Selasa, 6 April 2010

Salahuddin al-Ayyubi Pembebas Masjid Aqsa

Oleh: Ustaz Mohd Aizam Mas'od.

Pada kesempatan ini saya akan menceritakan detik-detik bagaimana al-Quds atau Baitul Maqdis dapat dibebaskan buat kesekian kalinya supaya dapat kita jadikan perbandingan dan perjuangan antara golongan salafussaleh yang mempertahankan dan memerdekakan agama Allah swt di atas muka bumi ini dengan perjuangan kita yang ada pada hari ini.

Seperti yang kita maklum Jerusalem atau Palestin adalah merupakan kota suci bagi ketiga-tiga agama samawi yakni Islam, Yahudi dan Kristian. Di dalam kota inilah terletaknya Masjid al-Aqsa yang dibangun oleh Nabi Sulaiman dan menjadi kiblat pertama umat Islam sebelum beralih ke Baitullah di Makkah. Ketika Nabi Muhammad saw Isra’ singgah dan solat di masjid ini sebelum Mi’raj ke langit.

Firman Allah yang bermaksud: Maha suci Allah yang memperjalankan hambanya pada waktu malam daripada Masjid al-Haram ke Masjid al-Aqsa yang kami berkati disekelilingnya agar kami perlihatkan kepadanya sebahagian dari tanda-tanda kebesaran kami. Sesungguhnya dialah Maha Mendengar lagi Maha Melihat.

Semasa pemerintahan Khalifah Umar al-Khattab (13-23 H / 634-644 M) Palestin telah dapat ditawan oleh kaum Muslimin dalam satu penyerahan kuasa secara damai. Khalifah Umar sendiri telah datang ke Jerusalem untuk menerima penyerahan kota suci itu atas desakan dan persetujuan Uskup Agung Sophronius.

Berabad lamanya kota itu berada di bawah pentadbiran Islam, tetapi penduduknya bebas memeluk agama dan melaksanakan ajaran masing-masing tanpa ada sebarang gangguan. Orang-orang Kristian dari seluruh dunia diberikan kebebasan datang untuk mengerjakan haji di kota suci itu dan mengerjakan upacara keagamaannya. Orang-orang Kristian dari Eropah datang mengerjakan haji dalam rombongan yang ramai dengan membawa obor dan pedang seperti tentera.

Namun begitu apabila Jerusalem ditadbir oleh kerajaan Islam Saljuk pada tahun 1070M, upacara seperti itu tidak dibenarkan, dengan alasan keselamatan. Malangnya tindakan kerajaan Islam Saljuk itu menjadi salah anggapan oleh orang-orang Eropah. Ketua-ketua agama mereka telah berkempen kononnya kebebasan agama mereka telah dicabuli oleh orang-orang Islam dan menyeru agar Tanah Suci itu dibebaskan dari genggaman umat Islam.

Patriach Ermite adalah paderi yang paling lantang bertungkus lumus mengapi-apikan kemarahan umat Kristian, dia berusaha untuk menarik simpati umat Kristian, Ermite telah berkeliling Eropah dengan menaiki seekor kaldai sambil memikul kayu Salib besar, berkaki ayam dan berpakaian dengan compang camping. Dia telah berpidato di hadapan ramai sama ada di dalam gereja, di jalan-jalan atau di pasar-pasar. Dia menceritakan kononnya di amelihat pencerobohan kesucian ke atas kubur Nabi Isa as oleh kerajaan Islam Saljuk. Diceritakan bahawa jemaah haji Kristian telah dihina, dizalimi dan dinista oleh orang2 Islam di Palestin. Serentak dengan itu dia menggalakkan orang ramai agar bangkit menyertai perang untuk membebaskan Palestin dari tangan orang2 Islam. Hasutannya berhasil apabila Paus Urbanus II mengumumkan ampunan seluruh dosa bagi yang bersedia dengan suka rela mengikuti peperangan suci itu. Maka keluarlah ribuan umat Kristian untuk mengikuti perang dengan memikul senjata untuk menyertai perang suci. Mereka yang ingin mengikuti perang ini diperintahkan agar meletakkan tanda salib di badannya, oleh kerana itulah perang ini disebut sebagai Perang Salib. Paus Urbanus menetapkan tarikh 15 Ogos 1095 bagi keberangkatan tentera Salib menuju ke Timur Tengah maka disinilah permulaan berlakunya peperangan Salib yang melibatkan antara kaum Muslimin dan kaum Kristian.

Setelah berlaku pertempuran yang sekian lamanya, akhirnya kaum Salib dapat mara dan mengepung Baitul Maqdis, namun begitu pendudk Islam kota suci itu tidak mudah untuk menyerah kalah begitu sahaja. Mereka telah berjuang dengan jiwa raga mempertahankan kota suci itu habis-habisan sehingga sebulan lamanya. Akhirnya pada 15 julai 1099, Baitul Maqdis jatuh ke tangan pasukan tentera Salib.

Sewaktu penaklukan Kristian ke atas orang-orang Islam maka berlakulah satu keganasan luar biasa yang belum pernah terjadi dalam sejarah umat manusia. Mereka telah menyembelih penduduk awam Islam lelaki, perempuan dan kanak-kanak dengan sangat ganas sekali. Mereka juga membantai orang-orang Yahudi dan orang-orang Kristian yang enggan bergabung dengan kaum Salib. Keganasan kaum Salib Kristian yang sangat melampau itu telah dikutuk dan diperkatakan oleh para saksi dan penulis sejarah yang terdiri daripada pelbagai berbagai agama dan bangsa.

Seorang ahli sejarah Perancis, Michaud berkata: “Pada saat penaklukan Jerusalem oleh orang kristian pada tahun 1099, orang-orang Islam dibantai di jalan-jalan dan di rumah-rumah. Jerusalem tidak punya tempat lagi bagi orang-orang Islam yang kalah itu. Beberapa orang cuba mengelak dari kematian. Namun mereka tetap tidak dapat menyembunyikan diri dari pengejaran orang-orang kristian itu”. Demikianlah kisah betapa zalimnya musuh-musuh Islam ketika kuasa berada di tangan mereka.

Benarlah firman Allah di dalam surah Nur ayat 55 yang bermaksud: Allah telah berjanji kepada orang yang beriman dikalangan kamu serta yang beramal soleh bahawa sesungguhnya dia akan menjadikan mereka berkuasa di bumi, sebagaimana dia telah menjadikan orang-orang yang sebelum mereka berkuasa dan sesungguhnya dia akan meneguhkan mereka agama mereka yang telah diredhai dan dia benar-benar akan menukar keadaan mereka sesudah mereka berada dalam ketakutan kepada menjadi aman sentosa.

Setelah hampir 40 tahun kaum Salib menduduki Baitul Maqdis maka lahirlah seorang pemimpin agung tersohor di dunia timur dan barat beliau adalah Sultan Salahuddin al-Ayyubi, baginda lahir pada tahun 1138M. Keluarga Salahuddin merupakan keturunan yang taat beragama dan berjiwa pahlawan. Ayahnya Najmuddin Ayyub adalah seorang termasyhur dan beliau jugalah yang bertanggungjawab memberikan pendidikan awal kepada anaknya Salahuddin. Beliau adalah pengasas Daulah Al-Ayyubiyyah dan berbangsa Kurdis dan beliau bergelar Sultan Salahuddin. Seorang pahlawan Islam yang paling gagah berani dalam peperangan Salib dan berhasil merebut kembali Baitul Maqdis dari tangan kaum Salib Kristian.

Kelahiran Sultan Salahuddin al-Ayyubi ke dalam dunia Islam telah memberikan kekuatan baru kepada umat Islam pada zaman tersebut. Sejarah telah mencatatkan setelah Baginda melalui berbagai siri-siri peperangan dan menakluk berbagai benteng dan kota, sampailah Sultan Salahuddin pada matlamat utamanya bahkan matlamat asal perjuangan baginda iaitu untuk memerdekakan Baitul Maqdis daripada tangan golongan kuffar. Ahli sejarah mencatatkan beliau telah mengepung Jerusalem selama 40 hari 40 malam, membuatkan penduduk kuffar di dalam kota itu tidak dapat berbuat apa-apa sehinggakan berlakunya kekurangan kepada keperluan asas mereka. Pada waktu itu Palestin dipenuhi dengan kaum pelarian dan orang-orang yang terselamat dalam peperangan Hittin. Tentera pertahanan kaum Kristian sendiri adalah tidak kurang dari 60,000 orang pada ketika itu.

Pada awalnya Sultan Salahuddin menyeru agar kota suci itu diserahkan secara damai. Baginda sekali-kali tidak ingin bertindak seperti yang dilakukan oleh Godfrey dan orang-orangnya pada tahun 1099 untuk membalas dendam. Akan tetapi pihak Kristian telah menolak tawaran baik dari Sultan, bahkan mereka mengangkat Komandan Perang untuk mempertahankan kota itu. Oleh kerana mereka menolak seruan itu, Sultan Salahuddin bersumpah untuk membunuh semua orang Kristian di dalam kota itu sebagai membalas dendam ke atas peristiwa 90 tahun yang lalu. Pasukan Muslimin mula melancarkan serangan ke atas kota itu dengan anak panah dan manjanik.

Setelah berlangsung serangan selama 14 hari, kaum Salib melihat bahawa pintu benteng mereka hampur musnah oleh serangan kaum muslimin. Para pemimpin Salib akhirnya merasa takut melihat kegigihan dan kekuatan pasukan Muslimin yang hanya tinggal menunggu masa untuk melanggar masuk. Beberapa pemimpin Kristian akhirnya telah keluar menemui Sultan Salahuddin menyatakan hasratnya untuk menyerahkan kota suci secara aman dan meminta agar nyawa mereka diselamatkan maka berlangsunglah penyerahan kota secara aman dengan syarat setiap penduduk mesti membayar wang tebusan yang ditetapkan.

Maka pada hari Jumaat 27 Rejab 538H Sultan Salahuddin bersama kaum Muslimin berjaya memerdekakan Baitul Maqdis. Mereka melaungkan “Allahu Akbar” dan bersyukur kehadrat Allah swt. Air mata kegembiraan menitis di setiap pipi kaum Muslimin sebaik saja memasuki kota itu. Para ulama dan solehin datang mengucapkan tahniah kepada Sultan Salahuddin di atas perjuangannya yang telah berhasil. Apalagi tarikh kemerdekaan Palestin itu bersamaan dengan tarikh Isra dan Mi’raj Nabi saw dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa. Pada hari Jumaat tersebut, kaum Muslimin tidak sempat melaksanakan solat Jumaat di Masjidil Aqsa kerana sempitnya waktu. Mereka terpaksa membersihkan Masjid Suci itu dari babi, kayu-kayu salib, gambar-gambar rahib dan patung-patung yang dipertuhankan oleh kaum Kristian. Barulah pada hari Jumaat berikutnya mereka melaksanakan solat Jumaat di Masjidil Aqsa buat pertama kalinya dalam masa 92 tahun.

Begitulah kisah kehebatan Sultan Salahuddin al-Ayyubbi seorang pahlawan terbilang dan panglima Islam yang besar. Pada beliau terkumpulnya sifat-sifat berani, wara’, zuhud, khusyu’, pemurah, pemaaf, tegas dan lain-lain sifat terpuji. Para ulama dan penulis sejarah telah memberikan pujian yang melangit, sifat pemurah dan pemaafnya diakui oleh kawan dan lawan.

Seorang penulis sejarah mengatakan: Hari kematian baginda Sultan merupakan kehilangan besar bagi agama Islam dan kaum Muslimin, kerana mereka tidak pernah menderita melainkan semenjak kehilangan keempat-empat khilafah yang pertama. Istana, kerajaan dan dunia diliputi oleh wajah-wajah yang muram, seluruh kota terbenam dalam dukacita dan rakyat mengikuti keranda jenazahnya dengan tangisan dan ratapan.

Sultan Salahuddin adalah seorang pahlawan yang menghabiskan waktunya dengan bekerja keras siang dan malam demi untuk Islam. Hidupnya sangat sederhana. Minumnya hanya air kosong. Makanannya sederhana, pakaiannya dari jenis benag kasar. Beliau senantiasa menjaga waktu-waktu solat dan mengerjakannya berjamaah. Dikatakan bahawa beliau sepanjang hayatnya tidak pernah terlepas dari mengerjakan solat berjamaah. Sebaik sahaja imam masuk berdiri ditempatnya beliau sudah siap di dalam saf. Beliau suka mendengarkan bacaan al-Qur’an, Hadis dan ilmu pengetahuan.

Seluruh kaum Muslimin yang menyaksikan kewafatannya, menitiskan air mata apabila Sultan yang mengepalai negara yang terbentang luas dari Asia hingga ke Afrika itu hanya meninggalkan warisan 1 dinar dan 36 dirham sahaja. Tidak meninggalkan emas, tidak punya tanah atau kebun. Tidak juga meninggalkan saham berbilion ringgit. Padahal baginda telah berkhidmat kepda kerajaan kerajaan berpuluh tahun dan memegang jawatan sebagai panglima perang dan menteri besar sebelum menubuhkan Amiriyyah Ayyubiyyah.

Kain yang dibuat kafannya adalah betul-betul dari warisan beliau yang jelas halal dan sangat sederhana. Anak beliau yang bernama Fadhal telah masuk ke liang lahad meletakkan jenazah ayahnya. Dikatakan bahawa beliau dikebumikan bersama-sama pedangnya yang dipergunakan dalam setiap peperangan agar dapat menjadi saksi dan dijadikannya tongkat kelak pada hari kiamat.

Demikianlah kehebatan Sultan Salahuddin seorang pemimpin dunia seorang pahlawan terbilng seorang ahli ibadah juga seorang bapa kemerdekaan kepada tanah suci umat Islam Baitul Maqdis.

Oleh itu marilah kita sama-sama berdoa agar Allah membangkit sekali lagi buat kita seorang mujaddid Islam yang sifat-sifatnya adalah seumpama pemimpin agung Sultan Salahuddin al-Ayyubi agar Islam dan umatnya dapat dibela dan seluruh umat Islam dapat dimerdekakan dengan kemerdekaan yang sebenar yang dikehendaki oleh Allah dan RasulNya iaitu kemerdekaan daripada syirik dan dosa.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan