Isnin, 16 Ogos 2010

Mencari Allah Dalam Amalan Ramadhan

TAFSIR AYAT PENSYARIATAN PUASA IV

(SURAH AL BAQARAH 186)

وَإِذَا سَأَلَكَ عِبَادِي عَنِّي فَإِنِّي قَرِيبٌ ۖ أُجِيبُ دَعْوَةَ الدَّاعِ إِذَا دَعَانِ ۖ فَلْيَسْتَجِيبُوا لِي وَلْيُؤْمِنُوا بِي لَعَلَّهُمْ يَرْشُدُونَ (186 )

[186]Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu kepada mereka): sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka); Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila ia berdoa kepadaKu. Maka hendaklah mereka menyahut seruanku (dengan mematuhi perintahKu), dan hendaklah mereka beriman kepadaKu supaya mereka menjadi baik serta betul.

1. Hubungan ayat ini dengan sebelumnya.

Al Imam al Baidhawi ada menyebut tentang hubungan ayat ini dengan ayat sebelumnya. Katanya: “ Ketahuilah bahawa Allah swt setelah mana -dalam ayat yang sebelumnya- memerintahkan umat Islam berpuasa Ramadhan, memelihara dan melengkapkan bilangan tempoh puasa serta menggalakkan mereka melakukan tugasan takbir dan syukur, Allah mengiringi perkara tersebut dengan memperingatkan dalam ayat ini bahwa dia maha mengetahui tentang segala perihal mereka dan maha mendengar segala ucapan dan zikir mereka, menyambut baik semua permohonan dan doa mereka, membalas mulia segala amal soleh mereka. Ini semua adalah penegasan dan peransang dari Allah swt.

2. Sebab turun ayat

أخرج ابن جرير وابن أبي حاتم أن أعرابياً جاء إلى النبي صلى الله عليه وسلم فقال : أقريب ربنا فنناجيه - أي : ندعوه سرا - أم بعيد فنناديه؟ فسكت رسول الله صلى الله عليه وسلم فأنزل الله هذه الآية .

Ibnu Jarir dan Ibnu Abi Hatim meriwayatkan bahawa seorang a’rabiy ( badawi ) datang berjumpa Rasulullah saw lalu berkata:” Adakah tuhan kita dekat sehingga kita boleh berbisik ( munajat ) – berdoa kepadanya dengan suara perlahan – atau dia jauh lalu kita terpaksa melaung untuk memanggilnya? Rasulullah saw berdiam lalu Allah swt memperturunkan ayat ini.

روى ابن مردويه - بسنده - عن الحسن قال : سأل بعض الصحابة رسول الله صلى الله عليه وسلم أين ربنا؟ فأنزل الله -تعالى- هذه الآية .

Ibnu Mardawaih meriwayatkan dengan sanadnya dari al Hasan katanya: “ Sebahagian para sahabat bertanya Rasulullah saw : “ Di mana tuhan kita? “ Lalu Allah swt menurunkan ayat ini.

3. Makna ayat secara umum.

Allah swt mengarahkan NabiNya saw supaya memaklumkan kepada kaum mu’minin yang sentiasa berdoa dan bermunajat kepadaNya bahawa Allah swt hampir dengan mereka, menyaksikan segala amalan mereka, melihat segala pelakuan dan pergerakan mereka, mengetahui segala yang nyata dan tersembunyi dari perihal mereka, rahmatnya dekat, qudratnya pun hampir, cepat menyahut segala panggilan mereka serta pantas menyambut segala permohonan mereka.

Ayat lain ada menyebut;

وَلَقَدْ خَلَقْنَا الإنسان وَنَعْلَمُ مَا تُوَسْوِسُ بِهِ نَفْسُهُ وَنَحْنُ أَقْرَبُ إِلَيْهِ مِنْ حَبْلِ الوريد

“ Dan demi sesungguhnya, Kami telah mencipta manusia dan Kami sedia mengetahui apa yang dibisikkan oleh hatinya, sedang (pengetahuan) Kami lebih dekat kepadanya daripada urat lehernya.” ( Qaf : 16 )

Dalam sebuah hadith pula menyebut;

عن أبي موسى الأشعري أنه قال : كنا مع النبي صلى الله عليه وسلم في سفر فجعل الناس يجهرون بالتكبير . فقال النبي صلى الله عليه وسلم : أيها الناس أربعوا على أنفسكم - أي أرفقوا بها - فإنكم لا تدعون أصم ولا غائباً، إنكم تدعون سميعاً بصيراً وهو معكم ، والذي تدعونه أقرب إلى أحدكم من عنق راحلته ".

Dari Abi Musa al Asyaari katanya: “ Kami pernah bersama Nabi saw dalam satu perjalanan. Orang ramai mula mengangkat suara dengan bertakbir. Nabi saw bersabda: “ Wahai Umat manusia ! Kasihanilah diri kamu. Sesungguhnya kamu tidak berdoa kepada tuhan yang pekak atau yang tiada. Sesungguhnya kamu berdoa kepada tuhan yang maha mendengar dan maha melihat dan Dia sentiasa bersama kamu. Tuhan yang kamu doakan itu lebih hampir dari tengkok binatang tunggangan kamu”. Riwayat al Bukhari dan Muslim.

Allah swt menghurai maksud dan natijah hampirnya dia dengan hamba iaitu

أُجِيبُ دَعْوَةَ الداع إِذَا دَعَانِ

“ Aku menyahut doa hamba yang berdoa apabila dia berdoa” sebagai bukti hampirnya dirinya. Demilkianlah dia menjanjikan untuk menyambut segala doa jika benar ia lahir dari hati yang sejahtera, jiwa yang bersih, anggota yang tunduk khusyu’. Di dalam al Quran terdapat paparan menarik mengenai contoh tauladan hamba-hamba Allah swt yang memohon doa dengan penuh rasa ketundukan, lalu Allah swt menyahut dan menerima segala permohonan mereka. Antaranya;

وَنُوحًا إِذْ نَادَى مِن قَبْلُ فَاسْتَجَبْنَا لَهُ فَنَجَّيْنَاهُ وَأَهْلَهُ مِنَ الْكَرْبِ الْعَظِيمِ

Dan (sebutkanlah peristiwa) Nabi Nuh, ketika ia menyeru (berdoa kepada Kami) sebelum (Nabi-nabi yang tersebut) itu, lalu Kami perkenankan doanya serta Kami selamatkan dia dan pengikut-pengikutnya dari kesusahan yang besar. ( al anbiya’: 76 )

{ وَزَكَرِيَّآ إِذْ نادى رَبَّهُ رَبِّ لاَ تَذَرْنِي فَرْداً وَأَنتَ خَيْرُ الوارثين . فاستجبنا لَهُ وَوَهَبْنَا لَهُ يحيى وَأَصْلَحْنَا لَهُ زَوْجَهُ }

Dan (sebutkanlah peristiwa) Nabi Zakaria, ketika ia merayu kepada Tuhannya dengan berkata: "Wahai Tuhanku! Janganlah Engkau biarkan daku seorang diri (dengan tidak meninggalkan zuriat); dan Engkaulah jua sebaik-baik yang mewarisi.

Maka Kami perkenankan doanya, dan Kami kurniakan kepadanya (anaknya) Yahya, dan Kami perelokkan keadaan isterinya yang mandul, (untuk melahirkan anak) baginya. (Kami limpahkan berbagai ihsan kepada Rasul-rasul itu ialah kerana) sesungguhnya mereka sentiasa berlumba-lumba dalam mengerjakan kebaikan, dan sentiasa berdoa kepada kami dengan penuh harapan serta gerun takut; dan mereka pula sentiasa khusyuk (dan taat) kepada Kami.

( al anbiya’: 89,90 )

وَأَيُّوبَ إِذْ نَادَى رَبَّهُ أَنِّي مَسَّنِيَ الضُّرُّ وَأَنتَ أَرْحَمُ الرَّاحِمِينَ . فَاسْتَجَبْنَا لَهُ فَكَشَفْنَا مَا بِهِ مِن ضُرٍّ وَآتَيْنَاهُ أَهْلَهُ وَمِثْلَهُم مَّعَهُمْ رَحْمَةً مِّنْ عِندِنَا وَذِكْرَى لِلْعَابِدِينَ

Dan (sebutkanlah peristiwa) Nabi Ayub, ketika ia berdoa merayu kepada Tuhannya dengan berkata: "Sesungguhnya aku ditimpa penyakit, sedang Engkaulah sahaja yang lebih mengasihani daripada segala (yang lain) yang mengasihani".

Maka Kami perkenankan doa permohonannya, lalu Kami hapuskan penyakit yang menimpanya, serta Kami kurniakan kepadanya: keluarganya, dengan seganda lagi ramainya, sebagai satu rahmat dari Kami dan sebagai satu peringatan bagi orang-orang yang taat kepada Kami (supaya bersabar dan mendapat balasan baik). ( al anbiya’: 83,84 )

Hadith pula ada member petunjuk bagaimana seseorang hamba itu apabila berdoa yang ada kebaikan, Allah swt tidak akan mensia-siakan doanya. Cuma Allah swt tidaklah menunaikan segala tuntutan hambanya, kerana dia lebih mengetahui apa yang mendatangkan maslahah (kebaikan dan keuntungan) kepada mereka.

Imam Ahmad meriwayatkan dalam Musnadnya;

عن أبي سعيد الخدري أن النبي صلى الله عليه وسلم قال : " ما من مسلم يدعو الله - عز وجل - بدعوة ليس فيها إثم ولا قطيعة رحم إلا أعطاه الله بها إحدى ثلاث خصال : إما أن يعجل إليه دعوته ، وإما أن يدخرها له في الأخرى ، وإما أن يصرف عنه من السوء مثلها " .

Dari Abi Said al Khudri; Nabi saw bersabda: “ Tiadalah seorang muslim yang berdoa kepada Allah swt dengan satu doa yang ada di dalamnya dosa dan memutuskan hubungan silatul rahim, melainkan Allah swt akan mengurniakan kepadanya salah satu dari tiga perkara;

1- Allah mempercepatkan permohonannya.

2- Allah menyimpankan permohonanya untuk akhirat.

3- Allah mengelakkan darinya keburukan seumpama permohonannya.

Allah berfirman :

فَلْيَسْتَجِيبُواْ لِي وَلْيُؤْمِنُواْ بِي لَعَلَّهُمْ يَرْشُدُونَ

“ Maka hendaklah mereka menyahutku dan hendaklah mereka beriman kepadaku semoga mereka mendapat mendapat petunjuk”. Makasudnya ; Aku telah jajnjikan untuk kamu wahai hamba-hambaku untuk menyahut doa kamu apabila kamu berdoa kepada ku. Maka hendaklah kamu menyahut perintahku, menjaga batasanku, tetap di atas keimanan kepadaku. Ini semua agar kamu sampai kepada jalan petunjuk dan kebahagian kamu di dalam kehidupan dunia dan akhirat. Allah perintahkan supaya beriman selepas perintah menyahut perintahnya kerana iman adalah asas pertama dan utama untuk berdoa dan ia juga adalah satu bentuk ketaatan yang paling mulia untuk diterima Allah.

4. Galakan bersungguh-sungguh berdoa apabila berbuka dan menyempurnakan tempoh berpuasa.

Kata Ibnu Kathir : Allah swt membawa ayat yang merangsang supaya berdoa di celah-celah ayat-ayat yang menerangkan hukum-hakam puasa bagi memberi panduan supaya bersungguh-sungguh berdoa menyempurnakan tempoh puasa, bahkan setiap kali berbuka. Ini menepati satu hadith yang diriwayatkan oleh Abu Dawud al Thayalisiy dalam Musnadnya;

عن عبد الله بن عمرو قال : سمعت رسول الله صلى الله عليه وسلم يقول : للصائم عند إفطاره دعوة مستجابة فكان عبد الله بن عمرو إذا أفطر جمع أهله وولده ودعا .

Dari Abdullah ibn Amr katanya; Aku mendengar Rasulullah saw bersabda; Bagi orang yang berpuasa ketika berbukanya doa yang mustajab. Abdullah ibn Amr apabila berbuka, dia akan kumpulkan isteri dan anaknya lalu berdoa.

Hadith lain pula dalam Sunan Ibn Majah menyebut;

عن بعد الله بن عمرو قال : قال النبي صلى الله عليه وسلم : " إن للصائم عند فطره دعوة ما ترد " وكان عبد الله يقول إذا أفطر : اللهم إني أسألك برحمتك التي وسعت كل شيء أن تغفر لي "

Dari Abdullah ibn Amar katanya; Bersabda Nabi saw : “ Sesungguhnya bagi orang yang berpuasa ketika dia berbuka doa yang tidak akan ditolak.” Menjadi amalan Abdullah apabila berbuka beliau berkata: “Ya Allah ! Sesungguhnya aku memohon dari mu rahmatmu yang melitupi segala sesuatu, supaya engkau member keampunan kepada ku”.

Imam Ahmad, alTurmuzi, al Nasaie dan Ibn Majah pula meriwayatkan dari Abu Hurairah ra katanya;

قال رسول الله صلى الله عليه وسلم :" ثلاثة لا ترد دعوتهم : الإِمام العادل ، والصائم حتى يفطر ، ودعوة المظلوم ، يرفعها الله دون الغمام يوم القيامة وتفتح لها أبواب السماء ويقول : بعزتي لأنصرنك ولو بعد حين " .

Rasulullah saw bersabda; “ Tiga golongan yang tidak ditolak doa mereka; Pemerintah yang adil, orang yang berpuasa sehingga berbuka, doa orang yang dizalimi. Allah mengangkat doa itu di bawah naungan awan di hari Kiamat dan dibuka untuknya pintu-pintu langit lalu Allah berfirman: “ Demi kemegahanku! Aku tetap membantu engkau walaupun selepas beberapa tempoh masa”.

5. Keunikanan dan keindahan ungkapan dalam ayat ini.

1. Ayat ini ada keunikannya apabila mengalih hadap cakap dari umum kaum mu’minin mengenai hukum-hakam puasa kepada hadap cakapnya khusus kepada Nabi saw dengan memperingatkan umatnya supaya menjaga adab-adab dalam ibadat dan doa mereka iaitu mengikhlaslah hala tujuan niat kepada Allah swt setulusnya, melakukan segala pelakuan ibadat dengan penuh tekun dan bertanggungjawab, di samping sedar akan pemerhatian Allah dan pengawasanNya. Pesanan ini amat penting supaya amalan seseorang itu tidak menjadi sia-sia dengan sebab adanya unsur-unsur yang merosakkan amalan atau merasakan bahawa amalannya hanya sia-sia tanpa pengetahuan dan penilaian dari Allah swt.

2. Ayat ini sebagai jawapan kepada pertanyaan tetapi tidak dimulakan dengan perkataan قل “katakanlah (wahai Muhammad)” sebagaimana kebiasaannya. Sebaliknya Allah swt sendiri menjawabnya bagi membayangkan dekat Allah dengan hambanya dan hadirnya dia bersama setiap orang yang meminta dan memohon darinya sehingga dia tidak memerlukan orang tengah atau perantaraan dengan orang yang memohon dan berhajat kepadanya.

3. Allah swt menyebut perkataan (عبادي) “hambaku” dengan menisbahkan “hamba” kepada diri keagungannya. Ini satu bentuk penghormatan dan kemuliaan yang sangat hebat kepada kaum mu’minin menggambarkan bagaimana kehidupan mereka di bulan Ramadhan khasnya dengan berpuasa, bermunajat dan beribadat seolah-olah mereka menjadi tetamu Allah yang sangat istimewa dengan mendapat segala bentuk layanan terbaik dari Allah swt.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan