Isnin, 25 Julai 2011

Puasa Menjarakkan Diri Dari Neraka.

عَنْ أَبِي سَعِيدٍ الْخُدْرِيِّ رضي الله عنه قَالَ : قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم : مَنْ صَامَ يَوْماً فِي سَبِيلِ اللَّهِ بَعَّدَ اللَّهُ وَجْهَهُ عَنْ النَّارِ سَبْعِينَ خَرِيفًا .


Maksud : Dari Abu Said al khudri ra katanya: Bersabda Rasulullah saw : " Sesiapa yag berpuasa sehari di jalan Allah, Allah swt menjarakkannya jauh dari neraka sebanyak 70 tahun jarak perjalanan.

Pelajaran dari hadith ini:


1. Puasa adalah penyelamat dari bakaran neraka. Kepayahan dan kesukaran yang dilalui oleh seorang yang berpuasa menjadi pencuci fitrah manusia yang membebaskannya dari kotoran dosa di dunia dan azab neraka di akhirat.


2. Jarak 70 tahun perjalanan yang dimaksudkan adalah bayangan kepada jauhnya manusia yang berpuasa dijarakkan dari neraka. Ada riwayat-riwayat lain yang menyebut jarak-jarak lain yang semuanya memberi gambaran jauhnya jarak tersebut;


عن أبي أمامة الباهلي رضي الله عنه عن النبي صلى الله عليه و سلم قال : مَن صَام يومًا في سبيل الله جعل الله بينه وبين النار خَنْدَقًا كما بين السماء والأرض .

رواه الترمذي ، وقال الهيثمي : رواه الطبراني في الصغير والأوسط ، وإسناده حسن . وحسّنه الألباني .


Maksud : Dari Abi Umamah al Bahiliy ra dari Nabi saw bersabda: Sesiapa yang berpuasa sehari di jalan Allah, Allah jadikan untuknya sempadan dengan neraka sejauh langit dan bumi. HR Tirmizi hadith hasan.


عن عقبة بن عامر رضي الله عنه عن رسول الله صلى الله عليه و سلم قال : مَن صَام يومًا في سبيل الله عزّ وَجَلّ بَاعَد الله منه جهنم مسيرة مائة عام .

رواه النسائي ، وحسّنه الألباني .


Maksud : Dari Uqbah ibn Amir ra dari Nabi saw bersabda: Sesiapa yang berpuasa sehari di jalan Allah, Allah swt jauhkannya dari neraka jahanam selama 100 tahun perjalanan.

HR an Nasaie, hadith hasan.


3. Jarak ini juga berkemungkinan berbeza mengikut darjat kesempurnaan niat dan amalan puasa itu sendiri. Begitu juga berbezaan kadar kesukaran dan kepayahan yang ditempuhi dalam menjalani ibadah ini juga menentukan darjat dan nilainya yang tersediri di sisi Allah.


4. Puasa diumpamakan seperti jihad apabila dikaitkan dengan jalan Allah. Justeru ada ulama' menafsirkan kelebihan dalam hadith ini kepada mereka yang berpuasa ketika berjihad. Namun puasa ketika berjihad hanya kepada mereka yang tidak terganggu tugasan jihadnya dengan sebab berpuasa. Ia biasanya boleh dilakukan oleh mereka yang melakukan pengawasan ( ribath ) bukannya ketika perang. Sabda Rasulullah saw kepada para sahabat ketika peristiwa pembukaan kota Mekah :


إنكم قد دنوتم من عدوكم والفطر أقوى لكم . قال أبو سعيد الخدري رضي الله عنه : فكانت رُخْصَة ، فَمِنَّا مَن صام ، ومِنَّا مَن أفطر ، ثم نَزَلْنَا مَنْزِلاً آخر ، فقال : إنكم مُصَبِّحُو عدوكم والفطر أقوى لكم ، فأفطروا ، وكانت عَزْمَة ، فأفطرنا . رواه مسلم .


Maksud : Sesungguhnya kamu menghampiri musuh kamu maka berbuka lebih menguatkan kamu. Abu Said al Khudri berkata : Ia adalah keringanan. Maka di kalangan kami ada yang berpuasa dan ada pula yang telah berbuka. Kemudian kami berhenti rehat di satu persinggahan. Di situ Nabi saw bersabda: Sesungguhnya kamu akan menghadapi musuh di waktu pagi. Berbuka lebih kuat untuk kamu, maka berbukalah kamu semua. Kali ini ialah adalah ketetapan ( bukan lagi keringanan ). Maka kami semua berbuka.

HR Muslim


5. Menurut al Qurtubi : Yang dimaksudkan dengan di jalan Allah ialan ketaatan kepada Allah. Maka maksud lafaz hadith ialah sesiapa yang berpuasa dengan tujuan ketaatan kepada Allah. Ia adalah penegasan kepada kesempurnaan puasa itu pada kesempurnaan niat dan qasadnya.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan