Ketinggian darjat ulama' terbukti dari dalil yang sahih lagi sarih ( jelas ) dalam petunjuk al Quran dan as Sunnah. Antara nas yang paling utama ialah firman Allah swt ;
( شَهِدَ اللَّهُ أَنَّهُ لَا إِلَهَ إِلَّا هُوَ وَالْمَلَائِكَةُ وَأُوْلُوا الْعِلْمِ قَائِمًا بِالْقِسْطِ ) [1]
Ayat penting ini membawa beberapa petunjuk tentang kelebihan ulama'. Antara lainnya ;
1- Allah memperakui kesaksian mereka dalam perkara terpenting iaitu tauhid dan keesaan Allah untuk pengabdian diri. Dia tidak pula memperakui kesaksian kelompok manusia lain.
2- Allah swt mengiringi kesaksian diriNya dan para malaikat bersama kesaksian ulama'. Maka ulama adalah saksi teragong bersama zat Allah swt dan para malaikat.
3- Ayat ini menjadi periktirafan terbesar dari Allah swt terhadap keadilan dan kemuliaan ulama' kerana tidak diterima kesaksian melainkan dari yang adil dan mulia.
4- Perkara yang menjadi tema kesaksian adalah agenda teragong dalam kehidupan ini iaitu penyaksian " tiada tuhan melainkan Allah " yang menjadi tujuan ciptaan kehidupan. Logiknya, saksi perkara besar adalah pembesar jua.
Kemulian ulama' adalah kerana tugasan mereka yang memelihara ilmu dan menyampaikan syariat Allah, menjadi juru bicara dan menandatangani dari pihak Allah serta menegakkan hujahan dan pembuktian kebenaran agama Allah ke atas sekalian hamba ciptaanNya.
Musibah menimpa alim ulama' apabila ilmu yang mereka pelajari, fahami dan dalami tidak membuahkan amal pada sikap dan tindakan. Maka jadilah si alim tadi seperti pokok yang tidak berbuah atau air di atas lekuk batu yang pejal yang tidak dapat menumbuhkan tumbuhan. Diri empunya tidak mendapat apa-apa faedah dan natijah dari ilmu pengetahuan kurnian tuhan kepadanya.
al Khatib al Baghdadi mengupas terperinci fenomena ini dalam kitabnya " اقتضاء العلم العمل " ( Ilmu Menuntut Amal ) : Antara yang menarik dalam catatan beliau ialah :
والعلم يراد للعمل، كما يراد العمل للنجاة، فإذا كان العلم قاصراً عن العمل، كان العلمُ كلاَّ على العالم، ونعوذ بالله من علم عاد كلاً، وأورث ذلاً، وصار في رقبة صاحبه غلاًّ . [2]
Bermaksud : " Ilmu dikehendaki dengannya amal. Amal pula dikehendaki dengannya keselamatan dan kesejateraan ( dari dosa dan hukuman Allah ). Apabila terjadinya ilmu tanpa amal, ketika itu ilmu menjadi beban kepada si alim. Kita pohon perlindungan Allah dari ilmu yang menjadi beban, menatijahkan kehinaan yang akhirnya menjadi rantai yang membelit tengkuk tuannya sendiri. "
Oleh itu menjadi suatu kemestian kepada warga ilmu syara' untuk menjaga nama baik ilmu yang dibawa sepertimana nasihat Abdullah Ibn Mas'ud :
لو أن أهل العلم صانوا العلم ووضعوه عند أهله لسادوا به أهل زمانهم ولكنهم بذلوه لأهل الدنيا لينالوا به من دنياهم فهانوا عليهم . [3]
Bermaksud : Jika sekirannya ahli ilmu memelihara ilmu dan meletaknya pada ahlinya pastilah mereka akan memimpin manusia di zamannya. Tapi apa yang berlaku, mereka mempergunakannya untuk ahli dunia untuk mendapat dunia mereka. Maka menjadi hinalah mereka pada pandangan ahli dunia.
Kata seorang penyair :
ولو أن أهل العلم صانوه صانهم ولو عظَّموه في النفوس لعُظِّما
Bermaksud : "Jika ahli ilmu itu memelihara maruah ilmu, maka ilmu itu akan memeliharanya. Jika mereka mengagungkannya di dalam jiwa mereka, ilmu itu pasti menjadi agung."
Jelas bahawa alim ulama' tidak selama-lamanya mulia. Mereka mulia jika mereka memuliakan Ilmu. Sebaliknya mereka hina jika tidak memuliakan ilmu. Dalam sebuah hadith Nabi saw bersabda :
والقرآن حجة لك أو عليك. [4]
Bermaksud : " Al Quran itu samada ia menjadi hujah yang mempertahankan engkau ( di hadapan Allah di akhirat ) ataupun hujah yang melaknat engakau " .
Imam al Qurthubiy ketika membuat ulasan kepada hadith ini menyebut :
" al Quran menjadi hujah mempertahankan mereka yang beramal dan mengikutinya. Sebaliknya ia menjadi hujah yang melaknat mereka yang tidak beramal dan mengikutinya. Maka sesiapa yang dikurniakan ilmu al Quran tapi tidak mendapat manfaat darinya, atau dicegah dengan larangannya tetapi tidak menjauhinya, melakukan perkara dosa dengan buruknya, mengerjakan perkara jahat dengan rakusnya, al Quran adalah hujah yang melaknatnya dan menjadi musuhnya di akhirat." [5]
Hadith ini bermakna pembaca al Quran dan penanggungnya mendapat manfaat jika dia membaca dan beramal dengannya sehingga al Quran menjadi hujah mempertahankannya di hadapan Allah di akhirat nanti.
Sebagaimana sebuah hadith menyebut :
عن النواس بن سمعان رضي الله عنه قال:سمعت رسول الله صلى الله عليه وسلم يقول:( يُؤتى يوم القيامة بالقرآن وأهله الذين كانوا يعملون به في الدنيا تقدمُه سورةُ البقرة وآلُ عمران، تحاجَّان عن صاحبهما ) . [6]
Bermaksud : " Dari an Nawwas ibn Sam'an katanya : Aku mendengar Rasulullah saw bersabda : " Dibawa datang pada hari kiamat al Quran dan ahlinya yang beramal dengannya di dunia. Kedatangan mereka didahului oleh surah al Baqarah dan ali Imran yang berhujah bagi pihak tuannya.
Mulla Ali al Qariy pula dalam ulasannya menyebut " Hadith ini bukti bahawa sesiapa yang membaca al Quran tapi tidak beramal dengannya maka dia bukannya ahli al Quran. Al Quran tidak menjadi pensyafaat kepadanya. Sebaliknya al Quran akan menjadi hujah yang melaknatnya. [7]
Ahli al Quran ialah yang beramal dengannya. Tidak memadai setakat membaca, menghafaz, bertajwid dan berlagu. Dia mestilah melazimi akhlak dan adab al Quran serta memelihara dan terikat dengan disiplin dan syariat al Quran.
Abdullah ibn Mas'ud pernah berkata :
ليس حفظ القرآن بحفظ الحروف، ولكن إقامة حدوده . [8]
Bermaksud : "Bukanlah hafaz al Quran dengan menghafaz hurufnya. Sebenar-benar hafazan adalah menegakkan peraturannya."
Al Hasan al Basariy pula menyebut :
" Demi Allah ! Tidak memadai jika huruf al Quran dihafaz tetapi peraturannya diabaikan. Kadang-kadang ada seseorang berkata : Sesungguhnya aku telah membaca al Quran seluruhnya dan tidah menggugurkan walaupun satu huruf. Demi Allah dia telah menggugurkan seluruh al Quran. Tidak nampak kesan al Quran pada akhlak dan tindak tanduknya. Dia boleh mendakwa : Aku mampu membaca satu surah hanya dengan satu nafas. Demi Allah ! Mereka bukannya qurra' ( pembaca al Quran ), bukannya ulama; dan bukannya manusia wara' ! Sejak bila ini semua dikira membaca al Quran? Semoga Allah tidak meramaikan bilangan mereka di kalangan manusia. [9]
Justeru itu al Hafiz Ibn Abdil Barr mendefinasikan pembawa al Quran yang sebenar ialah ;
وحملة القرآن هم العاملون بأحكامه وحلاله وحرامه [10]
" mereka yang beramal dengan hukum hakamnya, halal dan haramnya."
Punca permasalahan dalam isu ini sebenarnya apabila tiada kejujuran dan keikhlasan hati dengan Allah swt. Sedangkan urusan ilmu syara' adalah lapangan yang paling dekat untuk mendapat redha dan perkenan Allah swt. Sepatutnya alim ulama' menjadi manusia yang paling dekat denganNya, paling mengenaliNya dan paling tahu kebesaran dan kemegahanNya sebagaimana perakuan Allah swt kepada golongan ini.
Firman Allah swt ;
إِنَّمَا يَخْشَى اللَّهَ مِنْ عِبَادِهِ الْعُلَمَاءُ إِنَّ اللَّهَ عَزِيزٌ غَفُورٌ (سورة فاطر : 28)
" Sesungguhnya yang takutkan Allah di kalangan hambanya ialah ulama' . Sesungguhnya Allah swt itu maha perkasa lagi maha pengampun " .
Sepatutnya ulama' adalah awlia' ( wali- wali ) yang sangat dikasihi Allah swt. Namun dengan sebab hilangnya kejujuran dan keikhlasan samada ketika belajar atau mengajar, maka hilanglah keberkatan dan kesaktian ilmu. Mereka bertukar dari wali tuhan kepada musuhNya, dari bernaung di bawah rahmat dan dan kasih sayang Allah kepada kebencian dan kemurkaan tuhan.
Hadith di bawah membawa amaran yang keras kepada golongan manusia yang melakukan amal bakti yang sangat dicintai Allah. Tiba-tiba kecintaan Allah bertukar menjadi kemurkaan yang teramat apabila ianya dilakukan bukan keranaNya, bahkan kerana tujuan duniawi yang hina yang berbentuk pujian dan pujaan manuasia semata-mata. Maka kehinaan jualah balasan dan azab jualah hukumannya.
عن أبي هريرة رضي الله عنه قال سمعت رسول الله صلى الله عليه وسلم يقول : إن أول الناس يُقضى يوم القيامة عليه رجلٌ استشهد فأُتيَ به فعرَّفه نعمَه فعرفها، قال فما عملت فيها؟ قال: قاتلت فيك حتى استشهدت، قال كذبت، ولكنك قاتلت لأن يقال هو جريء، فقد قيل، ثم أمر به فسُحبَ على وجهه حتى ألقي في النار، ورجلٌ تعلَّم العلم وعلَّمه وقرأ القرآن فأتي به فعرَّفه نعمَه فعرفها، قال فما عملت فيها؟ قال: تعلمت العلم وعلمته وقرأت فيك القرآن، قال كذبت، ولكنك تعلمت ليقال عالم وقرأت القرآن ليقال هو قارئ، فقد قيل ثم أمر به فسُحبَ على وجهه حتى ألقي في النار، ورجلٌ وسع الله عليه وأعطاه من أصناف المال فأتي به فعرفه نعمه فعرفها، قال فما عملت فيها؟ قال: ما تركت من سبيل تحب أن ينفق فيها إلا أنفقت فيها لك، قال كذبت، ولكنك فعلت ليقال هو جواد، فقد قيل ثم أمر به فسُحبَ على وجهه ثم ألقي في النار ) . [11]
Bermaksud : Dari Abi Hurairah ra berkata: Aku mendengar Rasulullah saw bersabda : "Sesungguhnya manusia pertama yang diadili di hari kiamat ialah seorang yang mati syahid. Dia dibawa lalu ditunjukkan nikmat-nikmat tuhan kepadanya dan dia mengetahuinya" . Allah bertanya : "Apa yang engkau lakukan pada nikmat-nikmat ini ?" Dia menjawab : "Aku berperang kerana engkau sehingga aku mati syahid" . Allah berfirman : "Engkau bohong. Sebaliknya engkau berperang supaya dikatakan engkau seorang yang berani. Telah dikatakan itu semua" . Dia diperintahkan supaya ditarik dengan mukanya ke bawah sehingga dicampak ke dalam neraka.
Juga seorang yang belajar ilmu, mengajarnya dan membaca al Quran. Dia dibawa lalu ditunjukkan nikmat-nikmat tuhan kepadanya dan dia mengetahuinya. Allah berfirman kepadanya : "Apa yang engkau lakukan pada nikmat-nikmat ini ?" Dia menjawab : "Aku belajar ilmu dan mengajarnya. Aku membaca al Quran keranamu" . Allah berfirman : "Engkau bohong. Sebaliknya engkau belajar supaya dikatakan engkau alim. Engkau membaca al Quran suya dikatakan Qari. Telah dikatakan itu semua" . Dia diperintahkan supaya ditarik dengan mukanya ke bawah sehingga dicampak ke dalam neraka.
Juga seorang yang Allah memberi kekayaan kepadanya dan mengurniakannya bermacam-macam jenis harta. Dia dibawa lalu ditunjukkan nikmat-nikmat tuhan kepadanya dan dia mengetahuinya" . Allah bertanya : "Apa yang engkau lakukan pada nikmat-nikmat ini ?" Dia menjawab : "Aku tidak tinggalkan satu jalan pun yang engkau suka untuk dibelanjakan harta padanya malainkan aku berbelanja padanya keranamu." Allah berfirman : "Engkau bohong. Sebaliknya engkau engkau lakukan semua itu untuk dipuji dengan dikatakan engkau dermawan dan telah dikatakan itu semua". Dia diperintahkan supaya ditarik dengan mukanya ke bawah sehingga dicampak ke dalam neraka. ( HR muslim )
Imam Nawawi menyebut : Sabdaan Nabi saw tentang mereka yang berperang, berilmu dan menderma bagaimana mereka dihukum dengan sebab pelakuan mereka yang tidak jujur kerana Allah swt sehingga mereka dihumbang ke dalam neraka. Ini adalah bukti betapa kerasnya pengharaman riya' dan betapa kasar layanan balasan yang diterima akibatnya. Maka keikhlasan adalah suatu kemestian dalam beramal bakti sebagaimana firman Allah :
وَمَا أُمِرُوا إِلاَّ لِيَعْبُدُوا اللَّهَ مُخْلِصِينَ لَهُ الدِّينَ ( سورة البينة : 5 )
" Tidaklah mereka diperintahkan selain dari menyembah Allah swt dengan mengikhlaskan agama kepadaNya "
Oleh itu, nas-nas umum mengenai kelebihan jihad sebenarnya terikat dengan mereka yang melakukannya kerana Allah swt. Demikian juga pujian Allah kepada alim ulama' dan para dermawan di jalan kebajikan semuanya ditafsirkan dengan mereka yang melakukannya dengan ikhlas kerana Allah swt. [12]
Amatlah penting bagi mereka yang berkecimpung dengan ilmu syara' untuk menyedari hakikat ini. Berilmu dan mendalami ilmu syara' adalah kelebihan yang tiada tandingan jika jujur, bermaruah dan bertanggungjawab. Kehilangan ciri-ciri tersebut boleh mengundang padah yang tidak tertanggung di dunia apatah lagi di akhirat.
[1] آل عمران:18
[2] اقتضاء العلم العمل ص 158
[3] رواه ابن ماجة والبيهقي في شعب الإيمان . انظر ما رواه الأساطين في عدم المجيء إلى السلاطين ص 54-55 .
[4] رواه مسلم
[5] التذكار في أفضل الأذكار ص 87.
[6] رواه مسلم
[7] مرقاة المفاتيح شرح مشكاة المصابيح 4/627.
[8] التذكار في أفضل الأذكار ص 68.
[9] الزهد لابن المبارك ص 274.
[10] التمهيد 17/430.
[11] رواه مسلم
[12] شرح النووي على صحيح مسلم 5/46
Tiada ulasan:
Catat Ulasan