Langkah-langkah Kajian Hadith Maudhu’i.
Seseorang yang ingin mengkaji hadith secara maudhu’i akan melalui peringkat-peringkat berikut ; [1]
- Pemilihan tajuk: Pengkaji hadith maudhu’i akan memilih tajuk yang diperlukan oleh umat Islam masakini yang boleh menyumbang ke arah kemajuan, ketamadunan dan kebangkitan Islam atau tajuk yang boleh menghuraikan kekusutan umat Islam termasuklah isu-isu yang memerlukan penyelesaian dan jalan keluar.
- Pengumpulan hadith : Berusaha gigih untuk mengumpulkan semua hadith-hadith yang berkaitan dengan tajuk kajian dan dilakukan dengan penuh teliti dari semua sumber-sumber utama hadith.
- Kajian status hadith : Membuat kajian terhadap sanad hadith mengikut metod ahli hadith dengan menggunakan kaedah ilmu rijal, ilmu al jarh wa al taadil dan ilmu al ’iIal. Hadith yang terbukti boleh dibuat hujah sahaja yang dipilih untuk dimasukkan ke dalam kajian.
- Berpegang kepada Manhaj iImi : Mestilah amanah dan jujur dalam naqal ( memindah pendapat ) dan naqad ( mengkritik pendapat ), bersikap telus dan tidak memihak dalam menangani perbezaan pandangan dalam pengambilan hukum dan kefahaman teks supaya mendapat keputusan dan rumusan yang terbaik.
- Analisis teks : Teks-teks hadith yang dipetik mestilah dianalisis secara tepat tanpa membebankan nas apa yang tidak tertanggungnya semata-mata kerana mahu membuktikan kehadiran hadith dalam topik perbincangan.
Peranan Hadith Maudhu’i Dalam Menangani Persoalan Keilmuan dan Ketamadunan Moden.
Matlamat asal diperkenalkan disiplin hadith maudhu’i iaitu menangani maudhu’ ( topik atau isu ) dan perbincangan yang bersifat semasa bagi menonjolkan sikap Islam dalam perkara ini berdasarkan sumber hadith. Justeru, Hadith Maudhui mestilah dilihat sebagai medan sebenar kesarjanaan dan kematangan disiplin hadith dalam menangani permasalahan yang timbul dengan membawa penyelesaian melalui manhaj nabawi.
Hadith Maudhu’i dewasa ini telah diterima sebagai salah satu daripada cabangan ulum hadith. Bahkan menurut sebahagian pengkaji, ilmu ini adalah hasil pencapaian sebenar setelah melalui semua pengajian disiplin hadith kerana ia memerlukan kepada kesemua kepelbagaian kemahiran dalam ilmu hadith. Tidak dapat dinafikan juga keperluan ilmu-ilmu tafsir, aqidah, sirah, tarikh, akhlak dalam memantapkan kajian hadith maudhu’i. Oleh kerana hadith maudhui menangani persoalan semasa, maka penguasaan disiplin ilmu-ilmu moden samada sains kemanusian, sains tulen atau ilmu-ilmu teknikal amat diperlukan bagi mendapatkan hasilan yang matang bagi sesebuah kajian atau penulisan hadith maudhu’i.
Antara peranan penting pengajian hadith maudhu’i dalam konteks hala tuju semasa ialah;
- Pengajian ini mampu untuk memenuhi tuntutan dan keperluan semasa yang semakin mendesak akhir-akhir ini untuk mencari penyelesaian dan pandangan Islam dalam semua lapangan keilmuan dan kehidupan. Dunia akademik yang kian bercambah bidang pengkhususannya sementara isu-isu kehidupan masyarakat manusia pula menjadi semakin rumit. Kepantasan dunia komunikasi dan infomasi masakini menambahkan lagi cabaran kepada cendikiawan Islam untuk menganalisa maklumat yang diberi, menangani persoalan yang ditimbulkan dan menjawab salah faham atau kekeliruan yang dibangkitkan. Di sinilah peranan hadith maudhu’i untuk melihat semua ini dari kaca mata petunjuk Nabawi.
- Hadith maudhu’i adalah wacana terbaik untuk menuju ke arah cita-cita integrasi ilmu dan pendidikan bersepadu yang menjadi idaman pencinta agama dan kebenaran. Umat Islam telah lama dikhayalkan dengan dualisme dalam pendidikan dan kehidupan. Manusia sejagat pula diganggu dengan kemelut pertembungan tamadun, percanggahan budaya dan metod pemikiran. Pendekatan Hadith Maudhu’i memerlukan pengetahuan dan kematangan maklumat ilmuan agama digarapkan dengan kepakaran dan kemahiran profesional dan teknorat. Tanpa demikian, proses ijtihad dalam hadith maudhu’i tidak berlangsung sempurna. Maka hadith maudhui mampu untuk menyatukan aliran tradisional dan moden, agamawan dan profesional. Apa yang penting adalah peranannya mengembalikan keilmuan dan ketamadunan moden ini ke pangkal asalnya iaitulah pendidikan rabbani yang berteraskan ayat Iqra’.
- Pengajian hadith maudhu’i berperanan penting untuk menonjolkan sudut-sudut mukjizat Islam dalam kepelbagaian bidang ilmu pengetahuan dan medan kehidupan. Mukjizat sentiasa mengikut cabaran semasa masyarakat manusia. Ia boleh berubah dan berbeza bentuk mengikut perubahan masa dan peredaran zaman. Namun matlamatnya akhir adalah sama iaitu terbuktinya kebenaran dan kebesaran ilahi di sebalik kelemahan dan kekerdilan manusiawi. Maka menjadi kewajipan ilmuan Islamlah untuk mengbongkar keajaiban yang tersirat di dalam wahyu Allah, al Quran dan al as Sunnah dalam kepelbagain sudut dan persembahannya. Ini mampu memperkuatkan lagi pembuktian hadith nabawi sebagai wahyu dari Allah swt kepada manusia buat selama-lamanya.
- Kemunculan ilmu-ilmu Islam yang baru adalah antara sumbangan terpenting pendekatan hadith maudhu’i selain tafsir maudhu’i. Ilmu-ilmu moden yang berteras Islam seperti kauseling Islam, komunikasi Islam, sosiologi Islam, psikologi Islam, kewartawanan Islam, ekonomi Islam, kesihatan atau rawatan Islam dan sebagainya memerlukan kepada kemahiran dalam hadith maudhu’i untuk mengaitkan hadith-hadith berkaitan dengan tajuk-tajuk dalam disiplin keilmuan tersebut.
- Tugasan dakwah islamiyyah tidak dapat dipinggirkan walaupun dalam membicarakan soal keilmuan dan ketamadunan. Peranan dakwah penting dalam mengurus dan mengawasi perjalanan keilmuan dan ketamadunan. Dalam konteks ini, hadith maudhu’i memberi bekal dan aset yang yang tinggi nilainya bagi usaha dakwah kontemporari. Justeru, pengajian ini mestilah dihadam sebaiknya oleh para pendakwah yang ingin mempersembahkan Islam secara lebih efektif dengan hujah dan kupasan yang relevan dengan pencapaian ilmu manusia moden.
- Pengajian hadith maudhu’i berperanan secara berkesan dalam menyelesaikan hadith-hadith kontradiksi dalam konteks kontemporari. Ulama hadith kontemporarer seharus dilengkap dengan kemahiran menggunakan pendekatan hadith maudhu’i agar lebih bersedia memberikan interpretasi, penjelasan dan konklusi menyelesaikan percanggahan ini. Apatah lagi zaman mutakhir yang penuh dengan kemajuan dan penemuan dalam pelbagai lapangan, sering kali masyarakat disuakan dengan kekeliruan tentang hadith-hadith yang Nabi tinggalkan sejak lebih daripada 1400 tahun yang lampau.
Penutup
Terbukti bahawa pendekatan pengajian hadith maudhu’i adalah penting bagi tujuan fiqhul hadith dalam konteks semasa. Hadith maudhu’i membuka ruang ijtihad baru kepada ulama’ hadith masa kini agar dapat mempersembahkan hadith dalam bentuk baru yang lebih memberangsangkan. Segala kepakaran dalam ulum hadith samada riwayah atau dirayah digarapkan demi mencari rumusan tebaik dalam hadith maudhu’i.
Justeru, pengajian hadith maudhu’i harus diperkasakan di peringkat IPT agar kemahiran berinteraksi dengan hadith dalam lingkungan isu-isu semasa dapat dikuasai baik oleh para pelajar. Penekanan perlu ditumpukan kepada tajuk-tajuk semasa dalam semua lapangan ilmu-ilmu moden seperti pendidikan, ekonomi, sains sosial, sains tulen, psikologi, pengurusan, undang-undang dan sebagainya.
Agenda pemulihan dan pembaharuan dalam mempersembahkan agama Allah swt kepada dunia moden sesungguhnya memerlukan kepada pemikiran kritis dan kreatif yang bertunjangkan kepada kefahaman yang jitu terhadap nas dan waqi’. Hadith maudhu’i mestilah dilihat mampu membawa gagasan mulia ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan