Selasa, 10 Ogos 2010

Kemudahan Dalam Kepayahan Berpuasa Ramadhan

TAFSIR AYAT PENSYARIATAN PUASA II

(SURAH AL BAQARAH 184)

أَيَّامًا مَعْدُودَاتٍ ۚ فَمَنْ كَانَ مِنْكُمْ مَرِيضًا أَوْ عَلَىٰ سَفَرٍ فَعِدَّةٌ مِنْ أَيَّامٍ أُخَرَ ۚ وَعَلَى الَّذِينَ يُطِيقُونَهُ فِدْيَةٌ طَعَامُ مِسْكِينٍ ۖ فَمَنْ تَطَوَّعَ خَيْرًا فَهُوَ خَيْرٌ لَهُ ۚ وَأَنْ تَصُومُوا خَيْرٌ لَكُمْ ۖ إِنْ كُنْتُمْ تَعْلَمُونَ )184(

[184] (Puasa yang diwajibkan itu ialah) beberapa hari yang tertentu; maka sesiapa di antara kamu yang sakit, atau dalam musafir, (bolehlah ia berbuka), kemudian wajiblah ia berpuasa sebanyak (hari yang dibuka) itu pada hari-hari yang lain; dan wajib atas orang-orang yang tidak terdaya berpuasa (kerana tua dan sebagainya) membayar fidyah iaitu memberi makan orang miskin. Maka sesiapa yang dengan sukarela memberikan (bayaran fidyah) lebih dari yang ditentukan itu, maka itu adalah suatu kebaikan baginya; dan (walaupun demikian) berpuasa itu lebih baik bagi kamu daripada memberi fidyah), kalau kamu mengetahui.

1. Makna ayat secara umum.

Setelah diisytiharkan pensyariatan puasa Ramadhan, dimaklumkan pula bahawa puasa ini berlansung pada tempoh hari-hari yang sangat terhad bilangannya, iaitu hari-hari di bulan Ramadhan. Allah tidaklah mewajibkan puasa selama setahun keseluruhannya. Ini satu lagi bentuk keringanan yang diberikan bagi tujuan galakan untuk dilaksanakan dengan penuh rasa tenang dan senang hati selain menutup segala pintu helah dan alasan untuk merasa berat dan terbeban dengan syariat puasa.

Seterusnya Allah swt menyebut “ Maka sesiapa di kalangan kamu sakit atau dalam perjalanan, maka dibolehkan mereka menggantinya pada hari-hari yang lain”. Ini satu lagi bentuk keringanan ilahi yang benar-benar membayangkan bahwa puasa ini muncul dari rahmat Allah dan belas kasihanNya semata-semata. Maka sesiapa yang menghadapi masyaqqah ( kesukaran ) untuk berpuasa kerana sebab-sebab mendatang iaitu sakit atau musafir, maka mereka dibenarkan berbuka dan menggantikan puasa setelah sembuh sakit atau setelah sampai ke tempat bermukim.

Sementara bagi mereka yang mengahadapi kesukaran berpanjangan seperti orang tua yang berkeuzuran atau pesakit yang tidak diberi pengharapan sembuh, dibolehkan mereka membayar fidyah iaitu memberi makan seorang miskin bagi setiap sehari yang ditinggalkannya. Demikianlah syariat puasa yang merupakan syiar umum agama Islam yang memberi ruang kepada semua peringkat dan golongan manusia untuk menghidupkan suasana ketaatan dan peribadatan demi mencapai redha Allah dengan kadar kemampuan masing-masing.

2. Kesenian ayat pensyariat puasa.

Sayyid Qutb menyebut: “ Allah swt maha mengetahui bahawa bebanan taklif adalah sesuatu yang berat kepada jiwa manusia. Jiwa perlukan bantuan, tolakan dan lonjakan untuk bangkit menyahut, walaupun taklif itu mempunyai hikmah dan pulangan manfaat yang besar. Melalui cara dorongan yang betul, jiwa mampu menerima baik dan berpuashati”.

3. Sebab Turun Ayat.

Diriawayatkan dari Salamah ibn al Akwa’ katanya: “ Apabila turunnya ayat ini ( وعلى الذين يطيقونه فدية طعام مسكين ) maka sesiapa yang ingin berpuasa di kalangan kami boleh berpuasa, dan sesiapa yang mahu berbuka boleh berbuka dan membayar fidyah kerana berbukanya, sehinggalah turunnya (فمن شهد منكم الشهر فليصمه ) .

4. Sakit dan perjalanan yang mengharuskan berbuka.

Allah swt mengharuskan berbuka puasa bagi orang yang sakit dan bermusafir sebagai rahmat dan kemudahan yang disediakan Allah swt untuk mereka.

Menurut Jumhur ulama’ (empat mazhab) : Sakit yang diharuskan berbuka ialah sakit teruk yang boleh mendatangkan kemudharatan pada diri, atau menambahkan kesakitan, atau dibimbangi kelewatan sembuh dengan sebab berpuasa.

Musafir yang diharuskan berbuka pula ialah musafir jauh atau lama yang boleh membawa kesusahan dengan sebab puasa pada kebiasaaannya.

Adapun sakit ringan yang tiada kepayahan padanya maka tidak diharuskan berbuka kerana Allah menyebut di dalam ayat tadi “ Allah mahukan kemudahan untuk kamu dan tidak pula dia mahukan kepayahan “ . Ayat ini menunjukan bahawa sakit dan musafir yang diharuskan berbuka itu adalah keringanan dari asal kefardhuan. Sakit ringan dan musafir dekat tidak boleh dinamakan kepayahan yang boleh mengangkat asal kefardhuan puasa.

5. Kadar musafir yang mengharuskan berbuka.

Setelah jumhur ulama’ bersepakat bahawa musafir yang diharuskan berbuka mestilah musafir yang jauh yang mengundangkan kepayahan dengan sebab berpuasa, ulama bercanggah pendapat dalam menentukan kadar musafir yang mengharuskan berbuka.

1. Menurut Imam al Syafei dan Imam Ahmad; iaitu perjalanan dua hari dua malam dan dikira sejauh 16 farsakh.

Hujah mereka;

- Musafir yang syari’e sahaja yang diharuskan qasar sembahyang. Keletihan musafir selama sehari senang untuk ditanggung. Adapun apabila berulang keletihan sehingga masuk hari ke dua, maka ini sukar untuk ditanggung dan sesuai untuk diberi keringanan.

- Ini disokong oleh hadith :

يَا أَهْلَ مَكَّةَ لَا تَقْصُرُوا فِي أَدْنَى مِنْ أَرْبَعَةِ بُرُدٍ مِنْ مَكَّةَ إلَى عُسْفَانَ

رواه الطبراني في المعجم الكبير (11162) والدارقطني (1/387) والبيهقي (3/137).

“ Wahai penduduk Mekah ! Janganlah kamu qasar kerana musafir ke tempat yang lebih dekat dari empat barid ( jarak kurang dari 3 hari perjalanan ) dari Mekah ke Usfan. ( sanad hadith lemah ).

2. Menurut Imam Abu Hanifah dan al Thauri : iaitu perjalanan tiga hari dengan malamnya dan dikira sejauh 24 farsakh.

Hujah mereka;

- Tiga hari adalah ijma’ ( kesepakatan ) dalam rukhsah ( keringanan ). Adapan kurang dari tiga hari masih lagi khilaf, maka puasa masih wajib kerana ihtiyath (berhati-hati)

- Ini disokong oleh hadith mengenai sapuan khuf ;

عَن عَلّي أَن النَّبِي صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّم َ جعل للمقيم يَوْمًا وَلَيْلَة وللمسافر ثَلَاثَة أَيَّام ولياليها.

أخرجه مُسلم

“ Dari Ali bahawa Nabi saw menjadikan ( keringanan untuk menyapu khuf ) kepada yang bermukim sehari semalam, dan kepada yang musafir tiga hari dan malamnya”.

Syara’ mensyaratkan keharuan menyapu khuf selama tiga hari musafir. Keringanan tidak diketahui melaiankan dari jalan syara’. Maka tiga harilah yang dikira sebagai musafir syari’e.

3. Menurut Imam al Awzae’i: iaitu perjalanan sehari.

Musafir yang kurang dari sehari boleh berlaku kepada orang yang mukim. Kebiasannya musafir ialah orang yang tidak sempat pulang ke rumah kediamannya. Maka semestinya sekurang-kurang tempoh musafir adalah sehari.

6. Antara berpuasa dan berbuka,mana yang lebih afdhal (diutamakan )?

1. Menurut Abu Hanifah, al Syafei dan Malik; Berpuasa lebih afdhal bagi yang bertenaga kerana Allah meyebut “ Bahwa kamu berpuasa adalah lebih baik untuk kamu”.

Bagi yang tidak terdaya pula, berbuka lebih baik kerana Allah berfirman “ Allah swt mahukan untuk kamu kemudahan, dan tidak pula dia mahukan untuk kamu kepayahan”.

2. Menurut Imam Ahmad ; Berbuka lebih afdhal kerana mengambil keringanan (rukhsah) yang dihadiahkan Allah. Allah swt suka dilakukan keringanannya sebagaimana dilakukan perkara yang ada ketegasanya (azimah).

Tiada ulasan:

Catat Ulasan