يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِنْ قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ
Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa
1. Makna ayat secara umum:
Allah swt mengisytiharkan suatu pensyariatan besar sebagai kurniaan yang sangat berharga kepada hamba-hamba Allah yang beriman di kalangan umat Muhammad saw iaitu syariat puasa Ramdhan. Pensyariatan ini dimulakan dengan seruan “ wahai orang beriman” kerana melalui iman sahajalah syariat ini mampu dilaksanakan dengan jayanya dan dengan iman sahajalah tercapainya segala matlamat dan sasaran yang dikehendaki Allah di dalam diri manusia yang melaksanakannya. Melalui iman sahajalah manusia sentiasa bersedia untuk menerima segala keputusan dan ketentuan Allah, mematuhi segala perintah dan larangan serta pantas melaksanakan segala syariat.
Allah swt memaklumkan bahawa puasa adalah suatu bentuk syariat yang pernah dikurniakan Allah kepada umat terdahulu sebelum umat Muhammad. Ini menjadi tanda bahawa puasa adalah urusan syariat yang mengandungi hikmat yang sangat agung dan mempunyai kepentingannya yang tersendiri yang sentiasa diperlukan oleh umat manusia sepanjang zaman.
Makluman ini tentunya membangkitkan semangat ingin bersaing di kalangan umat Muhammad saw untuk menandingi umat-umat terdahulu dalam mencapai anugerah Allah dan memiliki segala kelebihan yang diredaiNya. Apatah lagi makluman sebegini menimbulkan rasa keringanan dalam diri umat Muhammad saw apabila diberitahu bahawa syariat yang dirasai keberatannya ini pernah dibebankan kepada umat terdahulu dan telah terbukti boleh dilakukan dan mampu dilaksanakan oleh semua manusia mukallaf. Setiap perkara itu apabila telah menjadi urusan umum maka mudah jiwa manusia menerima dan melaksanakannya dengan penuh keyakinan dan ketenangan.
Allah saw juga menyebut dengan jelas matlamat puasa iatu “ semoga kamu bertaqwa” . Maka puasa adalah latihan terbaik bagi mencapai ketaqwaan kerana puasa menyediakan suatu suasana yang mampu menyempitkan laluan pergerakan syaitan di dalam tubuh manusia dan akhirnya nafsu seluruhnya tunduk patuh kepada perintah Allah semata-mata. Puasa mendidik umat islam meninggal syahwat yang harus dan halal seperti makan, minum dan bersetubuh di siang hari Ramadhan.
Manusia yang mampu meninggalkan perkara harus dan halal dengan sendirinya mampu untuk menjauhi perkara yang syubhat dan haram yang jelas. Inilah yang dinamakan ketaqwaan iaitu sifat hati yang menjadikan seseorang melaksanakan segala perintah dan meninggalkan segala larangan. Dengan matlamat yang jelas dan sasaran yang yang ingin dicapai inilah, ibadah puasa menjadi lebih mudah dilaksanakan.
2. Sebab turun Ayat
Dari Muaz ibn Jabal ra bahawa Rasulullah saw setelah tiba di Madinah baginda berpuasa pada hari Ashura’ ( 10 Muharram ) dan tiga hari setiap bulan. Kemudian Allah swt menfardhukan puasa Ramadhan, lalu Allah menurutkan ayat ini ( 183: al baqarah ). Pada awalnya, umat Islam diberi pilihan samada mahu berpuasa atau memberi makan setiap hari seorang miskin. Maka itu telah dianggap cukup dan memadai untuknya. Kemudian Allah mewajibkan puasa kepada mereka yang sihat dan bermukim. Kekallah hokum keharusan berbuka dan dibayar fidyah dengan memberi makan kepada fakir miskin kepada orang tua yang tidak mampu berpuasa.
3. Puasa umat terdahulu.
Ayat yang mulia ini memberi bayangan bahawa puasa adalah suatu syariat yang tua dalam sejarah pensyariatan kepada umat manusia sepanjang zaman. Allah pernah mensyariatkannya kepada umat terdahulu. Maka puasa adalah kefardhuan kepada semua umat cuma berbeza pada cara dan masa.
Sebahagian ulama’ menyebut; Puasa diwajibkan kepada nabi-nabi dan umat-umat sejak Adam sehingga tamatnya umur dunia. Said bin Jubair menyebut: “ Puasa umat terdahulu bermula waktu ‘atamah ( isya’ ) hinggal ke malam keesokannya. Demikianlah juga waktu puasa di awal Islam”. Al Hasan al Basari menyebut: “ Puasa Ramadhan pernah difardhukan kepada kaum Yahudi, tetapi mereka meninggalkannya dan mereka hanya berpuasa sehari dalam setahun. Mereka menyatakan itulah harinya Firaun dilemaskan di lautan. Mereka berbohong kerana kejadian itu adalah pada hari ‘Ashura’ “
Al Thabari meriwayatkan bahawa puasa bulan Ramadhan juga pernah diwajibkan kepada Nashara lalu mereka berpuasa dalam tempoh yang lama. Sehinggalah mereka berpuasa berbetulan dengan musim panas yang terik. Mereka merasa susah dalam urusan kehidupan dan perjalanan dengan sebab puasa. Maka bersepakatlah para pembesar dan ulama’ mereka untuk menjadikan puasa mereka antara musim sejuk dan panas. Mereka jadikannya di musim bunga dan masanya menjadi tetap tidak lagi berubah-ubah. Mereka berkata: “ Kita tambah 20 hari sebagai kaffarah ( penghapus kesalahan ) yang telah kita lakukan”. Maka jadilah bilangan puasa mereka 50 hari.
4. Bilakah puasa Ramadhan difardhukan?
Puasa Ramadhan difardhukan pada tahun ke dua selepas Hijrah. Rasulullah saw sempat berpuasa sebanyak 9 kali puasa.
5. Rumusan ayat;
1. Kefardhuan puasa Ramadhan kepada setiap mukallaf dan ia adalah anugerah Allah kepada Umat Islam.
2. Iman yang benar menerima segala syariat Allah samada berat atau ringan dengan hati yang terbuka dan melaksanakannya dengan cara yang terbaik.
3. Puasa adalah syariat penting yang diperlukan oleh umat manusia sepanjang zaman bagi kepentingan diri dan kehidupan bermasyarakat.
4. Puasa menjadi punca perolehan darjat ketaqwaan dengan sifatnya yang mendera nafsu dan menyekat kehendak syahwat walaupun dalam batasan yang halal seperti makan,minum dan bersetubuh.
5. Puasa melahir semangat muraqabah ( merasai pemerhatian dan pengawasan Allah ke atas diri ) yang menjadikan seseorang hamba sanggup meninggalkan kehendak nafsunya walaupun berkemampuan kerana sedar dengan pemerhatian dan pengawasan Allah swt ke atas dirinya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan