Sabtu, 5 Januari 2013

Hukum Hakam Berkenaan Bermukim Dan Berhijrah Dari Perspektif Feqah Islam




Hukum Pertama :

Permukiman terbaik seorang muslim adalah tempat yang dia boleh melakukan ketaatan di dalamnya.

Orang Islam diperintahkan untuk mencari tempat yang paling hampir dan mudah untuk melakukan ketaatan kepada Allah, tempat yang paling membantu memelihara urusan agama. Inilah perkara yang disepakati oleh semua fuqaha' tanpa khilaf.

Ibnu Taimiyah berkata : 

Pemilihan tempat bermukim adalah setiap tempat yang memiliki ruang untuk lebih taat kepada Allah dan Rasul dan lebih berupaya untuk melakukan kebaikan dan pahala dan juga lebih bertenaga dan subur untuk pelaksanaan perintah agama. Ini kerana, semulia-mulia makhluk Allah adalah yang paling bertakwa.
(Majmu' al Fatawa 27/39).

Hukum Kedua:

Hijrah menjadi wajib kepada setiap muslim apabila agamanya terganggu. 

Tempat dimana terhalangnya aqidah daripada dizahirkan dan syariat agama dari dilaksanakan sama ada bumi itu bumi kafir atau bumi islam yang ditawan kafir atau bumi Islam yang dikuasai oleh pemerintah yang berhukum bukan dengan hukum Islam dan menahan penduduknya dari melaksanakan syiar Islam dan menzahirkan aqidahnya.

Maka ini semua adalah dianggap negeri yang terancamnya aqidah islam yang mesti ditinggalkan kerana kemaslahatan menjaga agama. Hijrah ketika itu adalah wajib dan tidak diberi keuzuran bagi muslim untuk tidak berhijrah kecuali kepada mereka yang lemah dengan sebab sekatan penzalim atau terlampau tua yang tidak mampu berpindah randah atau masih belum mukallaf seperti kanak-kanak dan orang gila atau perempuan yang tidak ditemani mahram dan perjalanan pula tidak aman. Jika jalan itu aman, wanita juga wajib berhijrah, walaupun tanpa mahram dan kenderaan yang sesuai.
(al Wala' wa Bara' 274).

Bukti paling jelas dalaam isu ini ialah hijrah Nabi saw yang berhijrah meninggalkan bumi yang mulia, Mekah al Mukarramah apabila ruang  untuk beragama dan berdakwah menjadi semakin sempit.

Al Mardawi berkata:

Hijrah menjadi wajib kepada mereka yang tidak berkemampuan untuk menzahirkan syiar agama di negara kafir harbi tanpa khilaf lagi. Namun ia terikat dengan syarat kemampuan. Jika berkemampuan maka hijrah menjadi wajib walaupun kepada perempuan dalam idah tanpa mahram dan kenderaan yang sesuai. 
( al Insaf 4/121 ).

Ibnu Taimiyah apabila ditanya tentang negeri Mardin apakah penduduknya wajib berhijrah sedangkan negeri itu sudah dijajah oleh tentera Tatar. Dia menjawab : Penduduk di situ jika tidak mampu lagi menegakkan agamanya, maka wajiblah berhijrah. Jika masih mampu maka hanya digalakkan belum lagi wajib.
( Majmu' al Fatawa 28/240 ).

Hukum ketiga

Seseorang muslim wajib bermukim di tempat yang keberadaannya di situ ada satu kemestian.
Seorang muslim yang bermukim di satu tempat dan permukimannya menjadi jalan untuk menolong Islam dan menjaga negeri atau mempertahankannya atau meringankan kemudaratan yang mendatang atau menghalangnya dari mudarat yang semakin parah.

Sama ada negeri itu negeri Islam yang dibimbangi akan dikuasai oleh musuh dengan sebab berhijrahnya penduduk atau bertambah ramainya musuh jika berlaku hijrah, atau pun negeri itu negeri kafir harbi yang diduduki oleh kaum muslimin di sebahagian juzuknya yang berasingan dari orang kafir dan mereka boleh menzahirkan Islam, yang dibimbangi jika mereka keluar darinya. Maka, kuasa kafir mengambil tempat kuasa Islam itu.
(Mughni Al Muhtaj 4/239).

Di dalam Hasyiyah Qalyubi di sebut :

" Seorang muslim yang tinggal di negeri kafir atau di negeri Islam yang dikuasai oleh orang kafir digalakkan baginya hijrah jika tiada harapan baginya untuk memberi bantuan kepada orang Islam dengan permukiman disitu. Dia juga tidak mampu untuk berpisah dari orang kafir. Jika ada harapan untuk melakukan demikian maka permukimannya disitu adalah lebih baik. Begitu juga jika ia mampu untuk berpisah dari orang kafir maka hijrah juga adalah haram supaya orang kafir tidak menguasai tempat itu dan mengubahnya menjadi negeri kafir.

Jika tidak berlaku semua ini maka hijrah menjadi wajib walaupun kepada perempuan tanpa mahram
(Hasyiyah Qalyubi 4/227).

Hukum keempat

Tempat yang sama sahaja untuk bermukim atau berhijrah ialah jika sesebuah negeri itu sama sahaja dari segi kebolehan menzahirkan agama dan aqidah atau menghalang darinya.

Demikian juga tiada keperluan bagi kaum muslimin untuk menentukan tempat tertentu bagi membantu kaum muslimin atau menyebar dakwah atau menuntut ilmu. Maka yang terbaik ketika itu seorang muslim memilih tempat di negeri Islam yang dikuasai kaum muslimin.

Makruh baginya bermukim di negeri kafir atau di negeri Islam yang dikuasai kafir. Ini kerana permukiman di kalangan kaum muslimin dapat meramaikan bilangan mereka mempereratkan persaudaraan Islam, menyaksikan kebaikan dan menyelami isu-isu kemaslahatan Islam dan kaum muslimin.
(al Mabshut 10/75).

Begitu juga digalakkan untuk memilih tempat-tempat yang dipuji Nabi s.a.w untuk bermukim seperti Syam, Yaman atau berdekatan dengan Makkah dan Madinah.

Hukum ke lima

Kadang-kadang bermukim di negeri kafir harbi atau negeri Islam yang telah dikuasai oleh musuh lebih baik dari berhijrah ke negeri Islam.

Ini berlaku apabila ada ruang yang masih boleh diharapkan untuk membantu kaum muslimin sekalipun tidak boleh berpisah dengan kaum kafir. Namun, masih memiliki kebebasan untuk syiar mengiklankan aqidah. Digalakkan ketika itu bagi ummat islam untuk bermukim di negeri kafir.

(Mughni al Muhtaj 4/239).

Hukum ke enam :

Apabila permukiman seorang muslim di negeri kafir harbi atau bersama kaum musyrikin yang merampas  negeri Islam adalah dengan perintah pemerintah kaum muslimin.

Ini berlaku dengan tujuan keselamatan atau seumpamanya. Dalam keadaan ini, permukiman seorang muslim bersama dengan kaum musyirikin walaupun terpaksa menyembunyikan agama atau beriltizam dengan agama secara senyap.

Maka wajiblah melakukan demikian kepada mereka yang telah ditetapkan oleh pemerintah islam untuk melaksanakannya.

Di dalam kitab Mughni al Muhtaj dicatatkan selepas kenyataan mengenai kewajipan berhijrah dari negeri kafir harbi kepada negeri Islam :

Dikecualikan daripada kewajipan berhijrah sesiapa yang permukimanya disitu membawa kemaslahatan kepada kaum muslimin.

Ibnu Abdul Bar dan beberapa ulama' lain menyebut bahawa Islamnya Al Abbas sebenarnya di Mekah lagi sebelum perang Badar tetapi dia menyembunyikan Islamnya. Dia lah yang menulis kepada Nabi s.a.w membawa berita-berita kaum musyrikin. 

Orang Islam percaya kepadanya. Dia mahu berhijrah kepada Rasulullah s.a.w maka Nabi s.a.w mengutuskan kepadanya surat supaya terus bermukim di Mekah dan itu lebih baik. Dia hanya menzahirkan Islamnya pada hari pembukaan kota Mekah

(Mughni Muhtaj 4/239).



Tiada ulasan:

Catat Ulasan