Selasa, 29 Mei 2012

dari mana datangnya syiah ?



Dalam satu perdebatan antara ulama' ahli sunnah dengan syiah, seorang alim dari ahli sunnah masuk ke dalam majlis dengan mengepit kasutnya di celah ketiak. 


Hakim debat berkata: Wahai tuan syeikh ! ini tidak sepatutnya berlaku, semoga Allah memuliakan engkau. Orang alim ini menjawab : Maafkan saya. Saya mendapat tahu orang syiah ini mencuri kasut di zaman Nabi saw dahulu. 


Wakil ulama' syiah berteriak marah dan berkata : Syiah belum wujud lagi di zaman Nabi saw. 


Alim sunnah ini menjawab : Kalau begitu, dari mana kamu datang ?!

Isnin, 28 Mei 2012

Berdoa Agar Amalan Diterima Bukti Keikhlasan.



.


" Wahai tuhan kami ! Terimalah ( amalan ) dari kami ini, sesungguhnya engkaulah engkaulah tuhan yang maha mendengar lagi maha mengetahui. "

Surah al baqarah : 120.

Doa ini adalah doa Nabi Ibrahim yang berpangkat Khalilurrahman ( Kekasih rapat Allah swt ), imam pembawa obor hanifiyyah ( agama suci ), qudwah ( ikutan ) sekelian ahli tauhid yang disifatkan Allah swt dengan selengkap sifat-sifat kebaikan.


" Sesungguhnya Ibrahim itu adalah satu umat ( tersendiri ) yang tunduk patuh kepada tuhannya dan tidak pula dia tergolong di kalangan musyrikin.
Surah an Nahl : 120.

Doa penuh berkat ini mengandungi beberapa tuntutan utama yang menjadi kepentingan setiap hamba demi kebaikan agama dan dunia. Antaranya;

1-      Memohon dari Allah swt agar diqabulkan amalan dan perkataaan.

Qabul dalam bahasa arab  bermakna : Mengambil sesuatu dan perkenankannya. Makna Allah swt menqabulkan amalan ialah Allah swt menerimanya dengan penuh perkenan dan redha dengannya, lalu dia juga redha dengan pelakunya. Natijahnya Allah swt pasti membalasnya dengan ganjaran baik yang dijanjinya.

Nabi Ibrahim as menyebut doa ini ketika melaksanakan tugasan besar yang menjadi asas tertegaknya urusan agama, iaitu membina baitillah al haram, al kaabah al musyarrafah dengan perintah khusus dari Allah swt.



Al Imam al Bukhari meriwayatkan: .. Kemudian terfikir Ibrahim lalu dia berkata kepada isterinya : Aku ingin melihat zuriat tinggalan aku. Baginda as menuju ke Mekah dan menemui anaknya Ismail as ketika dia sedang memperbaiki anak panahnya di belakang telaga zamzam. Terus dia berkata: Hai Ismail ! Sebenarnya tuhanmu memerintahkan ku untuk membina untuknya satu rumah ( baitullah atau kaabah ). Ismail berkata: Patuhilah tuhanmu. Ibrahim berkata: Sesungguhnya dia perintahkan aku supaya engkau menolongku. Dia menjawab: Jikan demikian aku lakukan. 

Maka kedua-duanya bangun melakukan kerja. Ibarhim membina sementara Ismail menghulur batu kepadanya. Sambil itu kedua-duanya berkata :


" Wahai tuhan kami ! Terimalah ( amalan ) dari kami ini, sesungguhnya engkaulah engkaulah tuhan yang maha mendengar lagi maha mengetahui. "

Justeru itulah Wuhaib ibn Ward apabila menbaca ayat ini ;


" Wahai tuhan kami ! Terimalah ( amalan ) dari kami ini, sesungguhnya engkaulah engkaulah tuhan yang maha mendengar lagi maha mengetahui. "
Surah al baqarah : 120.

Dia menangis teresak-esak sambil berkata: " Wahai khalilurrahaman ( kekasih dekat tuhan iaitu Nabi Ibrahim as ) ! Engkau mengangkat tiang-tiang baitillah, tiba-tiba engkau masih bimbang bahawa dia tidak menerimanya dari engkau. 

2-  Wujudnya rasa kebimbangan bahawa amalan tidak diterima Allah setelah melakukannya secara terbaik menjadi petanda dia tergolong di kalangan mu'minin yang ikhlas beramal.

Firman Allah swt ;


Bermaksud : Mereka yang sentiasa mempersembahkan apa yang mereka persembahkan sedang hati mereka kebimbangan bahawasanya mereka pasti kembali kepada tuhannya. Merekalah golongan yang bersegera dalam kabajikan-kebajikan sedangkan mereka sentiasa berlumba-lumba ke arahnya.

Surah al Mu'minun : 60.

Hadith berikut menghuraikan ayat ini;

عَنْ عَائِشَةَ قَالَتْ : سَأَلْت رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنْ هَذِهِ الْآيَةِ  : )) وَاَلَّذِينَ يُؤْتُونَ مَا آتَوْا وَقُلُوبُهُمْ وَجِلَةٌ  ((  
قَالَتْ عَائِشَةُ : أَهُمْ الَّذِينَ يَشْرَبُونَ الْخَمْرَ ، وَيَسْرِقُونَ ؟
قَالَ : لَا ، يَا بِنْتَ الصِّدِّيقِ أَوْ يَا بِنْتَ أَبِي بَكْرٍ ، وَلَكِنَّهُمْ الَّذِينَ يَصُومُونَ وَيُصَلُّونَ وَيَتَصَدَّقُونَ ، وَهُمْ يَخَافُونَ أَلَّا يُقْبَلَ مِنْهُمْ ، أُولَئِكَ الَّذِينَ يُسَارِعُونَ فِي الْخَيْرَاتِ . 

Dari Aishah ra, dia bertanyakan Rasulullah saw tentang ayat ini dengan katanya; " Adakah mereka itu meminum arak atau mencuri ? Baginda saw menjawab: " Tidak wahai anak perempuan As Siddiq ( Abu Bakar ra ). Sebelaiknya mereka adalah orang-orang yang sentiasa berpuasa, sentiasa bersolat dan sentiasa bersedekah. Namun mereka bimbang tidak diterima amalan dari mereka. Merekalah orang-orang yang bersegera menuju kepada amalan-amalan kebaikan.

( Hadith riwayat Tirmizi : Sahih ). 

Al Hasan al Basari pernah berkata :

إِنَّ الْمُؤْمِنَ جَمَعَ إِحْسَانًا وَشَفَقَةً ، وَإِنَّ الْمُنَافِقَ جَمَعَ إِسَاءَةً وَأَمْنًا .

Bermaksud:
" Sesungguhnya seorang mu'min itu meghimpunkan amalan baik dan kebimbangan ( jika tidak diterima ). Sementara munafiq pula menghimpunkan perlakuan buruk dan perasaan aman ( dari hukuman azab ).

Sabtu, 26 Mei 2012

Keutamaan Doa Keampuan Untuk Seluruh Kaum Muslimin.


Pelajaran dari doa ;


Maksud : Wahai tuhan kami, ampunilah untuk kami. Juga untuk saudara-saudara kami yang mendahului kami dalam iman. Janganlan engkau jadikan di dalam hati kami perasaan dendam untuk orang yang beriman. Wahai tuhan kami, engkaulah maha pemaaf lagi pengasih.
( Surah al Hasyr : 10 ).


1-  Kepentingan doa ajaran al Quran ini untuk menjadi amalan siang dan malam lantaran ganjarannya banyak dan manfaatnya yang sentiasa berkat.

2-   Antara tanggungjawab besar yang mesti ditunaikan sesama muslim sebagai bukti persaudaraan dan kasih sayang sesama mereka adalah berdoa keampunan dan kebaikan.

3-   Kemestian memiliki kesejahteraan hati terhadap kaum muslimin yang diterjemahkan melalui lisan dan sikap sebagai bukti kasih sayang dan tiada perasaan dendam dan dengki. Ganjaran besar menunggu mukmin yang bersikap demikian sebagaimana firman Allah;

Bermaksud:
Dan Kami cabutkan segala dendam dan hasad dengki dari hati mereka, (di dalam Syurga) yang mengalir beberapa sungai di bawah (tempat) masing-masing, dan mereka pula bersyukur dengan berkata: “Segala puji tertentu bagi Allah yang telah memberi hidayah petunjuk untuk (mendapat nikmat-nikmat) ini, padahal Kami tidak sekali-kali akan memperoleh petunjuk kalau Allah tidak memimpin kami (dengan taufiqNya); sesungguhnya telah datang Rasul-rasul Tuhan kami dengan membawa kebenaran”. Dan mereka diseru: “Itulah Syurga yang diberikan kamu mewarisinya dengan sebab apa yang kamu telah kerjakan”.

4-   Memohon ampun untuk seluruh kaum muslimin mendapat pahala setiap muslim dan muslimah yang sampainya doa keampunan. Inilah berita baik yang diberitahu Nabi saw dalam satu hadith:
  
عَنْ عُبَادَةَ بْنِ الصَّامِتِ ، قَالَ : سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ : " مَنِ اسْتَغْفَرَ لِلْمُؤْمِنِينَ وَالْمُؤْمِنَاتِ كَتَبَ اللَّهُ لَهُ بِكُلِّ مُؤْمِنٍ وَمُؤْمِنَةٍ حَسَنَةً " .      


Bermaksud : Dari Ubadah ibn Assamit katanya: Aku mendengar Rasulullah saw bersabda :
" Sesiapa yang memohon ampun untuk mukminin dan mukminat, Allah catatkan untuknya dengan setiap orang mukmin dan mukminah itu satu kebaikan ".
Hadith riwayat at Thabarani. Al Haithami berkata : Sanadnya baik.


Doa Untuk Kaum Muslimin Terdahulu Bukti Keindahan Islam.





Maksud : Wahai tuhan kami, ampunilah untuk kami. Juga untuk saudara-saudara kami yang mendahului kami dalam iman. Janganlan engkau jadikan di dalam hati kami perasaan dendam untuk orang yang beriman. Wahai tuhan kami, engkaulah maha pemaaf lagi pengasih.
( Surah al Hasyr : 10 ).

Doa ini diajarkan oleh al Quran sendiri untuk umat Islam yang datang selepas sahabat dan tabiin sebagai bukti kejujuran dan ketulusan iman mereka. Iman yang benar semestinya membenihkan rasa persaudaraan dan kasih sayang untuk saudara seislamnya terutama mereka telah berjasa menyampaikan Islam dan menyambung mata rantai Islam sehingga sampai kepadanya.

Para sahabat, para tabiin dan salafussoleh tedahulu telah membuktikan kebaktian dan kejujuran mereka bersama iman dan islam. Meraka meninggal dunia dalam isiqamah dan berpegang teguh kepada tali agama. Inilah kelebihan mereka, iaitu kelebihan mendahului kita dengan iman dan istiqamah. Maka umat yang dating selepas mereka menjadikan mereka sebagai ikutan dan tauladan untuk meneruskan kesinabungan hidup beragama.

Allamah Ibn Saadi berkata: " Doa ini merangkumi semua kaum musliminb terdahulu sejak zaman sahabat dan semua generasi sebelum kedatangannya. Inilah antaran kelebihan iman. Semua kaum mu'minin berguna dan bermanfaat antara sesama mereka, juga berdoa kebaikan sesama mereka lantaran mereka bersekutu dan bersatu di atas prisip iman.

Ikatan iman inilah yang mengikat persaudaraan sesama mereka yang membuahkan semangat kasih sayang dan akhirnya memohon doa untuk kebaikan bersama. Justeru antara kandungan doa ini ialah membuang perasaan dendam kesumat dari hati yang mana jika ianya menghilang, maka lawannyalah yang tetap kekal iaitu kasih sayang dan semangat inginkan kebaikan sesame mereka."

Doa ini menghimpun antara dua kesejahteraan iaitu kesejahteraan hati dan kesejahteraan lidah terhadap kaum muslimin terutama mereka yang telah pergi di kalangan generasi awal Islam. Abu Muzaffar al Samaani berkata: Doa ini bukti saranan supaya berdoa rahmat untuk para salaf ( generasi salaf ), berdoa untuk kebaikan mereka, menjauhi perkataan yang tidak baik mengenai mengenai mereka. Ini semua menjadi petanda kaum mu'minin.      

Bersangka Baik Menyelesaikan Masalah.



Suatu hal yang wajib bagi kita semua iaitu berbaik sangka kepada Allah Azza wa jalla bahawa pertolongan dan jalan keluar itu pasti dekat. Kesulitan itu selalu diiringi bersama kemudahan. Demikian juga berbaik sangka kepada orang lain yang mempunyai masalah dengan kita atau dengan orang merupakan sumber masalah tersebut. Ada kemungkinan yang terjadi, mungkin dirinya mempunyai pandangan yang berbeza, atau dirinya salah dalam memahaminya. Boleh jadi juga sampai perkara kepadanya namun  tidak sesuai dengan kenyataanya, kerana tidak benar. 

Oleh  kerana itu berbaik sangka sesama muslim akan menjadikan hati menjadi tenang. Mudah memberi uzur kepada seseorang yang pada akhirnya menjadikan musibah itu terasa ringan. Ini amat membantu untuk memecahkan masalah tersebut dan menjadikan cara berfikir kita bersih dari perkara yang tidak dibolehkan. Sesuatu problem itu terkadang muncul disebabkan oleh berburuk sangka (pada orang lain), yang dibangunkan di atas salah faham atau persangkaan yang tidak jelas atau juga cara pandang yang terpesong.

Diceritakan bahawa ada seseorang yang mempunyai masalah dengan orang lain, marahnya telah memuncak, darahnya mendidih menahan marahnya yang meluap-luap. Sehingga dia mengancam anak-anak serta isteri orang yang bermasalah dengannya tersebut. Sedangkan orang yang bermasalah dengannya tersebut sedang dalam perjalanan keluar kota. Namun sebelum pergi dia mengirim surat yang isinya meminta maaf dan meminta supaya dilupakan masalahnya serta merelakan haknya untuknya. Namun pembawa surat ini yang menjadi titik permasalahanya kerana terlewat menyampaikan surat tersebut sehingga menjadi sebab pertengkaran tersebut.

Lihat kejadian di atas. Orang tersebut telah menghina saudaranya dengan kata-kata yang tidak terpuji, mengangkat suara kepadanya, mengeluarkan semua keburukanya. Sekarang apakah kamu boleh bayangkan kalau persaudaraanya akan kembali seperti sedia kala sebelum kejadian tersebut?

Kemudian lihatlah pada kejadian yang lain dalam kisah berikut ini;

Ketika Hafsah binti Umar ra ditawarkan oleh bapanya supaya dinikahi kepada Abu Bakar. Maka Abu Bakar diam tidak menjawab apa-apa. Dia menawarkan kepada Usman, namun dia mengatakan: " Pada saat sekarang saya lagi tidak punya keinginan untuk menikahi ". Maka Umar merasa sangat sedih, kemudian dirinya mengadu kepada Nabi Shalallahu 'alaihi wa sallam. Nabi Shalallahuu 'alaihi wa sallam lalu mengatakan kepadanya: "Hafsah akan dinikahi oleh orang yang lebih baik dari Usman. Usman akan menikahi wanita yang lebih baik dari pada Hafsah".

Kemudian Nabi Shalallahu 'alaihi wa sallam meminang Hafsah. Lalu Umar pun menikahkan Hafsah dengan Rasulallah Shalallahu 'alaihi wa sallam. Kemudian Usman dinikahkan oleh Rasulullah dengan anaknya Ruqayah setelah Usman kematian isterinya yang juga adik beradik Ruqayah.

Ketika Umar sudah menikahkan anaknya, dia bertemu dengan Abu Bakar. Beliau meminta maaf sambil mengatakan: "Saya tidak mempunyai niat apa-apa, kecuali saya pernah mendengar Rasulallah Shalallahu 'alahi wa sallam menyebut-nyebut nama Hafsah maka saya tidak ingin membuka rahsianya baginda. Kalau sekiranya Rasulullah tidak jadi menikahinya tentu saya akan menikahkannya denganmu". 

Khamis, 24 Mei 2012

Mengucapkan Kalimah Istirjaa Ketika Musibah



Kalimat istirjaa iaitu mengucapkan do'a Inaa lillahi wa inaa ilihi raji'un.  Ertinya: Sesungguhnya kami adalah milik Allah dan kepadanya jua kami kembali. Kalimah ini dinamakan kalimat istirjaa (pernyataan kembali kepada Allah) dan disunatkan menyebutnya waktu ditimpa musibah samada besar ataupun kecil.

Jika seseorang ditimpa musibah, maka pertama kali yang harus dilakukan untuk mengubatinya ialah kembali kepada Allah Ta'ala dengan mengucapkan:

{  إِنَّا لِلَّهِ وَإِنَّآ إِلَيۡهِ رَٰجِعُونَ }   ( سورة البقرة : 156)

"Sesungguhnya kami adalah milik Allah dan kepadaNya jua kami kembali".
QS al-Baqarah: 156
.
Kalimah istirjaa ini termasuk dari adab nabawi yang agung kerana kalimah tersebut akan membuat hati menjadi tenang dan tenteram. Sebagaimana telah diriwayatkan oleh Imam Muslim dalam sahihnya dari hadis Ummu Salamah ra, dia mengatakan: 

" Saya mendengar Rasulullah Shalallahu 'alaihi wa sallam bersabda:

 " مَا مِنْ مُسْلِمٍ تُصِيبُهُ مُصِيبَةٌ ، فَيَقُولُ مَا أَمَرَهُ اللَّهُ : إِنَّا لِلَّهِ وَإِنَّا إِلَيْهِ رَاجِعُونَ سورة البقرة آية 156 ، اللَّهُمَّ أَجِرْنِي فِي مُصِيبَتِي وَأَخْلِفْ لِي خَيْرًا مِنْهَا ، إِلا أَخْلَفَ اللَّهُ لَهُ خَيْرًا مِنْهَا " 

(رواه مسلم)

"Tidaklah seorang muslim terkena musibah, kemudian mengucapkan kalimat yang telah di perintahkan oleh Allah Ta'ala dalam (kitabNya) yaitu mengucapkan "inaa lillahi wa inaa ilahi roji'un", Ya Allah berilah pahala pada musibah yang menimpaku, dan berilah ganti darinya yang lebih baik, melainkan Allah pasti akan menggantinya yang lebih baik darinya". 
HR Muslim.

Perhatikan bagaimana Ummu Salamah ra benar-benar melaksanakan wasiat Rasulallah Shalallahu 'alaihi wa sallam tersebut dengan mengucapkan istirjaa tatkala kematian suaminya Abu Salamah. Maka kemudiannya Allah swt menggantikannya dalam musibah tersebut dengan yang lebih baik. Iaitu dengan mendapatkan kemulian diperisterikan oleh Rasulullah Shalallahu 'alaihi wa sallam.

Namun perlu diingatkan terkadang gantian tersebut Allah Ta'ala berikan ketika di dunia, atau ditangguhkan ke hari akhirat. Juga boleh jadi mendapatnya di kedua-dua negeri, di dunia dan di akhirat. 

Selasa, 22 Mei 2012

Tidak Memuliakan Orang Mulia Melainkan Orang Mulia Juga.



Dikisahkan dalam kitab "Tarikh Baghdad" karangan Khathib al-Baghdadi (14/15), dan kitab "Al-Wafiyaat" karangan Ibnu Khillikan ( 2/228 ), mengenai biografi Imam ahli bahasa arab, imam penduduk Kufah di dalam masalah nahu iaitu Yahya bin Ziyad al-Faraa al-Kufi yang meninggal pada tahun 208 H rahimahullah. 


Berikut kisahnya:

Khalifah al-Ma'mun telah memberi tugas pada al-Faraa untuk mengajar dua anaknya ilmu nahu. Pada suatu hari setelah selesai mengajar, al-Faraa bangun ingin menyelesaikan beberapa keperluanya, maka keduanya berebut untuk mengambilkan kasut gurunya al-Faraa. Keduanya saling berebut ingin mengambilkan kasutnya, lalu al-Faraa memutuskan supaya keduanya mengambil sebelah kasut tersebut seorang satu supaya tidak ada yang merasa kecewa. Keduanya pun melaksanakan titah gurunya, setiap orangnya mengambil sebelah kasut agar dikasihi gurunya. 

Sedangkan al-Ma'mun pada setiap perkaranya pasti mempunyai pelayan yang selalu memantau mencari berita yang disampaikan kepadanya. Sampailah berita tersebut kepadanya, maka ditulislah perintah untuk memanggil al-Faraa supaya menghadap kepadanya. Ketika beliau sudah berada di hadapannya, berkatalah al-Ma'mun kepadanya: "Siapa orang yang paling mulia di antara manusia? 


Beliau menjawab: "Saya tidak mengetahui ada orang yang lebih mulia (kedudukannya) melainkan paduka Amirul Mu'minin". Jawab al-Ma'mun: " Tentulah . Namun,siapa orangnya (kedudukannya) jika putera raja kaum muslimin rela saling berebut hanya untuk mengambilkan kedua kasutnya, sehingga keduanya merasa senang dengan setiap orang mengambil sebelah kasut ".

Beliau menjawab: "Wahai Amirul Mu'minin, sesungguhnya saya sudah berusaha mencegah keduanya untuk melakukan hal tersebut. Namuan saya bimbang kalau sekiranya saya mencegah mereka boleh menghilangkan sifat memuliakan orang yang telah ada pada mereka. Juga boleh jadi mereka kecewa atau sakit hati dengan kebaikan yang keduanya miliki. Mereka begitu semangat untuk memberikannya pada orang lain. " 

Sesungguhnya telah diriwayatkan dari Ibnu Abaas bahawasanya beliau memegang (haiwan tunggangan) Hasan dan Husain sampai keduanya keluar dari pandanganya. Maka ada salah seorang yang menegur beliau: "Apakah engkau mahu memegang haiwan tunggangan bagi dua budak itu, sedangkan engkau lebih berumur darinya?". Beliau pun marah kepadanya, lalu berkata: "Diamlah wahai orang yang bodoh! Sesungguhnya tidak ada orang yang memahami bagaimana memuliakan orang yang mempunyai kemuliaan melainkan orang-orang yang punya kemuliaan jua".

Mendengar hal tersebut lalu al-Ma'mun berkata kepadanya: "Kalau sekiranya engkau jadi  mencegah kedua anakku tentu engkau akan saya beri ganjaran yang tidak ringan, dan saya anggap  kamu telah perbuatan suatu kesalahan yang besar. Yang dilakukan oleh kedua anakku tidaklah mengapa. Walaupun mereka mempunyai kemuliaan namun tidaklah menjadikan jatuh martabatnya. Bahkan semakin mengangkat darjatnya sehingga terserlah keindahan akhlaknya. Saya sudah memahami apa yang telah diperbuat oleh kedua anakku. "

Seseorang tidaklah dianggap dewasa - walaupun sudah berumur -  dari tiga perkara: rendah diri bersama pemimpinya, keduanya rendah diri kepada kedua orang tuanya dan yang terakhir tawadhu' kepada orang yang mengajar ilmu kepadanya. Saya sudah menyiapkan hadiah untuk keduanya sebanyak seribu dinar, sedangkan untuk kamu saya siapkan sepuluh ribu dinar atas bagusnya akhlak yang telah kamu tanamkan kepada anak-anakku".

Ahad, 20 Mei 2012

Rabbaniyah Dalam Siasah Dan Kepimpinan.


Siasah adalah menguruskan kepentingan awam demi memelihara kemaslahatan mereka. Kepimpinan pula adalah wasilah siasah dalam semua peringkat dan institusi. Siasah dan kepimpinan menurut Islam adalah satu implementasi dari kefahaman yang benar dari cahaya ilmu al Quran dan as Sunnah dalam menguruskan kehidupan manusia sejagat.

Al Imam at Thabari mempunyai pandangan yang bernas ketika menafsirkan ayat 79 surah aly Imran yang membawa metod yang sebenar dalam pengambilan dan penyampaian ilmu kitab. 
Iaitu firman Allah;


مَا كَانَ لِبَشَرٍ أَنْ يُؤْتِيَهُ اللَّهُ الْكِتَابَ وَالْحُكْمَ وَالنُّبُوَّةَ ثُمَّ يَقُولَ لِلنَّاسِ كُونُوا عِبَادًا لِي مِنْ دُونِ اللَّهِ وَلَكِنْ كُونُوا رَبَّانِيِّينَ بِمَا كُنْتُمْ تُعَلِّمُونَ الْكِتَابَ وَبِمَا كُنْتُمْ تَدْرُسُونَ 


Bermaksud : 

" Tidaklah patut bagi seseorang manusia yang Allah berikan kepadanya Kitab agama dan hikmat serta pangkat Nabi, kemudian dia tergamak mengatakan kepada orang ramai: “Hendaklah kamu menjadi orang-orang yang menyembahku dengan meninggalkan perbuatan menyembah Allah”. Tetapi (sepatutnya ia berkata): “Hendaklah kamu menjadi orang-orang Rabbaniyin, kerana kamu sentiasa mengajarkan isi Kitab Allah itu, dan kerana kamu selalu mempelajarinya. "
Surah aly Imran : 79.

Rabbaniyyin menurut Iman at Thabari ialah :

Mereka yang menguruskan manusia sesuai dengan kemaslahatan mereka. Justeru, seseorang alim yang mendalami kefahamannya dan memiliki kebijaksanaan adalah golongan pembawa kemaslahatan ( muslih ) kepada umat manusia, melalui ilmu dan ajaran yang baik serta dakwah pemulihan yang dilakukannya. Dia semestinya seorang yang berhikmah dan bertaqwa kepada Allah.

Begitu juga seorang pemerintah yang menguruskan kepentingan masyarakat awam di atas minhaj ( landasan ) yang dianjurkan oleh konsep keadilan dan islah ( reformasi ) dengan memandu umat manusia mencapai kejayaan dan pulangan keuntungan untuk agama dan dunia mereka, manfaat cepat dan lambat mereka.

Golongan ini semua layak bergelar rabbaniyyun. Justeru rabbaniyyun adalah toggak masyarakat manusiawi dalam kefahaman yang betul terhadap ajaran Islam dan kepimpinan yang bijaksana dalam meperturunkan ilmu yang betul ke medan sebenar. 

Maka rabbaniyyun lebih hebat dari ulama dan pendeta ( ahbar ), sebagaimana kata Mujahid, kerana rabbani bukan sahaja penghimpun ilmu dan fiqh, namun juga berpandangan tajam mengenai siasah dan tadbir dalam menguruskan hal ehwal rakyat demi maslahat dunia dan agama. 

( at Thabari, Jamiul Bayan: 6/543-544 ).


Sabtu, 19 Mei 2012

Pengkhianat Akan Tetap Dijatuhkan



Dikisahkan dalam kitab "Qashashul Arab" ( 3/80 ) yang diriwayatkan dari jalur Amr bin Hafs budak suruhan al-Amin, bahawasanya dia pernah berkata:

" Pada suatu ketika saya masuk ke ruangan Muhammad bin al-Amin pada pertengahan malam. Saya antara orang dekatnya yang boleh masuk ke ruangannya bila-bila saja saya inginkan. Tidak mungkin seorangpun dari para pelayan lainnya yang boleh masuk kepadanya.  Saya mendapati beliau sedang menunduk sambil merenung sedangkan pelita kecil berada di hadapanya. Saya ucapkan salam, namun beliau tidak menjawabnya. Dari situ saya mengetahui yang dirinya sedang berfikir tentang urusannya. Saya pun tetap berada pada tempat saya berdiri sampai malam jauh meninggalkan kami.

Tidak lama kemudian beliau mengangkat kepalanya, lalu berkata kepada saya: " Tolong panggilkan Khuzaimah bin Khaazim". Saya pun berpaling pergi ke tempatnya Khuzaimah bin Khazim lalu membawanya mengadap beliau. Maka saya dapati mereka berdua berada dalam satu perbincangan yang berat sehingga berlalu malam dan menjelang pagi.

Di antara perbincangannya, saya mendengar Khuzaimah berkata: " Demi Allah, wahai Amirul Mu'minin saya bertanya kepadamu, adakah engkau senang kalau dikatakan sebagai khalifah pertama yang mengingkari janji pada zamannya, meleraikan ikatan yang telah kukuh, memandang rendah orang-orang yang berada di sekelilingnya serta menolak gagasan dari khalifah yang sebelumnya".

Beliau menjawab: " Diamlah, celakalah bapamu. Sesungguhnya  Abdullah bin Khazim lebih bagus pendapatnya dari pada pendapatmu, lebih sempurna di dalam menilai,  yang mana dia mengumpulkan solusinya sebelum memberi kata putus ".

Kemudian pada keesokan harinya beliau mengumpulkan para pegawainya. Lalu mengungkapkan kepada mereka satu persatu apa yang menjadi keinginannya. Namun mereka enggan untuk mematuhinya, hanya sedikit saja yang masih sanggup. Sampailah perkara tersebut kepada Khuzaimah bin Khaazim. Mereka pun meminta pendapatnya di dalam masalah tersebut. 

Lantas dia pun datang menghadap kepada khalifah lalu berkata kepadanya: "Wahai Amirul Mu'minin! Tidak ada orang yang tertawa kepada orang-orang yang mendustakanmu. Orang  yang jujur tidak akan menipumu. Jangan sekali-sekali membawa para pegawai sehingga terpaksa melepaskan ba'iahnya. 

Jangan bebani mereka supaya melanggar perjanjian sehingga terpaksa melanggar sumpah dan ba'iahnya kepadamu. (Ketahuilah) Sesungguhnya seorang pengkhianat itu akan ditinggalkan sedangkan orang yang melanggar janji pasti akan dibenci". 

Khamis, 17 Mei 2012

Harga sebuah kerajaan tidak lebih dari segelas air



Tercatat dalam kitab "Syadzraat dzahab fii akhbaari man dzahab"  karangan Ibnul Imaad al-Hanbali (1/336), ketika mencatatkan biografi Khalifah Harun ar-Rasyid rahimahullah, berikut nukilannya:

Pada suatu hari Ibnu Samak pernah masuk ke istana Harun ar-Rasyid, maka ar-Rasyid meminta untuk dibawakan air minum untuknya. 

Berkata Ibnu Samak kepada beliau: 

"Wahai amirul mu'minin! Demi Allah, saya bertanya kepadamu, jika seandainya engkau terhalang dari meminum air ini, berapa dirhamkah akan engkau bayar? 

Beliau menjawab: "Dengan setengah kerajaanku". 

Ibnu Samak bertanya lagi: 

" Kalau seandainya setelah kamu meminumnya lantas tidak boleh keluar dari badanmu, berapa banyak akan kamu bayar? Beliau menjawab: "Dengan setengah lagi dari kekuasaanku". 

Ibnu Samak lantas mengatakan kepadanya: "Sungguh kerajaanmu nilainya tidak lebih dari segelas air. Oleh kerana itu tidak selayaknya untuk saling berlumba-lumba untuk mendapatkanya".
  

Al-Jama'ah (kesatuan) harus selari dengan ketaatan kepada Allah Ta'ala


1.     
Dinukilkan dari kitab "Ighatsatul Lahfaan min Mashayidil Syithon" (1/69-70) karangan al-Imam Ibnu Qayyim al-Jauziyah, berikut nukilanya.

" Kebenaran (yang hakiki) ialah yang telah diwariskan oleh jama'ah pertama dari mulai zamannya Nabi Shalallahu 'alaihi wa sallam serta para sahabat beliau. Oleh kerana itu, janganlah terpengaruh dengan banyaknya para ahli bid'ah selepas mereka ".

Berkata Amr bin Maimun al-Awadi: "Saya menemani sahabat nabi,Mu'adz bin Jabal ra di Yaman, tidaklah saya berpisah dari beliau sampai saya melihat beliau meninggal di negeri Syam. Kemudian setelah itu saya menemani orang yang paling faqih di antara manusia iaitu sahabat nabi, Abdullah bin Mas'ud ra, maka pada suatu ketika saya pernah mendengar beliau mengatakan: "Wajib atas kamu berpegang di atas al jama'ah. Sesungguhnya tangan Allah bersama al jama'ah".

Pada kesempatan yang lain saya juga pernah mendengar beliau mengatakan: "Akan datang kepada kalian suatu masa para pemimpin yang melewatkan solat dari waktunya. Maka solatlah kamu sendirian tepat pada waktunya kerana ia adalah wajib bagimu. Setelah itu solatlah berjama'ah bersama mereka dan itu tercatat sebagai solat sunat kamu". 

Maka saya katakan kepada beliau: "Wahai sahabat nabi Muhammad, saya tidak faham apa yang sedang engkau bicarakan kepada kami? Beliau menjawab: "Apa itu? Saya katakan: "Engkau (pernah) menyuruhku untuk berpegang erat-erat kepada jama'ah, lantas sekarang engkau mengatakan ; Solatlah kamu sendirian, dan dia adalah solat wajib bagimu, lalu solatlah bersama jama'ah sedangkan dia adalah solat sunat?

Beliau lantas menasihatiku: "Wahai Amr bin Maimun, sungguh saya telah menyangka bahawa kiranya engkau adalah orang yang paling faqih di negeri ini. Tahukah kamu apa itu al-Jama'ah? Jawab saya: "Tidak", beliau berkata: "Sesungguhnya jika kebanyakan jama'ah (manusia) telah menyilisihi al-Jama'ah itu sendiri, maka tinggalkan mereka kerana sesungguhnya hakikat al-Jama'ah adalah sesuatu yang sesuai dengan kebenaran walau pun engkau sendirian".

Dalam riwayat yang lain, lalu beliau menepuk dadaku sambil berkata: "Celakalah engkau wahai Amr, sungguh jika kebanyakan manusia (sudah di ambang menyelisihi al-Jama'ah) maka tinggalkanlah meraka, sesungguhnya al-Jama'ah adalah sesuatu yang sesuai di atas ketaatan kepada Allah Azza wa jalla".

Nu'aim bin Hamaad mengatakan: "Maksud perkataan beliau adalah jika manusia telah rosak maka wajib atas dirimu untuk tetap berpegang teguh dengan al-Jama'ah sebelum datangnya kerosakan (tersebut) walau pun kamu sendirian, maka dengan itu engkau tetap dikatakan sedang berada di atas al-Jama'ah. 

Ucapan yang semakna dengan ini juga telah dikatakan oleh Imam al-Baihaqi dan selainnya.

Rabu, 16 Mei 2012

Ujian Sebelum Diberi Kedudukan.


Dinukilkan dari kitab " al-Fawaid "(ms269) karangan Imam Ibnu Qayyim rahimahullah ta'ala pada, sebuah kata mutiara yang patut kita renungkan. 

Berikut nukilannya:

Ada seseorang yang pernah bertanya kepada Imam Syafi'i, dia mengatakan: 

" Wahai Abu Abdillah! Mana yang lebih baik, seseorang yang diberi kedudukan atau diberi cubaan?

Maka Imam Syafi'i menjawab: 

" Tidak mungkin ada seseorang yang mendapat kedudukan melainkan setelah mendapat cubaan terlebih dahulu. 
Sesungguhnya Allah Ta'ala telah memberi cubaan kepada para nabinya. 

Allah Ta'ala memberi cubaan pada nabi Nuh, Ibrahim, Musa, Isa dan Nabi kita Muhammad shalawatullah wa salaamuhu 'alaihi 'ajmain

Ketika mereka semua mampu bersabar maka Allah Ta'ala memberi mereka kedudukan di muka bumi ini.

Janganlah engkau menyangka bahawa seseorang itu diberi kedudukan kalau tidak pernah merasakan sakitnya cubaan hidup ". 

Rabu, 2 Mei 2012

Ucapan Salam Bukti Keindahan Islam



Salam merupakan ucapan bagi kaum muslimin dan yang paling sempurna iaitu mengucapkan secara penuh "Assalamu 'alaikum wa rahmatullahi wa barakatuh" dan kandungan ucapan salam ini di penuhi dengan doa keselamatan, rahmat dan barakah bagi sesama muslim.
Salam adalah salah satu nama dari nama-nama Allah yang indah, manakala ucapan salam adalah merupakan keindahan di antara keindahan-keindahan Islam. Ia termasuk hak seorang muslim kepada saudaranya sesama muslim apabila berjumpa, baik pada orang yang dikenali atau orang yang tidak dikenali olehnya, samada orang besar atau kecil, kaya atau miskin, mulia atau rendah, semua sama saja berhak mendapat ucapan salam ketika berjumpa.
Ucapan salam terkandung di dalamnya sikap tawadhu seorang muslim di mana dirinya tidak merasa sombong pada orang lain. Oleh kerana itu dikatakan " Sesiapa yang mahu memulai ucapan salam kepada manusia, maka dirinya telah berlepas diri dari sikap sombong ".[1] Manusia yang paling pemurah adalah yang memulai salam di antara mereka, sedangkan orang yang paling kedekut adalah orang yang kedekut mengucapkan salam.
Menyebarkan salam merupakan sebab terjalinnya rasa saling sayang dan mencintai di antara kaum muslimin yang mewajibkan padanya keimanan yang akan memasukan dirinya ke dalam syurga dan selamat dari seksa neraka. Hal itu sebagaimana yang disabdakan oleh Nabi Shalallahu 'alaihi wa sallam:
قال رسول الله صلى الله عليه وسلم: ((لا تدخلوا الجنة حتى تؤمنوا ولا تؤمنوا حتى تحابوا، ألا أدلكم على شيء إذا فعلتموه تحاببتم أفشوا السلام بينكم)) (رواه مسلم)
"Tidaklah kamu boleh masuk syurga sehingga kamu beriman. Tidaklah kamu dikatakan telah beriman sampai kamu saling mencintai. Mahukah kamu aku beritahu kamu suatu perkara yang jika kamu melakukannya akan menjadikan kamu saling mencintai, iaitu sebarkanlah salam sesama kamu". HR Muslim
Bagi seseorang muslim yang diberi salam, maka wajib atas dirinya untuk menjawabnya dengan ucapan yang seumpama atau yang lebih baik darinya. Ini berdasarkan firman Allah Ta'ala:
قال الله تعالى: { وَإِذَا حُيِّيتُم بِتَحِيَةٍ فَحَيُّوا بِأَحسَنَ مِنهَآ أَو رُدُّوهَآ إِنَّ اللهَ كَانَ عَلَى كُلِّ شَىءٍ حَسِيبَاً }   ( سورة النساء : 86)
"Apabila kamu diberi ucapan penghormatan (salam) dengan sesuatu penghormatan, Maka balaslah penghormatan itu dengan yang lebih baik dari padanya, atau balaslah penghormatan itu (dengan yang serupa) ". Surah an-Nisaa': 86.

Inilah salam penghormatan bagi kaum muslimin yang di bawa oleh agam Islam, Allah Ta'ala berfirman:
قال الله تعالى: {   تَحِيَّةً مِنْ عِنْدِ اللَّهِ مُبَارَكَةً طَيِّبَةً }   ( سورة النور : 61)
"Salam yang telah ditetapkan dari sisi Allah, yang telah diberkati lagi baik..".  QS an-Nuur: 61.
Berbeza dengan salam orang yahudi dan nasrani, kerana salam orang-orang yahudi hanya dengan mengisyaratkan jari sementara salamnya orang-orang nasrani dengan isyarat  telapak tangan. Kita telah dilarang untuk mengikuti serta menyerupai mereka. Begitu juga tidak boleh memulai salam kepada mereka.
Nabi Shalallahu 'alaihi wa sallam bersabda:
قال رسول الله صلى الله عليه وسلم: ((ليس منا من تشبه بغيرنا لا تشبهوا باليهود ولا بالنصارى، فإن تسليم اليهود الإشارة بالأكف)) (رواه ترميذي والطبراني)
"Bukan termasuk golongan kami orang yang menyerupai selain kami (orang bukan islam). Janganlah kamu menyerupai orang-orang yahudi dan nasrani, sesungguhnya salamnya orang-orang yahudi adalah dengan mengisyaratkan telapak tangan".
HR Tirmidzi dan ath-Thabrani.

Baginda saw juga bersabda:
"Janganlah kamu memulai salam bersama orang-orang yahudi dan nasrani".
HR Muslim.

Baginda Shalallahu 'alaihi wa sallam menegaskan dalam sabdanya:
"Barangsiapa yang menyerupai sebuah kaum maka dia seperti mereka".
HR Ahmad, Abu Dawud dan disahihkan oleh Ibnu Hiban.

Larangan tersebut kerana nama Allah Ta'ala adalah salam dan dariNya sahajalah salam (keselamatan) itu diberikan hanya kepada para hambaNya yang muslim.
Ucapan salam adalah salam penghormatan bagi kaum muslimin ketika di dunia dan di akhirat nanti, yang dijelaskan oleh Allah Ta'ala dalam firmanNya:
قال الله تعالى: {  تَحِيَّتُهُمۡ يَوۡمَ يَلۡقَوۡنَهُۥ سَلَٰمٞۚ وَأَعَدَّ لَهُمۡ أَجۡرٗا كَرِيمٗا ٤٤ }   ( سورة الأحزاب : 44)
"Salam penghormatan kepada mereka (orang-orang mukmin itu) pada hari mereka menemui-Nya Ialah: Salam, dan Dia menyediakan pahala yang mulia bagi mereka". 
QS al-Ahzab: 44.

Dalam ayat yang lain di jelaskan:
قال الله تعالى: {  لَا يَسۡمَعُونَ فِيهَا لَغۡوٗا وَلَا تَأۡثِيمًا ٢٥ إِلَّا قِيلٗا سَلَٰمٗا سَلَٰمٗا ٢٦ }   ( سورة الوَاقِعَةِ : 26-25)
"Mereka tidak mendengar di dalamnya perkataan yang sia-sia dan tidak pula perkataan yang menimbulkan dosa, akan tetapi mereka mendengar ucapan salam".
 QS al-Waqi'ah: 25-26.

Demikianlah indahnya Islam sebagai agama yang penuh dengan kesejahteraan dan keselamatan, juga agama yang penuh dengan kasih sayang dan persaudaraan. Ya Allah Engkaulah Salam, kepadaMu kembali keselamatan itu, maka hidupkanlah kami dengan keselamatan serta selamatkan kami dari segala yang ganguan dan bala bencana dan masukkan kami ke syurgamu, darussalam.



[1] . Diriwayatkan oleh Imam al-Baihaqi dalam Syu'abul Iman.