Rabu, 6 Jun 2012

al Isra' & al Mi'raj Rawatan Luka Dan Sinar Hari Muka.



1.       Hikmat terbesar peristiwa ini adalah pemulihan semangat dan keazaman Rasulullah saw setelah melalui banyak mehnah dan bencana ujian. Apa yang yang telah berlaku sebelum ini bukanlah petanda bahawa Allah swt membiarkan Nabi saw tanpa bantuan. Sebaliknya ia adalah peraturan dan laluan yang menjadi sunnatullah bersama kekasih-kekasih kesayangannya di sepanjang masa dan di mana jua.  Kesabaran dan ketahanan melewati semua ujian ini adalah bukti istiqamah yang membuahkan kejayaan dan kedudukan yang teristimewa di sisi Allah swt.

2.       Apa yang ingin dipertontonkan kepada baginda saw di malam peristiwa ini adalah petanda awal bahawa masa depan adalah milik Islam. Bumi ini mungkin sempit untuk dirinya, namun langit yang luas terbentang boleh menyambut dengan penuh penghormatan menerima kunjungan baginda saw. Penduduk bumi menyakitinya, namun penduduk langit yang mulia pula menyanjung tinggi dan memuliakannya dengan mengkalungkan baginda saw pangkat dan darjat tertinggi. Menurut Muhammad al Ghazali : Perisitiwa al Isra' dan al Mi'raj berlaku di tengah-tengah tempoh kenabian selama 23 tahun. Maka ia adalah rawatan pemulihan memadamkan luka-luka lama seterusnya menanam benih-benih kejayaan masa depan

3.       Pemilihan Baitul Maqdis sebagai persinggahan perjalanan sebagai bukti kesuciannya. Kiblat nabi-nabi, pusat dakwah dan pemerintahan mereka dan bumi tadahan wahyu umat terdahulu itu menjadi persinggahan Rasulullah saw sebagai bukti kesinabungan dakwah dan perjuangan serta lambang persaudaraan dan pertautan kasih sesama jemaah nabi-nabi as. Maka Baitul Maqdis adalah bumi suci Islam yang wajib dipertahankan sepanjang zaman. Inilah yang dibukti oleh para sahabat Nabi saw di zaman Khalifah Umar ra yang Berjaya membebaskan kota al Quds dari kerajaan Romawi dan tentera Sultan Salahuddin al Ayyubi yang membebaskannya dari kuasa tentera salib. Hari ini kota al Quds sekali lagi menuntut pembebasan semula dari kerakusan regim zionis yahudi.    

4.       Baitul Maqdis juga adalah kiblat Bani Israel yang bersikap tidak amanah dalam menjaga wahyu dan risalah. Umat Muhammad saw diingat supaya tidak menjadikan mereka tauladan dalam menerima amanah wahyu dan risalah. Sebaliknya sikap dan sifat buruk mereka melayan urusan agama menjadi batas sempadan untuk dijauhi dalam hal ini. Sengaja Allah swt mengubah kiblat umat akhir zaman dari Baitul Maqdis ke Baitillah al Haram, Mekah bagi membawa perubahan ini dan tanda bertukar tangannya umat pilihan di akhir zaman.

5.       Pemilihan susu berbanding arak sebagai bukti bahawa agama pembawaan Nabi saw adalah jalan kembali kepada fitrah yang merupakan sistem semulajadi yang sangat sesuai dan serasi dengan ciptaan asal manusia. Mana-mana isme atau ajaran baru yang dibawa masuk ke dalam kerangka sistem hidup manusia yang bertentangan dengan ajaran Islam hanya menjanjikan kepincangan dan suasana tidak harmoni. Ia merbahaya kepada cara berfikir manusia seperti bahayanya arak yang merosakkan akal waras manusia.        

6.       Nabi saw dipertemukan dengan rasul-rasul terdahulu di langit tinggi dan dapat melihat bagaimana istimewanya kedudukan mereka selepas kematian. Mereka ini telah berpengalaman melalui apa yang sedang dilalui oleh Nabi Muhammad saw dalam bentuk ujian dunia dan penghinaan penduduknya kepada dakwah mereka. Ia bukti benarnya janji Allah swt untuk menempatkan mereka yang berbakti kepadanya di kedudukan yang teristimewa. Apatah lagi kemuliaan kedudukan yang lebih hebat menanti Rasulullah saw yang menjadi penutup sekalian nabi dan penghulu sekalian rasul.

7.       Hadiah termahal yang dibawa balik oleh Nabi saw dari tuhannya dalam perjalanan ini adalah kefadhuan solat lima waktu. Solat adalah mi'raj kekal untuk seluruh umat Muhammad saw. Jika mi'raj membawa Nabi saw dekat dengan Allah swt maka demikian solat adalah jemputan Allah swt kepada hambanya untuk datang dekat ke hadratnya. Jika Mi'rak adalah hiburan dan ketenangan untuk Nabi saw setelah melalui bermacam aneka ujian dan cabaran, maka demikian setiap mu'min berhak mengecapi hiburan dan ketenagan yang sama ketika melaksanakan amalan solat yang penuh dengan pengembaraan rohani yang menjanjikan ketenangan dan pemandangan roh yang menghiburkan.

8.       Alam langit yang menjadi medan perisitiwa ini adalah antara lambang mu'jizat ciptaan Allah swt yang terbesar. Allah swt yang membawa Nabi saw meneroka alam angkasaraya seolah-olah mencabar dunia akhir zaman yang berlumba-lumba menguasai alam ini. Rupa-rupanya pencapaian sains dan teknologi tamadun manusia mutakhir berbangga dengan kecanggihan peralatan untuk meneroka dan menyahut cabaran aero angkasa. Setinggi dan sejauh mana pun mereka meneroka dan berjaya meninjau, mereka sebenarnya telah didahului dan masih ketinggalan jauh di belakang mu'jizat al Isra' dan al Mi'raj.        

Tiada ulasan:

Catat Ulasan