Ilmu yang berpandukan wahyu Allah swt memiliki ciri-ciri asas yang kuat untuk berperanan penting ke arah pembinaan sebuah tamadun kemanusian yang unggul. Al Quran al karim ada menyingkap beberapa ciri ilmu yang membolehkannya memberi sumbangan dan impak ketamadunan.
Antara yang terpenting ialah peranan ilmu sebagai penyuluh yang memberi sinar cahaya kepada kehidupan bertamadun. Tanpa ilmu, tamadun kemanusiaan berada dalam kegelapan tiada arah panduan. Justeru kedatangan Islam melalui penurunan kitab suci dan perutusan rasul dan nabi adalah membawa simbahan cahaya kepada alam ketamadunan yang sebelumnya dalam kegelapan.
Firman Allah swt :
اللَّهُ وَلِيُّ الَّذِينَ آمَنُوا يُخْرِجُهُمْ مِنَ الظُّلُمَاتِ إِلَى النُّورِ ۖوَالَّذِينَ كَفَرُوا أَوْلِيَاؤُهُمُ الطَّاغُوتُ يُخْرِجُونَهُمْ مِنَ النُّورِ إِلَى الظُّلُمَاتِ ۗ أُولَٰئِكَ أَصْحَابُ النَّارِ ۖ هُمْ فِيهَا خَالِدُونَ﴿257﴾ البقرة: ٢٥٧
Bermaksud : 257. Allah Pelindung (yang mengawal dan menolong) orang-orang Yang beriman. ia mengeluarkan mereka dari kegelapan (kufur) kepada cahaya (iman). dan orang-orang Yang kafir, penolong-penolong mereka ialah Taghut Yang mengeluarkan mereka dari cahaya (iman) kepada kegelapan (kufur). mereka itulah ahli neraka, mereka kekal di dalamnya.
Ayat ini menjelaskan bagaimana peranan ilmu yang bersumberkan wahyu Allah swt mampu untuk membawa sinaran cahaya dan menghilangkan kegelapan dari kehidupan. Sebaliknya kekufuran yang tidak bertunjangkan kepada ilmu yang sebenar adalah malapetaka kepada ketamadunan kerana ia mengundang kemunduruan dan kegelapan setelah ianya bercahaya dengan keimanan.
Al Imam at Thabari menghuraikan maksud ayat ini dengan ungkapannya;
فأخبر تعالى ذكره عباده أنه ولي المؤمنين، ومبصرهم حقيقة الإيمان وسبله وشرائعه وحججه، وهاديهم، فموفقهم لأدلته المزيلة عنهم الشكوك، بكشفه عنهم دواعي الكفر، وظلم سواتر عن أبصار القلوب.
Ertinya : Allah memberitahu hamba-hambanya bahawa dialah penaung orang beriman. Dia memperjelaskan kepada mereka hakikat iman, laluan, aturan dan pembuktiannya. Dia membawa petunjuk dan taufik kepada dalil-dalil yang menghilangkan kesangsian dengan membebaskan mereka dari seruan kekufuran dan menghilangkan kegelapan pendinding dari mata hati mereka.
Dalam ayat lain, Allah berfirman;
رَسُولًا يَتْلُو عَلَيْكُمْ آيَاتِ اللَّهِ مُبَيِّنَاتٍ لِيُخْرِجَ الَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ مِنَ الظُّلُمَاتِ إِلَى النُّورِ ۚ وَمَنْ يُؤْمِنْ بِاللَّهِ وَيَعْمَلْ صَالِحًا يُدْخِلْهُ جَنَّاتٍ تَجْرِي مِنْ تَحْتِهَا الْأَنْهَارُ خَالِدِينَ فِيهَا أَبَدًا ۖ قَدْ أَحْسَنَ اللَّهُ لَهُ رِزْقًا﴿11﴾ الطلاق: ١١
Bermaksud : 11. (dengan mengutuskan) seorang Rasul (Nabi Muhammad s.a.w) Yang membacakan kepada kamu ayat-ayat Allah Yang menerangkan kebenaran, supaya Allah mengeluarkan orang-orang (yang sedia diketahuiNya akan) beriman dan beramal soleh - dari gelap-gelita (kesesatan) kepada cahaya (hidayah petunjuk). dan (ingatlah), sesiapa Yang beriman kepada Allah dan beramal soleh, akan dimasukkan oleh Allah ke Dalam syurga Yang mengalir di bawahnya beberapa sungai; kekalah mereka di dalamnya selama-lamanya. Sesungguhnya Allah (dengan Yang demikian) telah mengurniakan kepadanya sebaik-baik pemberian.
Ayat ini memperingatkan jasa Rasulullah saw yang membawa ilmu yang jelas kebenarannya. Ilmu inilah yang menyelamatkan umat manusia dari alam kegelapan kepada cahaya dengan hidup yang penuh berbakti kepada pencipta dan ketamdunan manusia. Demikianlah mengikuti jejak Rasulullah adalah seperti berpandukan cahaya yang terang benderang dalam perjalanan penuh kegelapan sebagaiman dipertegaskan dalam ayat berikut;
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اتَّقُوا اللَّهَ وَآمِنُوا بِرَسُولِهِ يُؤْتِكُمْ كِفْلَيْنِ مِنْ رَحْمَتِهِ وَيَجْعَلْ لَكُمْ نُورًا تَمْشُونَ بِهِ وَيَغْفِرْ لَكُمْ ۚ وَاللَّهُ غَفُورٌ رَحِيمٌ ﴿28﴾ الحديد: ٢٨
Bermaksud: 28. Wahai orang-orang Yang beriman! bertaqwalah kamu kepada Allah dan tetaplah beriman kepada RasulNya (Muhammad), supaya Allah memberi kepada kamu dua bahagian dari rahmatNya, dan menjadikan bagi kamu cahaya untuk kamu berjalan dengannya (pada hari kiamat kelak), serta diampunkanNya dosa kamu; dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.
Dalam tajuk berkaitan juga Allah berfirman;
يَا أَهْلَ الْكِتَابِ قَدْ جَاءَكُمْ رَسُولُنَا يُبَيِّنُ لَكُمْ كَثِيرًا مِمَّا كُنْتُمْ تُخْفُونَ مِنَ الْكِتَابِ وَيَعْفُو عَنْ كَثِيرٍ ۚ قَدْ جَاءَكُمْ مِنَ اللَّهِ نُورٌ وَكِتَابٌ مُبِينٌ ﴿15﴾ يَهْدِي بِهِ اللَّهُ مَنِ اتَّبَعَ رِضْوَانَهُ سُبُلَ السَّلَامِ وَيُخْرِجُهُمْ مِنَ الظُّلُمَاتِ إِلَى النُّورِ بِإِذْنِهِ وَيَهْدِيهِمْ إِلَىٰ صِرَاطٍ مُسْتَقِيمٍ ﴿16﴾ المائدة:15-16
Bermaksud : 15. Wahai ahli Kitab! Sesungguhnya telah datang kepada kamu Rasul Kami (Muhammad, s.a.w) Dengan menerangkan kepada kamu banyak dari (keterangan-keterangan dan hukum-hukum) Yang telah kamu sembunyikan dari Kitab suci, dan ia memaafkan kamu (dengan tidak mendedahkan) banyak perkara (yang kamu sembunyikan). Sesungguhnya telah datang kepada kamu cahaya kebenaran (Nabi Muhammad) dari Allah, dan sebuah Kitab (Al-Quran) Yang jelas nyata keterangannya.
16. Dengan (Al-Quran) itu Allah menunjukkan jalan-jalan keselamatan serta kesejahteraan kepada sesiapa Yang mengikut keredaanNya, dan (dengannya) Tuhan keluarkan mereka dari gelap-gelita (kufur) kepada cahaya (iman) Yang terang-benderang, Dengan izinNya; dan (dengannya juga) Tuhan menunjukkan mereka ke jalan Yang lurus.
Ayat ini juga membawa mesej yang sama dengan ayat sebelumnya iaitu peranan ilmu yang sebenar membawa obor cahaya menyelamatkan ketamadunan kemanusian dari kegelapan hasil penyelewengan ahli kitab ( Yahudi dan Nasara ) dan memandu arah kehidupan ini kepada jalan yang lurus. Sememangnya penyelewangan dalam lapangan keilmuan oleh ahli kitab terdahulu sentiasa mendapat teguran dan ancaman al Quran. Sebaliknya perutusan Rasulullah saw adalah sinar baru kepada peradaban dan ketamdunan yang diredhai Allah swt.
Seterusnya Allah berfirman:
فَآمِنُوا بِاللَّهِ وَرَسُولِهِ وَالنُّورِ الَّذِي أَنْزَلْنَا ۚ وَاللَّهُ بِمَا تَعْمَلُونَ خَبِيرٌ ﴿8﴾التغابن: ٨
Bermaksud : 8. Oleh itu, berimanlah kamu kepada Allah dan kepada RasulNya serta kepada penerangan cahaya Al-Quran - Yang Kami turunkan. dan (ingatlah), Allah amat mendalam pengetahuannya akan Segala Yang kamu kerjakan.
Ayat ini pula satu arahan wajib supaya menerima ilmu yang benar bersumberkan Allah ( al Quran ) dan Rasulullah saw ( al Sunnah ) kerana ia adalah cahaya yang menerangi jalan kehidupan.
يَا أَيُّهَا النَّاسُ قَدْ جَاءَكُمْ بُرْهَانٌ مِنْ رَبِّكُمْ وَأَنْزَلْنَا إِلَيْكُمْ نُورًا مُبِينًا . سورة النساء :174
Bermaksud : 174. Wahai sekalian umat manusia! Sesungguhnya telah datang kepada kamu: Bukti dari Tuhan kamu, dan Kami pula telah menurunkan kepada kamu (Al-Quran sebagai) Nur (cahaya) Yang menerangi (segala apa jua Yang membawa kejayaan di dunia ini dan kebahagiaan Yang kekal di akhirat kelak).
Ayat ini pula membawa berita baik kepada umat manusia dengan kedatangan ilmu sebagai panduan dari Allah swt. Ia adalah hujah yang nyata dan pembuktian yang kukuh dari Allah swt dan sifatnya adalah cahaya yang menerangi.
Membawa tujuan sama Allah berfirman:
اللَّهُ نُورُ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ ۚ مَثَلُ نُورِهِ كَمِشْكَاةٍ فِيهَا مِصْبَاحٌ ۖ الْمِصْبَاحُ فِي زُجَاجَةٍ ۖ الزُّجَاجَةُ كَأَنَّهَا كَوْكَبٌ دُرِّيٌّ يُوقَدُ مِنْ شَجَرَةٍ مُبَارَكَةٍ زَيْتُونَةٍ لَا شَرْقِيَّةٍ وَلَا غَرْبِيَّةٍ يَكَادُ زَيْتُهَا يُضِيءُ وَلَوْ لَمْ تَمْسَسْهُ نَارٌ ۚ نُورٌ عَلَىٰ نُورٍ ۗيَهْدِي اللَّهُ لِنُورِهِ مَنْ يَشَاءُ ۚ وَيَضْرِبُ اللَّهُ الْأَمْثَالَ لِلنَّاسِ ۗوَاللَّهُ بِكُلِّ شَيْءٍ عَلِيمٌ ﴿35﴾ النور: ٣٥
Bermaksud : 35. Allah Yang menerangi langit dan bumi. bandingan Nur hidayah petunjuk Allah (Kitab suci Al-Quran) adalah sebagai sebuah "misykaat" Yang berisi sebuah lampu; lampu itu Dalam geluk kaca (qandil), geluk kaca itu pula (jernih terang) laksana bintang Yang bersinar cemerlang; lampu itu dinyalakan Dengan minyak dari pokok Yang banyak manfaatnya, (Iaitu) pokok zaitun Yang bukan sahaja disinari matahari semasa naiknya dan bukan sahaja semasa turunnya (tetapi ia sentiasa terdedah kepada matahari); hampir-hampir minyaknya itu - Dengan sendirinya - memancarkan cahaya bersinar (kerana jernihnya) Walaupun ia tidak disentuh api; (sinaran Nur hidayah Yang demikian bandingannya adalah sinaran Yang berganda-ganda): cahaya berlapis cahaya. Allah memimpin sesiapa Yang dikehendakiNya (menurut undang-undang dan peraturanNya) kepada Nur hidayahNya itu; dan Allah mengemukakan berbagai-bagai misal Perbandingan untuk umat manusia; dan Allah Maha mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.
Ayat ini membawa perumpamaan penuh simbolik apabila mengumpamakan simbahan cahaya ilmu dari Allah seperti simbahan cahaya matahari yang juga sebenarnya dari Allah. Manusia yang bijak menghargai ilmu Allah dan memanfaatkannya dengan sebaiknya diumpamakan seperti pohon zaitun di tengah-tengah lembah yang banyak mengambil manfaat dari sinar cahaya matahari di waktu pagi dan petang. Akhirnya buah zaitun ini dapat mengeluarkan minyak yang baik untuk digunakan sebagai bahan bakar di dalam pelita yang menerangi kegelapan malam. Demikian bermaknanya kehadiran ilmu dari Allah sebagaiman bermaknanya kemunculan matahari di waktu siang dan kehadiran cahaya pelita minyak zaitun di waktu malam.
Mengulas mengenai konsep cahaya ilmu di dalam diri orang beriman ini dan sumbangannya kepada kehidupan sejagat, Ibnu al Qayyim menyebut:
وهذا هو النور الذي أودعه في قلبه من معرفته ومحبته والايمان به وذكره وهو نوره الذي أنزله إليهم فأحياهم به وجعلهم يمشون به بين الناس وأصله في قلوبهم ثم تقوى مادته فتتزايد حتى يظهر على وجوههم وجوارحهم وأبدانهم بل ثيابهم ودورهم يبصره من هو من جنسهم
Ertinya: Inilah dia cahaya yang diletakkan Allah di dalam hati orang beriman yang menyebabkan dia mengenali, mengasihi, beriman dan berzikir menyebut Allah. Inilah cahaya yang diturunkan Allah swt kepada manusia sehingga manusia boleh hidup dengannya dan berjalan bersamanya di celah-celah kehidupan manusia. Asal cahaya ini adalah di hati mereka kemudian bahannya menjadi semakin kuat dan bertambah sehingga muncul menyerlah di muka, anggota dan tubuh badan mereka termasuklah pakaian dan kediaman mereka sehingga dapat melihatnya oleh manusia yang seperti mereka jua.
Firman Allah lagi;
أَوَمَنْ كَانَ مَيْتًا فَأَحْيَيْنَاهُ وَجَعَلْنَا لَهُ نُورًا يَمْشِي بِهِ فِي النَّاسِ كَمَنْ مَثَلُهُ فِي الظُّلُمَاتِ لَيْسَ بِخَارِجٍ مِنْهَا ۚكَذَٰلِكَ زُيِّنَ لِلْكَافِرِينَ مَا كَانُوا يَعْمَلُونَ ﴿122﴾الأنعام: ١٢٢
Bermaksud : 132. Dan bagi tiap-tiap seorang (dari manusia atau jin), beberapa darjat (tingkatan balasan) disebabkan (amal baik atau jahat) Yang mereka telah kerjakan; dan (ingatlah) Tuhanmu tiadalah lalai dari apa Yang mereka lakukan.
Ayat ini bukan sahaja menyifatkan ilmu itu bukan sahaja cahaya ketamadunan, bahkan juga ianya ibarat nyawa yang memberi nafas kepada jasad yang telah mati. Syeikh Abdul Rahman As Sa'adi menyebut;
{ أَوَمَنْ كَانَ } من قبل هداية الله له { مَيْتًا } في ظلمات الكفر،والجهل، والمعاصي، { فَأَحْيَيْنَاهُ } بنور العلم والإيمان والطاعة، فصار يمشي بين الناس في النور، متبصرا في أموره، مهتديا لسبيله، عارفا للخير مؤثرا له، مجتهدا في تنفيذه في نفسه وغيره، عارفا بالشر مبغضا له، مجتهدا فيتركه وإزالته عن نفسه وعن غيره. أفيستوي هذا بمن هو في الظلمات،ظلمات الجهل والغي، والكفر والمعاصي.
Adakah seseorang yang sebelum menerima hidayat Allah kepadanya seperti dalam keadaan mati kerana berada di dalam kegelapan kufur, jahil dan maksiat yang kemudiannya Allah hidupkannya dengan cahaya ilmu, iman dan ketaatan. Hasilnya dia mampu bergerak dalam kehidupan manusia dengan obor cahayanya. Jelas kepadanya segala urusan, terpimpin arah perjalanannya, dia mengenali kebaikan dan cukup mempengaruhi dirinya serta bersungguh merealisasikannya di dalam diri dan persekitarannnya. Dia juga mengenali keburukan dan membencinya. Sealain bersungguh meninggalkannnya serta menjauhinya dari diri dan persekitarannnya. Adakah sama manusia seperti ini dengan mereka yang berterusan dalam kegelapan kejahilan, kesesatan, kekufuran dan kemaksiatan.
Inilah yang disebutkan bahawa ilmu itu adalah ruh kehidupan. Adanya ilmu bermakna wujudnya kehidupan. Tanpa ilmu, kehidupan ini boleh menempah kematian dan kecelakan sebagaimana yang dipertegaskan dalam ayat berikut ini;
وَكَذَٰلِكَ أَوْحَيْنَا إِلَيْكَ رُوحًا مِنْ أَمْرِنَا ۚ مَا كُنْتَ تَدْرِي مَا الْكِتَابُ وَلَا الْإِيمَانُ وَلَٰكِنْ جَعَلْنَاهُ نُورًا نَهْدِي بِهِ مَنْ نَشَاءُ مِنْ عِبَادِنَا ۚ وَإِنَّكَ لَتَهْدِي إِلَىٰ صِرَاطٍ مُسْتَقِيمٍ﴿52﴾ الشورى: ٥٢
Bermaksud: 52. Dan Demikianlah Kami wahyukan kepadamu (Muhammad) - Al-Quran sebagai roh (yang menghidupkan hati perintah kami; Engkau tidak pernah mengetahui (sebelum diwahyukan kepadamu): apakah Kitab (Al-Quran) itu dan tidak juga mengetahui apakah iman itu; akan tetapi Kami jadikan Al-Quran: cahaya Yang menerangi, Kami beri petunjuk dengannya sesiapa Yang Kami kehendaki di antara hamba-hamba kami. dan Sesungguhnya Engkau (Wahai Muhammad) adalah memberi petunjuk Dengan Al-Quran itu ke jalan Yang lurus,
Justeru pemahaman konsep peranan ilmu sebagai cahaya kepada kegelapan dan ruh kepada kehidupan inilah, ulama' Islam mempunyai tasawwur yang jelas dan diungkapakan dalam kata-kata yang penuh bernilai.
Al Imamn Az Zuhri pernah berkata:
نعش العلم ثبات الدين والدنيا ، وذهاب العلم ذهاب ذلك كله
Bermaksud : Tegaknya keilmuan adalah bukti kukuhnya agama dan dunia. Sebaliknya hilangnya ilmu adalah kehilangan itu semua ( agama dan dunia). [i]
Imam Ahmad pula berkata:
الناس أحوج إلى العلم منهم إلى الطعام والشراب لأن الطعام والشراب يحتاج إليه في اليوم مرتين أو ثلاثا والعلم يحتاج إليه كل وقت
Bermaksud: " Manusia lebih berhajat kepada ilmu dari makanan dan minuman. Makanan dan minuman diperlukan dalam seharian sekali atau dua kali sahaja. Sebaliknya ilmu diperlukan sepanjang masa. " [ii]
Cendikiawan Islam juga berpandangan bahawa ilmu adalah faktor terpenting dalam mencapai kemuliaan dan ketinggian darjat, sesuatu yang tidak boleh dicapai hanya dengan kuasa dan harta.
Saidina Umar ra pernah berkata :
" إن الله يرفع بهذا الكتاب أقواما ويضع به آخرين "
Bermaksud: "Sesungguhnya Allah mengangkat dengan kitab ini ( al Quran ) sebahagian manusia dan menjatuhkan dengan sebahgaian yang lain".[iii]
Al Imam as Syafi'I pernah berkata :
من تعلم القرآن عظمت قيمته ، ومن نظر في الفقه نبل قدره ، ومن تعلم اللغة رق طبعه ، ومن تعلم الحساب جزل رأيه ، ومن كتب الحديث قويت حجته ، ومن لم يصن نفسه لم ينفعه علمه .
Bermaksud: Sesiapa yang mempelajari al Quran, maka megahlah nilaiannya. Seseiapa yang mendalami fiqh akan mulialah darjatnya. Sesiapa yang mempelajari bahasa ( sastera ), lembutlah jiwanya. Sesiapa yang mempelajari ilmu hisab ( matematik ), maka tajamlah fikirannya. Sesiapa yang menulis hadith, kuatlah hujahnya. Namun sesiapa yang tidak memelihara dirinya, tiada guna ilmunya.[iv]
Sufyan at Thauri berkata:
من أراد الدنيا والآخرة فعليه بالعلم .
Bermaksud: Sesiapa yang ingin miliki dunia dan akhirat maka hendaklah dia memiliki ilmu.[v]
Beliau juga ada berkata:
إن هذا الحديث عز ، فمن أراد به الدنيا وجدها ومن أراد به الآخرة وجدها .
Bermaksud: Sesungguhnya hadith ini adalah kemuliaan. Sesiapa yang mahukan dunia dengannya dia akan memperolehinya. Sesiapa yang mahukan akhirat dengannya dia akan memperolehinya.[vi]
Justeru ketamadunan yang sempurna tidak mungkin muncul terpisah dari peranan ilmu yang menjadi nadi penggerak, cahaya penyuluh dan tapak pembangun ke arah kegemilangan hidup manusiawi.
[i] Abdullah ibn al Mubarak al Zuhd hlm.817, Ibn Abdul Barr, Jami' al Ilm wa Fadhlih hlm.1018.
[ii] Ibn Qayyim al Jauziyyah, 1973, I'lam al Muwaqqi'in jld.2 hlm.257 Darul Jail, Beirut.
[iii] Muslim, al jami' as Sahih no hadith : 817 , al Mubarak ibn Muhammad ibn al Athir al Jazari, 1972 )
[iv] Shamsuddin Muhammad ibn muhammad az Zahabiy,1982, Siyar 'aalam an Nubala', Muassah al Risalah,Beirut, jld.10 hlm.24
[v] Ali ibn Hasan al Halabiy,1416h-1997m, Al Ilm Fadhluhu wa Syarafuh, hlm. 222 Majmuatu at Tuhaf, al Riyadh
[vi] Ibid hlm. 222.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan