Isnin, 30 Januari 2012

Tahzib Sirah Nabawiyyah - al Imam an Nawawi ( 3 )

Umrah, Haji, Peperangan dan Perisikan.

Riwayat yang sahih sebagaimana direkodkan dalam kitab Sahih Bukhari dan Muslim bahawa Nabi saw melakukan empat kali umrah selepas hijrah dan hanya sekali haji iaitu haji selamat tinggal yang dilaksanakan pada tahun 10 hijrah.

Baginda saw keluar sendiri menyertai peperangan sebayak 25 kali menurut pandangan masyhur iaitu pandangan Musa bin ‘Uqbah, Muhammad bin Ishak, Abi Mi’shar dan lainnya di kalangan ulama sirah dan peperangan Nabi saw. Pandang kurang masyhur menyebut 27 Kali.

Muhammad bin Saad dalam at Tabaqat pula menukilkan kesepakatan bahawa peperangan yang dihadiri sendiri oleh Rasulullah saw adalah 27 kali. Manakala pasukan peperangan kecil ( saraya ) yang tidak dihadiri nabi saw pula sebanyak 25 kali. Beliau menyenaraikan satu persatu peperangan-peperangan ini disusun mengikut masa berlakunya. Ada juga yang menyebut Nabi saw tidak berperang kecuali 9 kali iaitu Badar, Uhud, Khandak, Bani Quraizah, bani Mustaliq, Khaibar, Fath Makkah, Hunain dan Thaif jika mengambil pendapat Fath Makkah itu berlaku secara kekerasan bukannya perdamaian. Dikatakan juga baginda terlibat dalam peperangan di Wadi al Qura dan al Ghabah ( antara Madinah dan Sham ) dan Bani al Nadhir. Wallahu ‘aalam.

Akhlak


Baginda saw adalah manusia paling pemurah terutama di bulan Ramadhan, paling elok sifat fizikal dan budi pekerti, paling lembut tapak tangan, paling wangi bauan, paling sempurna akal fikiran, paling bagus pergaulan, paling berani, paling mengenali Allah, paling takutkannya, tidak marah kerana diri sendiri, tidak pula bertindak kerana dirinya, marahnya hanya kerana Allah swt apabila dicerobohi larangan Allah swt, marahnya hanya untuk menegakkan kebenaran, apabila dia marah dia akan beredar dan berlalu.

Akhlaknya adalah al Quran, dialah yang paling merendah diri, menunaikan keperluan keluarganya, melayan baik mereka yang lemah, tidak diminta sesuatu lalu menjawab tidak, palung penyantun, lebih pemalu dari anak dara di kamarnya, semua mendapat keadilan yang sama dihadapannya samada keluarga terdekat mahupun bukan, orang kuat atau lemah.

Tidak sesekali menghina makanan. Jika dia mahu, dia makan. Jika tidak dia tinggalkannya. Baginda tidak makan sambil berbaring atau di atas di meja makan dan tidak pula menolak sesuatu yang harus. Baginda saw sukakan manisan dan madu. Juga tertarik dengan labu dan pernah bersabda: “ Sebaik-baik penyicah ( roti ) cuka.” Dan sabdanya : “ Kelebihan Aishah ra berbanding sekalian wanita seperti kelebihan tharid ( sejenis bubur campuran gandum dan sup daging ) berbanding makanan lain.” Bahagian kambing yang paling disukainya ialah lengan ( kaki depan )”.

Abu Hurairah ra berkata: Nabi saw keluar dari dunia tanpa sempat kenyang memakan ( roti ) dari tepung gandum ( kerana kemiskinannya ). Biasa berlalu sebulan atau dua bulan tanpa dinyalakan api di rumah baginda saw.

Baginda saw hanya menerima hadiah, tidak pula menerima sedekah dan membalas hadiah. Baginda saw membaiki selipar, menjahit pakaian, melawat pesakit, melayan jemputan samada dari orang kaya atau miskin, mulia atau hina, tanpa menghina sesiapa.

Kadang-kadang duduk belunjur, bersila dan juga berbaring. Kerap juga baginda mencangkung ( di atas pinggulnya dengan memeluk ke dua tangan ke dua betisnya ). Baginda saw makan dengan tiga jari dan menjilatnya. Minum pula dengan tiga kali bernafas di luar bekas air. Bercakap dengan dengan ucapan ringkas padat ( jawami’ al kalim ) dan mengulanginya tiga kali supaya difahami. Percakapannya jelas nyata mudah difahami pendengar dan tidak pula bercakap sesuatu yang tidak perlu.

Baginda tidak bangun dan duduk tanpa berzikir menyebut Allah. Nabi saw menunggang kuda, unta, keldai dan baghal. Juga memboncengkan Muaz ra di atas unta dan juga keldai. Baginda saw tidak membiarkan seseorang berjalan di belakangnya. Pernah baginda saw mengikat perunya dengan batu kerana kelaparan dan biasa juga tidur kelaparan bersama isteri-isterinya. Tikarnya dari kulit binatang dan diisi dengan daun-daun. Baginda saw hanya memilih untuk mengambil sedikit dari semua harta benda dunia. Allh swt kurniakannya anak kunci khazanah dunia semuanya, namun baginda saw enggan menerima dan tetap memilih akhirat.

Nabi saw seorang yang banyak berzikir dan panjang berfikir. Kebanyakan ketawanya hanyalah senyum. Kadang-kadang baginda ketawa sehingga Nampak geraham. Sangat sukakan bauan wangi dan bencikan bauan busuk. Baginda saw juga bergurau Cuma tidak bercakap melainkan yang benar. Boleh menerima uzur yang diberi seseorang yagn memohon uzur. Baginda saw sepertimana yang disifatkan Allah swt ;

لَقَدْ جَاءَكُمْ رَسُولٌ مِّنْ أَنفُسِكُمْ عَزِيزٌ عَلَيْهِ مَا عَنِتُّمْ حَرِيصٌ عَلَيْكُم بِالْمُؤْمِنِينَ رَءُوفٌ رَّحِيمٌ

“ Sesungguhnya telah datang kepada kamu seorang rasul ( utusan Allah ) dari kalangan kamu, seorang yang berat hati perkara yang menyusahkan kamu, bersungguh mencari keuntungan untuk kamu, dan seorang yang penyantun dan penyayang kepada kaum mu’minin. “ at Taubah: 128.

وَصَلِّ عَلَيْهِمْ ۖ إِنَّ صَلَاتَكَ سَكَنٌ لَّهُمْ

“ Berdoalah untuk kebaikan mereka sesungguhnya doa engkau adalah ketenangan kepada mereka.” at Taubah: 103.

Teguran Nabi saw hanya dalam bentuk sindiran seperti sabdanya : “ Apalah halnya ada manusia yang meletakkan syarat yang tidak ada dalam kitab Allah “. Nabi saw menyuruh supaya berlembut dan menggalakkannya, melarang sikap kasar dan menggalakannya sifat pemaaf, pengampun dan kemuliaan akhlak. Baginda saw sukakan mendahulukan anggota kanan ketika bersuci, memakai selipar, menyikat rambut dan semua urusannya. Tangun kirinya hanya ketika membersih najis atau apa-apa yang kotor. Begitu jugalah baginda tidur atau berbaring di atas lambung kanan dengan menghadap kiblat.

Majlis Nabi saw adalah majlis kesopanan dan kamuliaan diri, amanah dan bersih, kesabaran dan ketenangan. Tidak diangkat suara dan tidak pula ditimbul cerita perempuan. Mereka hanya berbangga dengan ketaqwaan, saling merendah diri dan dihormati orang tua serta dibelas kasih anak-anak muda, mendahulukan mereka berhajat, memelihara hak orang luar yang bertandang dan keluar sebagai pemandu kepada kebaikan.

Nabi saw melayan baik sahabatnya, memuliakan orang yang dihormati dalam sesebuah masyarakat, melantiknya sebagai penguasa mereka, suka bertanya berita kawan-kawannya, tidak bercakap kotor atau sukakan cakap kotor, tidak membalas kejahatan dengan kejahatan seumpama, sebaliknya suka memaaf dan berlapang dada. Tidak pernah memukul isteri mahupun khadam atau sesiapa kecuali ketika berperang di jalan Allah. Tidak diberi pilih antara dua perkara kecuali akan memilih yang paling mudah selama tidak berdosa.

Sandaran dalil bagi semua yang disebut ini adalah hadith-hadith sahih yang masyhur. Allha swt himpunkan untuknya kemulaiaan akhlak dan kecantikan budi. Allah swt mengurniakannya ilmu pengetahuan manusia terdahulu dan terkemudian yang dengannya tergapai kejayaan dan kesejahteraan sedangkan dia seorang yang tidak tahu menulis dan membaca. Tiada seorang guru pun yang mengajarnya di kalangan manusia. Allah swt kurniakannya sesuatu yang tidak pernah dikurnuakan kepada sesiapa pun di sekalian alam. Dialah yang menjadi pilihan Allah swt dari sekalian manusia dahulu dan kemudian. Selawat dan salam ke atas junjungan secara berkekalan sehingga hari kebangkitan.

Dalam sebuah hadith sahih, Anas bin Malik ra berkata: “ Tidak pernah aku menyentuh sutera selembut tapak tangan Nabi saw, tidak pula aku mencium bauan sewangi bau Nabi saw. Sesengguhnya aku berkhidmat dengan Rasulullah saw selama 10 tahun, tidak pernah pula dia menyebut perkataan “ uff “ dan tidak berkata apabila aku telah lakukan sesuatu “ kenapa engkau lakukan demikian “ . Bagi perbuatan yang aku tidak lakukan pula tidak pula dia berkata: “ adalah baik jika engkau lakukan “.

Sabtu, 28 Januari 2012

Tahzib Sirah Nabawiyyah - al Imam an Nawawi ( 2 )

Penyusuan dan Penjagaan.

Baginda saw disusui oleh Thuwaibah hamba Abu Lahab selama beberapa hari. Kemudian oleh Halimah binti Abi Zuaib Abdullah bin al Harith as Sa’diyah. Diriwayatkan dia pernah berkata: Baginda saw membesar dalam tempoh sehari seperti bayi lain membesar sebulan. Baginda saw membesar sebagai anak yatim di bawah jagaan datuknya Abdul Muttalib dan kemudiannya bapa saudaranya Abu Thalib.

Allah sucikannya dari kotoran jahiliah. Baginda saw tidak pernah mengagungkan sebuah berhala pun dalam hidupnya dan tidak pernah pula menghadiri mana-mana upacara kufur kaumnya. Mereka pernah memintanya untuk tujuan itu namun baginda saw enggan dan Allah swt jualah yang memeliharanya dari pelakuan itu. Dalam hadith yang diriwayatkan dari Ali ra, baginda saw bersabda: “ Aku tidak pernah menyembah berhala sekali-kali dan tidak pernah minum arak sekali-kali. Aku juga sentiasa sedar apa yang menjadi amalan orang ramai itu adalah satu kekufuran.”

Ini semua adalah layanan istimewa Allah swt terhadapnya dengan membersihkannya dari sebarang kotoran dan keaiban jahiliah. Sebaliknya baginda saw dikurniakan semua akhlak terpuji sehingga dikenali sebagai al Amin ( seorang yang dipercayai ) apabila mereka dapat menyaksikan amanah, jujur dan bersihnya baginda saw.

Apabila umurnya mencapai 12 tahun, baginda saw keluar bersama bapa saudaranya Abu Thalib ke Sham sehingga sampai ke Bushra. Baginda diperhati oleh Buhaira dan mengenalinya dengan sifatnya. Dia mendekatinya dan memegang tangannya sambil berkata: Inilah penghulu sekalian alam, inilah rasul ( utusan ) tuhan sekalian alam, inilah yang bakal diutus Allah sebagai hujah kepada sekalian alam. Mereka bertanya : Dari mana engkau tahu? Dia menjawab: Kamu ketika kamu datang dari Aqabah, tidak tertinggal satu pohon dan batu pun yang tidak tunduk sujud. Ia tidak sujud melainkan kepada seorang nabi. Demikianlah kami mendapatinya di dalam kitab-kitab kami.” Dia meminta Abu Thalib membawanya pulang kerana bimbang dengan ganguan yahudi lalu baginda saw dibawa pulang.

Baginda saw keluar ke Sham sekali lagi bersama Maisarah, hamba lelaki Khadijah membawa barang dagang Khadijah sebelum mengahwininya sehingga samapi ke pasar Bushra. Ketika berumur 25 tahun, baginda saw berkahwin dengan Khadijah. Apabila keluar ke Madinah kerana hijrah bersamanya ialah Abu Bakar, hambanya ‘Amir bin Fuhairah dan pemandu jalan Abdullah bin al Uraiqit al Laithi seorang kafir dan tiada maklumat mengenai Islamnya.

Sifat

Rasulullah saw tidak terlalu tinggi dan tidak pula pendek. Tidaklah terlampau putih dan tidak pula hitam. Rambut bukan kerinting dan tidak pula terlalu lurus. Ketika baginda saw wafat di atas kepalanya tidak lebih dari 20 helai rambut putih ( uban ). Tubuhnya tegak, jauh antara dua bahunya. Rambutnya mencapai dua bahunya dan kadang-kadang sampai ke dua cuping telinganya dan separuh telinganya. Janggutnya lebat dan jari-jemarinya pula besar. Kepalanya besar dan sendi-sendinya rapat. Wajahnya kebujuran, matanya kehitaman pekat, bulu keningnya lebat, hujung matanya kemerahan dan mempunyai bulu dada yang nipis memanjang. Apabila berjalan, dia mempercepatkan langkah seperti menurun dari tempat tinggi. Wajahnya pula bercahaya seperti bulan purnama, suaranya elok, dua pipinya nipis, bermulut luas sementara bahagian perut dan dadanya serata.

Ada bulu roma di bahagian betis dan lengannya, begitu juga di atas dadanya. Hujung tangannya panjang, kedua-dua matanya memanjang. Tumitnya sedikit daging dan antara dua bahunya ada cop kenabian seumpama telur burung khasnya merpati. Apabila berjalan seperti bumi dilipat untuknya sedangkan dia tidaklah berpenatan. Baginda saw melepaskan rambutnya dan membiarnya terbelah dua ( dahinya terbuka ). Bagainda saw meluruskan janggutnya dan sentiasa bercelak di setiap malam di setiap matanya tiga garisan celak.

Pakaian yang paling disukainya ialah qomis ( baju besar, luas dan ringan seperti jubah dipakai biasanya di musim panas ), putih dan habirah ( berwarna dari kain kasar biasanya dipakai di musim sejuk ). Lengan baju nabi saw pula sampai ke pergelangan tangan. Baginda saw pernah memakai pakaian merah bersama kain penutup tubuh ( rida’ ) dan kain bawah ( izar ), pernah juga memakai dua kain hijau, juga jubah yang sempit lengannya, juga qiba’ ( pakaian bukan arab yang dibuka dari belakang ), juga serban hitam dengan melepaskan dua ekornya ke tengah antara dua bahunya. Pernah juga Nabi saw keluar memakai pakaian hitam dari bulu. Nabi saw juga memakai cincin, khuf dan selipar.

Anak-Anak

Anak lelakinya tiga orang;

1. Al Qasim. Nabi saw bergelarnya dengannya ( Abu al Qasim ), dilahirkan sebelum kenabian dan meninggal dunia ketika berumur 2 tahun.

2. Abdullah yang juga bergelar at Toyyib dan at Thohir kerana dia dilahirkan selepas kenabian. Dikatakan at Thoyyib dan at Thohir anak lain tetapi pendapat yang sahihnya ialah yang pertama.

3. Ibrahim yang lahir di Madinah tahun ke 8 hijrah dan meninggal di tahun ke 1o ketika berumur 17 atau 18 bulan.

Anak perempuannya pula 4 orang;

1- Zainab yang dikahwini Abu al-Ash ibn ar Rabie bin Abdul Uzza bin abdul Shams iaitu sepupunya kerana ibunya ialah Halah binti Khuwailid.

2- Fatimah yang dikahwini Ali bin Abi Thalib.

3- Raqiyyah.

4- Ummu Kalthum

Kedua-duanya berkahwin dengan Uthman bin Affan, pertamanya Raqiyyah dan kemudiannya Ummu Kalthum. Kedua-duanya meninggal dunia semasa bersama Uthman justeru Uthman bergelar Zul Nurain ( tuan punya dua cahaya ). Raqiyyah meninggal pada hari Badar , Ramadhan 2 Hijrah. Ummu Kalthum pula pada Shaaban tahun 9 Hijrah.

Maka kesemuanya 4 perempuan secara sepakat, 3 lelaki menurut pendapat yang sahih. Mengikut urutanya al Qasim, Zainab, Raqiyyah, Ummu Kalthum, Fatimah,Abdullah di Mekah dan Ibrahim di Madinah. Menurut al Hafiz Ibn Hazm Fatimah lebih tua dari Ummu Kalthum. Semua anak-anaknya dari ibu Khadijah kecuali Ibrahim yang lahir dari Mariah al Qibtiyyah. Semua mereka meninggal dunia sebelum kewafatan Nabi saw kecuali Fatimah yang meninggal selepas Nabi saw 6 bulan menurut pendapat yang sahih dan masyhur.

Bapa dan Ibu Saudara.

Pertamanya al Harith iaitu yang paling tua dari anak Abdul Muttalib maka dengannya dia bergelar ( Abu al Harith ). Kemudian Qutham, az Zubair, Hamzah, al Abbas, Abu Thalib, Abu Lahab, Abdul Kaabah, hajl, Dhirar dan al Ghaidaq.

Yang menganut islam ialah Hamzah dan al Abbas. Hamzah adalah yang paling bongsu yang juga saudara susu nabi saw. Al Abbas pula kedua bongsu yang bertanggungjawab menguruskan telaga zam-zam selepas kematian Abdul Muttalib. Dia lebih tua dari Nabi saw 3 tahun.

Ibu saudaranya pula ialah Sofiyyah yang masuk Islam dan berhijrah iaitu ibu az Zubair bin al ‘Awwam. Dia meninggal di Madinah di zaman pemerintahan Umar ra. Dia adalah adik beradik kandung Hamzah dari pihak ibunya. Kemudian ‘Atikah yang dikatakan menganut Islam dan bermimpi melihat peperangan Badr dalam kisah masyhur. Juga Barrah, Arwa, Umaimah dan Ummu Hakim iaitu al Baidha’.

Isteri-Isteri.

Mengikut turutannya iaitu Khadijah, Saudah, Aishah, Hafsah, Ummu Habibah, Ummu Salamah, Zainab binti Jahsh, Maimunah, Juwairiyyah dan Sofiyyah. Sembilan orang selepas Khadijah adalah yang menjadi balu selepas kewafatannya. Nabi saw tidak berkahwin semasa hayat Khadijah selainnya. Tidak pula mengahwini anak dara kecuali Aishah. Adapun yang dicerai Nabi saw semasa hayatnya maka tidak disebut di sini kerana banyak pencanggahan tentangnya.

Baginda saw juga memiliki 2 hamba perempuan iaitu Mariah dan Raihanah binti Zaid. Dikatakan juga seorang lagi iaitu Bintu Sham’un yang dimerdekakan Nabi saw kemudiannya. Diriwayatkan dari Qatadah : Nabi saw mengahwini 15 orang wanita. 13 orang bersamanya. 11 orang dihimpun pada satu masa. Nabi saw meninggal dunia dengan meninggalkan 9 isteri.

Hamba-Hamba.

Antara mereka ialah Zaid bin Harithah bin Sharahbil bin al Kalbiy Abu Usamah, Thauban bin Bujdud, Abu Kabashah namanya Sulaim yang menghadiri perang Badar, Bazam, Ruwaifi’, Qushair, Maimun, Abu Bakrah, Hurmuz, Abu Sofiyyah Abid, Abu Salma, Anasah, Soleh ( Shaqran ), Rabah ( hamba hitam ), Yasar seorang pengembala dari keturunan Nubi, Abu Rafi’ bernama Aslam ( ada yang berpendapat lain ), Abu Muwaihibah, Fadhalah al Yamani, Rafi’, Mid’am hamba hitam yang tebunuh di Khaibar, Karkarah yang membawa barangan Nabi saw ketika musafir, Zaid datuk Hilal bin Yasar bin Zaid, Ubaidah, Thahman atau Kisan atau Mahran atau Zakwan atau Marwan, Ma’bur seorang Qibti, Waqid, Abu Waqid, Hisham, Abu Dhumairah, Hunain, Abu ‘Usaib namanya Ahmar, Abu ‘Ubaidah, Safinah, Salman al Farisi, Aiman bin Ummu Aiman, Aflah, Sabiq, Salim, Zaid bin Bula, Said, Dhumairah, Ubaidillah bin Aslam, Nafi’, Nabih, Wardan, Abu Uthailah dan Abu al Hamra’.

Hamba perempuanya pula ialah Salma Ummu Rafi’, Ummu Aiman Barakah iaitu iaitu ibu Usamah bin Zaid, Maimunah binti Saad, Khadhirah, Radhwa, Umaimah, Raihanah, Ummu Dhumairah, Mariah, Shirin adik beradik Mariah dan Ummu Abbas.

Senarai panjang nama hamba-hamba ini tidaklah bermakna berhimpun dengan nabi saw pada satu masa. Ada yang berhimpub semasa ada yang tidak.

Khadam ( Pembantu ).

Antara mereka ialah Anas bin Malik, Hind dan Asma’ anak Harithah al Aslami dan Rabi’ah bin Kaab al Aslami. Juga Abdullah bin Mas’ud yang membawa sepatu Nabi saw apabila Nabi berdiri terus diberi pakai kepada Nabi saw, apabila Nabi saw duduk, dia akan menanggalkannya dari kaki Nabi saw dan menggantungnya di lengannya sehingga Nabi saw bangun berdiri. ‘Uqbah bin ‘Amir al Juhani pula penjaga baghal Nabi saw yang memandunya dalam musafir. Bilal muazzin baginda, Saad hamba Abu Bakar as Siddiq, Zu Mikhmar ayat Zu Mikhbar anak saudara an Najashi. Bukair bin Syaddah al Laithi juga dinamakan Bakr, Abu Zar al Ghifari, al Asla’ bin Syuraik bin Auf al A’raji, Muhajir hamba Ummi Salamah dan Abu as Samh ra.

Penulis.

Al Hafiz Abu al Qasim dalam “ Tarikh Dimashq “ menyebut bahawa mereka ada 23 orang. Dia menyebut semua mereka dengan sanad-sanadnya.

Mereka adalah Abu Bakar, Umar bin al Khattab, Uthman, Ali, Thalhah, az Zubair, Ubaiy bin Ka’ab, Zaid bin Thabit, Mu’awaiyah bin Abi Sufyan, Muhammad bin Maslamah, al Arqam bin Abi al Arqam, Aban bin Said bin al Ash, adik beradiknya Khalid bin Said bin al Ash, Thabit bin al Qais, Hanzalah bin al Rabi’, Khalid bin al Walid, Abdullah bin al Arqam, Abdullah bin Zaid bin Abdur Rabbih, al Ala’ bin Uqbah, al Mughirah bin Syu’bah dan as Sijill. Ada yang menambah Suyrahbil bin Hasanah.

Ulama menyebut antara yang paling banyak menulis ; Zaid bin Thabit dan Mu’awiyah bin Abi Sufyan ra.

Utusan.

Baginda saw pernah utuskan Amr bin Umaiyyah al Dhamri mengadap al Najashiy. Dia mengambil surat perutusan Nabi saw lalu meletaknya di hadapan dua matanya. Dia turun dari katilnya lalu duduk di atas lantai. Dia telah Islam apabila tibanya Ja’far bin Abi Thalib dan elok Islamnya.

Baginda saw juga mengutuskan Dihyah bin Khalifah al kalbiy menbawa surat kepada Hiraql penguasa Rum, Abdullah bin Huzafah as Sahmiy kepada Kisra maharaja Parsi, Hatib bin Abi Balta’ah al Lakhamiy ke al Maqaiqis maharaja Mesir dan Iskandariah. Dia melayan dan bercakap baik serta hamper menerima Islam. Dihadiahkannya kepada Nabi saw Mariah dan adiknya Shirin yang diberi baginda saw kepada Hassan bin Thabit. Baginda saw juga yang mengutuskan ‘Amr bin al ‘Ash kepada dua raja Oman dan kedua-dua menganut islam. Kedua-duanya memnyerahkan tugasan pengurusan harta sedekah ( zakat ) dan kehakiman kepada ‘Amr bin al ‘Ash yang bermukim di sana sehingga wafatnya Rasulullah saw.

Baginda saw telah mengutuskan Sulaith bin ‘Amr al ‘Amiri ke al Yamamah mengadap Hauzah bin Ali al Hanafi, Shuja’ bin Wahb al Asadi kepada al Harith bin Abi Syamir al Ghassani raja al Balqa’ di dataran Sham. Baginda saw juga mengutuskan al Muhajir bin Abi Umayyah al Makhzumiy kepada al Harith al Himyariy.

Baginda saw mengutuskan al Ala’ bin al Khadhramiy kepada al Munzir bin Sawa al Abdiy raja al Bahrain. Dia jujur dan menganut Islam. Juga diutusnya Abu Musa al Ashariy dan Muaz bin Jabal ke pelusuk Yaman berdakwah kepada Islam sehingga islamya penduduk Yaman termasuk pembesar dan peniaga.

Muazzin.

Ada empat orang muazzin Nabi saw iaitu Bilal dan Ibn Ummi al Maktub di Madinah, abu Mahzurah di Mekah dan Saad bin al Qarazh di Quba’.

Rabu, 25 Januari 2012

Tahzib Sirah Nabawiyyah - al Imam an Nawawi ( 1 )

Nasab Keturunan.


Muhammad s.a.w Rasululullah bin Abdullah bin Abdul Muttalib bin Hashim bin Abdul Manaf bin Qusaiy bin Kilab bin Murrah bin Ka’ab bin Lua’aiy bin Ghalib bin Fihr bin Malik bin al Nadhar bin Kinanah bin Khuzaimah bin Mudrakah bin Ilyas bin Mudhar bin Nizar bin Ma’add bin Adnan.

Hingga di sini sahaja menjadi kesepakatan ulama’. Adapun selepas itu sehingga ke nabi Adam a.s , maka perselisihan pendapat adalah amat besar sehingga ulama’ menyebut: Tiada yang sahih untuk menjadi pegangan dalam perkara ini.

Gelaran dan Nama-Nama.

Gelaran masyhurnya adalah Abu al Qasim. Jibril menggelarnya sebagai Abu Ibrahim. Nama-namanya telalu banyak sebagaimana yang dihimpun oleh Ibnu ‘Asakir. Sebahagian nama-nama ini terdapat dapat hadith Sahih al Bukhari dan Muslim, sementara bakinya dalam sumber hadith lain. Antara nama-nama tersebut ; [1] Muhammad, Ahmad, al Hasyir (penghimpun manusia di bawah panjinya) , al ‘Aaqib (nabi terakhir ), al Maqaffiy (Pejejak nabi-nabi sebelumnya), al Mahi ( Penghapus kekufuran ), Khatam an Nabiyyin (penutup para nabi), Nabi ar rahmah, Nabi al Malhamah ( Nabi pemimpin peperangan ), Nabi at Taubah, al Fatih ( Pembuka atau pemenang ), Thaha, Yasin dan Abdullah.

Imam al Baihaqi berkata: Sebahagian ulama’ menambah lagi dengan nama-nama yang tersebut di dalam al Quran iaitu; Rasul, Nabi, Ummiy ( tidak boleh membaca dan menulis ), Shahid ( Saksi ), Mubashshir (Penyampai berita gembira), Nazir ( Pemberi amaran ), Daiei ila Allah biznihi (Pemnyeru ke jalan Allah dengan perintahNya), Siraj Munir ( Obor yang menerangi ) , Ra’uf ( bersikap lembut ), Rahim ( Penyayang ), Muzakkir ( Pemberi ingatan ), Rahmah, Ni’mah, Hadi ( pembawa petunjuk ).

Sebahagian dari nama-nama ini adalah sifat-sifat yang disebut nama secara majaz ( metafora ). Ibn al ‘Arabi dalam al Ahwazi Syarah Jami’ at Turmuzi berkata: Ada di kalangan ahli sufi menyebut: Allah memiliki 1000 nama, Nabi pula memiliki 1000 nama. Mengulas perkara ini dia berkata: Adapun nama Allah, maka bilangan ini adalah sedikit. Bagi Nabi saw pula, aku hanya menghintungkan nama-nama yang tersebut secara zahir dari hadith-hadith. Bulangan yang aku mengiranya adalah 64 nama. Kemudian dia menyebutnya secara terperinci bersama keterangannya dengan penuh sempurna dan teliti. Kemudian dia berkata: Baginya masih ada nama-nama lain.


Ibunya

Ibu Nabi saw ialah Aminah binti Wahab bin Abdul Manaf bin Zuhrah bin Kilab bin Murrah bin Ka’ab bin Lu’aiy bin Ghalib.


Kelahiran

Dilahirkan di tahun gajah. Ada yang menyebut: 30 tahun selepasnya. Al Hakim Abu Ahmad mnyebut: 40 tahun selepsanya. Ada pula pendapat : 10 tahun selepasnya sebagaimana yang diriwayatkan oleh Ibn Asakir dalam Tarikh Dimashq. Namun pendapat sahih yang masyhur baginda saw dilahirkan di tahun gajah. Ibn al Munzir dan Khalifah ibn Khayyath menukilkan ijma’ dalam perkara ini. Mereka juga bersepakat baginda saw dilahirkan pada hari Isnin di bulan Rabi’ul Awwal. Cuma mereka berkhilaf adakah ianya 2, 8, 10, atau12 haribulan? Inilah empat pendapat yang masyhur.


Wafat.

Diwafatkan Rasulullah saw pada waktu dhuha Isnin 12hb Rabiul Awwal tahun 11 hijrah.


Pengkebumian dan Umur.

Baginda saw dikuburkan selepas tergelincirnya matahari ( selepas waktu zohor ). Ada juga yang menyebut pada malam Rabu. Umurnya ketika itu 63 tahun. Ada pula yang mengatakan 65 dan 60 tahun. Pendapat pertama lebih masyhur dan sahih walaupun ketiga-tiganya disebut di dalam riwayat yang sahih. Cara menghimpun ketiga-tiga pendapat ini ialah pendapat 60 tahun bertujuan menggenap angka tanpa menyebut angka kecil. Pendapat 65 tahun pula memasukkan tahun kelahiran dan kewafatan sebagai 2 tahun lengkap. Sementara 63 tahun tidak mengira tahun lahir dan wafat sebgai dua tahun lengkap. Maka pendapat yang sahih adalah 63 tahun sebagaimana umur Abu Bakar, Umar, Ali dan Aishah.

Al hakim Abu Ahmad ( guru al Hakim Abu Abdillah ) menyebut: Dikatakan bahawa baginda saw dilahirkan pada hari Isnin, dilantik menjadi nabi pada hari Isnin, berhijrah dari Mekah pada hari Isnin, masuk Madinah pada hari Isnin. Diriwayatkan juga baginda saw dilahirkan dengan siap berkhatan dan terpotong tali pusat.

Dikafankan Nabi saw dalam tiga helai kain putih, tanpa baju dan serban. Demikian dalam Sahih al Bukhari dan Muslim. Al Hakim Abu Ahmad berkata: Apabila dianggkat Nabi saw dalam kafannya, jenazah Baginda saw diletak di atas katil di tepi lubang kubur. Orang ramai mula masuk secara berkumpulan. Tiada seorang pun yang menjadi Imam. Orang yang pertama solat ialah al Abbas, diikuti oleh Banu Hashim, Muhajirin, Ansar dan akhirnya orang lain. Apabila selesai kaum lelaki, masuk pula kanak-kanak dan diakhiri kaum wanita. Kemudian ditanamlah Rasulullah saw. Mereka yang turun di dalam lubang ialah al Abbas, Ali, al Fahdl dan Qatham bin al Abbas serta Shuqran.Dikatakan Usamah bin Zaid dan Aus bin Khauli juga bersama mereka.

Baginda saw dikebumikan di dalam liang lahad dan disusun di atas liang lahad itu bata-bata. Dikatakan kesemuanya sembilan bata yang kemudiannya ditimbun dengan tanah, ditinggikan sedikit ( sekadar sehasta ) secara rataan dan disirami air di kubur Nabi saw.

Dikatakan al Mughirah juga turun ke kubur, tetapi tidaklah sahih. Kata al Hakim Abu Ahmad : Dikatakan bahawa Abdullah bapa Rasulullah saw meninggal ketika Nabi saw beumur 28 bulan. Ada pula yang menyebut 9 bulan, 6 bulan, 2 bulan dan ada juga yang menyebut baginda saw masih dalam kandungan. Dia meninggal di Madinah. Kata al Waqidi dan penulisnya Muhammad bin Saad : Tidak benar bapa meninggal sedang Nabi saw masih dalam kandungan.

Datuknya, Abdul Muttalib pula meninggal ketika baginda saw berumur 8 tahun. Ada yang berpendapat 6 tahun. Dia telah mewasiatkannya kepada Abu Thalib. Ibunya meninggal dunia ketika umur baginda saw 6 tahun. Ada pendapat menyebut 4 tahun. Kematiannya di Abwa’, antara Mekah dan Madinah. Kebangkitan baginda saw sebagai rasul kepada sekelian manusia pula ketika berumur 40 tahun. Ada juga yang menyebut 40 tahun sehari. Baginda tinggal di Mekah selepas kenabian selama 13 tahun. Ada juga yang menyebut 10 tahun dan 15 tahun. Kemudian berhijrah ke Madinah dan bermukim di sana selama 10 tahun tanpa khilaf. Baginda saw tiba di Madinah pada 12 Rabiu’l Awwal . al Hakim menyebut: Sakit baginda saw bermula di rumah Maimunah, pada hari Rabu, 2 hari terakhir di bulan Safar.



[1] Antara sumber nama-nama ini ialah hadith-hadith berikut;

قال رسول الله صلى الله عليه وسلم: "أنا محمد، وأنا أحمد وأنا الماحي الذي يمحو اللهُ به الكفر، وأنا الحاشِرُ الذي يُحشر الناس على قدمي، وأنا العاقِب الذي ليس بعده نبي "، وقد سماه الله رؤوفاً رحيماً متفق عليه.

Bermaksud:

Sabda rasulullah saw: Akulah Muhammad, akulah Ahmad, akulah al Mahi ( Penghapus ) Allah menghapus denganku kekufuran, aklulah al Hasyir ( penghimpun ) dihimpun manausia di atas dua kakiku, akulah al ‘Aqib ( penutup ) yang tiada lagi nabi selepasku. Allah swt telah menamakannya Ra’uf ( bersikap lembut ), Rahim ( Penyayang ) . HR al Bukahri dan Muslim.

كان رسول الله صلى الله عليه وسلم يُسمي لنا نفسه أسماء فقال: (أنا محمد، وأنا أحمد،وأنا المقفِّي، ونبي التوبة، ونبي الرحمة)، (المقفِّي: آخر الآنبياء) رواه مسلم.

Bermaksud : Rasulullah saw pernah menamakan dirinya kepada kami beberapa nama. Baginda saw bersabda: akulah Muhammad, akulah Ahmad, akulah al Muqaffi ( penutup dan penjejak nabi-nabi terdahulu ), nabi taubat dan nabi rahmat. HR Muslim.