بسم الله الرحمن الرحيم
إِنَّا أَنْزَلْنَاهُ فِي لَيْلَةِ الْقَدْر ِ* وَمَا أَدْرَاكَ مَا لَيْلَةُ الْقَدْرِ * لَيْلَةُ الْقَدْرِ خَيْرٌ مِنْ أَلْفِ شَهْرٍ * تَنَزَّلُ الْمَلَائِكَةُ وَالرُّوحُ فِيهَا بِإِذْنِ رَبِّهِمْ مِنْ كُلِّ أَمْرٍ * سَلَامٌ هِيَ حَتَّى مَطْلَعِ الْفَجْرِ - القدر: 1-5
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani.
1. Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) ini pada malam Lailatul-Qadar,
2. Dan apa jalannya Engkau dapat mengetahui apa Dia kebesaran malam Lailatul-Qadar itu?
3. Malam Lailatul-Qadar lebih baik daripada seribu bulan.
4. Pada malam itu, turun malaikat dan Jibril Dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa Segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun Yang berikut);
5. Sejahteralah malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar!
Antara Surah al Qadr dan Surah al 'Alaq :
Surah al 'Alaq, surah sebelum surah al Qadr ditutup dengan Allah berfirman;
{كَلَّا لَا تُطِعْهُ وَاسْجُدْ وَاقْتَرِبْ} [العلق: 19]
19. Ingatlah! janganlah Engkau (Wahai Muhammad) menurut kehendaknya, dan (sebaliknya) sujudlah dan dampingkanlah dirimu kepada Allah (dengan taat dan beramal soleh)!
Maka apabila Allah membawa kelebihan Lailatul qadr selepas perintah supaya sujud dan mendamping diri kepada Allah, ini menjadi bukti bahawa Lalilatul Qadr adalam malam terbaik untuk manusia sujud dan mendamping diri kepada Allah.
Sebelum itu, Surah al 'Alaq dibuka dengan perintah membaca dengan nama Allah swt;
{اقْرَأْ بِاسْمِ رَبِّكَ الَّذِي خَلَقَ} [العلق:1]
1. Bacalah (Wahai Muhammad) Dengan nama Tuhanmu Yang menciptakan (sekalian makhluk),
Ini mengisyaratkan supaya membaca kitab yang diturunkan pada Lailatul Qadr iaitu al Quran yang boleh mempertemukan manusia dengan kebesaran pencipta dan kehendakNya dari penciptaan ini.
Antara Surah al Qadr dan Surah al Bayyinah:
Sementara surah al Baiyyinah pula membawa lembaran hitam sikap manusia yang tidak menghargai kehadiran bukti yang jelas nyata. Mereka ialah ahli kitab terdahulu, Yahudi dan Nasara, juga golongan musyrikin. Firman Allah;
لَمْ يَكُنْ الَّذِينَ كَفَرُوا مِنْ أَهْلِ الْكِتَابِ وَالْمُشْرِكِينَ مُنفَكِّينَ حَتَّى تَأْتِيَهُمْ الْبَيِّنَةُ
1. Orang-orang Yang kafir dari ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani) serta orang-orang musyrik, tidak akan terlepas (dari kepercayaan dan amalan masing-masing) sehingga datang kepada mereka Bukti Yang jelas nyata, -
Sedangkan Allah telah mengutuskan seorang Rasul untuk membacakan sebuah kitab suci untuk mereka. Allah berfirman;
×{رَسُولٌ مِنَ اللَّهِ يَتْلُو صُحُفًا مُطَهَّرَةً * فِيهَا كُتُبٌ قَيِّمَةٌ} [البينة: 2، 3]
2. Iaitu seorang Rasul dari Allah Yang membacakan (kepada mereka) lembaran-lembaran suci,
3. Terkandung di dalamnya pelajaran-pelajaran dan hukum-hukum Yang benar.
Lembaran-lembaran suci, pelajaran-pelajaran berharga dan hukum-hukum yang benar adalah bukti ketinggian dan kemulian al Quran yang diturunkan pada Lailatul Qadr.
Dari kedudukan Surah al Qadr di celah-celah surah al 'Alaq dan al Baiyyinah membuktikan bahawa;
1- Lailatul Qadr mendapat kemuliaan tertinggi dalam kelebihan amalan kerana kemuliaan al Quran yang merupakan kitab Allah yang tertinggi kemuliannya.
2- Al Quran yang diturunkan adalah untuk menjadi bahan bacaan dan rujukan tertinggi untuk mengenali ketuhanan pencipta ( Allah swt ) dan ajaran agamanya.
3- Justeru kelebihan Lalitul Qadr mestilah dijadilan peluang untuk mendekatkan diri kepada Allah dan sujud kepadanya. Pergerakan Sujud adalah situasi paling hampir antara hamba dan tuhannya.
4- Malapetaka terbesar kepada kemanusian adalah apabila tidak menghargai kurniaan tuhan bernama al Quran ini. Sikap kufur dan ingkar kerana kesombongan sahajalah yang menolak mentah-mentah pembuktian yang terang benderang dalam bentuk hujah keterangan dan pelajaran kebenaran yang menjadi isi kandungan al Quran.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan