Ahad, 15 Julai 2012

Pemburuan Takwa Dalam Ramadhan



Matlamat agung dari ibadat puasa ialah untuk mencapai sasaran takwa. Taqwa adalah nilai rohani dan maknawi paling berharga jika bertahta di dalam hati manusia. Sifat ketakwaan inilah yang bersemarak dalam hati ketika mengerjakan puasa dan ibadat-ibadat lain justeru terjunjung tingginya perintah Allah dan mengutamakan keredhaannya. 

Takwa itulah juga yang mengawal hati dari merosakkan ibadat puasa dan juga ibadat-ibadat lain dengan berlakunya salah laku yang sebenarnya bermula dari lompang dalaman di hati. Makanya ibadat secara umumnya dan puasa secara khususnya adalah latihan dan praktis menjana dan mencetus kemarakan nilai taqwa di dalam hati.

Allah swt berterus terang menyebut betapa ketaqwaanlah yang menjadi rahsia di sebalik syariat berat yang sedikit mendera manusia melalui puasa ini, iaitu firman Allah swt:

" Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana ia diwajibkan ke atas orang-orang yang terdahulu dari kamu supaya kamu bertakwa."
(al-Baqarah: 183)


Asal perkataan takwa bermakna mengambail perisai dan pelindung. Bermakna mengambil perisai dari maksit di dunia dan pelindung dari azab nereka di akhirat. Oleh kerana perasaan takut kepada Allah adalah ciri dalaman terpenting menjauhkan seseorang dari maksiat maka ia dijadikan maksud taqwa.

Begitu juga melaksanakan sesuatu yang diperintahkan dan meninggalkan sesuatu yang dilarang oleh Allah dan Rasulnya adalah manifestasi taqwa. Konsep ini menjelaskan betapa tingginya status takwa di sisi Allah dan betapa beratnya timbangannya dalam neraca amal.


Cendikiawan Islam sepanjang zaman mempunyai ungkapan menarik mengenai taqwa;

Abdullah bin Mas’ud r.a. ketika membaca ayat Allah :

(( اتَّقُوا اللَّهَ حَقَّ تُقَاتِهِ )) (آل عمران :102)

" Bertaqwalah kamu kepada Allah swt sebenar taqwanya "

Beliau mengatakan: bahawa Dia dipatuhi dan tidak diderhakai, diingati dan tidak dilupai, disyukuri dan tidak diingkari.


Umar Ibn al-Khatab bertanya kepada Ubai bin Ka’ab : Sebutkan kepadaku takwa itu apakah ia? Jawab Ubai: Apakah tuan pernah melintasi kawasan dengan penuh duri? Umar menjawab: Ya. Katanya : Bagaimana tuan lakukan? Umar menjawab: Saya amat berhati-hati bagi menghindarinya daripada terkena duri. Kata Ka’ab: begitulah takwa.


Ali ibn Abi Thalib r.a berkata: Takwa ialah takut kepada Tuhan yang mulia, beramal dengan kitab yang diturunkan, redha dengan sedikit dan bersiap sedia untuk hari kesudahan.

 Abu al Darda' r.a apabila membaca ayat;

(فَمَنْ يَعْمَلْ مِثْقَالَ ذَرَّةٍ خَيْراً يَرَهُ(7)وَمَنْ يَعْمَلْ مِثْقَالَ ذَرَّةٍ شَرّاً يَرَهُ)

Sesiapa yang melakukan sebesar zarrah kebaikan pasti akan melihatnya, dan sesiapa yang melakukan sebesar zarrah kejahatan akan melihatnya ".

Beliau berkata : " Maka janganlah engkau memandang rendah kebaikan sedikit pun untuk engkau lakukan. Janganlah engkau memandang rendah kejahatan sedikit pun untuk engkau bertaqwa darinya.


Ketakwaan dicapai melalui beberapa langkah berkesan antaranya seperti berikut;

1.       Menyedari pengawasan Allah ke atas diri.
2.       Melaksanakan ibadat yang wajib dan juga yang sunat dengan penuh keikhlasan.
3.       Menjauhi segala maksiat sama ada yang zahir mahupun yang batin, terang-terangan dan sembunyi-sembunyian.
4.       Mempelajari perjalanan hidup manusia yang pernah melalui jalan taqwa samada nabi-nabi,siddiqin, syuhada' dan solihin.
5.       Berdampingan dengan orang-orang yang soleh dan menjauhi daripada golongan fasik dan ahli maksiat.
6.       Bertadabbur dan menghayati ayat-ayat kebesaran Allah sama ada dari kehebatan alam ciptaan atau kesyahduan bacaan al-Quran.

Adapun hubung kait puasa dengan takwa amatlah rapat. Ini kerana orang yang berpuasa bersungguh-sungguh menjaga pantang larang dan melaksanakan adab-adab puasa sama ada yang zahir atau batin selaras dengan saranan dan didikan Rasulullah saw. Justeru puasa amat mudah untuk menatijahkan takwa yang akan menjadi kemuncak perhambaan manusia kepada Tuhannya.


Ketaqwaan yang diraih mengudang pelbagai habuan keuntungan duniawi dan ukhrawi antaranya seperti berikut;
1.       Hidup bernaung di bawah pemeliharaan Allah.
2.       Kemudahan dan kelapangan dalam kehidupan.
3.       Rezeki melimpah datang tanpa terduga.
4.       Terungkainya kekusutan dan terlepas dari kesusahan
5.       Diberi kemenangan ke atas musuh.
6.       Dikurniakan hidayah dan taufik.
7.       Diganjari syurga pada hari akhirat.
8.       Terselamat dari azab neraka.

Berusahalah untuk mempertingkatkan prestasi ibadat puasa  dan mutu penghayatan Ramadhan agar tercapai maksud ketakwaan yang menjadikan kita hamba Allah yang lebih mulia dan diterima di sisi Allah swt.


ﮁ    ﮂ  ﮃ  ﮄ  ﮅ  ﮇ  ﮈ   ﮉ  ﮊ  ﮋ  الحجرات: ١٣



Bermaksud: Sesungguhnya kalangan kamu yang paling mulia di sisi Allah adalah yang paling bertaqwa. Sesungguhnya Allah maha mengetahui lagi maha mendalam pengetahuannya
Ibnu Attiyyah berkata : Iaitu maha mendalam pengetahuannya mengenai siapakah yang sebenarnya bertaqwa yang berhak untuk mendapat martabat kemuliaan. ( al Muharrar al Wajiz 8:25 ).

Maka terkeluarlah kita dengan ketaqwaan dari golongan hina kepada golongan mulia sebagaimana hadith ;

إنما النَّاسُ رَجُلَانِ بَرٌّ تَقِيُّ كَرِيمٌ عَلَى اللَّهِ ، وَفَاجِرٌ شَقِيٌّ هَيِّنٌ عَلَى اللَّهِ   

Sesungguhnya manusia hanyalah dua jenis; yang taat bertaqwa mulia di sisi Allah dan jahat celaka hina di sisi Allah. 

( Sahih Ibni Hibban no 3828, disahihkan al arnaut dan albani ).

Sabtu, 14 Julai 2012

Ahad, 8 Julai 2012

Puasa Besar




Puasa hati dan seluruh angggota dari segala yang diharamkan Allah swt samada niat, perkataan, perbuatan, amalan, akhlak tanpa batasan waktu samada siang atau malam, bahkan sepanjang umur.

Puasa ini bermula dari waktu baligh sehinggalah saat kematiaan. Saat berbukanya adalah selepas kebangkitan semula dengan tegukan air kauthar dan hati ikan jerung. Kemudian kekallah dia di syurga menikmati apa yang tidak pernah terlihat di mata, terdengar di telinga dan terlintas di hati.

Rahmat Allahllah yang menjadi puasa kecil – seperti puasa Ramadhan – sebagai wasilah dan tangga ke arah puasa besar ini yang merupakan perlakuan menyeluruh bagi segala perintah tuhan dan meninggalkan larangannya.

( Syeikh Muhammad al Tuwaijiri : Mukhtasar al Fiqh Islami Fi Dhaw al Kitab was Sunnah ms610 ). 

Sabtu, 7 Julai 2012

Peperangan Shaqhab Pada Hari Pertama Ramadhan 802H




Peperangan ini dipimpin oleh Syeikhul Islam Ibnu Taimiyyah rhm menentang tentera Tatar dan berlangsung selama dua hari iaitu hari pertama dan kedua Ramadhan pada tahun 802H. Ianya berakhir dengan kemenangan berpihak kepada tentera islam.

Ibn Kathir mencatatkan : Ibn Taimiyyah memberi perangsang kepada Sultan supaya berperang dan memberi khabar gembira dengan janji kemenagan. Di bersumpah dengan nama Allah dan menyebut insha Allah secara tahqiq (kepastian) bukan ta'liq (bersyarat). Beliau juga berfatwa supaya tentera islam berbuka sepanjang peperangan dan dia sendiri berbuka.

Bahkan dia berjalan mengelilingi kawasan ketua-ketua pasukan dan pemimpin-peminpin, lalu mengambil makan yang ada pada mereka dan memakannya sedikit untuk memberi pelajaran agar berbuka supaya mendapat kekuatan. Itu lebih afdhal dan orang ramai semunya makanlah.  
Al Bidayah wan Nihayah (18/26). 

Ahad, 1 Julai 2012

Tegahan Berpuasa Pada Hari Syak ( 30 Sya'ban ).

عن عَمَّارٌ بن ياسر رضي الله عنه قال  : " مَنْ صَامَ الْيَوْمَ الَّذِي يَشُكُّ فِيهِ النَّاسُ ، فَقَدْ عَصَى أَبَا الْقَاسِمِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ "


Ammar Ibnu Yasir R
adiyallaahu 'anhu berkata: Barangsiapa berpuasa pada hari yang meragukan, maka dia telah derhaka kepada Abul Qasim (Nabi Muhammad) Shallallaahu 'alaihi wa Sallam.

Hadith mu'allaq ( tergantung sanad ) di dalam riwayat Bukhari. Lima imam hadith lain menilainya maushul ( bersambung sanad ) , sedang Ibnu Khuzaimah dan Ibnu Hibban menilainya sebagai hadith shahih.

Pedoman hadith :
  1. Hadith ini adalah dalil haramnya berpuasa pada hari syak, iaitu hari ke 30 bulan Syaaban.
  2. Dinamakan hari syak kerana anak bulan tidak kenampakan pada hari itu dengan sebab mendungnya awan atau seumpamanya maka tidak jelas adakah hari itu termasuk Ramadhan atau masih dalam bulan Sya'ban.
  3. Beribadat tanpa mengikut syariat Allah swt adalah menderhakau Rasulullah saw dan ibadat itu batal dan tertolak. 

Hukum Berpuasa Sebelum Ramadhan.



عنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَا تَقَدَّمُوا رَمَضَانَ بِصَوْمِ يَوْمٍ وَلَا يَوْمَيْنِ إِلَّا رَجُلٌ كَانَ يَصُومُ صَوْمًا فَلْيَصُمْهُ

Dari Abu Hurairah Radliyallaahu 'anhu bahawa Rasulullah Shallallaahu 'alaihi wa Sallam bersabda:

"Janganlah engkau mendahului Ramadhan dengan berpuasa sehari atau dua hari, kecuali bagi orang yang telah biasa berpuasa, maka bolehlah dia berpuasa."

Muttafaq Alaihi.



Pedoman hadith :




1.   Hadith ini adalah dalil bahawa berpuasa sehari atau dua hari sebelum Ramadhan dengan niat ihtiayath ( berwaspada ) dengan masuknya Ramadahan adalah perbuatan haram.


2.   Larangan ini kerana syara' telah menetapkan bahawa petanda masuknua Ramadhan adalah melihat anak bulan. Maka perbuatan berpuasa secara berwaspada mendahului bulan Ramadhan adalah melanggari nas ini.


3.    Sebahagian ulama' berpendapat larangan berpuasa ini bermula selepas separuh Sya'ban iaitu dari 16 Sya'ban berdalilkan hadith Abu Hurairah RA : " Apabila Sya'ban telah tiba separuhnya, maka jangan lagi kamu berpuasa ".


HR Abu Dawud, at Turmuzi dan Ibn Majah.


4.  Berdasarkan hadith tersebut ada yang berpendapat makruh berpuasa selepas separuh Sya'ban dan haram sebelumya sehari dan dua hari.


5.   Pendapat yang kuat adalah harus puasa selepas separuh Sya'ban kerana hadith tersebut adalah dhaif sementara puasa sehari atau dua hari sebelum Ramadhan adalah haram berdasarkan hadith ini.


6.  Pengeculian hukum haram berpuasa sehari atau dua hari sebelum Ramadhan ini hanya kepada mereka yang telah terbiasa melakukan amalan puasa dan berbetulan harinya dengan penghujung Sya'ban, maka puasa tetap diharuskan baginya.