Sungguh mulia umat Muhammad saw ketika mana Allah swt menobatkan mereka sebagai sebaik-baik umat.
{كُنتُمْ خَيْرَ أُمَّةٍ أُخْرِجَتْ لِلنَّاسِ تَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَتَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنكَرِ وَتُؤْمِنُونَ بِاللّهِ} سورة آل عمران: 110
" Kamu adalah sebaik-baik umat yang dikeluarkan untuk manusia. Kamu menyuruh perkara baik, kamu melarang perkara mungkar dan kamu beriman kepada Allah ".
Hadith pula menyebut;
عن معاوية بن حيده قال: قال الرسول - صلى الله عليه وسلم -: «أنتم توفون سبعين أمة، أنتم خيرها، وأنتم أكرم على الله - عز وجل -» . [رواه الإمام أحمد والترمذي وابن ماجه والحاكم].
Dari Muawiyah ibn Haidah katanya: Bersabda Rasulullah saw " Kamu melengkapi 70 umat. Kamu yang terbaik di kalangannya. Kamu paling mulia di sisi Allah swt.
Ibnu Kathir menyebut :
" Sebenarnya umat ini mendapat kelebihan ini dengan sebab Nabinya saw. Bagindalah semulia-mulia makhluk dan sebaik-baik rasul. Allah swt mengutuskannya dengan syariat yang agung lagi lengkap. Tidak pernah diberinya kepada Nabi sebelumnya. Maka beramal dengan manhajnya walaupun dengan sedikit tetapi tidak sama dengan yang banyak pada umat lain " . ( Tafsir ibn Kathir 2/94 )
Kesedaran yang rendah dan iltizam akidah yang lemah menjerumuskan sebahagian kaum muslimin ke lembah bahaya apabila mereka terlibat secara lansung atau tidak lansung dengan perayaan sambutan tahun baru masihi atau sambutan raya krismas.
Berikut beberapa fatwa berkaitan aqidah dan syariat dalam hal ini.
1- Ucapan selamat hari krismas.
Al-Syeikh Muhammad Bin Soleh al-Munajjid dalam fatwanya menyatakan seperti berikut :
"Mengucapkan selamat kepada orang kafir pada hari Krismas atau selainnya dari perayaan keagamaan adalah haram dengan kesepakatan para ulama.
Ibn Qayyim di dalam kitabnya Ahkam Ahl al-Zimmah ( ms 205-206 ) berkata :
"Adapun ucapan tahniah atau selamat kepada syiar-syiar orang kafir secara khusus adalah haram dengan kesepakatan para ulama, seperti mengucapkan selamat kepada perayaan dengan kata : "Selamat hari raya untuk kamu" atau "Semoga bergembira dengan perayaan ini" atau seumpamanya.
Perkara ini jika selamatpun pengucapnya dari kekufuran, ia tetap termasuk dari perkara-perkara yang haram. Ia sama seperti mengucapkan selamat kepada seseorang yang sujud kepada salib, bahkan perbuatan ini adalah lebih besar dosanya di sisi Allah dan lebih besar kemurkaan berbanding mengucapkan tahniah kepada seseorang yang meminum arak, seorang yang membunuh dan yang berzina dan seumpamanya.
Kebanyakan orang yang tidak ada kesedaran agama terjebak dalam perkara ini. Dia tidak sedar betapa buruk amal perbuatannya. Maka sesiapa yang mengucapkan tahniah atau selamat kepada seseorang yang melakukan maksiat, bid'ah atau kekufuran. Maka sesungguhnya dia telah membuka ruang kepada dirinya untuk mendapat kemurkaan dari Allah."
2- Bertukar-tukar hadiah dan kad ucapan termasuk yang tersebar melalui email dan menyertai majlis sambutan krismas atau tahun baru samada di hotel, pasaraya dan sebagainya.
Al-Lajnah al-Da-imah lil Buhuth al-'Ilmiah wa al-Ifta' ketika ditanya tentang hukum bersama menyambut perayaan bukan Islam menyebut :
"Tidak boleh bagi seorang muslim untuk dia bersama orang-orang kuffar dalam (menyambut) perayaan-perayaan mereka dan menzahirkan keseronokan dan kegembiraan dalam perayaan mereka. (Demikian juga tidak boleh) untuk dia bercuti dari bekerja (untuk menyambut perayaan tersebut) samaada perayaan itu perayaan keduniaan ataupun keagamaan kerana ini termasuk dalam tasyabbuh (menyerupai) musuh-musuh Allah yang diharamkan dan termasuk dalam tolong menolong dengan mereka dalam perkara yang batil.
Telah terbukti dari Nabi saw, sabda baginda saw :
"Sesiapa yang menyerupai satu kaum, maka dia termasuk salah seorang dari mereka."
Allah swt pula berfirman : "Dan tolong menolonglah kamu dalam perkara yang baik dan takwa, dan jangan kamu tolong menolong dalam perkara dosa dan permusuhan. Dan bertakwalah kamu kepada Allah seseungguhnya Allah amat keras seksaannya."(al-Maidah : 2)" – Fatwa bil. 2540.
Justeru tidak boleh bagi seorang muslim menolong orang-orang kafir untuk mengadakan dan merayakan Hari Raya mereka dengan apa cara sekali pun di antaranya dengan menjual peralatan atau prasarana yang mereka gunakan dalam Hari Raya mereka.
Syaikhul Islam Ahmad bin Abdul Halim Ibnu Taimiyyah -Rahimahullah-- menyatakan dalam bukunya Iqtidha-ush Shirathil Mustaqiem Mukhalafata Ash-haabil Jahiem:
"Adapun apabila seorang muslim menjual kepada mereka ( orang kafir ) pada hari Raya mereka segala yang mereka gunakan pada Hari Raya tersebut samada berupa makanan, pakaian, minyak wangi dan lain-lain atau menghadiahkannya kepada mereka, maka itu termasuk menolong mereka mengadakan Hari Raya mereka yang diharamkan. Dasarnya satu kaedah: " tidak boleh menjual anggur atau jus kepada orang kafir yang jelas digunakan untuk membuat minuman keras. Juga tidak boleh menjual senjata kepada mereka bila digunakan untuk memerangi kaum muslimin."
Kemudian beliau menukil dari Abdul Malik bin Habib dari kalangan ulama Malikiyyah: "Sudah jelas bahwa kaum muslimin tidak boleh menjual kepada orang-orang kristian sesuatu yang menjadi bingkisan Hari Raya mereka samada daging, lauk-pauk atau pakaian. Juga tidak boleh memberikan kenderaan kepada mereka atau memberikan pertolongan untuk Hari Raya kerana yang demikian itu termasuk memuliakan kesyirikan mereka dan menolong mereka dalam kekufuran mereka." (Al-Iqtidhaa cet. Darul Makrifah dengan tahqiq Al-Qafiyy hal. 229-231)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan