Rabu, 20 Januari 2010

Hadith Maudhui ( Tematik ) : Pendekatan Membina Ilmu dan Tamadun - 2

Ciri-Ciri Khusus Hadith Maudhu’i.

Berdasarkan usaha pengolahan takrif-takrif yang tersebut sebelum ini, suatu gambaran mengenai ciri-ciri khusus disiplin ilmu ini iaitu seperti berikut;

1- Ilmu ini bersifat ijtihadik yang bertunjangkan penelitian yang mendalam terhadap realiti permasalahan, kefahaman yang sebenar terhadap nas pada teks dan konteksnya dan seterusnya memperturunkan nas secara tepat kepada isu perbincangan. Perbezaan pandangan dan kefahaman adalah diterima selagi ianya memenuhi disiplin dan semangat Ijtihad.

2- Perbahasan ilmu ini membawa semangat kontemporari yang memberi tumpuan kepada pemikiran dan persoalan yang menjadi perbincangan semasa bertujuan mencari penyelesaian atau pencerahan Islam berdasar nas-nas hadith sebagai sumber terpentingnya yang kedua selepas al Quran.

3- Tidak harus memperbahaskan disiplin ilmu ini di luar kotak limitasinya. Isu-isu yang tidak boleh dikaitkan dengan hadith-hadith secara lansung atau tidak lansung tidak termasuk dalam perbincangan hadith maudhu’i.

4- Pendekatan sebenar Hadith Maidhu’i adalah mengkaji sesuatu tajuk itu dengan mengumpulkan semua hadith-hadith berkaitan dari semua sumber asal rujukan hadith. Namun, keterbatasan masa dan kudrat mengizinkan pemilihan sumber-sumber terpililih seperti dari sember Sahih Bukhari dan Muslim sahaja, al Kubtub al Sittah sahaja, al Kutub al Tis’ah dan sebagainya.

5- Pemilihan satu topik dari satu hadith juga boleh dianggap sebagai pendekatan Hadith Maudhu’i iaitu dengan menghimpun semua jalan riwayat, membuat perbandingan lafaz-lafaz dan menganalisis teks hadith. Maka sesebuah hadith itu melalui proses tradisi disiplin hadith sebelum berakhir dengan ikatan dan kaitannya dengan permasalahan semasa yang menjadi topik perbincangan.

6- Penilaian terhadap status hadith adalah satu kemestian dalam pendekatan Hadith Maudhu’i. Hadith maudhu’ dan dhaif yang tidak boleh dibuat hujah tidak seharus dipilih untuk membina sesuatu pandangan dan penyelesaian Islam.

Perbezaan antara penyusunan Maudhu’i dan pendekatan Hadith Maudhu’i.

Penyusunan hadith secara maudhui memang telah menjadi amalan ulama’ hadith sejak dahulu lagi.[1] Bahkan penyusunan mengikut pendekatan inilah yang mula-mula sekali digunakan sejak peringkat pertama pembukuan hadith iaitu peringkat Jawami’ , Musannafat dan Muwatta’at yang mana kemuncak pencapaiannya ialah kemunculan kitab al Muwatta’ karangan al Imam Malik.

Hadith-hadith disusun mengikut topik besar atau utama yang dinamakan kitab, sebelum dipecah-pecahkan kepada sub topik yang dinamakan bab. Jawami’ yang menghimpunkan semua jenus hadith dalam semua topik utama agama. Musannafat pula mengandungi hadith marfu’, mauquf dan maqtu’ dan biasanya memberi tumpuan kepada tajuk-tajuk fiqh islami. Muwatta’at pula menjadi nama pilihan sebahagian ulama’ dalam menulis musanafat.

Ini berbeza dengan peringkat kedua pembukuan hadith iaitu masanid yang menyusun hadith mengikut nama sahabat yang meriwayatkannya. Namun generasi ketiga pembukuan hadith iaitu peringkat sihah dan sunan memilih semula penyusunan hadith secara maudhu’i kerana beranggapan ia adalah lebih membantu dan memudahkan proses pencarian hadith.[2]

Perbandingan dan pertalian secara umum antara penyusunan hadith secara maudhu’i dan pendekatan hadith maudhu’i adalah seperti berikut;

1- Penyusunan hadith secara maudhu’i telah bermula seawal sejarah pembukuan hadith sementara pendekatan hadith maudhu’i pula baru bermula di zaman kini yang lahir kerana kesan dan pengaruh semangat kebangkitan dan kesedaran untuk kembali kepada penyelesaian dan sikap Islam bertunjangkan akidah bahawa Islam adalah penyelamat.

2- Penyusunan hadith secara maudhui, secara umumnya memberi tumpuan utama kepada kerja menghimpun dan mendokumenkan teks-teks hadith secara bersanad bagi tujuan pemeliharaan dan pembukuan. Sementara pendekatan hadith maudhu’i pula memberi tumpuan kepada kerja analisis, kupasan dan ulasan yang bertujuan mencari jawapan kepada pandangan dan penyelesaian Islam bagi kemelut semasa.

3- Hadith yang telah tersusun secara maudhu’i ini menjadi sumber rujukan asal kepada penulisan hadith maudhu’i. Penyusunan maudhu’i yang diasaskan oleh ulama hadith tradisional banyak membantu dan memudahkan pengkaji kontemporarer dalam lapangan hadith maudhu’i. Proses pencarian hadith-hadith dari sumber asal sekarang ini pula menjadi lebih mudah dan pantas dengan bantuan teknologi perisian komputer, laman web dan cakera padat.

4- Hasil karya penyusunan maudhu’i adalah bahan utama hadith sepanjang zaman yang menjamin keaslian sumber agama dan sesuai diambil guna untuk semua jenis pendekatan dalam penulisan dan kajian. Adapun penulisan hadith maudhu’i secara umumnya adalah usaha-usaha ijtihad ilmuan Islam dalam memahami teks-teks hadith dalam konteks semasa.


[1] Tedapat 5 kategori karya hadith yang disusun secara maudhu’i iaitu ; al Jawami’ , al Musannafat, al Sunan, al Mustadrakat dan al Mustakhrajat. Lihat : Dr Abdul Rahman ‘Itr. Maalim al Sunnah al Nabawiyyah, Jordan: Darul Manar 1987. h.91-94.

[2] Lihat Dr Akram Dhiya’ al Umariy : Buhuth fi Tarikh al Sunnah al Musyaraffah, Madinah: Maktabah al ‘Ulum wa Hikam, 1993 h. 300-308.

3 ulasan:

  1. Ulasan ini telah dialihkan keluar oleh pengarang.

    BalasPadam
  2. salam,,,ustaz boleh tolong jelaskan maksud imam ahmad: "aku lebih mengutamakan hadis Dhoif berbanding qiyas". apakah maksud hadis dhaif yg dimaksudkan beliau?...bittaufiq wan- najah insyaallah.

    BalasPadam
  3. salam,,,ustaz tolong jelaskan maksud imam ahmad; "aku lebih mengutamakan hadis dhif berbanding qiyas",,,apakah maksud hadis doif menurut imam ahmad?

    BalasPadam