Selasa, 31 Ogos 2010

Masanya Untuk Beriktikaf.


Nas-Nas Iktikaf;

Firman Allah;

وَلَا تُبَاشِرُوهُنَّ وَأَنْتُمْ عَاكِفُونَ فِي الْمَسَاجِدِ ۗ

“ janganlah kamu setubuhi isteri-isteri kamu ketika kamu sedang beriktikaf di masjid “.

Hadith-hadith pula ialah;

عن ابن عمر رضي الله عنهما ، قَالَ : كَانَ رسولُ اللهِ - صلى الله عليه وسلم - يَعْتَكِفُ العَشْرَ الأوَاخِرَ مِنْ رَمَضَانَ . متفقٌ عَلَيْهِ .

Dari Ibn Umar ra katanya : Adalah menjadi adat Rasulullah saw beriktikaf pada 10 terakhir dalam bulan Ramadhan. Riwayat al Bukhari dan Muslim.

وعن عائشة رَضِيَ اللهُ عنها : أنَّ النبيَّ - صلى الله عليه وسلم - كَانَ يَعْتَكِفُ العَشْرَ الأوَاخِرَ مِنْ رَمَضَانَ ، حَتَّى تَوَفَّاهُ اللهُ تَعَالَى ، ثُمَّ اعْتَكَفَ أزْوَاجُهُ مِنْ بَعْدِهِ . متفقٌ عَلَيْهِ .

Dari Aishah ra, bahawa Rasulullah saw adalah menjadi adat Rasulullah saw beriktikaf pada 10 terakhir dalam bulan Ramadhan sehingga Allah mewafatkan baginda saw. Kemudian isteri-isteri baginda meneruskan ibadah ini selepas pemergian baginda saw. Riwayat al Bukhari dan Muslim.

وعن أَبي هريرة - رضي الله عنه - ، قَالَ : كَانَ النبيُّ - صلى الله عليه وسلم - يَعْتَكِفُ في كُلِّ رَمَضَانَ عَشْرَةَ أيَّامٍ ، فَلَمَّا كَانَ العَامُ الَّذِي قُبِضَ فِيهِ اعْتَكَفَ عِشْرِينَ يَوْماً . رواه البخاري

Dari Abi Hurairah ra katanya : Adalah menjadi adat Rasulullah saw beriktikaf pada setiap bulan Ramadhan selama 10 hari. Apabila tiba tahun yang baginda saw diwafatkan, baginda beriktikaf selama 20 hari. Riwayat al Bukhari.

Perkataan Ulama';

Imam al Zuhri berkata: “ Pelik sungguh perihal kaum muslimin! Mereka boleh meninggalkan amalan i’tikaf sedangkan Rasulullah saw tidak pernah meninggalkannya sejak tiba di Madinah sehingga baginda saw wafat.

Imam Malik pula menyebut: “ Aku telah membuat pemerhatian terhadap perkara i'tikaf dan riwayat-riwayat yang datang mengenainya. Aku pelik bagaimana kaum muslimin boleh meninggalkannya sedang Nabi saw tidak pernah meninggalkannya.”

Ibnu al Qayyim menghuraikan maksud sebenar amalan i'tikaf dalam catatan berikut :

وشرع لهم الاعتكاف الذي مقصوده وروحه عكوف القلب على الله تعالى وجمعيته عليه والخلوة به والانقطاع عن الاشتغال بالخلق والاشتغال به وحده سبحانه ، بحيث يصير ذكره وحبه والاقبال عليه في محل هموم القلب وخطراته فيستولى عليها بدَلها ، ويصير الهم كله به ، والخطرات كلها بذكره، والتفكير في تحصيل مراضيه وما يُقرِّب منه ، فيصير أنسه بالله بدلاً عن أنسه بالخلق ، فيُعِدُّه بذلك لأنسه به يوم الوحشة فى القبور حين لا أنيس له، ولا ما يفرح به سواه ،فهذا مقصود الاعتكاف الأعظم .

“ Allah swt mensyariatkan i'tikaf dengan tujuan dan semangatnya ialah supaya tumpuan,fokus,hala tujuan, penyendirian dan segala kegembelingan hati hanya kepada Allah swt. Akhirnya segala ingatan, kecintaan dan tumpuan hanya kepada Allah swt semata-mata dan menguasai segala perkara yang menjadi kesibukan dan lintasan bicara hati. Natijahnya, tumpuan hati dan lintasannya hanya kepada Allah swt dengan mengingatinya sentiasa dan berfikir ke arah perkara-perkara yang mengundang keredhaannya dan berpotensi mendekatkan diri kepadanya. Perasaannya pun senang dan selesa mendampingi Allah swt sebagai ganti mendampingi makhluq. Ini menjadi bekalan yang sangat baik untuk menghadapi hari-hari yang penuh dengan kesunyian dan kebosanan di dalam kubur ketika tiada lagi teman untuk bermesra dan berdamping. Maka bagi mereka yang berbekalkan amal i'tikaf, tiada lagi kesunyian dan kebosanan ini kerana mereka telah terbiasa dengan membahagiakan diri bertemankan Allah swt sebagai tempat berdamping. Inilah yang menjadi tujuan terbesar i'tikaf.

Makna i’tikaf

Menurut bahasa i’tikaf punya erti menetapi sesuatu dan menahan diri agar sentiasa tetap berada padanya, baik hal itu berupa kebajikan ataupun keburukan. Allah Subhaanahu wa Ta’ala berfirman: Al A’raf ayat 138:


وَجَاوَزْنَا بِبَنِي إِسْرَائِيلَ الْبَحْرَ فَأَتَوْا عَلَىٰ قَوْمٍ يَعْكُفُونَ عَلَىٰ أَصْنَامٍ لَهُمْ ۚ قَالُوا يَا مُوسَى اجْعَلْ لَنَا إِلَٰهًا كَمَا لَهُمْ آلِهَةٌ ۚ قَالَ إِنَّكُمْ قَوْمٌ تَجْهَلُونَ ﴿138﴾

138. Dan Kami bawakan Bani Israil ke sebarang laut (Merah) itu lalu mereka sampai kepada suatu kaum Yang sedang menyembah berhala-berhalanya. (Melihatkan Yang demikian) mereka (Bani Israil) berkata: "Wahai Musa buatlah untuk Kami suatu Tuhan (berhala) sebagaimana mereka mempunyai beberapa tuhan". Nabi Musa menjawab: "Sesungguhnya kamu ini adalah kaum Yang jahil.

Menurut syara’ i’tikaf bererti seseorang muslim itu menetap dirinya di dalam masjid untuk melaksanakan ketaatan dan ibadah kepada Allah Ta’ala.

Hukum i’tikaf

Para ulama sepakat bahwa i’tikaf hukumnya sunnah, sebab Rasulullah Shallallaahu ‘alaihi wa sallam sentiasa melakukannya tiap tahun untuk mendekatkan diri kepada Allah dan memohon pahalaNya. Terutama pada hari-hari di bulan Ramadhan dan lebih khusus ketika memasuki sepuluh akhir dari bulan suci itu. Demikian tuntunan Rasulullah Shallallaahu ‘alaihi wa sallam.

Yang wajib beri’tikaf

Sebagaimana dimaklumi bahwa i’tikaf hukumnya sunnah, kecuali jika seseorang bernazar untuk melakukannya, maka wajib baginya untuk menunaikan nazar tersebut. Hal ini sebagaimana dijelaskan dalam hadits Umar bin Khaththab Radhiallaahu ‘anhu yang diriwayatkan imam Al Bukhari dan Muslim.

Di sebutkan bahwa Rasulullah Shallallaahu ‘alaihi wa sallam tidak pernah meninggalkan i’tikaf semenjak beliau sampai di Madinah hingga akhir hayat.

Tempat i’tikaf

I’tikaf tempatnya di setiap masjid yang di dalamnya dilaksanakan shalat berjama’ah kaum laki-laki, firman Allah Ta’ala:

وَلَا تُبَاشِرُوهُنَّ وَأَنْتُمْ عَاكِفُونَ فِي الْمَسَاجِدِ

3

dan janganlah kamu setubuhi isteri-isteri kamu ketika kamu sedang beriktikaf di masjid.

Al Baqarah: 187.

Orang yang beri’tikaf pada hari Jumaat disunnahkan untuk beri’tikaf di masjid yang digunakan untuk shalat Jum’at. Tetapi jika ia beritikaf di masjid yang hanya untuk shalat jama’ah lima waktu saja maka hendaknya ia keluar hanya sekadar untuk shalat jumaat (jika telah tiba waktunya), kemudian kembali lagi ke tempat i’tikafnya semula.

Waktu i’tikaf

I’tikaf di sunnahkan di bila-bila waktu. Maka diharuskan bagi setiap muslim untuk memilih waktu bila dia memulai i’tikaf dan bila pula mengakhirinya. Namun yang paling utama adalah i’tikaf di bulan Ramadhan, khususnya sepuluh hari terakhir. Inilah waktu i’tikaf yang terbaik sebagaimana diriwayatkan dalam sebuah hadits shahih:“Bahwasanya Nabi Shallallaahu ‘alaihi wa sallam selalu beri’tikaf pada sepuluh akhir bulan Ramadhan sampai Allah mewafatkannya. Kemudian para isteri baginda saw beri’tikaf setelah kewafatan baginda saw ” (HR. Al-Bukhari dan Muslim dari Aisyah Radhiallaahu ‘anhua)

Sunnah-sunnah bagi orang yang sedang i’tikaf

Disunnahkan bagi para mu’takif supaya memanfaatkan waktu yang ada dengan sebaik-baiknya untuk berzikir, membaca Al Qur’an, mengerjakan solat sunnah (terkecuali pada waktu-waktu terlarang), serta memperbanyak tafakur tentang keadaannya yang telah lalu, hari ini dan masa mendatang. Juga memperbanyakkan merenungkan tentang hakikat hidup di dunia ini dan kehidupan akhirat kelak.

Hal-hal yang harus dihindari mu’takif

Orang yang sedang i’tikaf dianjurkan untuk menghindari perkara-perkara yang tidak bermanfaat seperti banyak berbual kosong yang tidak berguna sehingga mengganggu tumpuan i’tikafnya. Kerana i’tikaf bertujuan mendapatkan keutamaan bukan malah menyibukkan diri dengan hal-hal yang tidak disunnahkan.

Sesetengah orang yang beri’tikaf namun dengan meninggalkan tugas dan kewajibannya. Hal ini tidak dapat dibenarkan kerana sungguh tidak profesional seseorang meninggalkan kewajiban untuk sesuatu yang sunnah. Oleh karena itu orang yang i’tikaf hendaknya ia menghentikan i’tikafnya jika ada tanggungjawab atau kewajiban yang harus dikerjakan.

Hal-hal yang mebolehkan mu’takif keluar dari masjid

Seorang mu’takif diperbolehkan meninggalkan tempat i’tikafnya jika memang ada hal-hal yang sangat mendesak. Diantaranya; buang hajat yaitu keluar ke tandas untuk buang air, atau untuk mandi, keluar untuk makan dan minum jika tidak ada yang menghantarkan makanan kepadanya, dan pergi untuk berubat jika sakit. Demikian pula untuk keperluan syar’i seperti; solat Jumaat jika tempat dia beri’tikaf tidak digunakan untuk solat Jum’at, menjadi saksi atas suatu perkara dan juga boleh membantu keluarganya yang sakit jika memang mengharuskan untuk dibantu. Juga keperluan-keperluan seumpamanya yang memang termasuk kategori dharuri (keperluan penting).

Larangan-larangan dalam i’tikaf

Orang yang sedang bei’tikaf tidak dibolehkan keluar dari masjid hanya untuk keperluan remeh dan tidak penting, Ertinya tidak boleh dikategorikan sebagai keperluan syar’i. Jika dia memaksa keluar untuk hal-hal yang tidak perlu tersebut maka i’tikafnya batal. Selain itu ia juga dilarang melakukan segala perbuatan haram seperti ghibah (mengumpat), tajassus (mencari-cari kesalahan orang), membaca dan memandang hal-hal yang haram. Pendeknya semua perkara haram diluar i’tikaf maka pada saat i’tikaf lebih ditekankan lagi keharamannya. Mu’takif juga di larang untuk menggauli isterinya, kerana hal itu membatalkan i’tikafnya.

Menentukan syarat dalam i’tikaf

Seorang mu’takif diperbolehkan menentukan syarat sebelum melakukan i’tikaf untuk melakukan sesuatu yang mubah. Misalnya saja ia menetapkan syarat agar makan minum harus dirumahnya, hal ini tidak salah. Lain halnya jika dia pulang dengan tujuan menggauli isterinya, keluar masjid agar boleh santai atau menguruskan perniagaannya, maka i’tikafnya menjadi batal. Kerana semua itu bertentangan dengan makna dan pengertian i’tikaf itu sendiri.

Hikmah dan Manfaat i’tikaf

I’tikaf memiliki hikmah yang sangat besar yakni menghidupkan sunnah Rasul saw dan menghidupkan hati dengan selalu melaksanakan ketaatan dan ibadah kepada Allah Ta’ala.

Antara manfaat i’tikaf adalah sebagai berikut:

1. Muhasabah diri untuk merenungi perlakuan masa lalu dan memikirkan hal-hal kebaikan yang akan dilakukan di hari mendatang.

2. Mendatangkan ketenangan, ketenteraman dan cahaya yang menerangi hati yang penuh dosa.

3. Mendatangkan berbagai macam kebaikan dari Allah Subhaanahu wa Ta’ala . Amalan-amalan kita akan diangkat dengan rahmat dan kasih sayangNya

4. Orang yang beri’tikaf pada sepuluh akhir bulan Ramadhan akan terbebas dari dosa-dosa kerana pada hari-hari itu salah satunya bertepatan dengan Lailatul Qadr.

1 ulasan:

  1. Salam tuan syeikh,
    Minta doakan juga untuk saya yang dhaif ini.

    BalasPadam