Jumaat, 1 Januari 2010

Transformasi Menuju Kesempurnaan Solat .. Azam Tahun Baru.

Tahun baru menjelma lagi. Setiap kita mula memasang azam baru melengkapkan keperluan diri. Ada yang berfikir mengenai pelajaran. Ada pula yang tekad memajukan kerjaya. Ada yang berfikir untuk diri dan ada pula yang jauh merenung masa depan zuriat dan keluarga. Manusia sememangnya makhluk ajaib yang penuh imiginasi, inovasi dan bebas berfikir apa yang terbaik untuk mereka.

Cuma di sini ingin dicadangkan kepada anda satu idea tranformasi diri. Ia adalah sebagai menunaikan tanggungjawab "nasihat" yang menjadi tonggak agama. Transformasi yang dimaksudkan ialah satu perubahan sikap dan peningkatan syakhsiah terhadap suatu amanah harian yang paling besar dalam hidup insan. Mungkin kerana ianya bersifat harian, maka ia sentiasa terabai dari menjadi bahan pemerhatian.

Jika Ibadatlah matlamat hidup utama, maka ibadat paling utama adalah solat. Solat menjadi tugas terbesar manusia sementara hidup ini. Maka keazaman ini besar maknanya. Transformasi sentiasa bermula dengan ilmu. Ilmulah yang menggerakkan kesedaran. Kesedaranlah yang akhirnya membawa megah obor perubahan sikap dan syakhsiah. Semoga agenda transformasi menuju solat yang sempurna menjadi menjadi azam baru dengan meningkatnya usia dan bertambah tuanya umur ini.

Mungkin modul transformasi ini menarik jika dimulakan dengan persoalan paling mudah. Kenapa solat ? atau apa hebatnya solat berbanding amalan lain? Satu soalan yang bakal kita temui jawapannya dari kalam Allah dan utusanNya sebelum anda cuba menjawabnya dengan kebijaksanaan sendiri.

Solat : Ibadat, Syariat dan Munajat

Keagungan solat dapat difahami dari beberapa ciri utama yang dirumuskan seperti berikut;

1- Keagungan ibadat.

Solat adalah menunaikan perintah. Solat menjadi perintah Allah kepada sekalian manusia ciptaannya. Allah tidak akan perintahkan melainkan perkara baik. Melaksanakan perintah Allah tidak menatijahkan melainkan kebahagian. Menunaikan perintah inilah yang dinamakan ibadat.

Firman Allah swt ;

وَأَقِيمُواْ الصَّلاَةَ وَآتُواْ الزَّكَاةَ وَارْكَعُواْ مَعَ الرَّاكِعِينَ

" Dan dirikanlah shalat, tunaikanlah zakat dan ruku'lah beserta orang-orang yang ruku' ".

( Surah al Baqarah : 43 )

Ayat ini menyebut tentang keindahan ibadat Islam dalam memelihara keharmonian hidup dengan menunaikan tanggungjawab dengan Allah melalui solat dan tanggungjawab sesama manusia melalui zakat. Maka lahirlah sebuah kehidupan tunduk kepada Allah dan mengasihi sesama manusia.

Dalam hadith pula diriwayatkan bagaimana sembahyang adalah suatu tanggungjawab ketat yang mesti ditunaikan dalam apa keadaan sekalipun ;

عَنْ‏ ‏عِمْرَانَ بْنِ حُصَيْنٍ‏ ‏رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ ‏قَالَ‏ كَانَتْ بِي بَوَاسِيرُ فَسَأَلْتُ النَّبِيَّ‏ ‏صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ‏عَنْ الصَّلَاةِ فَقَالَ :‏ صَلِّ قَائِمًا فَإِنْ لَمْ تَسْتَطِعْ فَقَاعِدًا فَإِنْ لَمْ تَسْتَطِعْ فَعَلَى جَنْبٍ . رواه البخاري

Bermaksud :

Dari Imran ibn Hushain katanya : Aku ada penyakit buasir maka aku bertanya Rasulullah saw tentang sembahyang. Baginda berkata : " Sembahyanglah sambil berdiri. Jika tidak mampu maka duduk. Jika tidak mampu maka di atas lambungnya [1] ". HR al Bukhari.

2- Keagungan syariat.

Solat disyariatkan di langit tanpa perantaraan Jibril. Semua syariat Allah kepada manusia yang disampaikan kepada Rasulullah saw melalui Jibril dan berlaku di muka bumi. Hanya solat sahaja yang disyariatkan di langit dan secara lansung diterima dari Allah tanpa perantaraan Jibril iaitu di malam Isra' dan Mi'raj. Di sinilah terserlahnya keagungan solat berbanding syariat-syariat lain.

Antara kandungan hadith Isra' dan Mi'raj ialah ;

ثُمَّ ذَهَبَ بِي إِلَى السِّدْرَةِ الْمُنْتَهَى ... فَأَوْحَى اللَّهُ إِلَيَّ مَا أَوْحَى فَفَرَضَ عَلَيَّ خَمْسِينَ صَلَاةً فِي كُلِّ يَوْمٍ وَلَيْلَةٍ . رواه البخاري ومسلم

" .. Kemudian Jibril membawaku ke Sidratul Muntaha .. Tiba-tiba Allah mewahyukan kepadaku apa yang hendak diwahyunya. Allah menfardhukan kepadaku 50 solat sehari semalam. " HR al Bukhari dan Muslim.

3- Keagungan munajat.

Solat merupakan bisikan ( munajat ) lansung antara hamba dan tuhannya. Sebagaimana Nabi saw menerima solat secara lansung dari Allah swt tanpa perantaraan, maka demikianlah setiap muslim sebenarnya berlintas lansung dengan Allah dalam setiap solatnya. Ini dapat difahami jelas dari hadith berikut ;

عَنْ ‏ ‏أَبِي هُرَيْرَةَ ‏عَنْ النَّبِيِّ ‏ ‏صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ‏ ‏قَالَ مَنْ صَلَّى صَلَاةً لَمْ يَقْرَأْ فِيهَا ‏ ‏بِأُمِّ الْقُرْآنِ ‏ ‏فَهِيَ ‏ ‏خِدَاجٌ ‏ ‏ثَلَاثًا غَيْرُ تَمَامٍ فَقِيلَ ‏ ‏لِأَبِي هُرَيْرَةَ ‏ ‏إِنَّا نَكُونُ وَرَاءَ الْإِمَامِ فَقَالَ اقْرَأْ بِهَا فِي نَفْسِكَ فَإِنِّي سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ ‏ ‏صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ‏ ‏يَقُولُ قَالَ اللَّهُ تَعَالَى ‏ قَسَمْتُ الصَّلَاةَ بَيْنِي وَبَيْنَ عَبْدِي نِصْفَيْنِ وَلِعَبْدِي مَا سَأَلَ فَإِذَا قَالَ الْعَبْدُ ‏ الْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ ‏ قَالَ اللَّهُ تَعَالَى حَمِدَنِي عَبْدِي وَإِذَا قَالَ ‏ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ قَالَ اللَّهُ تَعَالَى أَثْنَى عَلَيَّ عَبْدِي وَإِذَا قَالَ ‏ مَالِكِ يَوْمِ الدِّينِ قَالَ مَجَّدَنِي عَبْدِي وَقَالَ مَرَّةً فَوَّضَ إِلَيَّ عَبْدِي فَإِذَا قَالَ ِإيَّاكَ نَعْبُدُ وَإِيَّاكَ نَسْتَعِينُ قَالَ هَذَا بَيْنِي وَبَيْنَ عَبْدِي وَلِعَبْدِي مَا سَأَلَ فَإِذَا قَالَ اهْدِنَا الصِّرَاطَ الْمُسْتَقِيمَ صِرَاطَ الَّذِينَ أَنْعَمْتَ عَلَيْهِمْ غَيْرِ الْمَغْضُوبِ عَلَيْهِمْ وَلَا الضَّالِّينَ قَالَ هَذَا لِعَبْدِي وَلِعَبْدِي مَا سَأَلَ ‏.

Maksudnya: Dari Abi Hurairah dari Nabi saw bersabda “Barangsiapa mendirikan sembahyang tanpa membaca padanya umm al-Qur’an (surah al-Fatihah), nescaya sembahyangnya itu rosak . (Baginda mengulanginya sebanyak) tiga kali, tidak sempurna sembahyangnya. Dikatakan kepada Abu Hurairah: “Sesungguhnya kami berada di belakang imam berjemaah (adakah kami membaca surah al-Fatihah atau tidak?)

Dia berkata: “Bacalah surah al-Fatihah itu secara senyap (didengari oleh diri sendiri), sesungguhnya aku mendengar Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Allah Ta‘ala berfirman: “Aku bahagikan sembahyang (al-fatihah) antara Aku dan hambaKu separuh-separuh, dan bagi hambaKu meminta apa sahaja. Apabila seorang hamba berkata: (segala puji tertentu bagi Allah, Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam)”, Allah Ta‘ala berfirman: (hambaKu memujiKu)”; Apabila berkata: (yang amat pemurah lagi amat mengasihani)”, Allah Ta‘ala berfirman: (hambaKu menyebut kebaikanku)”; Apabila berkata: (yang menguasai pemerintahan hari pembalasan (hari akhirat)”, Allah Ta‘ala berfirman: (hambaKu mengagungkan Aku) dan sesekali (Allah) berfirman: “ (hambaKu pasrah padaKu)”; Apabila berkata: (engkau sajalah sahaja (ya Allah) yang kami sembah, dan kepada engkaulah sahaja kami memohon pertolongan)”. Allah Ta‘ala berfirman: (Ini antaraKu dengan hambaKu dan bagi hambaKu meminta apa sahaja)”; Apabila berkata: (Tunjukilah kami jalan yang lurus, iaitu jalan orang-orang yang engkau telah kurniakan nikmat kepada mereka, bukan (jalan) orang-orang yang engkau telah murkai, dan bukan pula (jalan) orang-orang yang sesat)”, Allah Ta‘ala berfirman: “ (Ini bagi hambaKu dan bagi hambaKu meminta apa sahaja.”(Hadis riwayat Muslim)


[1] Jika tidak mampu duduk maka sembahyangnya menurut Jumhur adalah di atas lambungnya ( sisi badannya ) berdasarkan hadith ini. Menurut Mazhab Hanafi dan sebahagian ulama' Syafei pula adalah secara baring dengan kakinya menghadap ke kiblat. - Fathul Bari Syarh al Bukhari

2 ulasan:

  1. Tranformasi ini perlu dilakukan supaya akar kepada ibadat ini memberi impak kepada ibadat2 yang lain menjadi lebih sempurna...

    BalasPadam
  2. Terima kasih Cinta Agung .. Begitulah harapannya.

    BalasPadam