Sabtu, 12 Januari 2013

Hadith Muawiyah Dari Mimbar Masjid Nabawi.



Muawiyah ketika berkhutbah berkata: 

Aku pernah Rasulullah saw pernah bersabda: 
“ Sesiapa yang Allah swt mahukan kebaikan baginya, hendaklah dia memberi faham kepadanya agama. Sebenarnya aku hanyalah pembahagi, Allah sebenarnya yang memberi. Umat ini sentiasa tegak berdiri di atas perintah Allah. Tidak terganggu dengan mereka yang menyanggahi mereka sehinggalah datangnya urusan Allah.

Hadith riwayat al Bukhari dan Muslim.


Fiqh Hadith;


1.       Galakan dan ransangan supaya menuntut ilmu agama berbanding menuntut kekayaan dan kekuasaan serta lain-lain habuan dan keuntungan duniawi. Kelebihan Islam adalah untuk golongan ulama’ berbanding kelompok jutawan harta atau penguasa politik atau mana-mana status manusiawi yang menjadi kebanggaan duniawi.

2.       Memahami agama Allah adalah anugerah semata-mata. Kesungguhan usaha dan minat mendalam untuk memahami agama hanyalah datang dengan kehendak dan pilihan Allah swt. Justeru fakor keikhlasan niat kerana Allah dan permohonan doa hidayah dan taufiq adalah terlalu penting agar terpilih di kalangan hambanya yang mendalami agama.

3.       Tidak harus bagi mereka yang dikurniakan kefahaman agama untuk merasa kerdil atau hina di hadapan mereka yang tidak dikurniakan sedemikian walaupun mereka memiliki kekayaan atau kekuasaan. Sebaliknya, mereka hendaklah menghargai setingginya dan merasai kemuliaan diri dengan anugerah Allah kepada dirinya.

4.       Menuntut ilmu agama hendaklah sampai ke peringat tafaqquh iaitu kefahaman yang tepat lagi mendalam serta kematangan dalam berfikir dan bertindak menurut ilmu yang benar. Kefahaman inilah yang membolehkan dirinya beramal dan memperturunkan hukum syariat yang betul pada suasana yang sebenar.

5.       Berilmu tentang urusan agama adalah syarat utama kelayakan seseorang untuk memegang kepimpinan di setiap peringkat. Tidak harus diserahkan mana-mana jawatan awam umat Islam kepada mereka yang tidak memenuhi ciri terpenting ini. Inilah maksud Khalifah Muawiyah Bin Abi Sufyan sebagai pemerintah pertama Dinasti Bani Umaiyyah ketika dia menyampaikan hadith ini dari mimbar Rasulullah saw di Masjid Nabawi.
 
6.       Berkendak (Iradah) adalah sifat Allah swt. Kehendak ini menurut ahli asssunnah wal jamaah ada dua bahagian iaitu iradah kauniyyah qadariyyah (kehendak untuk perjalan alam dan takdir ) dan iradah diniyyah `syar’iyyah (kehendak untuk urusan agama dan hokum syara’ ).
 
7.       Iradah kauniyyah qadariyyah ialah kehendak Allah yang menjadi peraturan alam dan perjalanan kehidupan menurut ketetapan dan qhada’ takdir Allah swt. Ia meliputi seluruh kehidupan sejagat. Iradah ( kehendak ) ini tidak membezakan antara perkara dan urusan yang diredhai dan dikasihi Allah swt atau sebaliknya.

8.       Iradah diniyyah syar’iyyah pula adalah kehendak khusus dan teristimewa. Ia adalah kehendak dalam peraturan agama dan hukum hakam syara’. Ia adalah kehendak yang lahir dari perkenan dan kasih sayang Allah swt. Mereka yang Allah berkendakkan unutknya mematuhi dan menjalani peraturan agama dan hokum syara’ sebenarnya hanyalah kekasih dan kesayangan Allah swt.

9.       Pengagihan kekayaan dan pembahagian harta dan hasil mahsul dari sumber negara di dalam kerajaan Islam adalah menurut cara sunnah Rasulullah saw berdasarkan ketentuan dari Allah swt. Nabi saw sebagai ketua negara Islam menjelaskan bahawa pembahagiannya hanyalah menurut ketentuan dan pemberian dari Allah swt.

10.   Beriman kepada nama Allah swt sebagai al Mu’thi ( Maha pemberi ) dan al Maani’ ( Maha penghalang ). Tidak harus mana-mana kuasa untuk mencabar hak mutlak milik Allah ini dengan mmberi atau menghalang tudak menurut perkenan dan acuan perintah Allha swt.

11.   Tugasan pemerintah dalam konsep Negara Islam hanyalah pelaksana dan penunai amanah yang polisinya adalah ketetapan dan ketentuan dari Allah swt. Dengan kaedah dan formula ini sahajalah tertegaknya keadilan dan terjaminya kesaksamaan.

12.   Untuk memuaskan hati semua rakyat dan memenuhi segala kehendak dan kemahuan manusia adalah matlamat yang tidak akan tercapai. Maka, bukanlah menjadi tugasan pemerintah untuk memenuhi hawa nafsu dan segala kepentingan peribadi manusia. Sebaliknya nafsu dan kepentingan peribadi seharusnya tunduk kepada kehendak dan perkenan Allah swt. Kepuasan hati manusia hanya boleh terdidik dengan aqidah qadha’ dan qadar serta beriman kepada sifat dan nama Allah swt sebagai maha pemberi dan penyekat.

13.   Keistimewaan umat Muhammad saw yang mendapat jaminan Allah swt dan berita gembira Nabi saw bahawa terus kekal di kalangan mereka sekelompok umat yang tegak berdiri dangan penuh tanggungjawab dan beraninya mempertahankan agama Allah swt dan melaksanakan urusannya. Mereka adalah pewaris ilmu dan perjuangan Nabi saw sepanjang zaman.

14.   Ungkapan hadith ini sebenarnya adalah seruan kepada umat agar berpegang teguh dengan warisan alkitab dan as sunnah. Inilah yang difahami oleh imam al Bukhari ketika mengulang riwayat hadith ini dalam kitab al ‘itisam bil kitab was sunnah ( Berpegang teguh dengan al Quran dan al Sunnah ).

15.   Imam an Nawawi menerangkan kumpulan pengenak urusan Allah swt ini dengan katanya: Berkemungkinan kumpulan ini boleh dimaksudkan dengan pelbagai latar belakang mereka yang memperjuangkan agama seperti mijahid di medan, faqih ( ahli fiqh ), muhaddith ( ahli hadith ), zahid ( ahli kezuhudan ), penyuruh perkara ma’ruf dan pelbagai lapangan kebaikan. Tidak semestinya mereka berhimpun di satu tempat dan boleh jadi mereka berselerak.

16.   Lemahnya tipu daya dan perancangan musuh agama berhadapan dengan ketahanan jiwa dan keteguhan pendirian mempertahankan prinsip di dalam diri pendokong kebenaran. Segala usaha mereka tidak mampu untuk mengundang sebarang mudarat kepada para pejuang. Sebaliknya semakin teruji dan terdera, semakin terserlah kebenaran dan terbuktinya  kelurusan perjalanan yang dilalui.

17.   Bagi pendokong Islam, kesungguhan mereka untuk mendapat kemenangan dan dan menguasai kerajaan adalan untuk melaksanakan urusan Allah. Sebuah kerajaan adalah medan yang meriah dan lading subur untuk perlaksanaan syariat Allah swt. Ini jauh berbeza dengan pandangan keduniaan dan materialistik di kalangan mereka yang menuntut kuasa memerintah dengan melihat sebuah negara dan kerajaan itu sebagai sebuah lombong emas dan khazanah harta yang membuka peluang terhidang bagi mengumpul kekayaaan dan keuntungan sendiri.                 

      



Tiada ulasan:

Catat Ulasan