Jumaat, 4 Disember 2009

Bencana Pada Agama Paling Menakutkan.

Telah menjadi sunnah Allah swt pada sekalian hambanya untuk menguji mereka dengan bala bencana dan mala petaka. Selagi berlangsungnya kehidupan di alam dunia ini, selagi itulah manusia terdedah kepada bencana . Bala bencana dan mala petaka boleh menimpa diri sendiri, kaum kerabat dan sahabat handai. Ia juga boleh mengenai لا سمح الله - - kehilangan nyawa, gangguan kesihatan, kemusnahan harta benda atau kehilangan anak pinak.

Namun ibu segala bencana dan penghulu segala petaka sebenarnya apabila ianya menyentuh agama dan merosakkan pegangan akidah hidup seseorang. Bencana yang menyebabkan tergugatnya keyakinan, berubahnya pendirian, lemahnya iman, berceramuknya pemikiran, terkelirunya pandangan, kabur dari melihat kebenaran malah lebih parah sehingga berpaling tadah kepada kekufuran dan kebatilan.

Justeru Rasulullah saw mengajar kita supaya menuntut kesejahteraan dari Allah agar melindungi diri dari musibah yang menimpa agama. Sabda Rasulullah saw dalam doa baginda saw :

« وَلاَ تَجْعَلْ مُصِيْبَتَنَا فِيْ دِيْنِنَا » (1)

Bermaksud : " Dan janganlah engkau jadikan musibah kami pada agama kami "

Dalam Sahih al Bukhari dari Ibn Abi Mulaikah pula Nabi saw bersabda :

« اَللّهُمَّ إِنَّا نَعُوْذُ بِكَ أَنْ نَرْجِعَ عَلَى أَعْقَابِنَا، أَوْ نُفْتَنَ عَنْ دِيْنِنَا » (2)

Bermaksud : " Ya Allah ! Seseungguhnya kami memohon perlindungan denganmu dari kami berpaling tadah ( mengubah agama ) atau kami diuji sehingga merosakkan agama kami " .

Apatah lagi apabila menjadi wirid Nabi saw di penghujung tahiyyat akhir solat baginda saw untuk memohon perlindungan dari empat jenis ujian dan kesengsaraan. Baginda saw bersabda

اَللّهُمَّ إِنِّيْ أَعُوْذُ بِكَ مِنْ عَذَاْبِ جَهَنَّمَ، وَمِنْ عَذَابِ القَبْرِ وَمِنْ فِتْنَةِ المَحْيَا وَالمَمَاتِ، وَمِنْ شَرِّ فِتْنَةِ المَسِيْحِ الدَّجَّال(3)

Bermaksud : " Ya Allah ! Aku mohon perlindunganmu dari azab neraka jahanam, dari azab kubur, dari fitnah (ujian ) hidup dan mati, dan dari kejahatan fitnah al masih ad Dajjal ".

Sememangnya telah menjadi sunnah baginda saw untuk memberi amaran dari fitnah-fitnah yang boleh menimpa umatnya. Ulama Hadith adalah golongan pertama yang mengesan perkara ini apabila mereka menjadi tajuk fitnah-fitnah yang diberi amaran oleh Rasulullah saw ini menjadi suatu topik besar dalam ensiklopedia hadith yang dikarang. Ada pula ahli hadith yang mengarang kitab-kitab khusus dalam topik fitnah-fitnah ini.

Ini semua menjadi bukti kayanya warisan nabawi yang ditinggalkan menjadi pedoman buat umatnya samada yang hidup sezaman dengan baginda dan lebih-lebih lagi untuk umat yang datang selepas baginda saw. Harapannya agar mereka terselamat dari fitnah yang merosakan kesucian aqidah dan pegangan agama mereka.

Sememangnya isu fitnah atau bencana yang merosakkan agama ini patut mendapat kecaknaan dan keprihatinan umat Islam. Tiada zaman yang tiada fitnah. Ini bermakna tiada manusia yang terlepas dari fitnah dalam kehidupan mereka. Cuma ia mungkin berbeza antara seorang dengan seorang, zaman dengan zaman. Fitnah itu kadang-kadang kecil dan boleh juga menjadi besar. Yang pastinya, semakin jauh zaman dari zaman Nabi saw maka semakin banyaklah fitnah dan bencana yang boleh merosakkan agama.

Jika direnung kembali sejarah perkembangan agama Islam sejak terbina kerajaan Islam Madinah selepas hijrah nabi saw sehingga ke hari ini, pasti terpapar jelas rentetan sejarah-sejarah fitnah besar yang menjadi gelombang dahsyat menggugat kekuatan aqidah dan pegangan umat Islam sepanjang zaman. Fitnah ini datang dalam pelbagai rupa dan gaya. Samada berbentuk penguasaan musuh Islam terhadap umatnya, konspirasi golongan zindik dan munafik, tipu helah kumpulan bida'ah dan khurafat dan gangguan terhadap sistem politik, ekonomi, sosial, budaya dan intelektual umat Islam. Yang tergugat akhirnya ialah akidah dan agama individu muslim dan umat Islam.

Mereka yang terselamat hanya sebilangan yang sedikit. Ulama' yang terus membawa obor kebenaran dan cahaya sunnah Nabi saw sentiasa menjadi bahtera penyelamat di zaman fitnah. Kewujudan mereka umpama menara api di tepi pantai menyelamatkan pelayar-pelayar yang tersesat arah di tengah lautan. Pesanan, pedoman dan amanat mereka amatlah bernilai tinggi di saat umat ditimpa bencana agama.

Berikut beberapa panduan penting untuk diikuti oleh setiap muslim supaya mereka terselamat dari bencana yang merosakkan agama.

1- Berpegang teguh dengan al Quran dan as sunnah. Pada keduanya ada keselamatan dan kesejahteraan sebenar-benarnya. Maka berusahalah menambah ilmu dari al Quran dan as Sunnah dengan segala wasilah yang betul. Kembalilah kepada keduanya dalam setiap isu yang timbul dan kekusutan yang muncul.


2- Merujuk kepada ulama atau ilmuan Islam yang sejati dan terbukti kewibawaan ilmu dan taqwanya. Terimalah amanat dan pesanan mereka sebagai pegangan dan prinsip hidup kerana mereka lebih memahami kehendak Allah dan RasulNya saw dalam situasi yang berlaku.


3- Melazimkan diri dengan jamaah muslimin dan kepimpinan mereka. Iaitu dengan memberi kesetiaan kepada mereka dan bersikap " dengar dan taat " terhadap ketetapan yang diputuskan dan tindakan yang dipersetujukan selama mana ianya tidak bertentangan dengan syariat. Sesungguhnya pertolongan Allah dan keberkatanNya terletak pada kesatuan dan perpaduan, tidak pada percanggahan dan perselisihan.


4- Tidak cepat membuat hukum dan rumusan sebelum tiba saat kematangan. Sebaliknya setiap isu dilayan mengikut seadanya sehinggalah ternyata kedudukan sebenarnya dan mendapat pencerahan sejelasnya. Sesungguhnya bertenang dan sikap berhati-hati itu adalah taufik dan panduan dari tuhan ar Rahman. Sebaliknya gelojoh dan kurang cermat itu adalah dorongan dan tipu daya syaitan.


5- Bertaubat dan kembali kepada Allah swt sentiasa dengan menyerahkan pergantungan dan keyakinan kepadaNya semata-mata. Jangan tertipu atau terpedaya dengan keupayaan fizikal dan kekuatan material yang ada pada seseorang individu, kumpulan atau kerajaan.


6- Banyak bersabar, perteguhkan pendirian, tekalkan hati dan bertahan dengan prinsip kebenaran tanpa diganggu gugat oleh salah faham atau kekeliruan yang timbulkan samada dari musuh yang merancangan jahat atau sesetengah manusia jahil dan sentiasa dalam kekeliruan dan keserabutan pada fikiran dan tindakan.


7- Perbanyakkan bacaan, kajian dan pengajian dari kitab-kitab berkait hadith-hadith fitan ( fitnah-fitnah akhir zaman ). Nas-nas hadith yang diriwayatkan dalam tajuk ini haruslah diteliti dari sudut nilaian kesahihannya dan kandungan petunjuknya berpandukan rujukan syarah hadith yang berwibawa. Hadith-hadith amat penting untuk dibongkar isi kandungannya agar menjadi pedoman umat islam masakini.


8- Menjaga solat secara berjemaah di masjid dan di awal waktu. Sentiasa berdoa dan perbanyakkan munajat terutama di masa dan tempat mustajab semoga Allah swt menjauhi diri dari bala bencana dan membebaskan diri dari mala petaka.


9- Memetik doa-doa yang ma'thur dari al Quran dan hadith nabi saw yang antara memang mengandungi petunjuk yang jelas mengenai permohonaan jagaan dari Allah dan perlidunganNya dari mara bahaya, melepaskan diri dari mala petaka dan menuntut kesejahteraan dan keamanan dari Allah swt.


Panduan ini mungkin umum dan ringkas. Huraian bagi setiap noktah panduan ini memang memerlukan pemerincian dalam bentuk dalil dan hujahan sandaran dari teks dan huraian al Quran dan al Sunnah. Kefahaman, pendapat, petua dan hikmat ilmuan dan cendikiawan yang berwibawa dalam ilmu pengetahuan dan pengalaman kehidupan juga adalah sumber segar yang boleh menjelaskan kepada kita dalam perbahasan ini. Semoga Allah memberi kemudahan dan kekuatan untuk melunaskan hutang umat yang belum terbayar ini.



[1] أخرجه: الترمذي (5/493-494/3502) وقال: "حسن غريب"، والنسائي في عمل اليوم والليلة (310/401) وصححه الحاكم (1/528).

[2] أخرجه: البخاري (13/3-4/7048) ومسلم (4/1794/2293).

[3] أخرجه: أحمد (2/237) ومسلم (1/412/588[131]) وأبو داود (1/601/983) والنسائي (3/58/1309).

1 ulasan:

  1. يسلم عليك ابو عبداللرحمن صاحب البستان العصافير..وهو يسألني عنك فلا زال يتذكر عن هدية التي ستقدمها انت من ماليزيا. الا وهي الشريط البلبلي أو العصافير..ان تمكنت ولا يحرجك في شرائها...شكرا

    BalasPadam