Jumaat, 20 Ogos 2010

Puasa Semua Anggota

Adalah menjadi adab terpenting dalam menjalan ibadah berpuasa untuk menjaga semua anggota terutamanya anggota yang paling mudah bertindak iaitu lidah dari pelakuan dosa dan sia-sia.

Asal sandaran adab ini ialah hadith-hadith berikut;

عن أَبي هريرة - رضي الله عنه - ، قَالَ : قَالَ رسولُ اللهِ - صلى الله عليه وسلم - :(( إِذَا كَانَ يَوْمُ صَوْمِ أَحَدِكُمْ ، فَلاَ يَرْفُثْ وَلاَ يَصْخَبْ ، فَإنْ سَابَّهُ أحَدٌ أَوْ قَاتَلَهُ ، فَلْيَقُلْ : إنِّي صَائِمٌ )) متفقٌ عَلَيْهِ .

Dari Abi Hurairah ra katanya; Rasulullah saw bersabda : “ Apabila tiba hari berpuasanya seseorang kamu, janganlah dia bercakap lucah dan jangan pula dia membuat bising. Jika ada seseorang yang mengutuknya atau menimbulkan pertengkaran dengannya maka hendaklah dia berkata : “ Sebenarnya aku berpuasa “. Riwayat al Bukhari dan Muslim.

وعنه ، قَالَ : قَالَ النبيُّ - صلى الله عليه وسلم - : (( مَنْ لَمْ يَدَعْ قَوْلَ الزُّورِ وَالعَمَلَ بِهِ فَلَيْسَ للهِ حَاجَةٌ في أنْ يَدَعَ طَعَامَهُ وَشَرَابَهُ )) رواه البخاري .

Dari Abi Hurairah ra juga ; Rasululullah saw bersabda : “ Sesiapa yang tidak boleh tinggalkan percakapan bohong atau melakukan perlakuan batil, sebenarnya Allah swt tidak mempunyai sebarang kepentingan untuk dia meninggalkan makan dan minumnya. Riwayat al Bukhari.

Al Muhallab menyebut : Hadith ini menjadi bukti bahwa menjadi hukum kepada orang yang berpuasa untuk menahan diri dari perkataan kotor dan bohong sebagaimana dia menahan diri dari makan dan minum. Mereka yang tidak dapat menahan diri dari perlakuan ini, maka sebenarnya puasanya telah berkurang, dia terdedah kepada kemurkaan tuhan dan boleh menjauhkan penerimaan puasanya di sisi Allah swt.

Inilah yang menjadi kefahaman para salaf. Umar ra pernah berkata;

قَالَ عُمَرُ : لَيْسَ الصِّيَامُ مِنَ الطَّعَامِ وَالشَّرَابِ وَحْدَهُ ، وَلَكِنَّهُ مِنَ الْكَذِبِ وَالْبَاطِلِ وَاللَّغْوِ وَالْحَلِفِ.

“ Bukanlah puasa itu hanya puasa dari makan dan minum semata-mata. Sebenarnya puasa juga menahan diri dari pembohongan, kebatilan, perkara sia-sia dan sumpahan ( bertujuan menipu ).

Jabir ibn Abdullah pula menyebut;

إِذَا صُمْتَ فَلْيَصُمْ سَمْعُكَ وَبَصَرُكَ وَلِسَانُكَ عَنِ الكَذِبَ وَالْمَحَارِمَ وَدَعْ أَذَى الخَاصَّةِ وَلْيَكُنْ عَلَيْكَ وَقَارٌ وَسَكِيْنَةٌ يَوْمَ صِيَامِكَ وَلَا تَجْعَلْ يَوْمَ فِطْرِكَ وَصَوْمِكَ سَوَاءًا. رواه البيهقي شعب الإيمان

“ Apabila engkau berpuasa, maka hendaklah berpuasa juga pendengaranmu, penglihatanmu dan lidahmu dari pembohongan dan perkara-perkara haram. Jauhilah menyakiti golongan tertentu. Hendaklah engkau menjaga kehormatan dan ketenangan pada hari puasa engkau. Jangan jadikan hari berbuka dan berpuasa engkau sama sahaja.

Abu Zarr menyebut;

إذَا صُمْتَ فَتَحَفَّظْ مَا اسْتَطَعْتَ .رواه ابن أبي شيبة والبيهقي

“ Apabila engkau berpuasa maka hendaklah engkau berjaga-jaga setakat mana engkau mampu.”

Mujahid pernah berkata;

خِصْلَتَانِ تُفْسِدَانِ الصَّوْمَ ؛ الغِيْبَةُ وَالكَذِبُ

“ Dua perlakuan boleh merosakkan puasa ; mengumpat dan berbohong. “

Ubaidah al Salmaniy pula berkata;

ِاتَّقُوْا المُفْطِرَيْنِ ؛ اَلْكَذِبَ وَالْغِيْبَةَ

“ Jauhilah dua perkara yang boleh membatalkan puasa; berbohong dan mengumpat “.

Al Imam al Ghazali ( Ihya’ Ulumiddin 1/110 ) membuat satu huraian tentang adab ini. Di bawah tajuk “ Adab berpuasa “ beliau menulis;

Iaitu mengawal anggota dari kerja-kerja dosa,maka tahap kesempurnaannya dicapai melalui 6 perkara;

Pertama : Menunduk pandangan dan menahannya dari terlalu bebas melihat perkara dikutuk dan dibenci syara’. Begitu juga melihat perkara yang boleh mengganggu tumpuan hati atau melalikan dari mengingati Allah.

Ke dua : Menjaga lidah dari kata-kata kosong, mengumpat, mengadu domba, perkataan keji, kekasaran, perbalahan dan perdebatan yang tidak berfaedah. Sebaliknya hendaklah dia mendidik lidahnya agar lebih banyak berdiam. memperbanyakan sebutan (zikir) Allah dan membaca al Quran. Inilah puasa lidah.

Ke tiga : Mencegah telinga dari menumpukan pendengaran kepada perkara yang dibenci syara’. Kerana kaedahnya ialah semua perkara yang haram mempertuturkannya, maka haram jugalah mendengarnya.

Ke empat : Mencegah anggota-anggota lain dari pelakuan dosa dan makruh, terutamanya tangan dan kaki. Perut pula hendaklah dicegah dari perkara syubhat waktu berbuka. Tiada makna jika berpuasa dengan menahan diri dari makanan yang halal kemudian berbuka dengan makanan yang haram. Perumpaan perbuataan ini seperti seorang yang membina satu istana namun kemudiannya meruntuhkan satu kota.

Rasulullah saw pernah bersabda:

كَمْ مِنْ صَائِمٍ لَيْسَ لَهُ مِنْ صِيَامِهِ إِلَّا الْجُوعُ

Maksudnya : “ Berapa ramai mereka yang berpuasa sedangkan tiada faedah dari puasanya selain lapar.[1]

Ada yang berpendapat bahwa yang dimaksudkan ialah seseorang yang berbuka dengan perkara haram. Ada pula pendapat yang dimaksudkan ialah yang menahan diri dari perkara halal tetapi berbuka dengan memakan daging manusia dengan mengumpat sedangkan ianya haram. Ada yang berpendapat bahawa yang dimaksudkan ialah yang tidak menjaga anggotanya dari perkara haram.

Ke lima : Janganlah seseorang yang berpuasa itu memperbanyakkan pengambilan makanan halal ketika berbuka sehingga penuh perut. Bagaimana boleh diperolehi faedah berpuasa untuk menundukkan musuh Allah swt dan memecahkan syahwat jika seseorang yang berpuasa itu cuba untuk menuntut semula apa yang dia terlepas di siang hari.

Apatah kadang-kadang ditambah lagi dengan kepelbagaian sajian sehingga menjadi perangai mengumpulkan semua jenis makanan sebagai juadah berbuka puasa Ramadhan. Banyak makanan yag tidak dapat dinikmati di bulan lain, tiba-tiba dinikmati di bulan Ramadhan. Menjadi hidangan dalam sebulan Ramadhan dalam kuantiti yang boleh dimakan untuk beberapa bulan yang lain. Sedangkan semua maklum tujuan puasa adalah pengosongan perut bagi memecahkan hawa nafsu supaya jiwa menjadi kuat mengisi sifat ketaqwaan.

Ke enam : Bahawa hatinya selepas berbuka menjadi gementar serba salah antara takut dan harap. Ini kerana kita tidak tahu adakah puasa diterima puasanya untuk digolongkan dalam golongan yang hamper dengan Allah atau ditolak maka dimasukkan di dalam golongan yang dimurkai. Demikianlah yang sepatutnya berlaku di penghujung setiap ibadah yang yang seseorang itu menyelesaikannya.

Kata Ibnu al Jawzi ( at Tabsirah 2/80 ) : “ Puasa ada beberapa adab yang boleh dirumuskan seperti berikut; Menjaga anggota lahir, mengawasi lintasan-lintasan batin, menyambut kehadiran Ramadhan dengan taubat sejujurnya dan keazaman secukupnya, mendahului puasa dengan niat wajib setiap malam, memperbanyakkan diam dari perkataan kotor dan mengumpat kerana tiada puasa bagi yang memakan daging orang lain, menahan pandangan dari perkara haram selain berhati-hati juga dari mengulangi melihat perkara yang halal.“

Ibnu al Qayyim ( al Wabil al Soyyib : 43 ) pula menyebut : “ Orang yang berpuasa ialah seorang yang berpuasa anggotannya dari dosa-dosa, lidahnya dari berbohong, kata-kata kesat dan rekaan, perutnya dari makan dan minum, kemaluannya dari bersetubuh. Kalau dia bercakap, percakapannya tidak melukakan puasanya. Kalau dia bertindak, dia tidak bertindak sesuatu yang merosakkan puasanya. Maka keluarlah semua percakapannya yang berguna dan elok sahaja. Begitu jugalah perbuatannya. Semuanya umpama bauan wangi yang dapat dicium wangiannya oleh sesiapa juga yang dapat duduk bersamanya. Demikianlah mereka yang duduk dengan seorang berpuasa mendapat faedah dengan bergaul dengannya. Mereka akan aman dari rekaan, pembohongan, kejahatan dan kezaliman. Inilah puasa yang sebenar mengikut syariat. Bukan setakat menahan diri dari makan dan minum .. Maka puasa yang sebenar ialah berpuasanya anggota dari dari pelakuan dosa dan puasanya perut dari makan dan minum. Sepertimana makan dan minum boleh merosakkan puasa, demikianlah kerja-kerja dosa boleh merosakkan pahala puasa. Akhirnya puasanya sama seperti tidak berpuasa ” .

Semoga Allah jualah yang memelihara kita dari pelakuan yang merosakkan puasa dan pahala puasa. Dialah sebaik-baik pemelihara dan tuhan yang paling luas belas kasihnya.



[1] Sambungan hadith dalam riwayat Imam Ahmad dalam al Musnad dan al Zuhd ialah;

وَكَمْ مِنْ قَائِمٍ لَيْسَ لَهُ مِنْ قِيَامِهِ إِلَّا السَّهَرُ

Bermaksud : Berapa ramai orang berqiamullail (menghidupkan malam ) sedangkan tiada faedah dari qiamullailnya selain letih berjaga.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan