TAFSIR AYAT PENSYARIATAN PUASA V
(SURAH AL BAQARAH 187)
أُحِلَّ لَكُمْ لَيْلَةَ الصِّيَامِ الرَّفَثُ إِلَىٰ نِسَائِكُمْ ۚ هُنَّ لِبَاسٌ لَكُمْ وَأَنْتُمْ لِبَاسٌ لَهُنَّ ۗ عَلِمَ اللَّهُ أَنَّكُمْ كُنْتُمْ تَخْتَانُونَ أَنْفُسَكُمْ فَتَابَ عَلَيْكُمْ وَعَفَا عَنْكُمْ ۖ فَالْآنَ بَاشِرُوهُنَّ وَابْتَغُوا مَا كَتَبَ اللَّهُ لَكُمْ ۚ وَكُلُوا وَاشْرَبُوا حَتَّىٰ يَتَبَيَّنَ لَكُمُ الْخَيْطُ الْأَبْيَضُ مِنَ الْخَيْطِ الْأَسْوَدِ مِنَ الْفَجْرِ ۖ ثُمَّ أَتِمُّوا الصِّيَامَ إِلَى اللَّيْلِ ۚ وَلَا تُبَاشِرُوهُنَّ وَأَنْتُمْ عَاكِفُونَ فِي الْمَسَاجِدِ ۗ تِلْكَ حُدُودُ اللَّهِ فَلَا تَقْرَبُوهَا ۗ كَذَٰلِكَ يُبَيِّنُ اللَّهُ آيَاتِهِ لِلنَّاسِ لَعَلَّهُمْ يَتَّقُونَ (187 )
[187] Dihalalkan bagi kamu, pada malam hari puasa, bercampur (bersetubuh) dengan isteri-isteri kamu. Isteri-isteri kamu itu adalah sebagai pakaian bagi kamu dan kamu pula sebagai pakaian bagi mereka. Allah mengetahui bahawasanya kamu mengkhianati diri sendiri, lalu Ia menerima taubat kamu dan memaafkan kamu. Maka sekarang setubuhilah isteri-isteri kamu dan carilah apa-apa yang telah ditetapkan oleh Allah bagi kamu; dan makanlah serta minumlah sehingga nyata kepada kamu benang putih (cahaya siang) dari benang hitam kegelapan malam), iaitu waktu fajar. Kemudian sempurnakanlah puasa itu sehingga waktu malam (maghrib); dan janganlah kamu setubuhi isteri-isteri kamu ketika kamu sedang beriktikaf di masjid. Itulah batas-batas larangan Allah, maka janganlah kamu menghampirinya. Demikian Allah menerangkan ayat-ayat hukumNya kepada sekalian manusia supaya mereka bertaqwa.
1. Sebab turun ayat.
Imam Ahmad, Ibn Jarir dan Ibn Abi Hatim
عن عبد الله بن كعب بن مالك عن أبيه . قال : كان الناس في رمضان إذا صام الرجل فنام حرّم عليه الطعام والشراب والنساء حتى يفطر من الغد فرجع عمر بن الخطاب - رضي الله عنه - من عند النبي صلى الله عليه وسلم ذات ليلة وقد سمر عنده ، فأراد امرأته فقالت إني قد نمت ، فقال ما نمت ثم واقعها ، وصنع كعب مثل ذلك . فغدا عمر بن الخطاب إلى النبي صلى الله عليه وسلم فأخبره فنزلت .
Dari Abdullah ibn Kaab ibn Malik dari bapanya, dia berkata: “ Dulunya orang ramai dalam Ramadhan apabila seseorang itu berpuasa lalu, jika dia tertidur maka menjadi haram kepadanya makan, minum dan isteri ( berjimak ) sehingga dia berbuka semula keesokannya. Tiba-tiba Umar ibn al Khattab ra pulang dari menemui Rasulullah saw pada suatu malam kerana berjaga malam di sana. Lalu beliau ingin ( meyetubuhi ) isterinya, tiba-tiba isterinya berkata : Sebenarnya aku telah tertidur. Umar berkata: Engkau belum tidur. Kemudian dia menyetubuhinya. Kaab juga melakukan perkara yang sama. Pagi esoknya Umar ibn al Khattab menemui Rasulullah saw dan memberitahunya, lalu turunlah ayat ini.
Imam al Bukhari pula meriwayatkan;
عن البراء قال : كان أصحاب محمد صلى الله عليه وسلم إذا كان الرجل صائما فحضر الإِفطار فنام قبل أن يفطر لم يأكل ليلته ولا يومه حتى يمسي . وإن قيس بن صرمة الأنصاري كان صائما وفي رواية : كان يعمل في النخيل بالنهار وكان صائما . فلما حضر الإِفطار أتى امرأته فقال لها : أعندك طعام؟ قالت : لا ، ولكن أنطلق فأطلب لك وكان يومه يعمل ، فغلبته عيناه فجاءته امرأته فما رأته قالت : خيبة لك . فلما انتصف النهار غشى عليه ، فذكر ذلك للنبي صلى الله عليه وسلم فنزلت هذه الآية { أُحِلَّ لَكُمْ لَيْلَةَ الصيام الرفث إلى نِسَآئِكُمْ } ففرحوا فرحاً شديداً ، ونزلت { وَكُلُواْ واشربوا حتى يَتَبَيَّنَ لَكُمُ الخيط الأبيض مِنَ الخيط الأسود مِنَ الفجر } .
Dari al Barra’ katanya : “ Dulunya sahabat Nabi saw apabila seseorang itu berpuasa apabila tiba masuk waktu berbuka sedang dia tertidur sebelum berbuka, dia tidak dibolehkan makan pada malam itu dan siang keesokannya sehinggalah masuk waktu malam pula. Qais ibn Shormah al Ansoriy telah berpuasa – dalam satu riwayat menyebut – Dia bekerja di kebun kurma di waktu siang sedanh dia berpuasa. Apabila masuk waktu berbuka, dia mendatangi isterinya lalu berkata padanya: “ Adakah awak ada makanan?” Dia menjawab : “Tidak, tapi saya akan keluar mencari makanan untuk engkau ”. sedangkan dia seharian bekerja, lalu dia tertidur keletihan. Apabila isterinya pulang dan melihatnya beliau berkata: “ Kesiannya awak! “. Bila tengahari esoknya, dia telah pengsan. Dia menceritakannya kepada Rasulullah saw, tiba-tiba turunlah ayat ini;
أُحِلَّ لَكُمْ لَيْلَةَ الصِّيَامِ الرَّفَثُ إِلَىٰ نِسَائِكُمْ ۚ
“ Dihalalkan bagi kamu, pada malam hari puasa, bercampur (bersetubuh) dengan isteri-isteri kamu.”
Maka mereka semua sangat bergembira. Kemudia turun lagi ayat;
وَكُلُوا وَاشْرَبُوا حَتَّىٰ يَتَبَيَّنَ لَكُمُ الْخَيْطُ الْأَبْيَضُ مِنَ الْخَيْطِ الْأَسْوَدِ مِنَ الْفَجْرِ ۖ
“ dan makanlah serta minumlah sehingga nyata kepada kamu benang putih (cahaya siang) dari benang hitam kegelapan malam), iaitu waktu fajar.”
2. Makna ayat secara umum.
Hadith-hadith yang menjelaskan sebab nuzul ayat ini membayangkan bahawa umat Islam di peringkat awal puasa, mereka berpuasa sehingga terbenamnya matahari. Apabila terbenamnya matahari, dihalalkan mereka makan, minum dan bersetubuh selama mana mereka belum tidur. Jika mereka tertidur, walaupun sebelum berbuka maka mereka hendak menahan diri dengan berpuasa sehingga keesokannya. Maknanya puasa mereka bermula dengan tidur bukannya terbit fajar. Mereka telah menghadapi kepayahan yang teruk. Ada di kalangan sahabat yang melanggar peraturan ini kerana tidak dapat menahan diri. Maka ayat ini memberi kelonggaran dan mengangkat kepayahan yang dihadapi mereka. Umat Islam diizinkan makan, minum dan bersetubuh sepanjang malam-malam Ramadhan. Ketelajuran sebahagian sahabat juga dimaafkan dan diampun tuhan.
Menurut Imam al Razi, Jumhur ulama’ berpendapat bahawa ayat ini menasakhkan apa yang difardhukan di peringkat awal syariat puasa iaitu seorang yang berpuasa apabila telah tidur maka tidak harus baginya makan, minum dan bersetubuh sehinggalah dia berbuka keesokannya.
Sementara sebahagian ulama’ pula berpendapat tiada nasakh dan mansukh dalam ayat ini. Cuma Allah swt memberi panduan apa yang dihalalkan di malam hari bulan Ramadhan iaitu makan, minum dan bersetubuh sehinggalah terbitnya waktu fajar. Sebelum itu, para sahabat seolah-olah merasa bersalah untuk melakukan semua itu di malam-malam Ramadhan kerana menyangka bahwa ini adalah pelengkap kepada puasa mereka di siang hari walaupun terpaksa menghadapi kesulitan dengan sebab demikian. Maka ayat ini menjelaskan bahwa ini semua halal dan bukannya kesalahan. Allah swt tidak pernah mensyariatkan sesuatu yang mendatangkan kepayahan dan kesukaran.
Walau bagaimanapun, kedua-dua pendapat ini menjelaskan satu bentuk rahmat Allah swt kepada hamba-hambanya dalam menetapkan syariat dan hukum.
Allah swt juga memerintahkan – secara galakan dan keharusan tanpa mewajibkan - supaya mereka menyetubuhi isteri mereka bagi tujuan meramaikan bilangan kaum muslimin, menjaga diri dari perkara yang haram selain dari melepaskan nafsu syahwat dengan cara yang dihalalkan. Cuma Allah swt melarang dari bersetubuh bagi mereka yang sedang melaksanakan ibadat i'tikaf kerana ianya membatalkan i'tikaf dan merosakkannnya.
Akhirnya setelah mana Allah swt menyebut semua hukum hakam ini, Allah menjelaskan bahwa hukum hakam ini mestilah dihormati dan tidak harus bagi seseorang muslim melampauinya atau mencerobohnya kerana ia adakah batasan dan sempadan yang ditetapkan Allah swt. Maka sesiapa yang mematuhi hukum-hakam ini dan melaksanakannya, selayaknya dia tergolong di kalangan golongan muttaqin.
3. Masa berakhirnya berpuasa.
Sepakat ulama’ bahawa masa berpuasa berakhir dengan tenggelamnya matahari kerana Allah swt berfirman ;
ثُمَّ أَتِمُّوا الصِّيَامَ إِلَى اللَّيْلِ ۚ
“ Kemudian sempurnakanlah puasa itu sehingga waktu malam (maghrib) “
إذا أَقْبَلَ اللَّيْلُ من هَاهُنَا وأَدْبَرَ النهار من هَاهُنَا وَغَرَبَتِ الشَّمْسُ فَقَدْ أَفْطَرَ الصَّائِمُ.
أخرجه أحمد والبخارى ومسلم وأبو داود والترمذي والنسائى عن عمر .
Maksudnya : “Apabila tibanya waktu malamnya dari arah ini, dan berlalunya siang dari arah ini maka boleh seseorang yang berpuasa itu berbuka” . Riwayat Ahmad, alBukhari,Muslim, Abu Dawud, al Turmuzi dan al Nasaie dari Umar.
4. Hukum bersetubuh di bulan Ramadhan.
Firman Allah ;
فَالْآنَ بَاشِرُوهُنَّ وَابْتَغُوا مَا كَتَبَ اللَّهُ لَكُمْ ۚ
“Maka sekarang setubuhilah isteri-isteri kamu dan carilah apa-apa yang telah ditetapkan oleh Allah bagi kamu;”
Potongan ayat ini jelas memberi izin kepada pasangan suami isteri untuk melakukan persetubuhan pada malam Ramadhan sebagaimana harusnya makan dan minum. Adapun di siang hari Ramadhan, persetubuhan adalah perkara yang perkara haram yang sangat ditegah dan merupakan satu dosa besar yang merupakan satu-satunya tegahan yang diwajibkan qadha’ dan kaffarah apabila melakukannya.
Hukum ini berdasarkan hadith berikut;
عن أبي هريرة - رضي الله عنه - : قال : «بينما نَحْنُ جُلُوس عندَ النبيِّ -صلى الله عليه وسلم- ، إِذْ جاء رجل ، فقال : يا رسولَ الله هَلَكتُ ، قال : مالَكَ ؟ قال : وقعتُ على امرأتي وأنا صائم ، فقال رسولُ الله -صلى الله عليه وسلم- : هل تجد رَقَبَة تُعتقها ؟ قال : لا، قال : فهل تستطيع أن تصومَ شهرين متتابعين ؟ قال : لا ، قال : هل تجد إطعام ستين مسكينا ؟ قال: لا، قال: اجلس ، قال : فمكث النبيُّ -صلى الله عليه وسلم- ، فبينا نحن على ذلك أُتِيَ النبيُّ -صلى الله عليه وسلم- بِعَرَق فيه تمر ، والعَرَق : المِكْتَلُ الضخم - قال : أين السائل ؟ قال : أنا، قال : خذ هذا فتصدَّقْ به ، فقال الرَّجُلُ : أعلى أفْقَر مني يا رسول الله ؟ فوالله ما بين لابَتَيْها - يريد : الحَرَّتين - أَهلُ بيت أَفقرُ من أهل بيتي، فضحك النبيُّ -صلى الله عليه وسلم- حتى بَدَتْ أنيابُهُ ، ثم قال : أطْعِمْهُ أهلكَ». أخرجه البخاري، ومسلم.
Dari Abi Hurairah ra katanya: “ Kami sedang duduk di sisi Nabi saw tiba-tiba datang seorang lelaki lalu berkata: “ Wahai Rasulullah saw ! saya telah rosak. Baginda bersabda : Apa halnya dengan engkau ini? Katanya : “ Aku bersetubuh dengan isteriku sedangkan aku berpuasa”. Lalu Rasulullah saw bersabda: “ Adakah engkau ada seorang hamba untuk dibebaskan (dimerdekakan)? Katanya: “ Tidak “. Rasulullah saw bersabda: :” Adakah engkau mampu berpuasa dua bulan berturut-turut? Katanya : “ Tidak ”. Rasulullah saw bersabda: “ Adakah engkau mampu member makan 60 orang miskin?” Katanya: “ Tidak “. Rasulullah saw bersabda: “ Sila duduk “. Maka Nabi saw duduk menunggu. Sedang kami begitu tiba-tiba dibawa kepada Nabi saw satu timbangan yang berat dari tamar. Baginda saw bersabda : “ Mana lelaki yang bertanya tadi? Katanya : “Saya”. Baginda saw bersabda : “ Ambillah ini dan bersedekah dengannya. Kata lelaki tadi: “ Kepada mereka yang lebih faqir dari sayakah wahai Rasulullah? Demi Allah, tiada di antara dua batu hitam ini ( sempadan Madinah ) satu keluarga pun yang lebih faqir dari keluarga aku”. Baginda saw ketawa sehingga nampak gigi taringnya kemudian bersabda : “ Berilah makan keluarga mu “. Riwayat al Bukhari dan Muslim.
Hadith ini menunjukkan bahawa persetubuhan yang dilakukan di bulan Ramadhan oleh seorang yang mukallaf secara sengaja tanpa uzur adalah suatu dosa besar kerana Nabi saw memperakui kata-kata lelaki yang datang mengadu iaitu “ aku telah rosak “ . Puasanya pada hari itu terbatal, dia wajib mengqadha’nya dan hendaklah dia bertaubat secara bersungguh-sungguh. Dia juga dikenakan kaffarah ( hukuman penghapus dosa ) iaitu ; membebaskan seorang hamba, jika tidak berupaya atau tidak mendapatinya maka hendaklah dia berpuasa selama dua bulan berturut-turut. Jika dia tidak berkemampuan maka hendaklah dia memberi makan kepada 60 orang miskin.
Kata Imam nawawi : Telah bersepakat umat bahawa haram bersetubuh pada qubul atau dubur kepada orang yang berpuasa membatal puasa berdasar ayat al Quran dan hadith-hadith sahih kerana ia bertentangan dengan puasa dan membatalkannya samada keluar air mani atau tidak.
5. Ibadah I’tikaf
Firman Allah;
وَلَا تُبَاشِرُوهُنَّ وَأَنْتُمْ عَاكِفُونَ فِي الْمَسَاجِدِ ۗ
“ janganlah kamu setubuhi isteri-isteri kamu ketika kamu sedang beriktikaf di masjid “.
Potongan ayat ini menjadi dalil sandaran kepada satu syariat ibadah yang besar di bulan Ramadhan khasnya iaitu ibadah i'tikaf.
I’tikaf bermakna “ duduk atau tinggal di masjid dengan niat ibadah dari seseorang tertentu dengan sifat tertentu.”
I’tikaf adalah amalan sunat menurut kesepakatan para ulama’ tidak menjadi wajib kecuali dengan nazar. Galakan melaksanakannya sangat dipertegaskan pada 10 terakhir dalam bulan Ramadhan.
عن ابن عمر رضي الله عنهما ، قَالَ : كَانَ رسولُ اللهِ - صلى الله عليه وسلم - يَعْتَكِفُ العَشْرَ الأوَاخِرَ مِنْ رَمَضَانَ . متفقٌ عَلَيْهِ .
Dari Ibn Umar ra katanya : Adalah menjadi adat Rasulullah saw beriktikaf pada 10 terakhir dalam bulan Ramadhan. Riwayat al Bukhari dan Muslim.
وعن عائشة رَضِيَ اللهُ عنها : أنَّ النبيَّ - صلى الله عليه وسلم - كَانَ يَعْتَكِفُ العَشْرَ الأوَاخِرَ مِنْ رَمَضَانَ ، حَتَّى تَوَفَّاهُ اللهُ تَعَالَى ، ثُمَّ اعْتَكَفَ أزْوَاجُهُ مِنْ بَعْدِهِ . متفقٌ عَلَيْهِ .
Dari Aishah ra, bahawa Rasulullah saw adalah menjadi adat Rasulullah saw beriktikaf pada 10 terakhir dalam bulan Ramadhan sehingga Allah mewafatkan baginda saw. Kemudian isteri-isteri baginda meneruskan ibadah ini selepas pemergian baginda saw. Riwayat al Bukhari dan Muslim.
وعن أَبي هريرة - رضي الله عنه - ، قَالَ : كَانَ النبيُّ - صلى الله عليه وسلم - يَعْتَكِفُ في كُلِّ رَمَضَانَ عَشْرَةَ أيَّامٍ ، فَلَمَّا كَانَ العَامُ الَّذِي قُبِضَ فِيهِ اعْتَكَفَ عِشْرِينَ يَوْماً . رواه البخاري Dari Abi Hurairah ra katanya : Adalah menjadi adat Rasulullah saw beriktikaf pada setiap bulan Ramadhan selama 10 hari. Apabila tiba tahun yang baginda saw diwafatkan, baginda beriktikaf selama 20 hari. Riwayat al Bukhari.
Imam al Zuhri berkata: “ Pelik sungguh perihal kaum muslimin! Mereka boleh meninggalkan amalan i’tikaf sedangkan Rasulullah saw tidak pernah meninggalkannya sejak tiba di Madinah sehingga baginda saw wafat.
Imam Malik pula menyebut: “ Aku telah membuat pemerhatian terhadap perkara i'tikaf dan riwayat-riwayat yang datang mengenainya. Aku pelik bagaimana kaum muslimin boleh meninggalkannya sedang Nabi saw tidak pernah meninggalkannya.”
Ibnu al Qayyim menghuraikan maksud sebenar amalan i'tikaf dalam catatan berikut :
وشرع لهم الاعتكاف الذي مقصوده وروحه عكوف القلب على الله تعالى وجمعيته عليه والخلوة به والانقطاع عن الاشتغال بالخلق والاشتغال به وحده سبحانه ، بحيث يصير ذكره وحبه والاقبال عليه في محل هموم القلب وخطراته فيستولى عليها بدَلها ، ويصير الهم كله به ، والخطرات كلها بذكره، والتفكير في تحصيل مراضيه وما يُقرِّب منه ، فيصير أنسه بالله بدلاً عن أنسه بالخلق ، فيُعِدُّه بذلك لأنسه به يوم الوحشة فى القبور حين لا أنيس له، ولا ما يفرح به سواه ،فهذا مقصود الاعتكاف الأعظم .
“ Allah swt mensyariatkan i'tikaf dengan tujuan dan semangatnya ialah supaya tumpuan,fokus,hala tujuan, penyendirian dan segala kegembelingan hati hanya kepada Allah swt. Akhirnya segala ingatan, kecintaan dan tumpuan hanya kepada Allah swt semata-mata dan menguasai segala perkara yang menjadi kesibukan dan lintasan bicara hati. Natijahnya, tumpuan hati dan lintasannya hanya kepada Allah swt dengan mengingatinya sentiasa dan berfikir ke arah perkara-perkara yang mengundang keredhaannya dan berpotensi mendekatkan diri kepadanya. Perasaannya pun senang dan selesa mendampingi Allah swt sebagai ganti mendampingi makhluq. Ini menjadi bekalan yang sangat baik untuk menghadapi hari-hari yang penuh dengan kesunyian dan kebosanan di dalam kubur ketika tiada lagi teman untuk bermesra dan berdamping. Maka bagi mereka yang berbekalkan amal i'tikaf, tiada lagi kesunyian dan kebosanan ini kerana mereka telah terbiasa dengan membahagiakan diri bertemankan Allah swt sebagai tempat berdamping. Inilah yang menjadi tujuan terbesar i'tikaf.
6. Petunjuk ayat.
1. Keharusan makan, minum dan bersetubuh pada waktu malam di bulan Ramadhan bermula tenggelamnya matahari sehingga munculnya waktu fajar.
2. Keterangan mengenai tempoh masa berpuasa iaitu munculnya fajar sadik sehingga tenggelamnya matahari di sebelah barat waktu petang.
3. Penjelasan mengenai perkara yang dikehendaki supaya ditahan oleh diri seorang yang berpuasa iaitu makan,minum dan bersetubuh.
4. Pengsyariatan ibadah i'tikaf terutamanya di bulan Ramadhan. Seorang yang sedang beri’tikaf tidak dihalalkan kepadanya untuk menyetubuhi isterinya sehingga tamatnya tempoh yang dia berazam untuk melaksanakan i'tikaf.
5. Tujuan Allah membuat aturan syariat dan menetapkan batas sempadan ialah untuk ianya dipelihara dan dihormati sebagai bukti ketaqwaan hati kepada Allah swt.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan