بسم الله الرحمن الرحيم
وَالْعَصْرِ * إِنَّ الإِنسَانَ لَفِي خُسْرٍ
إِلاَّ الَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ وَتَوَاصَوْا بِالْحَقِّ وَتَوَاصَوْا بِالصَّبْرِ
Bermaksud :
Demi masa ! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran dan berpesan-pesan dengan kesabaran.
al Imam Asy Syafi'i rahimahullah pernah mengungkapkan : " Jika manusia seluruhnya boleh berfikir mengenai surah ini ( al 'Ashr ) pasti ianya cukup untuk mereka "
al Hafiz Ibnu al Qayyim dalam karyanya مفتاح دار السعادة ( Kunci Negeri Kebahagian – Syurga - ) menghuraikan maksud al Imam al Syafi'i tersebut.
Beliau menyebut : " Keperibadian seseorang mencapai kemuncak kesempurnaan apabila memiliki empat ciri;
1. Mengetahui kebenaran.
2. Beramal dengan kebenaran.
3. Mengajar kebenaran kepada mereka yang tidak mengetahuinya.
4. Sabar dalam mempelajari perkara benar, sabar ketika beramal dengannya dan sabar juga dalam mengajarnya.
Allah swt menyebut keempat-empat ciri ini dalam ayat ini.
Allah swt bersumpah dengan masa bahawa setiap orang dalam kerugian kecuali mereka yang beriman dan beramal soleh.
Orang yang beriman maksudnya golongan yang mengenali kebenaran dan percaya kepada kebenaran. Ini adalah ciri yang pertama.
Orang yang beramal soleh bermaksud mereka yang beramal dengan apa yang mereka ketahui iaitulah kebenaran. Ini ciri yang kedua.
Berpesan-pesan dengan kebenaran bermaksud masing-masing memperingatkan tentangnya dengan cara menunjuk ajar dan menyampaikan ilmu pengetahuan. Ini ciri yang ketiga.
Mereka berpesan-pesan dengan kebenaran bermaksud mereka bersabar di atas landasan kebenaran dan memperingatkan sesama mereka supaya bersabar dan teguh pendirian di atas kebenaran. Ini adalah ciri keempat dan terakhir.
Inilah kemuncak kesempunaan peribadi iaitu apabila seseorang itu sempurna pada dirinya dan menyempurnakan pula manusia yang lain. Kesempurnaanya ialah apabila dia berjaya memperkasakan dua sudut kekuatannya iaitu pada ilmu dan amalnya. Maka keperkasaan ilmunya menjadi sempurna melalui iman dan keperkasaan amalnya pula menjadi sempurna dengan melakukan amal soleh dan usahanya untuk melengkapkan manusia lain, memberi tunjuk ajar kepada mereka, sabar dalam menjalankan perkara ini semua, dan berpesan pula kepada insan lain supaya sabar dalam berilmu dan beramal.
Maka surah ini walaupun ringkas, namun ianya adalah di antara surah yang paling lengkap dan sarat mengandungi kebaikan dari segala jenisnya. Segala puji bagi Allah yang menjadikan kitabnya mencukupi tanpa berhajat kepada lainnya, menyembuhkan segala penyakit dan menunjukkan segala jalan kebaikan.
مفتاح دار السعادة ج 1 ص 238-239
Tiada ulasan:
Catat Ulasan