Ahad, 6 Januari 2013

Kelebihan al Madinah al Munawwarah dan Keistimewaannya Sebagai Ibu Negara Islam Pertama.



Pilihan Madinah sebagai bumi hijrah memiliki rahsia yang tersendiri yang hanya diketahui oleh Allah fizikal geografinya dikelilingi oleh benteng semula jadi seperti Harrah al Ghabrah di sebelah baratnya. Harrah Waqim dari sebelah timurnya.

Sebelah utaranya adalah satu-satunya sudut terbuka yang mana Nabi s.a.w menggali parit-parit dalam peperangan Khandak tahun ke-5 Hijrah ketika berdepan dengan tentera Ahzab.

Sudut lainnya di kelilingi dengan kebun kurma yang padat ditanam dengan pepohon yang menyempitkan perjalanan dan tidak sesuai menjadi jalan laluan bala tentera .

Boleh jadi inilah yang dimaksudkan oleh Nabi s.a.w ketika memberitakan Madinah sebagai tempat Hijrah :
(Sesungguhnya aku melihat negeri hijrah kamu mempunyai kebun-kebun kurma diantara dua kawasan batu hitam (Harrah). 

Sementara penduduknya yang terdiri daripada Aus dan Khazraj terkenal dengan kepahlawanan dan kekentalan serta sangat degil untuk tunduk kepada sesiapa.

Antara kelebihan Madinah di dalam hadis-hadis keistimewaannya ialah :

1.      Doa Nabi untuk mengasihinya. Nabi s.a.w pernah berdoa :

"Ya Allah! Kasihkan kepada kami Madinah sebagaimana kasihnya kami kepada Makkah atau lebih kuat ."

Anas menceritakan : " Selalunya Nabi s.a.w apabila tiba dari permusafiran dan mula melihat anak-anak tangga menurun ke Madinah, dia akan menggerakkan untanya laju.

Menurut sebahagian riwayat : Dia menggerakkan untanya laju kerana kasihkan Madinah.

  
2.      Doa Nabi s.a.w supaya berkat Madinah melebihi satu kali ganda berkat Mekah:

Dari Abu Hurairah katanya :
" Selalunya orang ramai apabila melihat buah-buah masak, mereka akan membawa kepada Nabi s.a.w.  
Baginda mengambilnya sambil berdoa :
Ya Allah ! Berkatkanlah untuk kami buah-buah kami. Berkatkanlah untuk kami Madinah kami. Berkatkanlah untuk kami kepada sukatan kami. Berkatkan lah untuk kami cupak kami.
Ya Allah ! Sesungguhnya Ibrahim hambamu, kekasihmu dan Nabi mu dan aku jua hambamu dan Nabi mu.

Sesungguhnya dia telah doakan untuk Makkah dan aku pula doakan kepadamu untuk Madinah seperti apa yang dia doakan untuk Makkah dan sekali ganda lagi ."
Kemudian baginda s.a.w memanggil, mencari bayi yang paling kecil lalu memberinya buah-buahan.


3.      Madinah terpelihara dari Dajjal dan Wabak Taun.

Allah swt telah menugaskan malaikat untuk menjaga Madinah sehingga tidak mampu dimasuki oleh Dajjal.
Disebut di dalam hadith tentang Dajjal antara lainnya :
" Tandanya ialah dia tinggal di bumi selama 40 pagi. Kerajaannya sampai ke setiap tempat kecuali 4 masjid yang dia tidak dapat mengunjunginya; Kaabah, Masjid Nabawi, Masjid Aqsa dan pergunungan Thur.

(Hadith Junadah bin Abi Umayah dari seorang sahabat Nabi s.a.w dalam Musnad Ahmad 5/364, al Haithami di dalam Majma' Az Zawaaij 7343 perawinya adalah rawi as sahih).

Sebagaimana Nabi s.a.w juga berdoa untuk Madinah kesihatan dan diangkat bala dari terkena wabak taun.

4.      Kelebihan bersabar dengan kesukaran Madinah.

Nabi s.a.w menjanjikan kepada mereka yang sabar dengan kesusuhan dan kepayahan hidup di Madinah untuk mendapat syafaatnya pada hari akhirat.

Dari Saad bin Abi Waqqas r.a katanya Rasulullah s.a.w bersabda :

" Madinah adalah lebih baik kepada mereka jika mereka mengetahuinya. Tiadalah seseorang yang meninggalkan Madinah kerana bencikannya melainkan Allah akan menggantikan untuk Madinah seseorang yang lebih baik darinya. Tidaklah seseorang yang mampu bertahan dengan kepayahan dan kesukaran hidup di Madinah melainkan aku akan menjadi pemberi syafaat atau saksi pada hari kiamat.


5.      Kelebihan mati Madinah.

Dari Ibnu Umar r.a kata Rasulullah s.a.w bersabda :

" Sesiapa yang mampu untuk mati di Madinah maka hendaklah di mati. Sesungguhnya aku memberi syaafaat kepada seseorang yang mati di Madinah.

Umar Ibnu Al Khattab selalu berdoa : Ya Allah! Rezekikan kepadaku syahid di jalan mu dan jadikan kematianku di negeri Rasulmu.

(Hadith riwayat al Bukhari 4/100 no. 1890)

Allah telah mustajabkan doa Umar lalu dia syahid di mihrab Rasulullah s.a.w ketika menjadi imam solat fajar.

6.      Madinah menjadi gua pelindung iman.

Iman akan berlindung di Madinah apabila bumi lain menjadi sempit untuk menerima iman.Sebaliknya keburukan dan kedurjanaan tiada tempat di situ.

Abu Hurairah meriwayatkan sabda Rasulullah s.a.w:

" Sesungguhnya iman akan berhimpun di Madinah sebagaimana berhimpunnya ular di sarangnya ."

Juga sabda Nabi s.a.w :

"Demi tuhan yang nyawa ku di tangannya tidaklah seseorang yang keluar di Madinah kerana bencikannya melainkan Allah akan gantikan di Madinah seseorang yang lebih baik darinya.

Ketahuilah sesungguhnya Madinah seumpama percikan api pembersih besi akan menghilangkan karat-karatnya. Tidak akan berlaku kiamat sehinggalah Madinah menghilangkan kekotorannya seperti api membersihkan kotoran besi.

(Sahih Muslim 2/1005 hadith no. 1381).


7.      Madinah membersih dosa.

Dari Zaid bi Thabi r.a sabda Nabi s.a.w :

" Ia adalah bandar Thoibah (kebaikan atau kebersihan).  Maka ia membersihkan dosa sebagaimanaapi bersihkan kotoran logam perak.

(Sahih Bukhari 7/356 hadith no. 4050)




8.      Pemeliharaan Allah agar Madinah dibebaskan dari mereka yang berniat jahat.

Nabi s.a.w memberi amaran keras kepada mereka yang berniat jahat atau melindunginya atau menakutkan penduduknya bahawa mereka akan ditimpa dengan laknat Allah, azabnya dan kebinasaan yang cepat.

Saad bin Abi Waqqas meriwayatkan dari Nabi s.a.w :

"Tidaklah seseorang yang merancang jahat kepada penduduk Madinah melainkan dia akan lebur sebagaimana leburnya garam di dalam air."

(Sahih al Bukhari 4/94 hadith no. 1877).

Rasulullah s.a.w juga bersabda :

" Madinah adalah haram (terpelihara dan terjaga kehormatannya). Sesiapa yang ingin merancang jahat atau melindungi orang itu maka keatasnya adalah laknat Allah, para malaikat dan manusia seluruhnya. Allah tidak menerima darinya sebarang amalan sama ada wajib atau sunat. "

(Hadith riwayat Imam Muslim 2999 hadith no. 1371)


9.      Madinah sebagai tanah haram.

Diisytiharkannya sebagai tanah haram oleh Nabi s.a.w dengan wahyu dari Allah. Maka tidak boleh berlaku di situ pertumpahan darah, dibawa sebarang senjata, menakutkan sesiapa, di potong pohon, diambil barang jatuh kecuali bagi orang yang ingin mengiklan dan lain-lain hukum yang berkait dengan tanah haram.

Rasulullah s.a.w bersabda :

" Sesungguhnya Ibrahim mengharamkan mekah dan berdoa untuknya. Aku pula mengharamkan Madinah sebagaimana Ibrahim mengharamkan Mekah. Aku berdoa keberkatan Madinah pada sukatan dan timbangannya sebagaimana apa yang di doaka Ibrahim untuk Mekah.

(Sahih al Bukhari 4346 hadith no. 4129).

Sabda Rasulullah s.a.w juga :

" Ya Allah ! Sesungguhnya Ibrahim telah mengharamkan Mekah. Maka aku haramkan di antara dua batu hitam (sempadan) luar Madinah.

( Sahih Bukhari 7/377 hadith no. 4083 ).

Sabda Nabi s.a.w juga tidak mengharuskan dipotong tumbuhannya. Tidak juga harus ditakutkan binatang buruannya, tidak diambil barang jatuhnya kecuali orang yang ingin mengiklankannya. Tidak boleh dipotong pepohon kecuali untuk makanan untanya dan tidak pula dibawa senjata untuk berperang.

(Hadith diriwayatkan di dalam Musnad Imam Ahmad 1/199 hadith no. 959. Hadith sahih lighairih)

1 ulasan: