Muawiyah bin Abi Sufyan, Shakhar bin Harb bin Umayyah al Amawi Abu Abdul
Rahman.
Dia memeluk Islam sebelum pembukaan Mekah dan menjadi penulis wahyu.
Mengambil ilmu dari Nabi saw, Abu Bakar, Umar dan Ummu Habibah. Umar
melantiknya sebagai gabenor Sham dan dikekalkan oleh Uthman, sebelum dia
sendiri menjadi khalifah.
Ibnu Ishak berkata:
Muawiyah menjadi gabenor selama
20 tahun, dan menjadi khalifah juga 20 tahun.
Dia meriwayatkan hadith sebanyak
130 hadith. Disepakati oleh al Bukari dan Muslim sebanyak 4 hadith, sementara
dikeluarkan oleh al Bukhari sahaja sebanyak 4 hadith dan Muslim pula 5 hadith.
Beliau meninggal dunia pada bulan Rajab tahun 60 hijrah ketika berumur
menghampiri 80 tahun.
Ibnu Qudamah al Maqdisi di dalam Lum’ah al I’tiqad berkata:
Muawiyah
adalah bapa saudara kaum mu’minin, penulis wahyu dan salah seorang khalifah.
Dalam Syarah al Aqidah al Thahawiyah tercatat: Raja kaum muslimin
pertama adalah Muawiyah. Dialah raja kaum muslimin yang terbaik.
Adapun perselisihannya dengan Khalifah Ali bin Abi Thalib ra, itu
berasaskan ijtihad. Sesiapa yang betul mendapat dua pahala. Yang tersilap
mendapat satu pahala dan kesilapannya pula diampun. Kewajipan setiap muslim
pula adalah menjaga hati dan lidah dari bercakap perkara yang tidak baik.
Inilah tempatnya untuk beramal dengan hadith Nabi saw: “ Sesiapa yang beriman
kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia bercakap baik atau dia diam. ”
Ibnu Taimiah dalan al Aqidah al Wasitiyyah menulis: Antara prinsip ahli
sunnah wa al jamaah, sejahteranya hati dan lidah kepada sahabat Rasulullah saw
sebagaimana firman Allah swt yang memuji ciri istimewa mereka:
وَالَّذِينَ جَاءُوا مِن بَعْدِهِمْ يَقُولُونَ رَبَّنَا اغْفِرْ لَنَا
وَلِإِخْوَانِنَا الَّذِينَ سَبَقُونَا بِالْإِيمَانِ وَلَا تَجْعَلْ فِي
قُلُوبِنَا غِلًّا لِّلَّذِينَ آمَنُوا رَبَّنَا إِنَّكَ رَءُوفٌ رَّحِيمٌ
Dan orang-orang (Islam) yang datang kemudian daripada mereka (berdoa dengan) berkata: “Wahai Tuhan Kami! Ampunkanlah dosa kami dan dosa saudara-saudara kami yang mendahului kami dalam iman, dan janganlah Engkau jadikan dalam hati perasaan hasad dengki dan dendam terhadap orang-orang yang beriman. Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau Amat Melimpah Belas kasihan dan RahmatMu”.
Surah al
Hashr:10
Juga mentaati
hadith Nabi saw:
عَنْ أَبِي
هُرَيْرَةَ وَأَبِي سَعِيدٍ رَضِيَ الله عَنْهُمَا قَالَا: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ
وَسَلَّمَ:
"لَا
تَسُبُّوا
أَصْحَابِي لَا تَسُبُّوا أَصْحَابِي فَوَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ لَوْ أَنَّ أَحَدَكُمْ
أَنْفَقَ مِثْلَ أُحُدٍ ذَهَبًا مَا أَدْرَكَ مُدَّ أَحَدِهِمْ وَلَا نَصِيفَهُ"
البخاري
(3/1343 ،
رقم 3470) ، ومسلم (4/1967
Janganlah kamu
mencela sahabatku. Demi Allah yang nyawaku di tangannya ! Jika seseorang kamu
membelanjakan emas seperti bukit Uhud, tidak menyamai secupak mereka mahupun
separuh cupak.
Hadith riwayat
al Bukhari dan Muslim.
al Nawawi
berkata: Mencela para sahabat adalah haram termasuk dalam perlakuan terkutuk.
Al Qhadi Iyyadh menyebut: Perlakuan ini adalah maksiat dosa besar. Mazhab
jumhur berpendapat bahawa dia layak dita’zir tidaklah dibunuh.
Dalam Syarah
Aqidah Thahawiyyah dicatat juga: Siapa lagi yang lebih sesat dari seseorang
yang hatinya ada perasaan dendam kepada golongan mu’minin terbaik dan
penghulu-penghulu wali Allah swt selepas para Nabi as.
Al Thahawi pula
menyebut: Ulama salaf terdahulu dan berikutnya, ahli hadith dan athar, ahli
fiqh dan kalam, semuanya tidak menyebut perihal sahabat melainkan yang
baik-baik. Sesiapa yang menyebut perihal mereka dengan keburukan, maka dia
tidak mengikut landasan yang betul.
Ibnu Kathir di
dalam al Bidayah wa al Nuhayah pula meriwatkan dari al Baihaqi kata-kata Imam
Ahmad bin Hambal: “Khulafa’ ialah Abu BAkr, Umar, Uthman dan Ali.” Ada orang
berkata: Muawiyah bagaimana? Dia menjawab: Tiada yang layak memegang khilafah
di zaman Ali selain Ali sendiri. Semoga Allah merahmati Muawiyah.
Ibnu Abi Dunya
pula meriwayatkan cerita Umar bin Abul Aziz ; Aku melihat Rasulullah saw dalam
tidurku. Abu Bakar dan Umar duduk di sebelahnya. Aku ucapkan salam kepadanya
dan duduk. Tiba-tiba Ali dn Muawiyah dibawa dating dan masuk ke sebuah rumah.
Pintu ditutup dan aku minat memerhati. Tiba-tiba dengan cepatnya Ali keluar
sembil berkata: Keputusan berpihak kepada ku demi tuhan kaabah. Kemudian dengan
cepat juga keluarnya Muawiyah sambil berkata: Keampunan telah diberi kapadaku
demi tuhan kaabah.
Ibnu ‘Asakir
meriwayatkan dari Abu Zur’ah al Razi yang dikunjungi seorang lelaki berkata
kepadanya: Sebenarnya aku membenci Muawiyah. Dia bertanya: Kenapa? Lelaki itu
menjawab: Kerana dia memerangi Ali. Abu Zur’ah menjawab: Celaka mu! Sebenarnya
tuhan Muawiyah pengampun dan lawan Muwiyah pula penyantun. Apasal kamu masuk campur ?
Imam Ahmad
apabila ditanya tentang perselisihan antara Ali dan Muawiyah, dia membaca ayat
Allah ;
تِلْكَ أُمَّةٌ قَدْ خَلَتْ ۖ لَهَا مَا
كَسَبَتْ وَلَكُم مَّا كَسَبْتُمْ ۖ وَلَا
تُسْأَلُونَ عَمَّا كَانُوا يَعْمَلُونَ
Mereka itu adalah satu umat yang
telah lalu sejarahnya; bagi mereka (balasan) apa yang mereka telah usahakan,
dan bagi kamu pula (balasan) apa yang kamu usahakan; dan kamu tidak akan
ditanya (atau dipertanggungjawabkan) tentang apa yang telah mereka lakukan.
Al Baqarah : 134.
Demikaan jugalah jawapan beberapa
ulama’ salaf lain.
Al Awzaie menceritakan: al Hasan
al Basri apabila ditanya mengenai Ali dan Mu’awiyah akan menjawab: Keduanya ada
jasa lama dan pertalian dekat dengan Rasulullah saw. Seorang telah diuji dan
seorang telah diampun.
Ibnu al Mubarak pula apabila
ditanya mengenai Mu’awiyah akan menjawab: Apa yang boleh katakana kepada
seorang yang apabilah Rasulullah saw menyebut :
سمع الله لمن حمده
“ Ya Allah Allah dengar orang yang
memujimu ini ”
Dia terus berkata di belakangnya :
ربنا لك الحمد
“ Wahai tuhan kami ! Untukmu
sahajalah puji-pujian. ”
Ibnu al Mubarak juga pernah
ditanya tentang manakah yang lebih baik antara Mu’awiyah dan Umar ibn Abdul
Aziz. Dia membalas : Sebenarnya debu tanah di lubang hidung Mu’awiyah yang
bersama-sama Rasulullah saw lebih baik dan mulia dari Umar bin Abdul Aziz.
Ibnu al Mubarak meriwayatkan dari
Ibrahim bin Maysarah: Bahawa Umar bi Abdul Aziz tidak akan memukul seseorang
kecuali pengkutuk Mu’awiyah. Dia merotannya berkali-kali.
Al Rabie bin Nafie al Halabi
berkata: Mu'awiyah adalah benteng pelindung bagi sahabat Nabi saw. Jika
seseorang itu runtuhkan benteng ini, jawabnya dia akan lebih berani untuk memcela
sahabat-sahabat lain.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan