Jumaat, 4 Disember 2009

Bencana Pada Agama Paling Menakutkan.

Telah menjadi sunnah Allah swt pada sekalian hambanya untuk menguji mereka dengan bala bencana dan mala petaka. Selagi berlangsungnya kehidupan di alam dunia ini, selagi itulah manusia terdedah kepada bencana . Bala bencana dan mala petaka boleh menimpa diri sendiri, kaum kerabat dan sahabat handai. Ia juga boleh mengenai لا سمح الله - - kehilangan nyawa, gangguan kesihatan, kemusnahan harta benda atau kehilangan anak pinak.

Namun ibu segala bencana dan penghulu segala petaka sebenarnya apabila ianya menyentuh agama dan merosakkan pegangan akidah hidup seseorang. Bencana yang menyebabkan tergugatnya keyakinan, berubahnya pendirian, lemahnya iman, berceramuknya pemikiran, terkelirunya pandangan, kabur dari melihat kebenaran malah lebih parah sehingga berpaling tadah kepada kekufuran dan kebatilan.

Justeru Rasulullah saw mengajar kita supaya menuntut kesejahteraan dari Allah agar melindungi diri dari musibah yang menimpa agama. Sabda Rasulullah saw dalam doa baginda saw :

« وَلاَ تَجْعَلْ مُصِيْبَتَنَا فِيْ دِيْنِنَا » (1)

Bermaksud : " Dan janganlah engkau jadikan musibah kami pada agama kami "

Dalam Sahih al Bukhari dari Ibn Abi Mulaikah pula Nabi saw bersabda :

« اَللّهُمَّ إِنَّا نَعُوْذُ بِكَ أَنْ نَرْجِعَ عَلَى أَعْقَابِنَا، أَوْ نُفْتَنَ عَنْ دِيْنِنَا » (2)

Bermaksud : " Ya Allah ! Seseungguhnya kami memohon perlindungan denganmu dari kami berpaling tadah ( mengubah agama ) atau kami diuji sehingga merosakkan agama kami " .

Apatah lagi apabila menjadi wirid Nabi saw di penghujung tahiyyat akhir solat baginda saw untuk memohon perlindungan dari empat jenis ujian dan kesengsaraan. Baginda saw bersabda

اَللّهُمَّ إِنِّيْ أَعُوْذُ بِكَ مِنْ عَذَاْبِ جَهَنَّمَ، وَمِنْ عَذَابِ القَبْرِ وَمِنْ فِتْنَةِ المَحْيَا وَالمَمَاتِ، وَمِنْ شَرِّ فِتْنَةِ المَسِيْحِ الدَّجَّال(3)

Bermaksud : " Ya Allah ! Aku mohon perlindunganmu dari azab neraka jahanam, dari azab kubur, dari fitnah (ujian ) hidup dan mati, dan dari kejahatan fitnah al masih ad Dajjal ".

Sememangnya telah menjadi sunnah baginda saw untuk memberi amaran dari fitnah-fitnah yang boleh menimpa umatnya. Ulama Hadith adalah golongan pertama yang mengesan perkara ini apabila mereka menjadi tajuk fitnah-fitnah yang diberi amaran oleh Rasulullah saw ini menjadi suatu topik besar dalam ensiklopedia hadith yang dikarang. Ada pula ahli hadith yang mengarang kitab-kitab khusus dalam topik fitnah-fitnah ini.

Ini semua menjadi bukti kayanya warisan nabawi yang ditinggalkan menjadi pedoman buat umatnya samada yang hidup sezaman dengan baginda dan lebih-lebih lagi untuk umat yang datang selepas baginda saw. Harapannya agar mereka terselamat dari fitnah yang merosakan kesucian aqidah dan pegangan agama mereka.

Sememangnya isu fitnah atau bencana yang merosakkan agama ini patut mendapat kecaknaan dan keprihatinan umat Islam. Tiada zaman yang tiada fitnah. Ini bermakna tiada manusia yang terlepas dari fitnah dalam kehidupan mereka. Cuma ia mungkin berbeza antara seorang dengan seorang, zaman dengan zaman. Fitnah itu kadang-kadang kecil dan boleh juga menjadi besar. Yang pastinya, semakin jauh zaman dari zaman Nabi saw maka semakin banyaklah fitnah dan bencana yang boleh merosakkan agama.

Jika direnung kembali sejarah perkembangan agama Islam sejak terbina kerajaan Islam Madinah selepas hijrah nabi saw sehingga ke hari ini, pasti terpapar jelas rentetan sejarah-sejarah fitnah besar yang menjadi gelombang dahsyat menggugat kekuatan aqidah dan pegangan umat Islam sepanjang zaman. Fitnah ini datang dalam pelbagai rupa dan gaya. Samada berbentuk penguasaan musuh Islam terhadap umatnya, konspirasi golongan zindik dan munafik, tipu helah kumpulan bida'ah dan khurafat dan gangguan terhadap sistem politik, ekonomi, sosial, budaya dan intelektual umat Islam. Yang tergugat akhirnya ialah akidah dan agama individu muslim dan umat Islam.

Mereka yang terselamat hanya sebilangan yang sedikit. Ulama' yang terus membawa obor kebenaran dan cahaya sunnah Nabi saw sentiasa menjadi bahtera penyelamat di zaman fitnah. Kewujudan mereka umpama menara api di tepi pantai menyelamatkan pelayar-pelayar yang tersesat arah di tengah lautan. Pesanan, pedoman dan amanat mereka amatlah bernilai tinggi di saat umat ditimpa bencana agama.

Berikut beberapa panduan penting untuk diikuti oleh setiap muslim supaya mereka terselamat dari bencana yang merosakkan agama.

1- Berpegang teguh dengan al Quran dan as sunnah. Pada keduanya ada keselamatan dan kesejahteraan sebenar-benarnya. Maka berusahalah menambah ilmu dari al Quran dan as Sunnah dengan segala wasilah yang betul. Kembalilah kepada keduanya dalam setiap isu yang timbul dan kekusutan yang muncul.


2- Merujuk kepada ulama atau ilmuan Islam yang sejati dan terbukti kewibawaan ilmu dan taqwanya. Terimalah amanat dan pesanan mereka sebagai pegangan dan prinsip hidup kerana mereka lebih memahami kehendak Allah dan RasulNya saw dalam situasi yang berlaku.


3- Melazimkan diri dengan jamaah muslimin dan kepimpinan mereka. Iaitu dengan memberi kesetiaan kepada mereka dan bersikap " dengar dan taat " terhadap ketetapan yang diputuskan dan tindakan yang dipersetujukan selama mana ianya tidak bertentangan dengan syariat. Sesungguhnya pertolongan Allah dan keberkatanNya terletak pada kesatuan dan perpaduan, tidak pada percanggahan dan perselisihan.


4- Tidak cepat membuat hukum dan rumusan sebelum tiba saat kematangan. Sebaliknya setiap isu dilayan mengikut seadanya sehinggalah ternyata kedudukan sebenarnya dan mendapat pencerahan sejelasnya. Sesungguhnya bertenang dan sikap berhati-hati itu adalah taufik dan panduan dari tuhan ar Rahman. Sebaliknya gelojoh dan kurang cermat itu adalah dorongan dan tipu daya syaitan.


5- Bertaubat dan kembali kepada Allah swt sentiasa dengan menyerahkan pergantungan dan keyakinan kepadaNya semata-mata. Jangan tertipu atau terpedaya dengan keupayaan fizikal dan kekuatan material yang ada pada seseorang individu, kumpulan atau kerajaan.


6- Banyak bersabar, perteguhkan pendirian, tekalkan hati dan bertahan dengan prinsip kebenaran tanpa diganggu gugat oleh salah faham atau kekeliruan yang timbulkan samada dari musuh yang merancangan jahat atau sesetengah manusia jahil dan sentiasa dalam kekeliruan dan keserabutan pada fikiran dan tindakan.


7- Perbanyakkan bacaan, kajian dan pengajian dari kitab-kitab berkait hadith-hadith fitan ( fitnah-fitnah akhir zaman ). Nas-nas hadith yang diriwayatkan dalam tajuk ini haruslah diteliti dari sudut nilaian kesahihannya dan kandungan petunjuknya berpandukan rujukan syarah hadith yang berwibawa. Hadith-hadith amat penting untuk dibongkar isi kandungannya agar menjadi pedoman umat islam masakini.


8- Menjaga solat secara berjemaah di masjid dan di awal waktu. Sentiasa berdoa dan perbanyakkan munajat terutama di masa dan tempat mustajab semoga Allah swt menjauhi diri dari bala bencana dan membebaskan diri dari mala petaka.


9- Memetik doa-doa yang ma'thur dari al Quran dan hadith nabi saw yang antara memang mengandungi petunjuk yang jelas mengenai permohonaan jagaan dari Allah dan perlidunganNya dari mara bahaya, melepaskan diri dari mala petaka dan menuntut kesejahteraan dan keamanan dari Allah swt.


Panduan ini mungkin umum dan ringkas. Huraian bagi setiap noktah panduan ini memang memerlukan pemerincian dalam bentuk dalil dan hujahan sandaran dari teks dan huraian al Quran dan al Sunnah. Kefahaman, pendapat, petua dan hikmat ilmuan dan cendikiawan yang berwibawa dalam ilmu pengetahuan dan pengalaman kehidupan juga adalah sumber segar yang boleh menjelaskan kepada kita dalam perbahasan ini. Semoga Allah memberi kemudahan dan kekuatan untuk melunaskan hutang umat yang belum terbayar ini.



[1] أخرجه: الترمذي (5/493-494/3502) وقال: "حسن غريب"، والنسائي في عمل اليوم والليلة (310/401) وصححه الحاكم (1/528).

[2] أخرجه: البخاري (13/3-4/7048) ومسلم (4/1794/2293).

[3] أخرجه: أحمد (2/237) ومسلم (1/412/588[131]) وأبو داود (1/601/983) والنسائي (3/58/1309).

Rabu, 2 Disember 2009

Mencontohi Khalifah Umar Abdul Aziz Menghadapi Bencana Alam.





Pernah berlaku satu gempa bumi kuat yang menggegarkan bandaraya Damsyiq dan dataran Syam pada zaman pemerintahan Umar Abdul Aziz. Baginda terus mengutus surat kepada gabenor-gabenor seluruh jajahan penguasaannya. Antara lainnya Umar bertitah : " Sesungguhnya gempa bumi ini adalah suatu amaran Allah swt kepada sekalian hambanya ". Umar memerintahkan supaya rakyat jelatanya keluar beramai-ramai ke tempat lapang untuk bersembahyang pada suatu hari yang ditetapkan. Sebelum itu, Baginda menyarankan supaya mereka yang berharta supaya mengeluarkan sedekah kerana Allah swt berfirman :
( قَدْ أَفْلَحَ مَنْ تَزَكَّى * وَذَكَرَ اسْمَ رَبِّهِ فَصَلَّى ) (الأعلى، آية: 14 ـ 15 )
Bermaksud : " Telah mendapat kejayaanlah orang yang membersihkan diri ( Antaranya dengan membersihkah hartanya dengan zakat atau sedekah ). Dan menyebut nama Allah swt lalu mengerjakan sembahyang " .

Baginda juga memerintahkan supaya mereka menyebut doa istighfar tiga orang Nabi terdahulu iaitu Adam, Nuh dan Yunus a.s . Semuanya doa dari al Quran iaitu;

1. Doa Nabi Adam a.s ;

(رَبَّنَا ظَلَمْنَا أَنْفُسَنَا وَإِنْ لَمْ تَغْفِرْ لَنَا وَتَرْحَمْنَا لَنَكُونَنَّ مِنَ الْخَاسِرِينَ (الأعراف الآية: 13
" Wahai tuhan kami ! Kami telah menzalimi diri kami. Jika engkau tidak mengampuni dan mengasihi kami pastilah kami tergolong di kalangan mereka yang kerugian "

2. Doa Nabi Nuh a.s ;

(وَإِلَّا تَغْفِرْ لِي وَتَرْحَمْنِي أَكُنْ مِنَ الْخَاسِرِينَ ) (هود ، الآية : 47 )
" Jika engkau tidak mengampuni dan mengasihi ku, pastilah aku termasuk golongan yang rugi "

3. Doa Nabi Yunus a.s ;

(لَا إِلَهَ إِلَّا أَنْتَ سُبْحَانَكَ إِنِّي كُنْتُ مِنَ الظَّالِمِينَ ) (الأنبياء ، الآية:87 )
" Tiada tuhan melainkan engkau. Maha suci engkau sesungguhnya aku hanya seorang yang menzalimi diri. "

Demikianlah langkah yang diambil oleh Khalifah Umar Abdul Aziz memperturunkan petua atau pekelilingnya apabila berdepan dengan bala bencana. Iaitu dengan kembali kepada Allah dengan mencari perlindunganNya melalui amal memperbanyakkan sedekah, istighfar dan keluar beramai-ramai bersembahyang di tempat lapang dan terbuka. Sungguh mengkagumkan ketinggian dan ketajaman fiqh Khalifah Umar Abdul Aziz yang berpaksikan kefahaman yang jelas lagi mendalam terhadap petunjuk al Quranul Karim.

Sumber :
  • 64 سيرة عمر لابن عبد الحكم صـ
  • حلية الأولياء لأبي نعيم الأصبهاني 5/304
  • الآثار الواردة عن عمر بن عبد العزيز في العقيدة 1/220

Surah al 'Ashr Renungan Wajib Setiap Insan




بسم الله الرحمن الرحيم
وَالْعَصْرِ * إِنَّ الإِنسَانَ لَفِي خُسْرٍ
إِلاَّ الَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ وَتَوَاصَوْا بِالْحَقِّ وَتَوَاصَوْا بِالصَّبْرِ

Bermaksud :
Demi masa ! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran dan berpesan-pesan dengan kesabaran.


al Imam Asy Syafi'i rahimahullah pernah mengungkapkan : " Jika manusia seluruhnya boleh berfikir mengenai surah ini ( al 'Ashr ) pasti ianya cukup untuk mereka "

al Hafiz Ibnu al Qayyim dalam karyanya مفتاح دار السعادة ( Kunci Negeri Kebahagian – Syurga - ) menghuraikan maksud al Imam al Syafi'i tersebut.

Beliau menyebut : " Keperibadian seseorang mencapai kemuncak kesempurnaan apabila memiliki empat ciri;

1. Mengetahui kebenaran.
2. Beramal dengan kebenaran.
3. Mengajar kebenaran kepada mereka yang tidak mengetahuinya.
4. Sabar dalam mempelajari perkara benar, sabar ketika beramal dengannya dan sabar juga dalam mengajarnya.
Allah swt menyebut keempat-empat ciri ini dalam ayat ini.

Allah swt bersumpah dengan masa bahawa setiap orang dalam kerugian kecuali mereka yang beriman dan beramal soleh.

Orang yang beriman maksudnya golongan yang mengenali kebenaran dan percaya kepada kebenaran. Ini adalah ciri yang pertama.

Orang yang beramal soleh bermaksud mereka yang beramal dengan apa yang mereka ketahui iaitulah kebenaran. Ini ciri yang kedua.

Berpesan-pesan dengan kebenaran bermaksud masing-masing memperingatkan tentangnya dengan cara menunjuk ajar dan menyampaikan ilmu pengetahuan. Ini ciri yang ketiga.

Mereka berpesan-pesan dengan kebenaran bermaksud mereka bersabar di atas landasan kebenaran dan memperingatkan sesama mereka supaya bersabar dan teguh pendirian di atas kebenaran. Ini adalah ciri keempat dan terakhir.

Inilah kemuncak kesempunaan peribadi iaitu apabila seseorang itu sempurna pada dirinya dan menyempurnakan pula manusia yang lain. Kesempurnaanya ialah apabila dia berjaya memperkasakan dua sudut kekuatannya iaitu pada ilmu dan amalnya. Maka keperkasaan ilmunya menjadi sempurna melalui iman dan keperkasaan amalnya pula menjadi sempurna dengan melakukan amal soleh dan usahanya untuk melengkapkan manusia lain, memberi tunjuk ajar kepada mereka, sabar dalam menjalankan perkara ini semua, dan berpesan pula kepada insan lain supaya sabar dalam berilmu dan beramal.

Maka surah ini walaupun ringkas, namun ianya adalah di antara surah yang paling lengkap dan sarat mengandungi kebaikan dari segala jenisnya. Segala puji bagi Allah yang menjadikan kitabnya mencukupi tanpa berhajat kepada lainnya, menyembuhkan segala penyakit dan menunjukkan segala jalan kebaikan.

Rujukan :

مفتاح دار السعادة ج 1 ص 238-239

Khamis, 26 November 2009

Beraya Cara Nabi صلى الله عليه وسلم


Al Hafiz Ibnu al Qayyim di dalam karya agung زاد المعـاد في هـدي خـير العـباد“ Bekalan hari kembali ( Hari Qiamat ) pada membicarakan tentang pedoman sebaik-baik hamba Allah ( Nabi Muhammad saw ) “ mencatatkan kelainan cara Nabi saw menyambut raya. Antara rumusannya dari riwayat-riwayat dalam topik ini adalah seperti berikut;
  1. Nabi saw bersembahyang raya di Musolla iaitu tempat sembahyang yang lapang dan terbuka bukannya masjid. Baginda akan keluar dengan memakai sebaik-baik pakaian.
  2. Baginda makan beberapa biji tamar secara witir ( ganjil ) sebelum keluar pada hari idilfitri. Pada Idil adha pula baginda saw tidak makan sehingga pulang dari tempat sembahyang. Lalu Baginda makan dari daging binatang korban.
  3. Baginda saw keluar dengan berjalan kaki. Sebatang tongkat dibawa di hadapannya. Apabila baginda tiba di tempat sembahyang, tongkat tadi akan dipacakkan di hadapan tempat sembahyangnya.
  4. Apabila baginda sampai di tempat sembahyang, baginda saw akan bersembahyang tanpa azan dan iqamah. Juga tiada perkataan “ الصلاةُ جامعةٌ ”. Baginda saw dan para sahabat ra juga tidak bersembahyang sebelum atau selepasnya sebarang sembahyang.
  5. Baginda saw bersembahyang sebelum berkhutbah. Sembahyang baginda saw adalah dua rakaat. Baginda saw bertakbir tujuh kali takbir selepas takbiratul ihram. Baginda saw diam sekejap di antara dua takbir. Dalam rakaat kedua baginda bertakbir sebanyak lima kali takbir. Baginda saw membaca surah Qaf(ق) dalam rakaat pertama dan surah al Qamarالقمر dalam rakaat ke dua selengkapnya. Kadang-kadang baginda saw membaca surah al a’la الأعلى dan surah al ghasyiah الغاشية .
  6. Baginda saw berkhutbah di atas tanah tanpa ada minbar.
  7. Baginda saw pulang ke rumah dengan melalui jalan berlainan dari jalan datangnya.
اللهمَّ صلِّ وسلِّمْ وزِدْ وبارِكْ على عبدك ورسولك
محمدٍ صاحب الوجه الأنور والجبين الأزهر
وارض اللهمَّ عن خلفائه الأربعة
أبي بكر وعمر وعثمان وعلي
وعن سائر صحابة نبيك محمدٍ صلَّى الله عليه وسلم
وعن التابعين ومن تبعهم بإحسانٍ إلى يوم الدين
وعنا معهم بعفوك وجودك وكرمك
..يا أرحم الراحمين

Rujukan :
( زاد المعاد (1/425

Sabtu, 14 November 2009

Khamis, 12 November 2009

TAFSIR SAINTIFIK : PENDEKATAN MODEN MEMAHAMI AL QURAN ( 2 )






KEUTAMAAN TAFSIR SAINTIFIK


Antara kehebatan Al Quranul Karim ialah apabila ia mendahului zaman dalam membicarakan tentang keunikan alam semesta. Pengolahan Al Quranul Karim dalam meneliti fenomena kejadian alam pula penuh dengan gambaran keindahan, keajaiban, ketelitian dan keuntuhan. Semuanya tidak terkeluar dari tujuan asal segala maqasid atau prinsip utama penurunan al Quran iaitu hidayah dan pentunjuk kepada manusiawi untuk mengenali Allah swt dengan ketauhidan dan kesempurnaannya.

Dalam pencarian sebahagian sarjana didapati bahawa tercatat di dalam al Quranul karim 457 ayat mengenai bumi, 3100 ayat mengenai langit, 27 ayat mengenai bulan, 24 ayat mengenai tumbuhan. Antara fenomena alam yang mendapat perhatian al Quran juga ialah hujan, awan, petir, guruh, graviti, tanah, bukit ( gunung ), logam dan juga alam haiwan.

Fakta ini membuktikan keperihatinan luar biasa al Quranul karim terhadap fenomena alam semesta yang dengan sendirinya menjadi satu tolakan dan ransangan yang amat kuat supaya mendekati alam ini serta menjadikannya sebagai bahan kajian dan penyelidikan untuk melihat secara halus ketelitian dan keuntuhannya. Ternyata Allah swt mengikat kuat hubungan antara al Quran dan alam.

Maka tidak jauh dari kebenaran istilah yang diberi oleh sesetengah sarjana bahawa al Quran adalah ayat Allah yang dibaca (ayat maqruah) sementara alam adalah ayat Allah yang dilihat dan diperhati (ayat manzhurah). Kedua-duanya adalah ayat Allah swt dan kedua-duanya adalah wajib dijadikan bahan tadabbur dan tafakkur.

Sungguh menarik apabila merenung Firman Allah swt yang berulang 4 kali di dalam al Quran dengan penutup setiap ayatnya ialah ;

إِنَّ فِي ذَلِكَ لآيَاتٍ لِقَوْمٍ يَتَفَكَّرُونَ

" Seseunnguhnya dalam hal yang demikian itu menjadi ayat-ayat ( tanda kebesaran Allah swt ) bagi mereka yang berfikir " . ( al Ra'd : 3, al Rum : 21, az Zumar : 42, al Jathiyah : 13 )

وَهُوَ الَّذِي مَدَّ الأَرْضَ وَجَعَلَ فِيهَا رَوَاسِيَ وَأَنْهَارًا وَمِنْ كُلِّ الثَّمَرَاتِ جَعَلَ فِيهَا زَوْجَيْنِ اثْنَيْنِ يُغْشِي اللَّيْلَ النَّهَارَ إِنَّ فِي ذَلِكَ لآيَاتٍ لِقَوْمٍ يَتَفَكَّرُونَ

" Dan Dia lah yang menjadikan bumi terbentang luas, dan menjadikan padanya gunung-ganang (terdiri kukuh) serta sungai-sungai (yang mengalir). Dan dari tiap-tiap jenis buah-buahan, Ia jadikan padanya pasangan: dua-dua. Ia juga melindungi siang dengan malam silih berganti. Sesungguhnya semuanya itu mengandungi tanda-tanda kekuasaan Allah bagi kaum yang (mahu) berfikir." (al Ra'd : 3)

وَمِنْ آيَاتِهِ أَنْ خَلَقَ لَكُمْ مِنْ أَنْفُسِكُمْ أَزْوَاجًا لِتَسْكُنُوا إِلَيْهَا وَجَعَلَ بَيْنَكُمْ مَوَدَّةً وَرَحْمَةً إِنَّ فِي ذَلِكَ لآيَاتٍ لِقَوْمٍ يَتَفَكَّرُونَ

" Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaannya dan rahmatNya, bahawa Ia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikanNya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir." (al Rum : 21)

اللَّهُ يَتَوَفَّى الأَنْفُسَ حِينَ مَوْتِهَا وَالَّتِي لَمْ تَمُتْ فِي مَنَامِهَا فَيُمْسِكُ الَّتِي قَضَى عَلَيْهَا الْمَوْتَ وَيُرْسِلُ الأُخْرَى إِلَى أَجَلٍ مُسَمًّى إِنَّ فِي ذَلِكَ لآيَاتٍ لِقَوْم ٍيَتَفَكَّرُونَ

" Allah (Yang Menguasai Segala-galanya), Ia mengambil dan memisahkan satu-satu jiwa dari badannya, jiwa orang yang sampai ajalnya semasa matinya, dan jiwa orang yang tidak mati: dalam masa tidurnya; kemudian Ia menahan jiwa orang yang Ia tetapkan matinya dan melepaskan balik jiwa yang lain (ke badannya) sehingga sampai ajalnya yang ditentukan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan Allah bagi kaum yang berfikir (untuk memahaminya)."

وَسَخَّرَ لَكُمْ مَا فِي السَّمَاوَاتِ وَمَا فِي الأَرْضِ جَمِيعًا مِنْهُ إِنَّ فِي ذَلِكَ لآيَاتٍ لِقَوْمٍ يَتَفَكَّرُونَ

" Dan Ia memudahkan untuk (faedah dan kegunaan) kamu, segala yang ada di langit dan yang ada di bumi, (sebagai rahmat pemberian) daripadaNya; sesungguhnya semuanya itu mengandungi tanda-tanda (yang membuktikan kemurahan dan kekuasaanNya) bagi kaum yang memikirkannya dengan teliti." (al Jathiyah : 13)



Bertitik tolak dari sinilah terserlah keutamaan tafsir saintifik sebagai pendekatan yang berkesan untuk mengembalikan al Quranul Karim ke persada kehidupan manusiawi khususnya ke pangkuan kaum muslimin yang sentiasa dahagakan petunjuk ilahi.

Prof Dr Abdullah Shahatah menyebut : " Tujuan asas sentuhan-sentuhan saintifik yang terdapat dalam al Quranul Karim adalah untuk menyeru orang Islam untuk mengembeling usaha mendalami persoalan-persoalan sains supaya mereka mencapai tahap kefahaman yang jitu dan kekuatan yang utuh ke arah menguasai alam membawa dua agenda besar Islam iaitu ibadah kepada Allah dan khilafah di buminya. Tidak syak lagi bahawa usaha penyelidikan yang dijalankan saintis samada di perut bumi atau di angkasaraya dengan membongkar segala rahsia dan sistem alam ciptaan Allah ini adalah sebenarnya menyahut perintah Allah swt dan menunaikan kehendak al Quranul karim yang sentiasa memberi galakan terhadap ilmu pengetahuan. [1]

Antara rumusan Dr Muhammad as Syarif pula mengenai keutamaan tafsiran saintifik al Quran adalah seperti berikut;

" Tafsir saintifik membuka pintu baru kepada dunia kontemporari bagi pembuktian al Quran bahawa ianya datang dari Allah swt. Pembuktian saintifik adalah penting kepada dunia moden terutama kepada mereka tidak bertutur dalam Bahasa Arab. Jika bangsa Arab boleh memahami pembuktian al Quran melalui mukjizat bahasa dan balaghah, maka bahasa saintifik adalah perantaran terbaik untuk mengesan pembuktian ini bagi mereka yang tidak memahami Bahasa Arab.

Bagi umat Islam khasnya, tafsir saintifik adalah wacana terbaik menyuntik pembaharuan dan kesegaran kepada Iman, keyakinan dan pergantungan kepada Allah swt. Tafsir sintifik juga adalah benteng kepada aqidah muslim moden dari serangan pemikiran dan ilmu pengetahuan yang bertuhan sains yang telah tertanggal dari baju tauhid dan tunggul iman. Tafsir saintifik berperanan besar menyelamatkan akal fikiran muslim dengan menjalinkan sains dengan keimanan kepada tuhan pencipta. " [2]

Dr Abu hajar juga berkongsi idea mengenai keutamaan metod saintifik dalam tafsir al Quran moden. Katanya :

" Pembuktian al Quran sebagai kitab yang benar datang dari Allah swt melalui mukjizat sastera dan balaghah arab semata-mata tidak lagi cukup untuk memenangi pemikiran manusia moden. Mereka telah terlalu jauh untuk mengecapi keindahan bahasa Arab dan keseniannya yang menjadi keunikan al Quran tanpa tandingan. Justeru, Tafsir Saintifik adalah pendekatan berkesan di zaman sains dan teknologi ini.

Apatah lagi setelah terbukti bertambahnya peningkatan hubung kait antara kebenaran al Quranul Karim dan keputusan atau dapatan saintifik moden selepas penemuan-penemuan baru. Terbukti sudah bagaimana al Quranul Karim telah memberi petunjuk-petunjuk samada secara umum atau terperinci terhadap penemuan-penemuan sains ini dalam rupa yang tidak menimbulkan sebarang keraguan lagi. Demikianlah suburnya tafsir saintifik ini yang mana kehadirannya semakin dirasai apabila semakin rancak penemuan sains maka semakin rancaklah juga pengembangan yang berlaku kepada tafsir saintifik. Sering kali apabila ilmu sains menemui dapatan barunya, maka ketika itulah ditemui isyarat dan petunjuknya dari Al Quranul Karim." [3]

Jelaslah bahawa Tafsir Saintifik membawa pembuktian kukuh tentang kewujudan, keesaan dan kekuasaan Allh swt tuhan pencipta. Metodologi ini juga membawa penegasan kebenaran al Quran sebagai kalam Allah swt dan berupaya menolak debatan dan hujahan mereka cuba mencari kekurangan atau menimbulkan kewaspadaan kepada kesucian al Quran. Tafsir Saintifik juga melonjak nilai iman yang tegak di atas emosi dan kejiwaan semata-semta kepada iman yang tegak di atas ilmu pengetahuan dan pembuktian kebenaran yang nyata.

Sesungguhnya melalui Ilmu pengetahuan jualah seseorang itu boleh menerima kebenaran al Quran yang akhirnya menemukannya dengan kekuasaan Allah dan kesempurnannya. Renungilah Firman Allah swt ini ;

وَيَرَى الَّذِينَ أُوتُوا الْعِلْمَ الَّذِي أُنْـزِلَ إِلَيْكَ مِنْ رَبِّكَ هُوَ الْحَقَّ وَيَهْدِي إِلَى صِرَاطِ الْعَزِيزِ الْحَمِيدِ

Dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan, mengetahui (dengan yakin, bahawa keterangan-keterangan) yang diturunkan kepadamu dari Tuhanmu (mengenai hari kiamat dan lain-lainnya) itulah yang benar serta yang memimpin ke jalan Allah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Terpuji. ( Saba' : 6 )


[1] شحاته د/ عبد الله : تفسير الآيات الكونية. دار الاعتصام بالقاهرة، ط1، 1980م.

[2] شريف د/ محمد إبراهيم : هداية القرآن في الآفاق والأنفس. بدون جهة نشر. ط -، 1986م.

[3] أبو حجر د / أحمد عمر : التفسير العلمي للقرآن في الميزان. دار قتيبة، ط1، 1411هـ / 1991م.

Jumaat, 6 November 2009

TAFSIR SAINTIFIK : PENDEKATAN MODEN MEMAHAMI AL QURAN ( 1 )




Pengenalan Ilmu Tafsir.

Tafsir dalam bahasa arab bermakna mendedahkan sesuatu yang tersembunyi dan menanyangkannya atau menerangkannya (al Azhariy:12/406, Ibn Manzur:5/55).

AlQuran menyatakan :

“ dan sebaik-sebaik tafsir“(al Furqan:33)

kata Mujahid : yakni keterangan (al Tabari:19/12).

Makna tafsir al Quran dalam ungkapan ulama’ tafsir tradisi;

1- Ibnu Juzai al Kalbiy (741h) : “ syarah al Quran, keterangan maknanya, dan penjelasan kepada kehendak nas al quran atau isyaratnya( bayangan ) atau seumpamanya”. (al kalbiy : 1/6)

2- Abu Hayyan al Andalusiy (745h) : Ilmu tentang cara sebutan lafaz al Quran, petunjuk, hukum samada dalam bentuk pangkal kata atau ungkapan ayat dan juga maksud-maksud yang difahami dari ungkapan ayat dan yang berkaitan dengannya”. ( Abi Hayyan : 1/26 )

3- Badruddin al Zarkasyi (794h) : Ilmu yang bertujuan memahami Kitab Allah yang diturunkan kepada Nabinya Muhammad saw, menerangkan kehendaknya, mengeluarkan hikmat dan hukumnya.(al Zarkasyiy: 1/13).

4- Ibnu Arafah al Malikiy ( 703h ) : Ilmu mengenai kehendak petunjuk al Quran dan cara pengambilan petunjuknya yang tesendiri, latar belakang penurunan dan nasakh dan mansukh. (Ibnu Arafah : 1/59).


5- Syeikh al Uthaimeen merumuskan pengenalan tafsir dengan kata kuncinya “ menerangkan makna-makna al Quran” ( al Uthaimeen: 25)



Tafsir saintifik pula ditakrifkan oleh beberapa sarjana tafsir kontemporari;

1. Dr. Solah al Khalidiy : “ Tasiran ayat al Quran secara saintifik mengikut kaedah sains moden dan mengupas isu-isu saintifik di dalam sesuatu ayat menurut analisa sains moden. ( al Khalidiy : 577)

2. Dr. Abdullah al Ahdal : “ Tafsiran ayat-ayat berkaitan ciptaan alam semesta di dalam al Quran dari perspektif dapatan sains moden”.

3. Dr Fahd alRumiy:” Ijtihad ahli tafsir membongkar hubungan antara ayat al Quran yang mebicarakan tentang alam semesta dengan penemuan kajian sains, yang mampu menyerlahkan mukjizat al quran.” ( al Rumiy : 2/549)

4. Dr Ahmad Abu hajar: Usaha ahli Tafsir untuk menafsirkan ungkapan al quran dari pencerahan pembuktian sains dan menonjolkan sudut mukjizat al Quran. ( Abu hajar:72).

5. Syeikh Abdul Majid al Zandani : “ Membongkar makna-makna ayat melalui teori-teori sains yang terbukti kesahihannya”. (al Zandani: 33).

6. Dr Zaghlul al Najjar : “ Menggarapkan semua bentuk keilmuan moden untuk meningkatkan kefahaman petunjuk ayat al Quran”. (Al Najjar:35)


Rumusan.

Tafsir Saintifik adalah usaha mengaplikasikan penemuan sains moden bagi tujuan menambah baik kefahaman makna ayat al Quran dan meluaskan pebincangannya.