Ahad, 13 Januari 2013

Menyampaikan Ilmu Menurut Tingkatan Pemahaman Manusia.



Berbezanya tingkatan pemahaman seseorang itu adalah suatu hal yang sudah diketahui. Banyak faktor yang mempengaruhinya. Ada yang disebabkan sedikitnya ilmu yang dimilikinya atau juga kondisi persekitaran yang saling berbeza antara satu sama lain. Mungkin juga adat kebiasaan yang sudah berakar umbi dan sukar untuk berubah. Di sana terdapat banyak faktor dalam hal ini.  

Berkata Imam Ibnu Kathir di dalam tafsirnya ketika mana mentafsirkan firman AllahTa'ala:
قال الله تعالى: ))فَذَكِّرۡ إِن نَّفَعَتِ ٱلذِّكۡرَىٰ ٩ (((سورة الأعلى: 9)
"Oleh sebab itu berikanlah peringatan jika peringatan itu bermanfaat".

Surah al-A'laa: 9.

Beliau mengatakan:

"Maksudnya berikanlah peringatan jika hal itu bermanfaat bagi orang yang sedang diberi peringatan. Dari sini difahami bahawa adab dalam menyebarkan dan menyampaikan ilmu jangan sampai meletakkan (menyampaikan) kepada orang yang belum ahlinya".[1]

Oleh kerana itu, Nabi Shalallahu 'alaihi wa sallam pernah bersabda:

"Kalau bukan kerana kaummu (wahai Aisyah) yang baru saja meninggalkan kekufuran, nescaya akan aku hancurkan ka'bah lalu aku jadikan dua pintu. Pintu untuk masuk manusia dan pintu untuk keluar".
Di riwayatkan oleh Imam Bukhari di dalam kitab Ilmu, bab anjuran meninggalkan sebahagian berita ditakuti kurangnya faham pada sebahagian orang. 

(Fath al Bari: 1/223).

Berkata Ibnu Hajar ketika menjelaskan hadith di atas:

"Dalam hadith ini boleh diambil faedah bahawa harusnya meninggalkan kemaslahatan untuk menjaga agar tidak jatuh ke dalam kerosakan. Termasuklah dianjurkan untuk meninggalkan perlakuan mengingkari perkara mungkar kalau dibimbangi terjadi kemungkaran yang lebih besar. 

Maka hendaknya bagi seorang imam (pemimpin) mengatur orang bawahannya dengan melihat perkara yang boleh mendatangkan kemaslahatan bagi mereka walaupun (yang ditinggalkan) itu adalah amalan yang utama selagi belum sampai pada tingkatan haram".[2]

Diriwayatkan oleh Imam Bukhari dalam kitab Shahihnya, dalam kitab ilmu, bab bolehnya mengkhususkan ilmu kepada seseorang dibimbangkan yang lainnya tidak boleh memahaminya.

Hadith ini diriwayatkan dari Ali bin Abi Thalib ra, beliau mengatakan:

"Berbicaralah kepada manusia dengan perkataan yang mereka fahami. Tinggalkan (berbicara yang boleh) menjadikan mereka mengingkari. Apakah kamu suka Allah dan RasulNya didustakan?.

HR Bukhari.

Adapun Imam Muslim meriwayatkan dari Ibnu Mas'ud, beliau mengatakan:

"Janganlah kamu berkata kepada sekelompok orang dengan perkataan yang tidak sampai di akal-akal mereka . Nantinya akan menjadikan fitnah di antara mereka".

HR Muslim di dalam muqadimah Shahihnya. Bab larangan membicarakan semua yang telah di dengarnya 1/11.

Berkata Ibnu Hajar:

" Di antara ulama yang tidak suka menceritakan hadith dan menyembunyikannya adalah Imam Ahmad di dalam hadith-hadith yang pada zahirnya mengajak untuk keluar dari pemerintah. Imam Malik pula membenci dalam masalah hadith-hadith sifat-sifat Allah Ta'ala. 

Abu Yusuf membenci dalam hadith yang aneh-aneh. Batasan dalam masalah ini adalah kalau sekiranya zahir hadith tersebut menguatkan perbuatan bid'ah, atau pada intinya secara zahir bukan yang dimaksud. Maka menahan untuk tidak menceritakan kepada orang yang disangka akan mengambil hadith itu secara zahirnya sahaja, maka itu dianjurkan. Allah 'alam".[3]

Oleh kerana itu hendaknya bagi seorang da'i memperhatikan hal itu dan tidak cuba untuk menyelisihinya apalagi kalau bersama dengan orang-orang awam atau orang yang kurang boleh memahami perkataan orang lain.

Imam Syathibi mengkategorikan dalam kitab beliau al-Ithishom hal seperti ini termasuk melampaui batas dan boleh masuk dalam masalah melakukan kebid'ahan.

Beliau mengatakan:

" Di antara (contoh) hal tersebut adalah berbicara bersama orang awam yang dia tidak faham dan tidak boleh mencerna makna pembicaraan tersebut. Maka sesungguhnya ini termasuk pada kelompok orang yang meletakkan hikmah (ilmu) namun bukan pada tempatnya. 

Orang yang mendengarnya ada kemungkinan faham tapi bukan pada maksudnya. Maka itu adalah fitnah yang akan membawan kepada perkara mendustakan kebenaran dan mengamalkan kebatilan. Kemungkinan juga dia tidak faham sedikitpun maka kalau yang ini lebih selamat (dari yang pertama) ".[4]

Apa yang lebih jelas dari itu adalah apa yang disebut beliau dalam kitab al-Muwafaqot di mana beliau memberi misal dengan contoh mengingkarinya sahabat akan hal tersebut, beliau mengatakan:

"Dan di antara (contoh) hal tersebut adalah pertanyaan orang awam terhadap alasan sebuah hukum dalam masalah fiqh dan hukum-hukum syari'at lainya. Jika memang hukum tersebut mempunyai alasan yang benar dan hukum yang lurus.

Oleh kerana itu Aisyah mengingkari pada orang yang bertanya: "Kenapa orang yang haid itu diperintahkan untuk mengqadha puasa namun tidak diperintah untuk mengqadha solat? Maka beliau bertanya kembali kepadanya: "Apakah kamu termasuk Haruriyah (khawarij.)?  

Begitulah juga Umar bin Khatab yang pernah memukul seseorang yang banyak bertanya tentang sesuatu yang syubhat dalam masalah ilmu al-Qur'an yang tidak ada kaitanya untuk dikerjakan. Ini kerana adakalanya akan menjadi persangkaan dan fitnah baginya walaupun itu benar".[5]


[1] . Tafsir Ibnu Kathir 4/500.
[2] . Fathul Bari Ibnu Hajar 1/225.
[3] . Fathul Bari 1/225.
[4] . al-'Ithisham 2/13.
[5] . Al-Muwafaqat 4/191.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan