Ahad, 13 Januari 2013

Menyampaikan Ilmu Menurut Tingkatan Pemahaman Manusia.



Berbezanya tingkatan pemahaman seseorang itu adalah suatu hal yang sudah diketahui. Banyak faktor yang mempengaruhinya. Ada yang disebabkan sedikitnya ilmu yang dimilikinya atau juga kondisi persekitaran yang saling berbeza antara satu sama lain. Mungkin juga adat kebiasaan yang sudah berakar umbi dan sukar untuk berubah. Di sana terdapat banyak faktor dalam hal ini.  

Berkata Imam Ibnu Kathir di dalam tafsirnya ketika mana mentafsirkan firman AllahTa'ala:
قال الله تعالى: ))فَذَكِّرۡ إِن نَّفَعَتِ ٱلذِّكۡرَىٰ ٩ (((سورة الأعلى: 9)
"Oleh sebab itu berikanlah peringatan jika peringatan itu bermanfaat".

Surah al-A'laa: 9.

Beliau mengatakan:

"Maksudnya berikanlah peringatan jika hal itu bermanfaat bagi orang yang sedang diberi peringatan. Dari sini difahami bahawa adab dalam menyebarkan dan menyampaikan ilmu jangan sampai meletakkan (menyampaikan) kepada orang yang belum ahlinya".[1]

Oleh kerana itu, Nabi Shalallahu 'alaihi wa sallam pernah bersabda:

"Kalau bukan kerana kaummu (wahai Aisyah) yang baru saja meninggalkan kekufuran, nescaya akan aku hancurkan ka'bah lalu aku jadikan dua pintu. Pintu untuk masuk manusia dan pintu untuk keluar".
Di riwayatkan oleh Imam Bukhari di dalam kitab Ilmu, bab anjuran meninggalkan sebahagian berita ditakuti kurangnya faham pada sebahagian orang. 

(Fath al Bari: 1/223).

Berkata Ibnu Hajar ketika menjelaskan hadith di atas:

"Dalam hadith ini boleh diambil faedah bahawa harusnya meninggalkan kemaslahatan untuk menjaga agar tidak jatuh ke dalam kerosakan. Termasuklah dianjurkan untuk meninggalkan perlakuan mengingkari perkara mungkar kalau dibimbangi terjadi kemungkaran yang lebih besar. 

Maka hendaknya bagi seorang imam (pemimpin) mengatur orang bawahannya dengan melihat perkara yang boleh mendatangkan kemaslahatan bagi mereka walaupun (yang ditinggalkan) itu adalah amalan yang utama selagi belum sampai pada tingkatan haram".[2]

Diriwayatkan oleh Imam Bukhari dalam kitab Shahihnya, dalam kitab ilmu, bab bolehnya mengkhususkan ilmu kepada seseorang dibimbangkan yang lainnya tidak boleh memahaminya.

Hadith ini diriwayatkan dari Ali bin Abi Thalib ra, beliau mengatakan:

"Berbicaralah kepada manusia dengan perkataan yang mereka fahami. Tinggalkan (berbicara yang boleh) menjadikan mereka mengingkari. Apakah kamu suka Allah dan RasulNya didustakan?.

HR Bukhari.

Adapun Imam Muslim meriwayatkan dari Ibnu Mas'ud, beliau mengatakan:

"Janganlah kamu berkata kepada sekelompok orang dengan perkataan yang tidak sampai di akal-akal mereka . Nantinya akan menjadikan fitnah di antara mereka".

HR Muslim di dalam muqadimah Shahihnya. Bab larangan membicarakan semua yang telah di dengarnya 1/11.

Berkata Ibnu Hajar:

" Di antara ulama yang tidak suka menceritakan hadith dan menyembunyikannya adalah Imam Ahmad di dalam hadith-hadith yang pada zahirnya mengajak untuk keluar dari pemerintah. Imam Malik pula membenci dalam masalah hadith-hadith sifat-sifat Allah Ta'ala. 

Abu Yusuf membenci dalam hadith yang aneh-aneh. Batasan dalam masalah ini adalah kalau sekiranya zahir hadith tersebut menguatkan perbuatan bid'ah, atau pada intinya secara zahir bukan yang dimaksud. Maka menahan untuk tidak menceritakan kepada orang yang disangka akan mengambil hadith itu secara zahirnya sahaja, maka itu dianjurkan. Allah 'alam".[3]

Oleh kerana itu hendaknya bagi seorang da'i memperhatikan hal itu dan tidak cuba untuk menyelisihinya apalagi kalau bersama dengan orang-orang awam atau orang yang kurang boleh memahami perkataan orang lain.

Imam Syathibi mengkategorikan dalam kitab beliau al-Ithishom hal seperti ini termasuk melampaui batas dan boleh masuk dalam masalah melakukan kebid'ahan.

Beliau mengatakan:

" Di antara (contoh) hal tersebut adalah berbicara bersama orang awam yang dia tidak faham dan tidak boleh mencerna makna pembicaraan tersebut. Maka sesungguhnya ini termasuk pada kelompok orang yang meletakkan hikmah (ilmu) namun bukan pada tempatnya. 

Orang yang mendengarnya ada kemungkinan faham tapi bukan pada maksudnya. Maka itu adalah fitnah yang akan membawan kepada perkara mendustakan kebenaran dan mengamalkan kebatilan. Kemungkinan juga dia tidak faham sedikitpun maka kalau yang ini lebih selamat (dari yang pertama) ".[4]

Apa yang lebih jelas dari itu adalah apa yang disebut beliau dalam kitab al-Muwafaqot di mana beliau memberi misal dengan contoh mengingkarinya sahabat akan hal tersebut, beliau mengatakan:

"Dan di antara (contoh) hal tersebut adalah pertanyaan orang awam terhadap alasan sebuah hukum dalam masalah fiqh dan hukum-hukum syari'at lainya. Jika memang hukum tersebut mempunyai alasan yang benar dan hukum yang lurus.

Oleh kerana itu Aisyah mengingkari pada orang yang bertanya: "Kenapa orang yang haid itu diperintahkan untuk mengqadha puasa namun tidak diperintah untuk mengqadha solat? Maka beliau bertanya kembali kepadanya: "Apakah kamu termasuk Haruriyah (khawarij.)?  

Begitulah juga Umar bin Khatab yang pernah memukul seseorang yang banyak bertanya tentang sesuatu yang syubhat dalam masalah ilmu al-Qur'an yang tidak ada kaitanya untuk dikerjakan. Ini kerana adakalanya akan menjadi persangkaan dan fitnah baginya walaupun itu benar".[5]


[1] . Tafsir Ibnu Kathir 4/500.
[2] . Fathul Bari Ibnu Hajar 1/225.
[3] . Fathul Bari 1/225.
[4] . al-'Ithisham 2/13.
[5] . Al-Muwafaqat 4/191.

Sabtu, 12 Januari 2013

Hadith Muawiyah Dari Mimbar Masjid Nabawi.



Muawiyah ketika berkhutbah berkata: 

Aku pernah Rasulullah saw pernah bersabda: 
“ Sesiapa yang Allah swt mahukan kebaikan baginya, hendaklah dia memberi faham kepadanya agama. Sebenarnya aku hanyalah pembahagi, Allah sebenarnya yang memberi. Umat ini sentiasa tegak berdiri di atas perintah Allah. Tidak terganggu dengan mereka yang menyanggahi mereka sehinggalah datangnya urusan Allah.

Hadith riwayat al Bukhari dan Muslim.


Fiqh Hadith;


1.       Galakan dan ransangan supaya menuntut ilmu agama berbanding menuntut kekayaan dan kekuasaan serta lain-lain habuan dan keuntungan duniawi. Kelebihan Islam adalah untuk golongan ulama’ berbanding kelompok jutawan harta atau penguasa politik atau mana-mana status manusiawi yang menjadi kebanggaan duniawi.

2.       Memahami agama Allah adalah anugerah semata-mata. Kesungguhan usaha dan minat mendalam untuk memahami agama hanyalah datang dengan kehendak dan pilihan Allah swt. Justeru fakor keikhlasan niat kerana Allah dan permohonan doa hidayah dan taufiq adalah terlalu penting agar terpilih di kalangan hambanya yang mendalami agama.

3.       Tidak harus bagi mereka yang dikurniakan kefahaman agama untuk merasa kerdil atau hina di hadapan mereka yang tidak dikurniakan sedemikian walaupun mereka memiliki kekayaan atau kekuasaan. Sebaliknya, mereka hendaklah menghargai setingginya dan merasai kemuliaan diri dengan anugerah Allah kepada dirinya.

4.       Menuntut ilmu agama hendaklah sampai ke peringat tafaqquh iaitu kefahaman yang tepat lagi mendalam serta kematangan dalam berfikir dan bertindak menurut ilmu yang benar. Kefahaman inilah yang membolehkan dirinya beramal dan memperturunkan hukum syariat yang betul pada suasana yang sebenar.

5.       Berilmu tentang urusan agama adalah syarat utama kelayakan seseorang untuk memegang kepimpinan di setiap peringkat. Tidak harus diserahkan mana-mana jawatan awam umat Islam kepada mereka yang tidak memenuhi ciri terpenting ini. Inilah maksud Khalifah Muawiyah Bin Abi Sufyan sebagai pemerintah pertama Dinasti Bani Umaiyyah ketika dia menyampaikan hadith ini dari mimbar Rasulullah saw di Masjid Nabawi.
 
6.       Berkendak (Iradah) adalah sifat Allah swt. Kehendak ini menurut ahli asssunnah wal jamaah ada dua bahagian iaitu iradah kauniyyah qadariyyah (kehendak untuk perjalan alam dan takdir ) dan iradah diniyyah `syar’iyyah (kehendak untuk urusan agama dan hokum syara’ ).
 
7.       Iradah kauniyyah qadariyyah ialah kehendak Allah yang menjadi peraturan alam dan perjalanan kehidupan menurut ketetapan dan qhada’ takdir Allah swt. Ia meliputi seluruh kehidupan sejagat. Iradah ( kehendak ) ini tidak membezakan antara perkara dan urusan yang diredhai dan dikasihi Allah swt atau sebaliknya.

8.       Iradah diniyyah syar’iyyah pula adalah kehendak khusus dan teristimewa. Ia adalah kehendak dalam peraturan agama dan hukum hakam syara’. Ia adalah kehendak yang lahir dari perkenan dan kasih sayang Allah swt. Mereka yang Allah berkendakkan unutknya mematuhi dan menjalani peraturan agama dan hokum syara’ sebenarnya hanyalah kekasih dan kesayangan Allah swt.

9.       Pengagihan kekayaan dan pembahagian harta dan hasil mahsul dari sumber negara di dalam kerajaan Islam adalah menurut cara sunnah Rasulullah saw berdasarkan ketentuan dari Allah swt. Nabi saw sebagai ketua negara Islam menjelaskan bahawa pembahagiannya hanyalah menurut ketentuan dan pemberian dari Allah swt.

10.   Beriman kepada nama Allah swt sebagai al Mu’thi ( Maha pemberi ) dan al Maani’ ( Maha penghalang ). Tidak harus mana-mana kuasa untuk mencabar hak mutlak milik Allah ini dengan mmberi atau menghalang tudak menurut perkenan dan acuan perintah Allha swt.

11.   Tugasan pemerintah dalam konsep Negara Islam hanyalah pelaksana dan penunai amanah yang polisinya adalah ketetapan dan ketentuan dari Allah swt. Dengan kaedah dan formula ini sahajalah tertegaknya keadilan dan terjaminya kesaksamaan.

12.   Untuk memuaskan hati semua rakyat dan memenuhi segala kehendak dan kemahuan manusia adalah matlamat yang tidak akan tercapai. Maka, bukanlah menjadi tugasan pemerintah untuk memenuhi hawa nafsu dan segala kepentingan peribadi manusia. Sebaliknya nafsu dan kepentingan peribadi seharusnya tunduk kepada kehendak dan perkenan Allah swt. Kepuasan hati manusia hanya boleh terdidik dengan aqidah qadha’ dan qadar serta beriman kepada sifat dan nama Allah swt sebagai maha pemberi dan penyekat.

13.   Keistimewaan umat Muhammad saw yang mendapat jaminan Allah swt dan berita gembira Nabi saw bahawa terus kekal di kalangan mereka sekelompok umat yang tegak berdiri dangan penuh tanggungjawab dan beraninya mempertahankan agama Allah swt dan melaksanakan urusannya. Mereka adalah pewaris ilmu dan perjuangan Nabi saw sepanjang zaman.

14.   Ungkapan hadith ini sebenarnya adalah seruan kepada umat agar berpegang teguh dengan warisan alkitab dan as sunnah. Inilah yang difahami oleh imam al Bukhari ketika mengulang riwayat hadith ini dalam kitab al ‘itisam bil kitab was sunnah ( Berpegang teguh dengan al Quran dan al Sunnah ).

15.   Imam an Nawawi menerangkan kumpulan pengenak urusan Allah swt ini dengan katanya: Berkemungkinan kumpulan ini boleh dimaksudkan dengan pelbagai latar belakang mereka yang memperjuangkan agama seperti mijahid di medan, faqih ( ahli fiqh ), muhaddith ( ahli hadith ), zahid ( ahli kezuhudan ), penyuruh perkara ma’ruf dan pelbagai lapangan kebaikan. Tidak semestinya mereka berhimpun di satu tempat dan boleh jadi mereka berselerak.

16.   Lemahnya tipu daya dan perancangan musuh agama berhadapan dengan ketahanan jiwa dan keteguhan pendirian mempertahankan prinsip di dalam diri pendokong kebenaran. Segala usaha mereka tidak mampu untuk mengundang sebarang mudarat kepada para pejuang. Sebaliknya semakin teruji dan terdera, semakin terserlah kebenaran dan terbuktinya  kelurusan perjalanan yang dilalui.

17.   Bagi pendokong Islam, kesungguhan mereka untuk mendapat kemenangan dan dan menguasai kerajaan adalan untuk melaksanakan urusan Allah. Sebuah kerajaan adalah medan yang meriah dan lading subur untuk perlaksanaan syariat Allah swt. Ini jauh berbeza dengan pandangan keduniaan dan materialistik di kalangan mereka yang menuntut kuasa memerintah dengan melihat sebuah negara dan kerajaan itu sebagai sebuah lombong emas dan khazanah harta yang membuka peluang terhidang bagi mengumpul kekayaaan dan keuntungan sendiri.                 

      



Ahad, 6 Januari 2013

Mu'awiyah bin Abi Sufyan Pelindung Aqidah Islam Mengenai Sahabat.



Muawiyah bin Abi Sufyan, Shakhar bin Harb bin Umayyah al Amawi Abu Abdul Rahman. 

Dia memeluk Islam sebelum pembukaan Mekah dan menjadi penulis wahyu. Mengambil ilmu dari Nabi saw, Abu Bakar, Umar dan Ummu Habibah. Umar melantiknya sebagai gabenor Sham dan dikekalkan oleh Uthman, sebelum dia sendiri menjadi khalifah. 

Ibnu Ishak berkata: 

Muawiyah menjadi gabenor selama 20 tahun, dan menjadi khalifah juga 20 tahun. 

Dia meriwayatkan hadith sebanyak 130 hadith. Disepakati oleh al Bukari dan Muslim sebanyak 4 hadith, sementara dikeluarkan oleh al Bukhari sahaja sebanyak 4 hadith dan Muslim pula 5 hadith. 

Beliau meninggal dunia pada bulan Rajab tahun 60 hijrah ketika berumur menghampiri 80 tahun.

Ibnu Qudamah al Maqdisi di dalam Lum’ah al I’tiqad berkata: 

Muawiyah adalah bapa saudara kaum mu’minin, penulis wahyu dan salah seorang khalifah.

Dalam Syarah al Aqidah al Thahawiyah tercatat: Raja kaum muslimin pertama adalah Muawiyah. Dialah raja kaum muslimin yang terbaik.

Adapun perselisihannya dengan Khalifah Ali bin Abi Thalib ra, itu berasaskan ijtihad. Sesiapa yang betul mendapat dua pahala. Yang tersilap mendapat satu pahala dan kesilapannya pula diampun. Kewajipan setiap muslim pula adalah menjaga hati dan lidah dari bercakap perkara yang tidak baik. Inilah tempatnya untuk beramal dengan hadith Nabi saw: “ Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia bercakap baik atau dia diam. ”

Ibnu Taimiah dalan al Aqidah al Wasitiyyah menulis: Antara prinsip ahli sunnah wa al jamaah, sejahteranya hati dan lidah kepada sahabat Rasulullah saw sebagaimana firman Allah swt yang memuji ciri istimewa mereka:
وَالَّذِينَ جَاءُوا مِن بَعْدِهِمْ يَقُولُونَ رَبَّنَا اغْفِرْ لَنَا وَلِإِخْوَانِنَا الَّذِينَ سَبَقُونَا بِالْإِيمَانِ وَلَا تَجْعَلْ فِي قُلُوبِنَا غِلًّا لِّلَّذِينَ آمَنُوا رَبَّنَا إِنَّكَ رَءُوفٌ رَّحِيمٌ

Dan orang-orang (Islam) yang datang kemudian daripada mereka (berdoa dengan) berkata: “Wahai Tuhan Kami! Ampunkanlah dosa kami dan dosa saudara-saudara kami yang mendahului kami dalam iman, dan janganlah Engkau jadikan dalam hati perasaan hasad dengki dan dendam terhadap orang-orang yang beriman. Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau Amat Melimpah Belas kasihan dan RahmatMu”.
Surah al Hashr:10

Juga mentaati hadith Nabi saw:

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ وَأَبِي سَعِيدٍ رَضِيَ الله عَنْهُمَا قَالَا: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: "لَا تَسُبُّوا 
أَصْحَابِي لَا تَسُبُّوا أَصْحَابِي فَوَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ لَوْ أَنَّ أَحَدَكُمْ أَنْفَقَ مِثْلَ أُحُدٍ ذَهَبًا مَا أَدْرَكَ مُدَّ أَحَدِهِمْ وَلَا نَصِيفَهُ"
البخاري (3/1343 ، رقم 3470) ، ومسلم (4/1967

Janganlah kamu mencela sahabatku. Demi Allah yang nyawaku di tangannya ! Jika seseorang kamu membelanjakan emas seperti bukit Uhud, tidak menyamai secupak mereka mahupun separuh cupak. 
Hadith riwayat al Bukhari dan Muslim.

al Nawawi berkata: Mencela para sahabat adalah haram termasuk dalam perlakuan terkutuk. Al Qhadi Iyyadh menyebut: Perlakuan ini adalah maksiat dosa besar. Mazhab jumhur berpendapat bahawa dia layak dita’zir tidaklah dibunuh.

Dalam Syarah Aqidah Thahawiyyah dicatat juga: Siapa lagi yang lebih sesat dari seseorang yang hatinya ada perasaan dendam kepada golongan mu’minin terbaik dan penghulu-penghulu wali Allah swt selepas para Nabi as.

Al Thahawi pula menyebut: Ulama salaf terdahulu dan berikutnya, ahli hadith dan athar, ahli fiqh dan kalam, semuanya tidak menyebut perihal sahabat melainkan yang baik-baik. Sesiapa yang menyebut perihal mereka dengan keburukan, maka dia tidak mengikut landasan yang betul.

Ibnu Kathir di dalam al Bidayah wa al Nuhayah pula meriwatkan dari al Baihaqi kata-kata Imam Ahmad bin Hambal: “Khulafa’ ialah Abu BAkr, Umar, Uthman dan Ali.” Ada orang berkata: Muawiyah bagaimana? Dia menjawab: Tiada yang layak memegang khilafah di zaman Ali selain Ali sendiri. Semoga Allah merahmati Muawiyah.

Ibnu Abi Dunya pula meriwayatkan cerita Umar bin Abul Aziz ; Aku melihat Rasulullah saw dalam tidurku. Abu Bakar dan Umar duduk di sebelahnya. Aku ucapkan salam kepadanya dan duduk. Tiba-tiba Ali dn Muawiyah dibawa dating dan masuk ke sebuah rumah. Pintu ditutup dan aku minat memerhati. Tiba-tiba dengan cepatnya Ali keluar sembil berkata: Keputusan berpihak kepada ku demi tuhan kaabah. Kemudian dengan cepat juga keluarnya Muawiyah sambil berkata: Keampunan telah diberi kapadaku demi tuhan kaabah.

Ibnu ‘Asakir meriwayatkan dari Abu Zur’ah al Razi yang dikunjungi seorang lelaki berkata kepadanya: Sebenarnya aku membenci Muawiyah. Dia bertanya: Kenapa? Lelaki itu menjawab: Kerana dia memerangi Ali. Abu Zur’ah menjawab: Celaka mu! Sebenarnya tuhan Muawiyah pengampun dan lawan Muwiyah pula penyantun.  Apasal kamu masuk campur ?

Imam Ahmad apabila ditanya tentang perselisihan antara Ali dan Muawiyah, dia membaca ayat Allah ;
تِلْكَ أُمَّةٌ قَدْ خَلَتْ ۖ لَهَا مَا كَسَبَتْ وَلَكُم مَّا كَسَبْتُمْ ۖ وَلَا تُسْأَلُونَ عَمَّا كَانُوا يَعْمَلُونَ

Mereka itu adalah satu umat yang telah lalu sejarahnya; bagi mereka (balasan) apa yang mereka telah usahakan, dan bagi kamu pula (balasan) apa yang kamu usahakan; dan kamu tidak akan ditanya (atau dipertanggungjawabkan) tentang apa yang telah mereka lakukan.

Al Baqarah : 134.

Demikaan jugalah jawapan beberapa ulama’ salaf lain.

Al Awzaie menceritakan: al Hasan al Basri apabila ditanya mengenai Ali dan Mu’awiyah akan menjawab: Keduanya ada jasa lama dan pertalian dekat dengan Rasulullah saw. Seorang telah diuji dan seorang telah diampun.

Ibnu al Mubarak pula apabila ditanya mengenai Mu’awiyah akan menjawab: Apa yang boleh katakana kepada seorang yang apabilah Rasulullah saw menyebut :

سمع الله لمن حمده

“ Ya Allah Allah dengar orang yang memujimu ini ”


Dia terus berkata di belakangnya :

ربنا لك الحمد

“ Wahai tuhan kami ! Untukmu sahajalah puji-pujian. ”

Ibnu al Mubarak juga pernah ditanya tentang manakah yang lebih baik antara Mu’awiyah dan Umar ibn Abdul Aziz. Dia membalas : Sebenarnya debu tanah di lubang hidung Mu’awiyah yang bersama-sama Rasulullah saw lebih baik dan mulia dari Umar bin Abdul Aziz.

Ibnu al Mubarak meriwayatkan dari Ibrahim bin Maysarah: Bahawa Umar bi Abdul Aziz tidak akan memukul seseorang kecuali pengkutuk Mu’awiyah. Dia merotannya berkali-kali.

Al Rabie bin Nafie al Halabi berkata: Mu'awiyah adalah benteng pelindung bagi sahabat Nabi saw. Jika seseorang itu runtuhkan benteng ini, jawabnya dia akan lebih berani untuk memcela sahabat-sahabat lain.       

Kelebihan al Madinah al Munawwarah dan Keistimewaannya Sebagai Ibu Negara Islam Pertama.



Pilihan Madinah sebagai bumi hijrah memiliki rahsia yang tersendiri yang hanya diketahui oleh Allah fizikal geografinya dikelilingi oleh benteng semula jadi seperti Harrah al Ghabrah di sebelah baratnya. Harrah Waqim dari sebelah timurnya.

Sebelah utaranya adalah satu-satunya sudut terbuka yang mana Nabi s.a.w menggali parit-parit dalam peperangan Khandak tahun ke-5 Hijrah ketika berdepan dengan tentera Ahzab.

Sudut lainnya di kelilingi dengan kebun kurma yang padat ditanam dengan pepohon yang menyempitkan perjalanan dan tidak sesuai menjadi jalan laluan bala tentera .

Boleh jadi inilah yang dimaksudkan oleh Nabi s.a.w ketika memberitakan Madinah sebagai tempat Hijrah :
(Sesungguhnya aku melihat negeri hijrah kamu mempunyai kebun-kebun kurma diantara dua kawasan batu hitam (Harrah). 

Sementara penduduknya yang terdiri daripada Aus dan Khazraj terkenal dengan kepahlawanan dan kekentalan serta sangat degil untuk tunduk kepada sesiapa.

Antara kelebihan Madinah di dalam hadis-hadis keistimewaannya ialah :

1.      Doa Nabi untuk mengasihinya. Nabi s.a.w pernah berdoa :

"Ya Allah! Kasihkan kepada kami Madinah sebagaimana kasihnya kami kepada Makkah atau lebih kuat ."

Anas menceritakan : " Selalunya Nabi s.a.w apabila tiba dari permusafiran dan mula melihat anak-anak tangga menurun ke Madinah, dia akan menggerakkan untanya laju.

Menurut sebahagian riwayat : Dia menggerakkan untanya laju kerana kasihkan Madinah.

  
2.      Doa Nabi s.a.w supaya berkat Madinah melebihi satu kali ganda berkat Mekah:

Dari Abu Hurairah katanya :
" Selalunya orang ramai apabila melihat buah-buah masak, mereka akan membawa kepada Nabi s.a.w.  
Baginda mengambilnya sambil berdoa :
Ya Allah ! Berkatkanlah untuk kami buah-buah kami. Berkatkanlah untuk kami Madinah kami. Berkatkanlah untuk kami kepada sukatan kami. Berkatkan lah untuk kami cupak kami.
Ya Allah ! Sesungguhnya Ibrahim hambamu, kekasihmu dan Nabi mu dan aku jua hambamu dan Nabi mu.

Sesungguhnya dia telah doakan untuk Makkah dan aku pula doakan kepadamu untuk Madinah seperti apa yang dia doakan untuk Makkah dan sekali ganda lagi ."
Kemudian baginda s.a.w memanggil, mencari bayi yang paling kecil lalu memberinya buah-buahan.


3.      Madinah terpelihara dari Dajjal dan Wabak Taun.

Allah swt telah menugaskan malaikat untuk menjaga Madinah sehingga tidak mampu dimasuki oleh Dajjal.
Disebut di dalam hadith tentang Dajjal antara lainnya :
" Tandanya ialah dia tinggal di bumi selama 40 pagi. Kerajaannya sampai ke setiap tempat kecuali 4 masjid yang dia tidak dapat mengunjunginya; Kaabah, Masjid Nabawi, Masjid Aqsa dan pergunungan Thur.

(Hadith Junadah bin Abi Umayah dari seorang sahabat Nabi s.a.w dalam Musnad Ahmad 5/364, al Haithami di dalam Majma' Az Zawaaij 7343 perawinya adalah rawi as sahih).

Sebagaimana Nabi s.a.w juga berdoa untuk Madinah kesihatan dan diangkat bala dari terkena wabak taun.

4.      Kelebihan bersabar dengan kesukaran Madinah.

Nabi s.a.w menjanjikan kepada mereka yang sabar dengan kesusuhan dan kepayahan hidup di Madinah untuk mendapat syafaatnya pada hari akhirat.

Dari Saad bin Abi Waqqas r.a katanya Rasulullah s.a.w bersabda :

" Madinah adalah lebih baik kepada mereka jika mereka mengetahuinya. Tiadalah seseorang yang meninggalkan Madinah kerana bencikannya melainkan Allah akan menggantikan untuk Madinah seseorang yang lebih baik darinya. Tidaklah seseorang yang mampu bertahan dengan kepayahan dan kesukaran hidup di Madinah melainkan aku akan menjadi pemberi syafaat atau saksi pada hari kiamat.


5.      Kelebihan mati Madinah.

Dari Ibnu Umar r.a kata Rasulullah s.a.w bersabda :

" Sesiapa yang mampu untuk mati di Madinah maka hendaklah di mati. Sesungguhnya aku memberi syaafaat kepada seseorang yang mati di Madinah.

Umar Ibnu Al Khattab selalu berdoa : Ya Allah! Rezekikan kepadaku syahid di jalan mu dan jadikan kematianku di negeri Rasulmu.

(Hadith riwayat al Bukhari 4/100 no. 1890)

Allah telah mustajabkan doa Umar lalu dia syahid di mihrab Rasulullah s.a.w ketika menjadi imam solat fajar.

6.      Madinah menjadi gua pelindung iman.

Iman akan berlindung di Madinah apabila bumi lain menjadi sempit untuk menerima iman.Sebaliknya keburukan dan kedurjanaan tiada tempat di situ.

Abu Hurairah meriwayatkan sabda Rasulullah s.a.w:

" Sesungguhnya iman akan berhimpun di Madinah sebagaimana berhimpunnya ular di sarangnya ."

Juga sabda Nabi s.a.w :

"Demi tuhan yang nyawa ku di tangannya tidaklah seseorang yang keluar di Madinah kerana bencikannya melainkan Allah akan gantikan di Madinah seseorang yang lebih baik darinya.

Ketahuilah sesungguhnya Madinah seumpama percikan api pembersih besi akan menghilangkan karat-karatnya. Tidak akan berlaku kiamat sehinggalah Madinah menghilangkan kekotorannya seperti api membersihkan kotoran besi.

(Sahih Muslim 2/1005 hadith no. 1381).


7.      Madinah membersih dosa.

Dari Zaid bi Thabi r.a sabda Nabi s.a.w :

" Ia adalah bandar Thoibah (kebaikan atau kebersihan).  Maka ia membersihkan dosa sebagaimanaapi bersihkan kotoran logam perak.

(Sahih Bukhari 7/356 hadith no. 4050)




8.      Pemeliharaan Allah agar Madinah dibebaskan dari mereka yang berniat jahat.

Nabi s.a.w memberi amaran keras kepada mereka yang berniat jahat atau melindunginya atau menakutkan penduduknya bahawa mereka akan ditimpa dengan laknat Allah, azabnya dan kebinasaan yang cepat.

Saad bin Abi Waqqas meriwayatkan dari Nabi s.a.w :

"Tidaklah seseorang yang merancang jahat kepada penduduk Madinah melainkan dia akan lebur sebagaimana leburnya garam di dalam air."

(Sahih al Bukhari 4/94 hadith no. 1877).

Rasulullah s.a.w juga bersabda :

" Madinah adalah haram (terpelihara dan terjaga kehormatannya). Sesiapa yang ingin merancang jahat atau melindungi orang itu maka keatasnya adalah laknat Allah, para malaikat dan manusia seluruhnya. Allah tidak menerima darinya sebarang amalan sama ada wajib atau sunat. "

(Hadith riwayat Imam Muslim 2999 hadith no. 1371)


9.      Madinah sebagai tanah haram.

Diisytiharkannya sebagai tanah haram oleh Nabi s.a.w dengan wahyu dari Allah. Maka tidak boleh berlaku di situ pertumpahan darah, dibawa sebarang senjata, menakutkan sesiapa, di potong pohon, diambil barang jatuh kecuali bagi orang yang ingin mengiklan dan lain-lain hukum yang berkait dengan tanah haram.

Rasulullah s.a.w bersabda :

" Sesungguhnya Ibrahim mengharamkan mekah dan berdoa untuknya. Aku pula mengharamkan Madinah sebagaimana Ibrahim mengharamkan Mekah. Aku berdoa keberkatan Madinah pada sukatan dan timbangannya sebagaimana apa yang di doaka Ibrahim untuk Mekah.

(Sahih al Bukhari 4346 hadith no. 4129).

Sabda Rasulullah s.a.w juga :

" Ya Allah ! Sesungguhnya Ibrahim telah mengharamkan Mekah. Maka aku haramkan di antara dua batu hitam (sempadan) luar Madinah.

( Sahih Bukhari 7/377 hadith no. 4083 ).

Sabda Nabi s.a.w juga tidak mengharuskan dipotong tumbuhannya. Tidak juga harus ditakutkan binatang buruannya, tidak diambil barang jatuhnya kecuali orang yang ingin mengiklankannya. Tidak boleh dipotong pepohon kecuali untuk makanan untanya dan tidak pula dibawa senjata untuk berperang.

(Hadith diriwayatkan di dalam Musnad Imam Ahmad 1/199 hadith no. 959. Hadith sahih lighairih)