TAFSIR AYAT PENSYARIATAN PUASA III
(SURAH AL BAQARAH 185)
شَهْرُ رَمَضَانَ الَّذِي أُنْزِلَ فِيهِ الْقُرْآنُ هُدًى لِلنَّاسِ وَبَيِّنَاتٍ مِنَ الْهُدَىٰ وَالْفُرْقَانِ ۚ فَمَنْ شَهِدَ مِنْكُمُ الشَّهْرَ فَلْيَصُمْهُ ۖ وَمَنْ كَانَ مَرِيضًا أَوْ عَلَىٰ سَفَرٍ فَعِدَّةٌ مِنْ أَيَّامٍ أُخَرَ ۗ يُرِيدُ اللَّهُ بِكُمُ الْيُسْرَ وَلَا يُرِيدُ بِكُمُ الْعُسْرَ وَلِتُكْمِلُوا الْعِدَّةَ وَلِتُكَبِّرُوا اللَّهَ عَلَىٰ مَا هَدَاكُمْ وَلَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ )185(
[185](Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah. Oleh itu, sesiapa dari antara kamu yang menyaksikan anak bulan Ramadan (atau mengetahuinya), maka hendaklah ia berpuasa bulan itu; dan sesiapa yang sakit atau dalam musafir maka (bolehlah ia berbuka, Kemudian wajiblah ia berpuasa) sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada hari-hari yang lain. (Dengan ketetapan yang demikian itu) Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan, dan Ia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran. Dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan), dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjukNya, dan supaya kamu bersyukur.
1. Makna ayat secara umum.
Setelah Allah swt menyebut tentang kewajipan puasa dalam ayat yang lepas, yang mana kewajipan itu hanya pada bilangan hari-hari yang terhad, ayat ini menerangkan bahawa yang dimaksudkan dengan tempoh hari-hari tersebut adalah sebulan Ramadhan.
Allah swt menyebut rahsia kelebihan bulan yang agung ini sehingga ianya terpilih khas untuk ibadah puasa iaitu ia adalah bulan penurunan al Quran yang peranannya amat besar di dalam kehidupan ini iaitu menjelaskan jalan-jalan hidayah (petunjuk), dan membezakan antara kebenaran dan kebatilan.
Bagi mu’min yang mukallaf yang sempat dengan bulan Ramdhan dalam keadaan sihat tidak sakit, bermukim tidak musafir maka hendaklah dia berpuasa Ramadhan. Puasa Ramadhan adalah wajib ke atasnya dan menjadi antara rukun Islam yang terbesar. Mengingkari kewajipannya adalah kufur, meninggalkan puasa tanpa uzur walaupun masih memperakui kewajipannya adalah haram dan telah melakukan dosa besar. Pihak berkuasa hendaklah menghukumnya secara ta’zir dan bertegas dengannya. Dia mesti bertaubat kepada Allah dan menqhada’ setiap hari yang dia berbuka.
Namun Allah swt juga menjelaskan hukum-hukum berkaitan dengan golongan yang berkeuzuran dan mendapat keizinan berbuka iaitu mereka yang sakit dan bermusafir. Bagi mereka yang berbuka dengan kedua-dua keuzuran ini hendaklah mengqhada’kannya ( menggantikannya ) mengikut bilangan hari yang dia berbuka. Allah swt tuhan pengasih dan penyayang memaklumkan tujuan diberi keizinan berbuka ini kerana Allah swt sentiasa mahu kemudahan untuk hamba-hambanya, dan dia pula tidak mahukan kepayahan untuk mereka. Ini sifat keanjalan dan keluasan yang menjadi ciri penting syariat Allah kepada umat Muhammad saw.
Walaupun keringanan untuk berbuka diizinkan, namun hendaklah digantikan pada hari-hari di bulan yang lain. Tujuannya ialah supaya bilangan yang dihendaki Allah menjadi lengkap sempurna, dan supaya mereka bertakbir ( membesar dan mengagungkan ) Allah swt, seterusnya menggolongkan diri mereka di kalangan orang yang bersyukur.
2. Kaedah penetapan masuk bulan Ramadhan.
Hadith-hadith Nabi saw menjelaskan ayat al Quran ini apabila menghuraikan cara untuk membuktikan masuknya bulan Ramadhan bagi tujuan melaksanakan ibadah puasa. Antara hadith yang sahih dalam masalah ini iaitu;
عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عُمَرَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ذَكَرَ رَمَضَانَ فَقَالَ لَا تَصُومُوا حَتَّى تَرَوْا الْهِلَالَ وَلَا تُفْطِرُوا حَتَّى تَرَوْهُ فَإِنْ غُمَّ عَلَيْكُمْ فَاقْدُرُوا لَهُ . أخرجه البخاري ومسلم .
Dari Abdullah ibn Umar ra katanya; Rasulullah saw berbicara mengenai Ramadhan lalu baginda bersabda: “ Janganlah kamu berpuasa sehingga kamu melihat anak bulan (Ramdhan) . Janganlah kamu berbuka ( beraya idil fitri ) sehingga kamu melihatnya ( anak bulan Syawwal ). Jika tiada kenampakan anak bulan itu maka perhintungkanlah ia ( cukupkan bilangan 30 hari ). Riwayat Bukhari dan Muslim.
عن أَبَي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ يَقُولُ قَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ )): صُومُوا لِرُؤْيَتِهِ وَأَفْطِرُوا لِرُؤْيَتِهِ فَإِنْ غُبِّيَ عَلَيْكُمْ فَأَكْمِلُوا عِدَّةَ شَعْبَانَ ثَلَاثِينَ(( . أخرجه البخاري ومسلم ولفظه (( إِذَا رَأَيْتُمْ الْهِلَالَ فَصُومُوا وَإِذَا رَأَيْتُمُوهُ فَأَفْطِرُوا فَإِنْ غُمَّ عَلَيْكُمْ فَصُومُوا ثَلَاثِينَ يَوْمًا ))
Dari Abu Hurairah ra katanya; Rasulullah saw bersabda:” Puasalah dengan sebab melihatnya (anak bulan Ramdhan), berbukalah (berayalah) dengan sebab melihatnya (anak bulan Syawwal). Jika kelam ke atas kamu, maka lengkapkanlah bulan Sya’ban 30 hari.” Riwayat Bukhari dan Muslim. Lafaz Muslim pula;
“ Apabila kamu telah melihat anak bulan (Ramadhan), maka berpuasalah. Apabila kamu telah melihat anak bulan (Syawwal), maka berbukalah (berayalah). Jika mendung ke atas kamu (tidak kenampakan anak bulan Syawwal) maka berpuasalah 30 hari.
عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عُمَرَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ الشَّهْرُ تِسْعٌ وَعِشْرُونَ لَيْلَةً فَلَا تَصُومُوا حَتَّى تَرَوْهُ فَإِنْ غُمَّ عَلَيْكُمْ فَأَكْمِلُوا الْعِدَّةَ ثَلَاثِينَ . أخرجه البخاري.
Dari Abdullah ibn Umar ra : Rasulullah saw bersabda;” Bulan itu 29 malam (hari), maka janganlah kamu puasa sehingga kamu melihatnya (anak bulan Ramadhan). Jika mendung ( tidak dapat melihat anak bulan, maka lengkapkanlah tempoh 30 hari”. Riwayat Bukhari.
وعن ابن عباس رضي الله عنهما ، قَالَ : قَالَ رسول الله - صلى الله عليه وسلم - : (( لاَ تَصُومُوا قَبْلَ رَمضَانَ ، صُومُوا لِرُؤيَتِهِ ، وَأفْطِرُوا لِرُؤيَتِهِ ، فَإنْ حَالَتْ دُونَهُ غَيَايَةٌ فَأكْمِلُوا ثَلاثِينَ يَوْماً )) رواه الترمذي، وقال: حديث حسنٌ صحيح.
Dari Ibn Abbas ra katanya : Rasulullah saw bersabda; “ Janganlah kamu berpuasa sebelum Ramadhan. Berpuasalah apabila melihatnya (anak bulan Ramadhan). Berbukalah (berayalah) apabila melihatnya (anak bulan Syawwal). Jika penglihatan terhalang oleh awan, maka lengkapkan puasa 30 hari”. Riwayat tirmizi dan katanya: hadith ini hasan sahih.
Berdasar hadith-hadith ini, jelas terdapat dua cara untuk membuktikan masuk bulan Ramadhan.
a- Melihat anak bulan Ramadhan apabila dapat berbuat demikian.
Ini adalah kemudahan yang diberi Allah swt dan rahmatNya apabila kewajipan puasa diikatkan dengan petanda atau alamat yang jelas yang mudah dilihat dengan pancaindera mata iaitu melihat anak bulan Ramadhan untuk berpuasa. Ini berlaku apabila langit kosong tanpa dilitupi awan atau debu. Menurut Jumhur (kebanyakan) ulama’: Penyaksian seorang saksi adil cukup untuk membuktikan masuknya bulan Ramadhan. Ini berdasar hadith berikut;
عبد الله بن عباس - رضي الله عنهما - : قال : «جاء أعرابي إِلى النبيِّ -صلى الله عليه وسلم- فقال: إِني رأيتُ الهلالَ - قال الحسن في حديثه: يعني هلالَ رمضانَ - فقال : أتشهدُ أن لا إِله إِلا الله ؟ قال : نعم ، قال: أتشهدُ أن محمدا رسولُ الله ؟ قال : نعم، قال : يا بلالُ ، أذِّن في الناس: أَنْ صوموا غدا».
أخرجه أبو داود.
Dari Abdullah ibn Abbas ra katanya; Seorang badawi datang berjumpa Nabi saw lalu berkata: “ Aku melihat anak bulan (Ramadhan). Nabi saw bertanya:” Adakah engkau menyaksikan bahwa tiada tuhan melainkan Allah?” Beliau menjawab: “Ya”. Nabi saw bertanya: “ Adakah engkau menyaksikan bahwa Muhammad itu utusan Allah?”. Dia menjawab : “Ya”. Baginda saw bersabda: Wahai Bilal , laungkan (umumkan) kepada orang ramai, “ Hendaklah kamu semua puasa esok hari ! “.
عبد الله بن عمر - رضي الله عنهما- : قال : «تَرَاءى الناسُ الهلالَ ، فأَخْبَرْتُ رسولَ الله - صلى الله عليه وسلم- أَني رأيتُهُ فصامَهُ ، وأمر النَّاسَ بِصيامِهِ». أخرجه أبو داود.
Dari Abdullah ibn Umar ra katanya: “Orang ramai ingin melihat-lihat anak bulan. Lalu aku memberitahu rasulullah saw bahawa aku telah melihatnya (anak bulan Ramadhan) lalu baginda berpuasa dan perintahkan orang ramai berpuasa.” Riwayat Abu Dawud.
b- Melengkapkan bilangan tempoh bulan Syaaban selama 30 hari.
Ini berlaku apabila tidak nampak anak bulan dan payah untuk berbuat demikian dengan sebab awan, debu atau sebagainya.
Ini hanya untuk penetapan bulan Ramadhan. Sementara penetapan bulan Syawal pula, disyaratkan saksi yang melihat anak bulan Syawal sekurang-kurangnya adalah dua orang saksi menurut kebanyakan ulama’. Jika tidak dapat disaksikan oleh dua orang saksi maka hendaklah dilengkapkan bilangan 30 hari tempoh sebulan Ramadhan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan