluasanya wabak atau fenomena tidak mahu berkahwin di kalangan masyarakat mereka terutamanya kaum wanita apatah lagi kaum lelaki mereka. Justeru itu kita melihat ramai anak-anak yang lahir tanpa mempunyai bapa, bertambahnya kadar bilangan ibu tunggal dari tahun ke tahun. Ini bukan sekadar berlaku di Amerika Syarikat bahkan di negara-negara barat yang lain seumpama Britain, Perancis dan lain-lain. Ini semua membuktikan kepada kita betapa hancurnya institusi kekeluargaan di Eropah dan Barat.
Fenomena ini pada hakikatnya membuahkan suatu keruntuhan kepada kekuatan sosial dan tamadun manusia. Sehingga sampai kepada satu tahap apabila kaum wanita lebih gemar memelihara haiwan daripada melahirkan dan memelihara anak sendiri. Bagi mereka karier atau kerja adalah lebih penting. Manakala anak-anak adalah satu bebanan yang menyusahkan kerana terpaksa menjaga makan dan minum, sakit demam dan sebagainya. Kalau dulu mereka bebas ke disko, keluar pada lewat malam dan balik pada pagi hari, bertukar-tukar pasangan tanpa jemu, tetapi setelah berkahwin kehendak-kehendak nafsu seperti ini mungkin akan menyekat kebebasan mereka. Itu sebab akhirnya mereka mengambil keputusan untuk terus membujang dan terus tidak memiliki anak supaya terus dapat bebas dalam menjalani kehidupan yang mereka sangkakan itu merupakan jalan yang terbaik bagi mereka.
Di negara kita gejala seumpama ini sedikit demi sedikit semakin menular ke dalam masyarakat kita bahkan semakin menjadi budaya di dalam masyarakat Melayu Islam pada hari ini. Sedangkan kita tahu bahawa fenomena seperti ini boleh menghancurkan aqidah Islam, akhlak Islam bahkan meruntuhkan tamadun manusia. Bila dibuat penyelidikan kita dapati golongan Melayu Islam adalah merupakan jaguh di dalam banyak hal seperti ketagihan arak, khalwat, suka berkahwin kemudian suka pula bercerai, melacur, sumbang mahram, budaya rock, lelaki berlagak seperti perempuan, perempuan berlagak seperti lelaki, pemuja artis-artis liar dan ditambah lagi kes-kes umpama bohsia, bohjan, anak gadis lari dari rumah, anak gadis dirogol, anak gadis bawah umur melacur diri, buang bayi, penderaan dan akhirnya sampai kepada tahap seorang muslim itu sudak muak dengan agama yang dianutinya akhirnya dia bertindak keluar daripada Islam ataupun murtad dari Islam.
Di sinilah terletaknya nikmat Islam dan kebaikan Islam. Ketika dunia dalam kebingungan, kecelaruan dan keruntuhan maka Allah telah menyediakan pembeza iaitu al-Furqan. Firman Allah:
] تبارك الذي نزل الفرقان على عبده ليكون للعالمين نذيرا [
Bermaksud: Maha berkat Allah yang menurunkan al-Furqan kepada hambaNya (Muhammad) untuk menjadi peringatan dan amaran bagi seluruh penduduk alam.
Manusia tidak tahu hakikat kebaikan dan apakah pula hakikat keburukan? Apa bezanya di antara nikah dan zina? Apakah erti anak sah dan anak luar nikah? Apakah judi, arak, riba itu baik untuk manusia? Manusia terpaksa membuat pelbagai penyelidikan untuk mencari jawapannya. Ada yang berjaya tetapi kebanyakannya gagal.
Hakikatnya umat Islam telah disediakan dengan jawapan yang konkrit, tepat dan bersepadu. Mana yang hak dan mana yang batil, mana yang betul dan mana yang palsu. Inilah nikmat terbesar sekali yang dianugerahkan oleh Allah kepada hambaNya iaitu nikmat Iman dan Islam.
Institusi keluarga adalah merupakan institusi yang sangat penting pada pandangan Islam. Keruntuhan institusi ini boleh membawa kepada punca segala masalah dalam sesebuah negara. Masalah agama, masalah sosial, masalah akhlak bahkan boleh membawa keruntuhan sesebuah negara.
Contohnya apabila terdapat pemimpin-pemimpin yang dituduh mempunyai skandal dengan wanita simpanan walaupun telah mempunyai isteri, mempunyai anak luar nikah dan sebagainya. Akhirnya dengan sifat-sifat pemimpin yang seperti ini menyebabkan negara hancur begitu sahaja. Oleh sebab itu, di antara tanggungjawab yang sangat dititikberatkan oleh Islam di dalam institusi kekeluargaan adalah menjaga keturunan dan zuriat yang lahir.
Anak adalah merupakan amanah Allah kepada kita. Maka hendaklah kita menjaga amanah tersebut dengan sempurna yang mungkin. Namun begitu Allah telah pun memberikan petunjuk dan pedoman untuk menjaga amanah tersebut. Terpulanglah kepada kita untuk menerima atau menolaknya tepuk dada tanya iman kita.
Proses pembentukan anak yang soleh dan bertaqwa bukanlah bermula pada peringkat bayi, malah bermula sebelum perkahwinan lagi.
Proses Pertama: Niat
Sepertimana hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim;
إنما الأعمال بالنيات وإنما لكل امرئ ما نوى
Bermaksud: Sesungguhnya setiap amalan itu adalah mengikut niat. Dan sesungguhnya bagi setiap manusia itu mendapat apa yang diniatkan.
Seseorang yang bernikah itu di antara mereka ada yang berniat untuk melahirkan zuriat yang berjaya di dunia dan akhirat. Orang yang seperti ini adalah orang yang jelas matlamat ia dijadikan Allah, berbeza dengan mereka yang berkahwin semata-mata untuk memuaskan hawa nafsu dan tidak mengikut syariat Islam, mereka sebenarnya tidak memahami hikmah melalui stu perkahwinan, adakah ianya hanya sekadar melahirkan zuriat kemudian dibiarkan dan disuapkan dengan apa jua yang dirasakan sesuai kepadanya mengikut acuan akal fikiran hawa nafsunya. Misalnya, jika dia seorang peniaga maka dia akan bercita-cita supaya anaknya menjadi sepertinya bahkan lebih berjaya darinya, sekiranya dia seorang penyanyi maka dia pula akan menjadikan anaknya itu bermula dari lahirnya, mengasuhnya supaya menjadi seorang penyanyi sepertinya…apakah semua ini merupakan maksud daripada tujuan Allah mengurniakan zuriat kepada manusia?? Kalaulah ini yang menjadi dasar pegangan kepada ibu bapa maka berkemungkinan seorang anak itu hanya akan mendapat kejayaan dalam bidang keduniaan semata-mata. Nahkan sebahagian darinya keciciran kedua-duanya sekali, dunia mahupun akhiratnya juga.
Proses Kedua: Memilih pasangan yang soleh.
Perlu diperingatkan kepada muda-mudi kita, mereka yang berkahwin kerana kecantikan semata-mata perlulah sedar bahawa kecantikan adalah bersifat sementara untuk beberapa tahun sahaja, selepas itu ianya akan hilang dimakan usia.
Perkahwinan bukanlah merupakan kenyataan yang manis sepanjang masa, yang diimpikan oleh sesetengah muda-mudi sebagai syurga dunia, tetapi ianya merupakan ujian kesabaran, pengorbanan dan ujian ketahanan. Berapa ramai manusia yang cantik-molek, gagah, kacak, kaya raya…berkahwin hari ini, bulan depan bercerai, bahkan telah menjadi seakan-akan satu tradisi bagi golongan-golongan tertentu yang menjadikan ‘perkahwinan’ bak pesta keraian untuk sehari dua, diumumkan, diisytiharkan, diarak ke sana ke mari…dipamerkan di dada-dada akhbar…kemudin esok lusa, bulan depan, tahun depan…diumumkan rumahtangga mereka telah musnah… hakikatnya kita persoalkan apakah yang musnah itu? Adakah rumahtangga itu yang musnah atau sebenarnya fahaman agama mereka yang telah musnah??
Oleh itu setiap pasangan mestilah memilih pasangannya yang beragama umpamanya memilih bakal isteri yang solehah, yang senang mendengar teguran dan nasihat. Mereka juga selalunya mempunyai inisiatif yang tersendiri untuk membaca, mendengar dan mencari ilmu-lmu Islam. Sudah tentu mereka inilah yang boleh layak untuk membantu anak-anak supaya menjadi anak-anak yang soleh dan solehah.
Proses Ketiga: Menanam benih.
Sewaktu menanam benih (persetubuhan) hendaklah kita mengikut sunnah yang diajarkan oleh Rasullullah s.a.w. dengan membaca doa sekurang-kurangnya;
أعوذ بالله من الشيطان الرجيم
بسم الله الرحمن الرحيم
Ini adalah penting supaya benih kita mendapat keberkatan dan terhindar daripada perbuatan-perbuatan Syaitan.
Sesungguhnya Iblis dan Syaitan sentiasa bersama kita dalam setiap amalan pekerjaan manuia seperti makan minum dan dalam persetubuhan yang kita tidak sebut nma Allah.
Proses Keempat: Makanan yang halal.
Setiap perempuan yang sedang mengandung mestilah menjauhi dari makanan yang berasal dari sumber-sumber yang shubhat, apatah lagi yang haram seperti perjudian, riba, rasuah dan sebagainya. Hal ini bukan sahaja semasa mengandung tetapi sepanjang hari sepanjang hayat sebagai suami isteri.
Untuk memastikan setiap makanan itu halal dan berkat bila dimakan hendaklah ucapkan lafaz ijab dan Kabul semasa berlakunya jual beli. Manakala harta yang dimiliki hendaklah dikeluarkan zakat (bermakna bersih lagi bertambah ) mudah-mudahan kehidupan suami isteri bertambah kasih sayang dan lahir zuriat yang bersih lagi mulia akhlaknya.
Di samping itu juga untuk melahirkan zuriat yang soleh, keluaraga hendaklah menekankan kebersihan dalam makanan dan semestinya ia adalah halal. Setiap makanan yang shubhat dan haram akan menjadi benih-benih kita seterusnya menjadi darah daging anak cucu kita yang kaan menbentuk hati dan perasaan serta akal lalu menjadikan mereka degil , keras hati, lembap, kurang cerdas dan sebagainya.
Proses Kelima: Membanyakkan Ibadah.
Ibu bapa hendaklah banyak beramal dan beribadah. Laksnakan kewajipan dan tambahkanlah dengan perkara sunat. Terutamanya solat lima waktu, di samping membanyakkan bacaan al-Qur’an, kerana ianya mempunyai kesan langsung kepada lidah, hati dan lebih-lebih lagi kepada janin anak yang sedang dikandung. Apa yang menyedihkan kita kedapatan sebahagian anak-anak yang mana pada sepanjang hayatnya tidak pernah melihat ibu bapanya bersembahyang di rumah atau membaca al-Qur’an al-Karim… akhirnya mereka menganggap sembahyang itu bukanlah satu kewajipan kerana itulah suasana yang mereka terima semenjak masih kecil lalu apabila meningkat dewasa ia menjadi pegangan dan ikutannya.
Ibu bapa juga hendaklah menjauhi semua jenis maksiat yang boleh sampai kepada janin melalui pancaindera seperti hiburan, filem, majalah-majalah yang melalaikan, mempunyai unsur-unsur maksiat dan sebagainya.
Sebagai kesimpulan membentuk anak agar menjadi zuriat yang soleh lagi pintar dan bijaksana adalah kewajipan kita yang berat dan tidak boleh dipandang ringan kerana ia adalah perintah Allah kepada kita. Bila disebut perintah Allah, hikmah dan rahsianya ada di dalam ilmu Allah, alangkah baiknya jikalau dunia ini dihuni oleh anak-anak yang baik tuturkatanya, mulia akhlaknya, bijak fikirannya dan alangkah malangnya dunia ini kiranya keturunannya buruk akhlaknya, kasar tuturkatanya serta perbuatannya. Oleh itu kita sebagai ibu bapa dan semua pihak hendaklah menunaikan amanah serta perintah Allah ini, itulah hikmahnya, itulah rahsianya perintah dan suruhan Allah agar dilaksanakan. Dunia aman bahagia dan akhirat memperolehi kesejahteraan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan