Isnin, 13 Februari 2012

Dunia Terlaknat Kecuali Zikrullah Dan Ilmu

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ يَقُولُ سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- يَقُولُ « أَلاَ إِنَّ الدُّنْيَا مَلْعُونَةٌ مَلْعُونٌ مَا فِيهَا إِلاَّ ذِكْرَ اللَّهِ وَمَا وَالاَهُ وَعَالِمًا أَوْ مُتَعَلِّمًا ». قَالَ أَبُو عِيسَى هَذَا حَدِيثٌ حَسَنٌ غَرِيبٌ.

Dari Abu Hurairah ra katanya, aku mendengar Rasulullah saw bersabda: “ Ketahuilah bahawa dunia ini semua terlaknat dan terlaknat segala isi kandungnya kecuali ingatkan Allah swt dan apa yang dikasihi Allah swt, orang alim dan penuntut ilmu.

Hadith Riwayat at Tirmizi dan Ibn Majah. At Tirmizi menyebut : Hadith ini hasan gharib.

Syarah:

1- Dunia dan isi kandungnya terlaknat dengan dijauhi dari rahmat dan belas kasihan Allah swt. Ini kerana dialah punca lalai dan lekanya manusia. Maka mereka semakin menjauhi Allah swt kerana kesibukan dengan mencari habuan dunia atau terpesona dangan keseronokan dan terpedaya dengan keindahannya.

2- Zikrul Allah iaitu mengingati Allah dengan hati yang diterjemahkan dengan sebutan lidah dan amalan anggota. Ia adalah tanggungjawab hamba selama dia menerima anugerah nikmat dari Allah swt. Oleh kerana anugerah nikmat itu terus berterusan tanpa putus-putus maka demikianlah ingatkan Allah swt sepatutnya berlansung secara berterusan.

3- Justeru mengingati Allah swt adalah sebaik-baik amal manusia ketika mereka menerima nikmat dunia. Inilah sahaja caranya manusia mengubah nikmat dunia menjadi pahala akhirat. Akhirnya semula aktiviti dunianya adalah ibadat yang mendekatkan dirinya kepada Allah swt.

4- Antara keistimewaan zikrullah adalah ia menolak laknat Allah. Maka kehidupan menjadi berkat, mendapat perkenan Allah swt dan bernaung di bawah rahmat dan belas kasih Allah swt.

5- Kelebihan khusus untuk mereka yang terlibat dalam menghidupkan majlis ilmu iaitu para ilmuan (ulama’) dan juga penuntut ilmu. Majlis ilmu adalah zikrullah yang sebenar atau zikrullah yang paling afdhal. Ini kerana ilmu yang benar boleh menunjuk jalan kepada mengenai Allah swt. Kemucak ilmu adalah takutkan Allah yang mana itulah makna sebenar zikrullah.

6- Seorang alim adalah aset berharga di dunia ini. Kewujudan mereka lebih mahal dari segala harta benda dunia. Keberadaan mereka di sesuatu tempat adalah punca keberkatan dan mengundang rahmat serta menolak laknat dan bala dari Allah. Yang dimaksudkan orang alim bukanlah sekadar berilmu, tetapi berilmu dan beramal atau seorang yang takutkan Allah swt dengan sebab ilmunya.

7- Penuntut ilmu juga memiliki kelebihannya kerana telah memilih jalan yang betul di dalam hidup ini. Dalam kesibukan manusia lain dengan urusan dunia, merekalah yang meneruskan kesinabungan ilmu. Maka dunia terus dalam kebaikan dan keberkatan selagi masih berlansungnya majlis ilmu yamg dijayakan oleh penuntut-penuntu ilmu ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan