Selasa, 28 Februari 2012

Rasulullah saw Sebagai Suami.


Mereka yang mempelajari sejarah hidup Rasulullah saw akan bertemu bagaimana Rasulullah saw adalah seorang yang sangat memberi perhatian terhadap isterinya, menjaganya dan memelihara haknya dan memberikan penuh kecintaaan kepadanya.


Banyak sekali contoh tentang perihal tersebut. Rasulullah saw adalah orang yang pertama menghiburnya ketika isterinya bersedih, mengelap air matanya, memahami perasaannya, dan tidak pernah mengeluarkan kata-kata yang tidak enak di dengar di hadapannya. Baginda saw mendengar pengaduan isterinya, meringankan kesedihannya, berhibur dan berlumba dengannya, mempertimbangkan cadangannya, menghormati peribadinya tidak merendahkannya ketika terjadi musibah atau masalah, bahkan baginda saw meluahkan perasaan cintanya kepadanya dan merasa begitu bahagia dengan cinta tersebut.

Berikut adalah beberapa contoh kasih sayang Rasulullah saw. terhadap isteri-isterinya:

1. Memahami perasaan isteri.

Rasulullah saw. bersabda kepada Aisyah Ra. :

”Sesungguhnya saya mengetahui jika kamu senang terhadap saya, dan jika kamu sedang marah kepadaku. Aisyah ra berkata: Dari mana Baginda saw mengetahuinya? Rasulullah saw menjawab: Adapun jika engkau sedang senang terhadapku, maka engkau akan mengatakan “tidak dan demi Tuhan (nya) Muhammad!” . Jika engkau sedang marah maka engkau akan mengatakan “ tidak dan demi tuhan Ibrahim as !” Aku (Aisyah as.) berkata: Ya, betul begitu.”.


(HR. Muslim: al Musnad as Shahih, No: 2439).

2. Rasulullah saw memperhatikan rasa cemburu isteri dan cintanya


Hadith dari Ummu Salamah ra bahawasanya dia membawakan kepada Rasulullah saw dan para sahabatnya satu piring makanan. Kemudian Aisyah ra datang dengan memakai sejenis pakaian (kisaa’), dan sedang membawa sebuah batu, dan menggunakan batu tersebut memecahkan piring (yang di bawa oleh Ummu Salamah). Kemudian Rasulullah saw mengumpulkan kedua pecahan piring tersebut dan Baginda saw bersabda: “ makanlah telah cemburu ibu kalian dua kali.” Kemudian Rasulullah saw mengambil piring Aisyah ra dan memberikannya kepada Ummu Salamah ra dan memberikan piring Ummu Salamah ra kepada Aisyah ra.”


(HR. Nasaie: Sahih an Nasaai no: 3966).

3. Rasulullah saw memahami kelemahan isteri dan tabiatnya


Rasulullah saw bersabda: “Aku berwasiat kepada kamu supaya bergaul baik dengan wanita. Perempuan diciptakan dari tulang rusuk (yang bengkok). Sesungguhnya rusuk yang paling bengkok pada tulang rusuk adalah bahagian atasnya. Jika kamu (memaksanya) supaya lurus, maka kamu akan memecahkannya. Jika kamu membiarkannya bengkok maka dia akan sentiasa bengkok. Maka aku berwasiat kepada kamu (peliharalah dengan baik) para wanita ”.


(HR. Bukhari, al Jami’u Shahih, no: 3331).


Hadith di atas bukan sebagai celaan terhadap kaum hawa (wanita) sebagaimana yang di pahami oleh sebahagian orang, tetapi untuk memahamkan kaum lelaki tentang tabiat seorang perempuan.


Dalam Hadith tersebut terdapat suatu pemahaman yang sangat menakjubkan mengenai tabiat seorang perempuan. Di dalamnya terdapat suatu isyarat bahawa boleh membiarkan seorang perempuan sesuai dengan tabi’atnya (mengikuti karaktornya) dalam hal-hal yang hukumnya harus. Namun tidak boleh membiarkannya berlarutan dengan tabiatnya (karaktornya) jika hal tersebut dapat membuat dia berbuat suatu yang tercela seperti maksiat dan meninggalkan hal-hal yang wajib.

4. Rasulullah saw mengadu dan bermesyuarat dengan isteri.


Rasulullah saw. bermesyuarat dengan isteri-isterinya mengenai hal-hal yang penting. Di antaranya Rasulullah saw bermesyuarat dengan Ummu Salamah ra. Dalam perisitiwa ” Shulhul Hudaibiah” (perdamaian Hudaibiyah). Ketika Rasulullah saw telah selesai menulis hal-hal yang baginda saw sepakati dengan pihak kaum Quraisy, iaitu perjanjian Hudaibiah. Baginda saw bersabda kepada para sahabatnya: “ berdirilah kalian semua, berkorbanlah (sembelihlah binatang korban) dan bertahallullah (cukur rambut)”. Tidak ada seorangpun dari mereka yang berdiri, sehingga baginda saw mengatakan hal tersebut tiga kali.

Ketika tidak ada satupun dari mereka yang berdiri, maka bagindapun masuk dan menemui Ummu Salamah ra dan menceritakan hal tersebut kepadanya. Maka Ummu Salamah mengatakan kepadanya: “ Wahai Nabi Allah ! keluarlah dan jangan berbicara dengan siapapun dari mereka sehingga baginda memotong haiwan korban milik baginda dan panggillah tukang cukur baginda dan bercukurlah.” Baginda pun saw berdiri dan tidak berbicara dengan sesiapapun dari mereka sehingga baginda saw selesai melakukan hal tersebut. Maka ketika mereka (para sahabat) melihat apa yang telah di lakukan Rasulullah saw merekapun berdiri dan memotong haiwan korbannya (dam). Mereka saling bercukur-cukuran, sehingga hampir saja mereka saling mencederakan sesama mereka kerana kesamaran”.


( Tafsir At Tabari 2/293).

5. Menunjukkan kecintaanya dan kesetiaannya kepadanya

Rasulullah saw bersabda kepada Aisyah ra. dalam Hadith Ummu Zar’i t Thawil Yang di riwayatkan oleh Imma Bukhari: “ Saya untukmu seperti Abi Zar’i terhadap Ummu Zar’i “ Ertinya: kesetiaan dan kecintaaanku kepadamu seperti kesetiaan dan kecintaan Abi Zar’i. Kemudian Aisyah ra berkata: “ Demi Ayah dan Ibuku, engkau lebih baik daripada Abi Zar’i terhadap Ummu Zar’i ”.


(HR Bukhari, Al Jami’ As Sahih, no: 5189).

6. Memanggil isteri dengan panggilan yang terbaik.


Rasulullah saw. memanggil Aisyah ra dengan panggilan: Ya ‘Aisy ! Ya ‘Aisy ! Ini Jibril as mengucapkan salam untukmu. Maka aku (Aisyah ra.) berkata: “ atasnya salam dan rahmat Allah swt. dan berkat-Nya kepadanya”. Baginda melihat apa yang aku tidak lihat.

Terkadang baginda saw memanggil Aisyah ra dengan panggilan “ wahai Humairah” , kata “humairah” ialah ertinya perempuan kecil putih kemerahan.


(Fathul Bari 2/515).

7. Rasulullah saw makan dan minum bersamanya

Aisyah Ra. Berkata: “ Ketika saya sedang haid saya minum, kemudian minuman saya di ambil oleh Rasulullah saw, kemudian baginda saw meletakkan mulutnya di tempat bekas mulut saya, kemudian baginda minum. Saya sedang menggigit sisa-sisa daging yang terletak di tulang sementara saya sedang haid, kemudian (tulang) tersebut di ambil oleh Rasulullah saw, kemudian baginda saw meletakkan mulutnya pada tempat bekas mulut saya”.


(HR. Muslim, al Musnad Shahih, no: 300).

8. Rasulullah saw tidak pernah mengeluhkan keadaan isterinya.

Aisyah ra berkata: “ Saya menyikat rambut Rasulullah saw ketika saya sedang haid”.


(HR. al Bukhari, al Jaami’ as Sahih no: 295).

9. Rasulullah saw. tidur dan bersandar kepada isterinya.


Aisyah ra berkata: “ Rasulullah saw bersandar kepadaku ketika aku sedang haid, kemudian baginda membaca al Qur’an ”.


HR. Bukhari, Sumber: al Jaami’ shahih, no: 297.

10. Rasulullah saw keluar bersama isterinya


Adalah Rasulullah saw ketika hendak melakukan perjalanan maka baginda saw. mengundi isteri-isterinya. Aisyah ra dan Hafsah ra, namanya diundi, lalu keduanya keluar bersama Nabi saw. Maka pada malam hari Rasulullah saw berjalan ditemani Aisyah ra. Dan baginda berbual dengannya. Maka Hafshah ra berkata kepada Aisyah ra : Bagaimana kalau malam ini kamu menunggangi unta saya dan saya menunggangi unta kamu dan kita sama-sama memperhatikan (apa yang akan dilakukan oleh Rasulullah saw)? Aisyah menjawab: Baiklah. Maka Aisyahpun menunggangi unta Hafshah. Sementara Hafshah menunggangi unta Aisyah. Kemudian Rasulullah saw. mendatangi unta Aisyah yang ditunggangi oleh Hafshah. Baginda saw mengucapkan salam kepadanya dan berjalan bersamanya sampai mereka singgah berhenti. Aisyah ra. tertinggal jauh dan diapun cemburu. ketika mereka singgah (pada suatu tempat) maka Aisyah ra meletakkan kakinya pada rumput-rumput yang ada (memukul-mukulkannya ke tanah), kemudian dia berkata: Ya Tuhan ! biarkanlah kala jengking menyengat saya atau ular mematuk saya. Rasulmu itu, saya tidak dapat mengatakan sesuatupun kepadanya”.


(HR. Muslim, al Musnad as Shahih, No: 2445).

11. Rasulullah saw membantu isterinya melakukan kerja rumah.


Aisyah ra ditanya mengenai apa yang dilakukan Rasulullah saw di rumahnya? Aisyah ra menjawab: Baginda saw membantu isterinya dalam menyelesaikan pekerjaan rumah. Jika baginda saw mendengarkan azan bagindapun keluar (ke masjid) ”.

(HR. Bukhari, Sumber: al Jami’ as Shahih, No: 5363).

12. Rasulullah saw mengerjakan sesuatu yang boleh baginda lakukan sendiri untuk meringankan beban isterinya

Aisyah ra ditanya mengenai apa yang dilakukan Rasulullah saw di rumahnya? Aisyah menjawab: Baginda saw adalah manusia biasa, mencuci sendiri pakaiannya, memerah susu kambingnya dan menguruskan dirinya sendiri”.


(HR. Tirmizi, as Sunan, No: 5822).



13. Menahan diri (tidak marah) untuk kebahagiaan isteri.


Abu Bakar ra masuk ke rumahnya Aisyah ra sementara terdapat dua anak perempuan yang sedang memukul rebana dan keduanya menyanyi. Sementara Rasulullah saw sedang menutup kepalanya dengan kainnya. Kemudian baginda saw membuka penutup diwajahnya dan mengatakan: Wahai Abu Bakar biarkan sahaja! Hari ini adalah hari raya.
(HR. an Nasaie : Shahihu nasae’I, No: 1596).

14. Rasulullah saw. merindui isteri.


Aishah menceritakan : Rasulullah saw sangat cinta dan sayang terhadap Khadijah ra sedang aku tidak pernah bertemu dengan Khadijah. Aisyah ra berkata: Jika Rasulullah saw menyembelih seekor kambing, maka baginda saw bersabda: kirimkanlah (dagingnya) untuk saudara mara Khadijah. Aisyah ra berkata: dan pada suatu hari aku marah, dan aku mengatakan: Khadijah? Lalu Rasulullah saw. bersabda : Sesungguhnya saya telah dikurniakan rasa cinta kepadanya.”


(HR. Muslim, al Musnad as Shahih, no: 2435).



15. Rasulullah saw memuji isterinya

Sabda baginda saw : “ Kelebihan Aisyah ra dibandingkan dengan isteri-isterinya yang lain seperti bandingannya tharid (bubur dan roti yang dihancur dan direndam dalam kuah) dengan makanan-makanan yang lain”.


(HR. Muslim, al Musnad as Shahih, No: 2446).

16. Rasulullah saw bahagia ketika isterinya bahagia.


Aisyah ra berkata: “ Pada suatu hari Rasulullah saw pulang dari suatu peperangan sementara saya menutupi sesuatu. Lalu angin bertiup maka terbukalah kain penutup tersebut dan kelihatanlah boneka-boneka mainanku (anak patung). Rasulullah saw pun bertanya: Apa ini? Aisyah ra. menjawab: ini adalah mainanku. Baginda pun bertanya lagi: apa yang terdapat di tengah-tengahnya ini? Aku menjawab: itu adalah kuda. Baginda saw bertanya lagi: “ Apa yang terdapat di tubuhnya ini? Aku menjawab: Itu adalah dua sayap. Baginda saw bertanya: Kuda mempunyai dua sayap? Aku berkata: Apakah baginda Rasulullah saw tidak pernah mendengar bahawasanya Sulaiman bin Daud mempunyai seekor kuda yang punya sayap-sayap. Rasulullah saw pun tertawa sehinnga nampak gigi gerahamnya”.

(HR. Abu Dawud, as Sunan No: 4932 ).

17. Tidak menyebarkan rahsia-rahsianya (baik dari pihak isteri atau suami)


Abu Sa’id al Khudri meriwayatkan sabda Rasulullah saw: “ Sesungguhnya orang yang paling buruk (jahat) di sisi Allah pada hari kiamat ialah suami yang membuka rahsia isterinya (memalukannya), dan isteri yang memalukan suaminya, dan menyebarkan rahsianya ”.

(HR Muslim, al Musnad Sahih, No: 1437).

18. Rasulullah saw tidak sesekali menyakiti atau memukul isterinya.


Aishah ra berkata: “ Rasulullah saw tidak pernah memukul sesuatu dengan tangannya. Baginda saw tidak pernah memukul isterinya dan juga pembantunya, kecuali jika baginda sedang berjihad di jalan Allah swt (berperang).

(HR. Muslim, sumber: al Musnad as Shahih, No: 2328).

19. Rasulullah saw. menjaga dan mengusap air mata isterinya


Shafiyah ra bersama dengan Rasulullah saw. pada suatu perjalanan, lalu dia lambat di dalam perjalanan. Maka Rasulullah saw. menemuinya sementara dia sedang menangis dan berkata: Baginda memberikan aku unta yang lambat. Maka Rasulullah saw. mengusap air mata di kedua matanya dan mendiamkannya ”.


(H. an Nasaa’i).

20. Rasulullah saw menyuap makanan di mulut isterinya

Rasulullah saw. bersabda: “ Sesungguhnya kamu tidak akan menafkahkan suatu nafkah yang engkau mengharap dengan nafkah tersebut ridha Allah, kecuali Allah akan menambahkan dan meninggikan darjatmu, sekalipun hanya suapan yang engkau letakkan di mulut isterimu”.


( HR al Bukhari al Jami’ as Sahih, No: 2591).

21. Rasulullah saw memberi perhatian kepada keperluan isterinya.


Aku bertanya: Wahai Rasulullah saw ! Apa hak isteri terhadap kami (para suami)? Baginda saw menjawab: memberinya makanan jika kamu makan, memberinya pakaian jika kamu punya pakaian, jangan pukul wajahnya, jangan mencacinya, dan jangan meninggalkan tidur dengannya kecuali di dalam rumah”.

(Ibn Daqiq al ‘id, al Ilmam 2/655).

22. Rasulullah saw memilihkan nama-nama yang baik untuk isterinya.


Aisyah ra berkata kepada Rasulullah saw. : Ya Rasulullah saw! Setiap isteri-isterimu mempunyai gelaran kecuali saya. Lalu Rasulullah saw berkata kepadanya: Berilah dirimu gelaran dengan nama anakmu Abdullah (Abdullah Ibn Zubair). Kamu sekarang adalah Ummu Abdullah. Maka Aishah bergelar dengan sebutan Ummu Abdullah sampai dia wafat walaupun dia tidak pernah melahirkannya .


(Silsilah al Ahadithu as Shahihah, No: 1/255).

23. Rasulullah saw mencintai isterinya dan menghormati keluarganya.


Rasulullah saw mengutus ‘Amru bin ‘Ash ra dalam suatu peperangan Zatul Salasil . Dia berkata: Lalu aku mendatanginya kemudian aku berkata: Siapa yang anda paling sukai? Baginda saw menjawab: Aisyah. Aku bertanya lagi kalau dari golongan laki-laki? Baginda saw menjawab: Ayahnya (iaitu Abu Bakar ra). Aku bertanya lagi: Kemudian siapa lagi? Baginda saw menjawab: Umar. Kemudian baginda menyebutkan beberapa orang , lalu aku diam bimbangkan baginda saw akan menjadikanku paling terakhir dari mereka (dari nama-nama yang telah di sebutkan)”.


(HR. Bukhari, al Jaami’ as Shahih, No: 4358).

24. Menunggu sebentar (memperlambat) untuk menemui (isterinya) supaya dia dapat berhias untuknya


Jabir bin Abdillah menceritakan: Kami kembali bersama Rasulullah saw dari suatu peperangan. Maka aku terburu-buru dengan untaku, kemudian orang yang di belakangku mendapatiku (berjaya mendapatkakku), maka untaku bergerak bersama dengan seekar kambing yang bersamanya. Untaku berjalan dengan cepat, tiba-tiba aku bertemu dengan Rasulullah saw. Baginda saw bertanya: Apa yang membuatumu terburu-buru? Aku menjawab: Saya akan melaksanakan akad pernikahan. Rasulullah saw. bertanya lagi: Dengan seorang gadis atau janda? Aku menjawab: Dengan seorang janda. Rasulullah saw bersabda: Kenapa kamu tidak memilih seorang gadis agar kamu boleh berseronok-seronok dengannya begitu juga dia. Dia berkata: maka ketika kami pergi untuk bertemu dengan isteri kami, Rasulullah saw. bersabda: Tunggu sebentar sehingga kamu masuk menemuinya di malam hari, agar dia (isteri) dapat berhias ”.


(HR al Bukhari, al Jaami’ ash Shahih, no: 5079).

25. Rasulullah saw merawat sendiri isterinya ketika sakit.


Aishah ra berkata: “ Rasulullah saw ketika salah seorang dari isterinya sedang sakit, baginda saw meniupkan untuknya dengan (membaca) al mau’idzaat (surah al ikhlash, surah al Falaq dan surah an Naas). Kemudian ketika baginda saw sakit yang membuatnya wafat, maka baginda saw meniupkan bacaan tersebut dan menyapukan ke tubuhnya dengan kedua tangannya, kerana kedua tangannya mempunyai berkat yang sangat besar di bandingkan dengan kedua tanganku (Aisyah Ra.).”

(HR Muslim, Sumber: al Musnad ash Shahih, no: 2192).

26. Rasulullah saw. memberitahu berita gembira untuk isterinya dan membahagiakannya


Jibril as. mendatangi Rasulullah saw. dan dia mengatakan: Ya Rasulullah, ini Khadijah ra telah datang. Dia membawa bejana yang berisikan kuah, makanan dan minuman. Jika dia telah datang menemuimu maka sampaikanlah salam dari tuhannya dan dari saya, dan beritakan berita gembira untuknya dengan sebuah rumah di syurga yang terbuat dari mutiara yang tidak ada keriuhan dan keletihan di dalamnya”.


( HR Bukhari, al Jaami’ ash Shahih, no: 3610).


Dari Aisyah ra : Rasulullah saw. Bersabda: “Sesungguhnya Jibril as. mengucapkan salam untukmu”. Aku menjawab: untuknya (salam) dan rahmat Allah swt.

( HR Bukhari, al Jaami’ ash Shahih, no: 5898).

27. Rasulullah saw. tidak mencacinya ketika terjadi masalah

Dibuktikan melalui kisah pertuduhan dusta dan pemberitaan bohong ke atas Aishah ra.


Diriwayatkan oleh Imam Muslim rahimahullah didalam kitabnya, Sahih Muslim bahawa Saidatina Aisyah r.a isteri Nabi s.a.w katanya:

Apabila Rasulullah s.a.w ingin musafir, baginda biasanya mengadakan undian di kalangan isteri-isterinya. Sesiapa yang bernasib baik dialah yang akan keluar bersama Rasulullah s.a.w.

Saidatina Aisyah berkata Rasulullah s.a.w membuat undian di kalangan kami untuk memilih siapakah yang akan turut serta ke medan perang. Tanpa diduga undi akulah yang berjaya. Lalu aku keluar bersama Rasulullah s.a.w. Peristiwa ini berlaku selepas turunnya ayat hijab. Aku dibawa dalam Haudaj (sebuah bilik kecil untuk perempuan yang diletakkan di atas unta). Bilik inilah aku ditempatkan selama berada di sana.

Setelah Rasulullah s.a.w selesai berperang, kami terus pulang. Kami berhenti rehat buat seketika di suatu tempat yang berhampiran dengan Madinah. Sebaik sahaja tiba waktu malam kami diminta supaya meneruskan perjalanan. Pada waktu yang sama aku bangkit dan berjalan jauh dari pasukan tentera. Apabila selesai membuang air besar aku kembali ke tempat kelengkapan perjalanan. Ketika aku menyentuh dadaku mencari kalung, ternyata kalungku yang diperbuat dari manik Zafar (berasal dari Zafar, Yaman) hilang.

Aku kembali lagi ke tempat tadi mencari kalungku sehingga aku ditinggalkan dalam keadaan tersebut. Sementara itu beberapa orang lelaki yang ditugaskan membawaku mengangkat Haudaj ke atas unta yang aku tunggangi kemudian terus pulang. Pada sangkaan mereka aku berada di dalamnya. Saidatina Aisyah berkata : Wanita pada waktu itu semuanya ringan-ringan, tidak terlalu tinggi dan tidak pula terlalu gemuk kerana mereka hanya memakan sedikit makanan menyebabkan para sahabat tidak terasa berat ketika membawa serta mengangkat Haudaj. Apatah lagi aku pada waktu itu seorang gadis.

Mereka membangkitkan unta dan terus berjalan. Sebaik sahaja mereka bertolak aku bertemu kalung yang kehilangan tadi. Aku pergi ke tempat perhentian mereka semasa berperang, namun tidak seorang pun yang ada di sana. Lalu aku kembali ke tempat perhentianku dengan harapan mereka sedar kehilanganku dan kembali mencariku. Ketika berada di tempatku, aku terasa mengantuk dan terus tertidur. Kebetulan Safuan bin Al-Muattal As-Sulami Az-Zakwani telah ditinggalkan oleh pasukan tentera supaya berangkat pada awal malam sehinggalah dia sampai ke tempatku pada pagi tersebut.

Dalam kesamaran dia terlihat seorang manusia sedang tidur. Dia menghampiriku dan didapati aku yang tidur di situ. Dia mengenaliku kerana pernah melihat aku sebelum hijab diwajibkan kepadaku. Aku tersedar oleh ucapannyaketika dia mengetahui bahawa aku tidur di situ. Aku segera menutup wajahku dengan kain tudung. Demi Allah! Dia tidak bercakap dengan aku dan aku juga tidak mendengar kata-katanya walaupun sepatah selain satu ucapannyasehinggalah dia meminta aku menunggang untanya. Tanpa membuang masa aku terima pelawaannya dan terus naik dengan berpijak di tangannya, lalu beredar dalam keadaan dia menarik unta sehinggalah kami berjaya mendapatkan pasukan tentera yang sedang berhenti rehat kerana panas terik.

Celakalah penuduhku dan orang yang tetap dengan keangkuhannya iaitu Abdullah bin Ubai bin Salul. Setelah sampai di Madinah, aku jatuh sakit di Madinah selama sebulan setelah ku kembali. Sementara itu orang ramai sedang menyebarkan fitnah daripada pereka cerita bohong tetapi aku sendiri tidak mengetahuinya. Aku mula resah setelah Rasulullah s.a.w kelihatan berubah malah aku tidak lagi merasakan kelembutan Rasulullah s.a.w yang biasanya aku rasakan ketika aku sakit. Rasulullah s.a.w cuma masuk mengucapkan salam kemudian bertanya: Bagaimana keadaanmu? Suasana ini menyebabkan aku semakin gelisah kerana bagiku, aku tidak melakukan keburukan.

Setelah penyakitku beransur sembuh, aku keluar bersama Ummu Mistah ke tempat buang air besar. Ianya adalah tempat yang biasa kami kunjungi untuk membuang air besar dan kami hanya keluar pada waktu malam. Keadaan ini berterusan sehinggalah kami membina tandas berhampiran dengan rumah kami. Kamilah orang arab yang pertama membina tandas untuk bersuci. Akhirnya kami merasa terganggu dengan tandas tersebut yang dibina berhampiran dengan rumah kami.

Suatu hari aku keluar bersama Ummu Mistah binti Abu Ruhmi bin Al-Muttalib bin Abdul Manaf. Ibunya adalah puteri Sakhrin bin Amir ibu saudara Abu Bakar As-Siddiq r.a, anaknya bernama Mistah bin Usaasah bin Abbad bin Al-Muttalib. Setelah kami selesai buang air besar aku berjumpa dengan anak perempuan Abu Ruhmi berhampiran rumahku. Tiba-tiba Ummu Mistah terpijak pakaiannya lalu melatah sambil berkata : Celaka Mistah! Aku berkata kepadanya : Apakah engkau mencela seorang lelaki yang syahid dalam peperangan Badar. Dia menjawab : Wahai Saidatina Aisyah, tidakkah engkau mendengar apa yang dia katakan? Aku menjawab : Tidak, apakah yang dia katakan? Lantas Ummu Mistah menceritakan kepada aku tuduhan pembuat cerita bohong.

Mendengar cerita itu, sakitku bertambah kuat. Setelah sampai di rumah Rasulullah s.a.w masuk menjengukku. Baginda mengucapkan salam kemudian bertanya: Bagaimana keadaanmu? Aku menjawab : Apakah engkau izinkan aku berjumpa dua orang tuaku? Pada saat itu aku ingin kepastian tentang berita tersebut dari dua orang tuaku. Selepas mendapat keizinan daripada Rasulullah s.a.w, aku segera pulang ke rumah orang tuaku. Sebaik sahaja sampai di sana, aku bertanya ibuku : Mak, apakah cerita yang disebarkan oleh orang ramai mengenai diriku? Ibuku menjawab : Wahai anakku! Tabahkanlah hatimu! Demi Allah berapa orang sahaja wanita cantik berada di samping suami yang menyayanginya dan mempunyai beberapa orang madu tidak difitnahkan, bahkan ramai yang dilontarkan fitnah terhadapnya. Aku berkata : Maha suci Allah s.w.t! Apakah sampai begitu sekali orang ramai memfitnah ku?

Aku terus menangis pada malam tersebut dan tidak lagi mampu menahan air mata. Aku tidak dapat tidur sehingga pada pagi keesokannya, aku masih lagi dalam keadaan demikian. Setelah beberapa ketika Rasulullah s.a.w memanggil Ali bin Abi Talib dan Usamah bin Zaid untuk membincangkan perceraian dengan isterinya. Ketika itu wahyu tidak diturunkan. Usamah bin Zaid memberi pertimbangan kepada Rasulullah s.a.w tentang penjagaan Allah terhadap isteri baginda dan kemesraan Nabi terhadap mereka sambil berkata: Wahai Rasulullah! Mereka adalah keluargamu. Kami cuma mengetahui apa yang baik. Manakala Ali bin Abi Talib pula berkata: Allah tidak menyulitkan kamu malah wanita selain daripadanya masih ramai.

Jika engkau bertanyakan pembantu rumah pun, tentu dia akan memberikan keterangan yang betul. Saidatina Aisyah berkata : Lantas Rasulullah s.a.w memanggil Barirah (pembantu rumah) dan bertanya: Wahai Barirah! Apakah engkau pernah melihat sesuatu yang meragukan tentang Aisyah? Barirah menjawab: Demi Allah yang mengutusmu membawa kebenaran. Sekiranya aku melihat sesuatu padanya, nescaya aku tidak akan menyembunyikannya. Dia tidak lebih dari seorang gadis muda yang sering tertidur di samping adunan roti keluarganya sehinggalah binatang ternakan seperti ayam dan burung datang memakannya.

Saidatina Aisyah berkata: Kemudian Rasulullah s.a.w berdiri di atas mimbar meminta pertolongan untuk membersihkan segala fitnah yang dilontarkan oleh Abdullah bin Ubai bin Salul. Saidatina Aisyah berkata lagi : Rasulullah s.a.w bersabda semasa berkhutbah : Wahai kaum Muslimin! Siapakah yang ingin menolongku dari orang yang sanggup melukai hati keluargaku? Demi Allah! Apa yang aku ketahui hanyalah kebaikan. Beberapa orang telah menyebut tentang seorang lelaki yang aku ketahui bahawa dia seorang yang baik. Dia tidak pernah masuk berjumpa isteriku kecuali bersamaku. Lalu Saad bin Muaz Al-Ansariy bangun berkata : Aku yang akan menolongmu daripada orang itu wahai Rasulullah. Jika dia daripada golongan Aus aku akan memenggal lehernya dan sekiranya dia dari kalangan saudara kami daripada golongan Khazraj, perintahkanlah aku nescaya aku akan melaksanakan segala perintahmu itu.

Saidatina Aisyah berkata: Mendengar kata-kata tersebut lantas Saad bin Ubadah bangun. Dia adalah penghulu golongan Khazraj, seorang yang soleh tetapi kadang-kadang dia cepat radang kerana bongkak. Dia menjawab kepada Saad bin Muaz : Engkau bohong! Demi Allah engkau tidak dapat membunuhnya dan tidak mampu untuk membunuhnya! Lalu Usaid bin Hudair sepupu Saad bin Muaz bangun menjawab kepada Saad bin Ubadah : Engkau bohong! Demi Allah, kami akan membunuhnya. Engkau seorang munafik yang membela orang-orang munafik. Maka terjadilah pertengkaran hebat antara golongan Aus dan Khazraj, sehingga mereka hampir membunuh antara satu sama lain.

Rasulullah s.a.w masih tetap berdiri di atas mimbar. Rasulullah s.a.w tidak henti-henti menenangkan mereka sehinggalah mereka terdiam kerana melihat Rasulullah s.a.w diam. Saidatina Aisyah berkata: Melihat keadaan itu aku menangis sepanjang hari. Air mataku tidak berhenti mengalir dan aku tidak dapat tidur sehinggalah pada malam berikutnya. Dua ibu bapaku menganggap tangisanku itu boleh membawa kepada terbelahnya jantungku. Ketika ibu bapaku menunggu aku, seorang perempuan Ansar datang meminta izin menemuiku. Setelah aku mengizinkannya, dia terus masuk lalu duduk sambil menangis.

Saidatina Aisyah berkata: Ketika itu Rasulullah s.a.w masuk memberi salam, lalu duduk bersama aku. Saidatina Aisyah berkata: Baginda tidak pernah berbuat demikian sejak berlakunya fitnah terhadapku sebulan yang lalu. Wahyu juga tidak diturunkan kepada baginda mengenai keadaanku. Saidatina Aisyah berkata: Rasulullah s.a.w mengucapkan Dua Kalimah Syahadah ketika duduk kemudian bersabda: Wahai Aisyah! Aku ketahui berbagai cerita telah diperkatakan tentang dirimu. Jika engkau memang tidak bersalah, Allah pasti tidak akan menyalahkan kamu. Tetapi seandainya engkau bersalah, pohonlah keampunan daripada Allah dan bertaubatlah kepada-Nya kerana sesungguhnya apabila seorang hamba mengaku berdosa, kemudian bertaubat nescaya Allah pasti akan menerima taubatnya.

Saidatina Aisyah berkata: Sebaik sahaja Rasulullah s.a.w selesai bersabda, aku bertambah sedih sehingga tidak terasa air mataku menitis. Aku berkata kepada ayahku: Jelaskanlah kepada Rasulullah s.a.w mengenai apa yang baginda katakan. Ayahku menjawab: Demi Allah! Aku tidak tahu apa yang harus dijelaskan kepada Rasulullah s.a.w. Kemudian aku berkata kepada ibuku: Jelaskanlah kepada Rasulullah s.a.w. Ibuku juga menjawab: Demi Allah! Aku tidak tahu apa yang harus dijelaskan kepada Rasulullah s.a.w. Lalu aku berkata: Aku adalah seorang gadis muda. Aku tidak banyak membaca Al-Quran. Demi Allah! Aku tahu bahawa kalian telah mendengar semuanya itu sehingga tetap bersemadi di hati kalian, malah kalian mempercayainya. Jika aku katakan kepada kalian bahawa aku tidak bersalah, Allahlah yang mengetahui bahawa aku tidak bersalah, tetapi kalian tetap tidak mempercayaiku. Begitu juga sekiranya aku mengakui melakukan kesalahan, Allahlah yang mengetahui bahawa aku tidak bersalah dan kalian tentu akan mempercayaiku. Demi Allah, aku tidak mempunyai contoh yang tepat untuk aku dan kalian kecuali kata-kata yang disebut oleh ayah Nabi Yusuf a.s, maksudnya: Kalau begitu bersabarlah aku dengan sebaik-baiknya dan Allah jualah yang dipohonkan pertolongan mengenai apa yang kamu katakan itu.

Saidatina Aisyah berkata: Kemudian aku beredar lalu berbaring di tempat tidurku. Saidatina Aisyah berkata: Demi Allah! Pada saat itu aku yakin diriku tidak bersalah dan Allah akan menunjukkan bahawa aku tidak bersalah. Tetapi demi Allah! Aku tidak menyangka bahawa wahyu akan diturunkan tentang permasalahanku kerana persoalanku adalah terlalu remeh untuk difirmankan oleh Allah s.w.t. Namun begitu aku mengharapkan agar Rasulullah s.a.w melihat dalam mimpinya bahawa Allah s.w.t membersihkan aku dari fitnah itu. Saidatina Aisyah berkata: Demi Allah! Rasulullah s.a.w tidak beredar dari tempat duduk baginda dan tidak ada seorangpun di kalangan keluarga kami keluar. Apabila Allah s.w.t menurunkan wahyu kepada Nabi-Nya, baginda kelihatan berubah. Baginda duduk membongkok sambil berpeluh bagaikan mutiara pada musim sejuk kerana beratnya menerima firman Allah s.w.t yang diturunkan kepada baginda.

Saidatina Aisyah berkata: Setelah itu Rasulullah s.a.w terus ketawa. Ucapan pertama baginda selepas menerima wahyu tersebut ialah sabdanya: Bergembiralah, wahai Aisyah! Sesungguhnya Allah s.w.t telah membersihkan kamu! Lalu ibuku berkata kepadaku: Bangunlah berjumpa Rasulullah s.a.w. Aku menjawab: Demi Allah! Aku tidak akan bangun berjumpa baginda. Aku hanya akan memuji kepada Allah s.w.t kerana Dialah yang menurunkan ayat Al-Quran menyatakan kebersihanku. Lalu Allah s.w.t menurunkan ayat yang bermaksud: (Sesungguhnya orang-orang yang membawa berita yang amat dusta itu ialah segolongan dari kalangan kamu) sebanyak sepuluh ayat. Allah s.w.t menurunkan ayat-ayat tersebut yang menyatakan kebersihanku.

Saidatina Aisyah berkata: Lalu Sayidina Abu Bakar orang yang selalu memberi nafkah kepada Mistah kerana dia adalah salah seorang daripada kaum keluarga Abu Bakar dan seorang miskin berkata: Demi Allah! Aku tidak akan memberikan nafkah kepadanya lagi selepas dia memfitnahkan Saidatina Aisyah r.a. Sebagai teguran terhadap tindakan itu Allah s.w.t menurunkan ayat maksudnya: Dan janganlah orang-orang yang berharta serta lapang hidupnya di antara kamu bersumpah tidak mahu lagi memberi bantuan kepada kaum keluarga sehinggalah kepada firman Allah s.w.t yang bermaksud: Tidakkah kamu suka supaya Allah mengampunkan dosa kamu.

Hibban bin Musa berkata: Abdullah bin Al-Mubarak menyebut: Inilah ayat yang paling aku harapkan dalam Kitab Allah.

Abu Bakar berkata: Demi Allah! Memang aku inginkan keampunan Allah s.w.t. Lalu Abu Bakar kembali memberikan nafkah kepada Mistah sebagaimana biasa dan berkata: Aku tidak akan berhenti memberi nafkah kepadanya.

Saidatina Aisyah berkata: Rasulullah s.a.w pernah bertanya Zainab binti Jahsyin isteri Nabi s.a.w tentang masalahku: Apakah yang engkau ketahui atau apakah pendapatmu? Zainab menjawab: Wahai Rasulullah! Aku selalu menjaga pendengaran dan penglihatanku. Demi Allah! Apa yang aku ketahui hanyalah kebaikan. Saidatina Aisyah berkata:Dialah dari kalangan isteri-isteri Nabi s.a.w yang membanggakan aku. Allah s.w.t mengurniakan kepadanya sifat warak berbanding dengan saudara perempuannya iaitu Hamnah binti Jahsyin yang turut serta menyebarkan fitnah. Maka celakalah dia bersama orang-orang yang celaka!



Tiada ulasan:

Catat Ulasan