Ahad, 16 Mei 2010

Puisi Tiga Panglima Mu'tah


Perang Mu’tah, satu peperangan yang memperlihatkan kehebatan sebuah perjuangan dan ketokohan para Sahabat. 3 pemimpin utama Zaid bin Harithah, Jaafar bin Abi Talib dan Abdullah bin Rawahah gugur seorang demi seorang.

Kata-kata puisi mereka sebelum gugur amat hebat.


Teliti kata puisi Abdullah bin Rawahah:


Tapi aku pohon ampun dari arRahman,

dan sebilah pedang memancungku,

memancutkan buih-buih darah,

atau sebatang tombak menusuk dadaku,

mengoyak dadaku, hati jantungku,

supaya orang yg melintasi pusaraku berkata:

Ya Allah! Pejuangmu menempah kejayaan,

Allah anugerahkan kurniaan kepada pejuang,

Pejuangmu telah mendapat hidayah dariMu!


Demikian juga kata-kata Jaafar bin Abi Talib:

Alangkah indahnya syurga, nah! kita menghampirinya,

syurga yang serba baik isinya, sejuk nyaman airnya,

enak minumannya, tibalah sudah,

azab ke atas bangsa Rum, Rom bangsa kafir,

yang memeranginya pasti saya.

Jaafar gugur. Di mayatnya 50 tikaman dari hadapan. AllahuAkbar!


Dengarkan juga kata-kata Abdullah bin Rawahah:

Aku bersumpah wahai diriku,

Engkau mesti mara-redha atau terpaksa,

Musuh sedang bertempik dan mara, sambil berteriak,

apalah bagiku, engkau tidak mahukan syurga,

masa kerehatanmu telah lama berlalu,

tidaklah engkau melainkan setitis air dalam bekas air yang lama.


Kata-kata puisi hebat datang dalam perjuangan yang hebat dari sahabat yang hebat, menuntut suatu pembalasan hebat dari Tuhan Maha Hebat!




Selasa, 20 April 2010

Pengupayaan Institusi Kekeluargaan.

Ustaz Mohd Aizam Mas'od

Mari kita melihat sebentar ke negara barat seumpama Amerika Syarikat yang menyaksikan berleluasanya wabak atau fenomena tidak mahu berkahwin di kalangan masyarakat mereka terutamanya kaum wanita apatah lagi kaum lelaki mereka. Justeru itu kita melihat ramai anak-anak yang lahir tanpa mempunyai bapa, bertambahnya kadar bilangan ibu tunggal dari tahun ke tahun. Ini bukan sekadar berlaku di Amerika Syarikat bahkan di negara-negara barat yang lain seumpama Britain, Perancis dan lain-lain. Ini semua membuktikan kepada kita betapa hancurnya institusi kekeluargaan di Eropah dan Barat.

Fenomena ini pada hakikatnya membuahkan suatu keruntuhan kepada kekuatan sosial dan tamadun manusia. Sehingga sampai kepada satu tahap apabila kaum wanita lebih gemar memelihara haiwan daripada melahirkan dan memelihara anak sendiri. Bagi mereka karier atau kerja adalah lebih penting. Manakala anak-anak adalah satu bebanan yang menyusahkan kerana terpaksa menjaga makan dan minum, sakit demam dan sebagainya. Kalau dulu mereka bebas ke disko, keluar pada lewat malam dan balik pada pagi hari, bertukar-tukar pasangan tanpa jemu, tetapi setelah berkahwin kehendak-kehendak nafsu seperti ini mungkin akan menyekat kebebasan mereka. Itu sebab akhirnya mereka mengambil keputusan untuk terus membujang dan terus tidak memiliki anak supaya terus dapat bebas dalam menjalani kehidupan yang mereka sangkakan itu merupakan jalan yang terbaik bagi mereka.

Di negara kita gejala seumpama ini sedikit demi sedikit semakin menular ke dalam masyarakat kita bahkan semakin menjadi budaya di dalam masyarakat Melayu Islam pada hari ini. Sedangkan kita tahu bahawa fenomena seperti ini boleh menghancurkan aqidah Islam, akhlak Islam bahkan meruntuhkan tamadun manusia. Bila dibuat penyelidikan kita dapati golongan Melayu Islam adalah merupakan jaguh di dalam banyak hal seperti ketagihan arak, khalwat, suka berkahwin kemudian suka pula bercerai, melacur, sumbang mahram, budaya rock, lelaki berlagak seperti perempuan, perempuan berlagak seperti lelaki, pemuja artis-artis liar dan ditambah lagi kes-kes umpama bohsia, bohjan, anak gadis lari dari rumah, anak gadis dirogol, anak gadis bawah umur melacur diri, buang bayi, penderaan dan akhirnya sampai kepada tahap seorang muslim itu sudak muak dengan agama yang dianutinya akhirnya dia bertindak keluar daripada Islam ataupun murtad dari Islam.

Di sinilah terletaknya nikmat Islam dan kebaikan Islam. Ketika dunia dalam kebingungan, kecelaruan dan keruntuhan maka Allah telah menyediakan pembeza iaitu al-Furqan. Firman Allah:

] تبارك الذي نزل الفرقان على عبده ليكون للعالمين نذيرا [

Bermaksud: Maha berkat Allah yang menurunkan al-Furqan kepada hambaNya (Muhammad) untuk menjadi peringatan dan amaran bagi seluruh penduduk alam.

Manusia tidak tahu hakikat kebaikan dan apakah pula hakikat keburukan? Apa bezanya di antara nikah dan zina? Apakah erti anak sah dan anak luar nikah? Apakah judi, arak, riba itu baik untuk manusia? Manusia terpaksa membuat pelbagai penyelidikan untuk mencari jawapannya. Ada yang berjaya tetapi kebanyakannya gagal.

Hakikatnya umat Islam telah disediakan dengan jawapan yang konkrit, tepat dan bersepadu. Mana yang hak dan mana yang batil, mana yang betul dan mana yang palsu. Inilah nikmat terbesar sekali yang dianugerahkan oleh Allah kepada hambaNya iaitu nikmat Iman dan Islam.

Institusi keluarga adalah merupakan institusi yang sangat penting pada pandangan Islam. Keruntuhan institusi ini boleh membawa kepada punca segala masalah dalam sesebuah negara. Masalah agama, masalah sosial, masalah akhlak bahkan boleh membawa keruntuhan sesebuah negara.

Contohnya apabila terdapat pemimpin-pemimpin yang dituduh mempunyai skandal dengan wanita simpanan walaupun telah mempunyai isteri, mempunyai anak luar nikah dan sebagainya. Akhirnya dengan sifat-sifat pemimpin yang seperti ini menyebabkan negara hancur begitu sahaja. Oleh sebab itu, di antara tanggungjawab yang sangat dititikberatkan oleh Islam di dalam institusi kekeluargaan adalah menjaga keturunan dan zuriat yang lahir.

Anak adalah merupakan amanah Allah kepada kita. Maka hendaklah kita menjaga amanah tersebut dengan sempurna yang mungkin. Namun begitu Allah telah pun memberikan petunjuk dan pedoman untuk menjaga amanah tersebut. Terpulanglah kepada kita untuk menerima atau menolaknya tepuk dada tanya iman kita.

Proses pembentukan anak yang soleh dan bertaqwa bukanlah bermula pada peringkat bayi, malah bermula sebelum perkahwinan lagi.

Proses Pertama: Niat

Sepertimana hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim;

إنما الأعمال بالنيات وإنما لكل امرئ ما نوى

Bermaksud: Sesungguhnya setiap amalan itu adalah mengikut niat. Dan sesungguhnya bagi setiap manusia itu mendapat apa yang diniatkan.

Seseorang yang bernikah itu di antara mereka ada yang berniat untuk melahirkan zuriat yang berjaya di dunia dan akhirat. Orang yang seperti ini adalah orang yang jelas matlamat ia dijadikan Allah, berbeza dengan mereka yang berkahwin semata-mata untuk memuaskan hawa nafsu dan tidak mengikut syariat Islam, mereka sebenarnya tidak memahami hikmah melalui stu perkahwinan, adakah ianya hanya sekadar melahirkan zuriat kemudian dibiarkan dan disuapkan dengan apa jua yang dirasakan sesuai kepadanya mengikut acuan akal fikiran hawa nafsunya. Misalnya, jika dia seorang peniaga maka dia akan bercita-cita supaya anaknya menjadi sepertinya bahkan lebih berjaya darinya, sekiranya dia seorang penyanyi maka dia pula akan menjadikan anaknya itu bermula dari lahirnya, mengasuhnya supaya menjadi seorang penyanyi sepertinya…apakah semua ini merupakan maksud daripada tujuan Allah mengurniakan zuriat kepada manusia?? Kalaulah ini yang menjadi dasar pegangan kepada ibu bapa maka berkemungkinan seorang anak itu hanya akan mendapat kejayaan dalam bidang keduniaan semata-mata. Nahkan sebahagian darinya keciciran kedua-duanya sekali, dunia mahupun akhiratnya juga.

Proses Kedua: Memilih pasangan yang soleh.

Perlu diperingatkan kepada muda-mudi kita, mereka yang berkahwin kerana kecantikan semata-mata perlulah sedar bahawa kecantikan adalah bersifat sementara untuk beberapa tahun sahaja, selepas itu ianya akan hilang dimakan usia.

Perkahwinan bukanlah merupakan kenyataan yang manis sepanjang masa, yang diimpikan oleh sesetengah muda-mudi sebagai syurga dunia, tetapi ianya merupakan ujian kesabaran, pengorbanan dan ujian ketahanan. Berapa ramai manusia yang cantik-molek, gagah, kacak, kaya raya…berkahwin hari ini, bulan depan bercerai, bahkan telah menjadi seakan-akan satu tradisi bagi golongan-golongan tertentu yang menjadikan ‘perkahwinan’ bak pesta keraian untuk sehari dua, diumumkan, diisytiharkan, diarak ke sana ke mari…dipamerkan di dada-dada akhbar…kemudin esok lusa, bulan depan, tahun depan…diumumkan rumahtangga mereka telah musnah… hakikatnya kita persoalkan apakah yang musnah itu? Adakah rumahtangga itu yang musnah atau sebenarnya fahaman agama mereka yang telah musnah??

Oleh itu setiap pasangan mestilah memilih pasangannya yang beragama umpamanya memilih bakal isteri yang solehah, yang senang mendengar teguran dan nasihat. Mereka juga selalunya mempunyai inisiatif yang tersendiri untuk membaca, mendengar dan mencari ilmu-lmu Islam. Sudah tentu mereka inilah yang boleh layak untuk membantu anak-anak supaya menjadi anak-anak yang soleh dan solehah.

Proses Ketiga: Menanam benih.

Sewaktu menanam benih (persetubuhan) hendaklah kita mengikut sunnah yang diajarkan oleh Rasullullah s.a.w. dengan membaca doa sekurang-kurangnya;

أعوذ بالله من الشيطان الرجيم

بسم الله الرحمن الرحيم

Ini adalah penting supaya benih kita mendapat keberkatan dan terhindar daripada perbuatan-perbuatan Syaitan.

Sesungguhnya Iblis dan Syaitan sentiasa bersama kita dalam setiap amalan pekerjaan manuia seperti makan minum dan dalam persetubuhan yang kita tidak sebut nma Allah.

Proses Keempat: Makanan yang halal.

Setiap perempuan yang sedang mengandung mestilah menjauhi dari makanan yang berasal dari sumber-sumber yang shubhat, apatah lagi yang haram seperti perjudian, riba, rasuah dan sebagainya. Hal ini bukan sahaja semasa mengandung tetapi sepanjang hari sepanjang hayat sebagai suami isteri.

Untuk memastikan setiap makanan itu halal dan berkat bila dimakan hendaklah ucapkan lafaz ijab dan Kabul semasa berlakunya jual beli. Manakala harta yang dimiliki hendaklah dikeluarkan zakat (bermakna bersih lagi bertambah ) mudah-mudahan kehidupan suami isteri bertambah kasih sayang dan lahir zuriat yang bersih lagi mulia akhlaknya.

Di samping itu juga untuk melahirkan zuriat yang soleh, keluaraga hendaklah menekankan kebersihan dalam makanan dan semestinya ia adalah halal. Setiap makanan yang shubhat dan haram akan menjadi benih-benih kita seterusnya menjadi darah daging anak cucu kita yang kaan menbentuk hati dan perasaan serta akal lalu menjadikan mereka degil , keras hati, lembap, kurang cerdas dan sebagainya.

Proses Kelima: Membanyakkan Ibadah.

Ibu bapa hendaklah banyak beramal dan beribadah. Laksnakan kewajipan dan tambahkanlah dengan perkara sunat. Terutamanya solat lima waktu, di samping membanyakkan bacaan al-Qur’an, kerana ianya mempunyai kesan langsung kepada lidah, hati dan lebih-lebih lagi kepada janin anak yang sedang dikandung. Apa yang menyedihkan kita kedapatan sebahagian anak-anak yang mana pada sepanjang hayatnya tidak pernah melihat ibu bapanya bersembahyang di rumah atau membaca al-Qur’an al-Karim… akhirnya mereka menganggap sembahyang itu bukanlah satu kewajipan kerana itulah suasana yang mereka terima semenjak masih kecil lalu apabila meningkat dewasa ia menjadi pegangan dan ikutannya.

Ibu bapa juga hendaklah menjauhi semua jenis maksiat yang boleh sampai kepada janin melalui pancaindera seperti hiburan, filem, majalah-majalah yang melalaikan, mempunyai unsur-unsur maksiat dan sebagainya.

Sebagai kesimpulan membentuk anak agar menjadi zuriat yang soleh lagi pintar dan bijaksana adalah kewajipan kita yang berat dan tidak boleh dipandang ringan kerana ia adalah perintah Allah kepada kita. Bila disebut perintah Allah, hikmah dan rahsianya ada di dalam ilmu Allah, alangkah baiknya jikalau dunia ini dihuni oleh anak-anak yang baik tuturkatanya, mulia akhlaknya, bijak fikirannya dan alangkah malangnya dunia ini kiranya keturunannya buruk akhlaknya, kasar tuturkatanya serta perbuatannya. Oleh itu kita sebagai ibu bapa dan semua pihak hendaklah menunaikan amanah serta perintah Allah ini, itulah hikmahnya, itulah rahsianya perintah dan suruhan Allah agar dilaksanakan. Dunia aman bahagia dan akhirat memperolehi kesejahteraan.

Selasa, 13 April 2010

Ar-Rahiq al-Makhtum : Buku Sirah Nabi SAW Terbaik



Nama buku: Ar-Rahiq al-Makhtum – Sirah Nabawiyyah saw

Pengarang: Shaikh Safiyyu al-Rahman al-Mubarakfuri

Penterjemah: Muhammad Ramzi Omar

Penerbit: Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM)

Ketebalan: 733 muka surat


Buku bertajuk Ar-Rahiq al-Makhtum tulisan Shaikh Safiyyu al-Rahman al-Mubarakfuri ini sebenarnya telah terhasil dari pertandingan yang dianjurkan oleh Rabithah Al-Alam Al-Islami pada 1396H di Pakistan. Syarat yang ketat dalam menghasilkan karya berkualiti tentang sirah Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam telah disenaraikan. Antara syarat-syarat yang dikenakan bagi pertandingan tersebut ialah:


1. Kajian mesti perspektif, berdasarkan urutan kejadian.

2. Mesti bagus kualitinya dan belum pernah diterbitkan.

3. Penulis mesti menyebut manuskrip dan sumber ilmiah yang menjadi landasan tulisan tersebut.

4. Penulis mesti menyebut biografi lengkap tentang diri penulis dan melampirkan karya-karya ilmiah yang pernah ditulis.

5. Kajian mesti ditulis dengan tulisan tangan yang rapi atau ditaip.

6. Tulisan bebas dalam bahasa apa pun.

7. Hasil tulisan akan diteliti oleh panel khusus yang terdiri dari para ulama yang pakar.


Sebanyak 171 kajian telah dihantar dari seluruh dunia. 84 darinya dalam bahasa Arab, 64 dalam bahasa Urdu, 22 dalam bahasa Inggeris dan 1 dalam bahasa Perancis. Pemenang bagi pertandingan tersebut adalah seperti berikut:


1. Tempat Pertama: Shaikh Safiyyurrahman al-Mubarakfuri dari Al-Jami’ah As-Salafiyah di India.

2. Tempat Kedua: Dr Majid Ali Khan dari Al-Jami’ah Al-Mahalliyah Al-Islamiyyah di India.

3. Tempat Ketiga: Dr Nushair Ahmad Nashir, Rektor Al-Jami’ah Al-Islamiyyah Pakistan.

4. Tempat Keempat: Al-Ustadz Hamid Mahmud Muhammad Manshur Laimud dari Mesir.

5. Tempat Kelima: Al-Ustadz Abdussalam Hasyim Hafizh dari Madiah Al-Munawwarah, Arab Saudi.


Pengumuman pemenang telah diumumkan di Karachi, Pakistan pada 1398H dan telah mendapat liputan akhbar secara besar-besaran. Untuk penyerahan hadiah, satu acara khas yang penuh meriah telah diadakan pada 1399H di Makkah dengan dihadiri oleh ramai tokoh-tokoh.

Tersebarnya buku Ar-Rahiq Al-Makhtum adalah hasil usaha dari Rabithah Al-Alam Al-Islami yang telah menyebarkan kajian yang menjadi juara dalam pertandingan tersebut dalam bentuk buku, dan diterbitkan dalam banyak bahasa.


Sumber : http://muzir.wordpress.com

Jumaat, 9 April 2010

Sultan Abdul Hamid ke-2

Oleh: Mohd Aizam bin Mas'od

Firman Allah swt di dalam surah an-Nur ayat 55 yg berbunyi

Maksudnya: Dan Allah telah berjanji kepada orang-orang yang beriman di antara kamu dan mengerjakan amal-amal soleh bahwa dia sungguh2 akan menjadikan mereka berkuasa di bumi, sebagaimana dia telah menjadikan orang2 yang sebelum mereka berkuasa, dan sungguh Dia akan meneguhkan bagi mereka agama yang telah diredhainya untuk mereka dan Dia benar-benar akan menukar keadaan mereka, sesudah mereka berada dalam ketakutan menjadi aman sentosa. Mereka tetap menyembahKu dengan tiada mempersekutukan sesuatu apapun dengan Ku. Dan barangsiapa yang telah kafir sesudah janji itu maka mereka itulah orang-orang yang fasiq.

Demikianlah firman Allah swt yang menyebut bahawa Allah menjanjikan kepada umat ini manusia yang taat dan patuh kepadanya untuk memegang tampuk pemerintahan di dunia bahkan merekalah yang akan mengembalikan manusia kepada kebenaran Islam dan menunaikan perintah2 Allah di muka bumi. Justeru itu khutbah yang akan disampaikan oleh khatib pada hari ini adalah berkenaan dengan salah seorang insan ulung yang terpilih yang telah dianugerahkan oleh Allah kepada umat ini suatu ketika dahulu. Beliau adalah Sultan Islam pada zaman Empayer Islam Uthmaniyah yang terakhir, iaitu Sultan Abdul Hamid ke 2

Sultan Abdul Hamid ke 2 dilahirkan pada hari Rabu 21/9/1842. Nama penuh baginda adalah Abdul Hamid Khan ke 2 bin Abdul Majid Khan. Beliau adalah putera kepada Sultan Abdul Majid. Ibunya meninggal dunia ketika beliau berusia 7 tahun. Pada 31 Ogos 1876 (1293H) Sultan Abdul Hamid dilantik menjadi Sultan dengan disertai bai’ah oleh umat Islam. Ketika itu umur beliau 34 tahun. Beliau diberikan kepimpinan sebuah empayer yang sangat besar yang ketika itu dalam keadaan tenat dan tegang.

Cabaran paling besar yang dihadapi oleh Sultan Abdul Hamid pada zaman pemerintahan beliau adalah apabila semua pihak bersekongkol menjatuhkannya, ini termasuklah pihak Yahudi. Pada tahun 1901 seorang pemilik bank Yahudi, Mizray Qraow dan 2 lagi pemimpin Yahudi yang berpengaruh datang melawat Sultan Abdul Hamid dengan tawaran:

1- Membayar semua hutang kerajaan Islam Uthmaniyah

2- Membina angkatan tentera laut Kerajaan Islam Uthmaniyah

3- 35 Juta lira emas tanpa bunga untuk membantu perkembangan negara Islam Uthmaniyah

Semua tawaran ini dibuat pihak Yahudi sebagai pertukaran kepada permohonan berikut:

1- Membenarkan Yahudi melawat Palestin pada bila-bila masa yang mereka suka dan untuk tinggal seberapa lama yang mereka mahu iaitu melawat tempat2 suci.

2- Membenarkan Yahudi membina penempatan di tempat mereka tinggal di Palestin dan mereka mahukan tempat yang hampir dengan Baitul Maqdis.

Namun begitu Sultan Abdul Hamid langsung enggan bertemu mereka, apalagi untuk menerima tawaran mereka. Beliau hanya mengutuskan jawapan beliau melalui Tahsin Pasha yang berbunyi:

“Beritahu orang-orang Yahudi yang tidak beradab itu bahawa hutang-hutang kerajaan Uthmaniyah bukanlah sesuatu yang nak dimalukan, Perancis juga mempunyai hutang-hutangnya dan itu tidak memberikan apa-apa kesan kepadanya. Baitul Maqdis menjadi sebahagian dari Bumi Islam ketika Umar al-Khattab mengambil kota itu dan aku tidak akan sekali-kali menghina diriku dalam sejarah dengan menjual bumi suci ini kepada Yahudi dan aku tidak akan menodai tanggungjawab dan amanah yang diberikan oleh ummah ini kepadaku. Biarlah Yahudi-yahudi itu menyimpan wang mereka, umat Islam Uthmaniyah tidak akan bersembunyi di dalam kota-kota yang dibina dengan wang musuh-musuh Islam”. Sultan Abdul Hamid juga menyuruh mereka pergi dan jangan sekali-kali datang berjumpa dengan beliau lagi.

Hakikat sebenarnya kewangan Yahudilah yang membiayai kejatuhan Kerajaan Islam Uthmaniyah. Mereka sanggup memberikan apa saja kerana mereka tahu selagi Khilafah Islam terus wujud di muka bumi ini walau selemah manapun mereka tidak akan dapat menubuhkan sebuah Negara Yahudi di bumi Palestin.

Namun begitu Yahudi tidak berputus asa dengan kegagalan mempengaruhi Sultan Abdul Hamid. Pada akhir tahun yang sama 1901 pengasas gerakan Zionis Theodor Hertzl melawat Istanbul dan cuba bertemu dengan Sultan Abdul Hamid. Sultan Abdul Hamid enggan bertemu Hertzl dan mengarahkan Ketua Jemaah Menterinya berkata:

“Nasihatkan Dr. Hertzl supaya tidak mengambil apa-apa langkah seterusnya dalam projeknya. Aku tidak boleh memberikan walau segenggam dari tanah Palestin ini kerana ia bukan milikku, ia adalah milik umat Islam seluruhnya. Umat Islam yang telah berjihad demi bumi ini dan mereka telah membasahinya dengan darah-darah mereka. Yahudi boleh menyimpan jutaan wang mereka.

Sekiranya Khilafah Islam ini dimusnahkan pada suatu hari mereka boleh mengambil Palestin tanpa bayaran! Tetapi selagi aku masih hidup aku lebih rela sebilah pedang merobek tubuhku daripada melihat bumi Palestin pecah dan diberikan keluar dari Negara Islam. Ini (penjualan Palestin) adalah sesuatu yang tidak akan berlaku, aku tidak akan memotong-motong tubuh kami selagi kami masih hidup”. Inilah pendirian Sultan Abdul Hamid di saat-saat kehancuran Khilafah Islam, merupakan sifat keperibadian yang bertepatan dengan firman Allah di dalam surah al-Maidah ayat 54:

Maksudnya: Hai orang-orang beriman barangsiapa yang murtad di antara kamu maka kelak Allah akan mendatangkan satu kaum yang Allah mencintai mereka dan mereka pun mencintai Allah yang bersikap lemah lembut terhadap orang-orang mukmin yang bersikap keras terhadap orang2 kafir, yang berjihad di jalan Allah dan tidak takut kepada celaan orang yang suka mencela. Itulah kurniaan Allah diberikan kepada sesiapa yang dikehendakinya dan Allah Maha Luas pemberianNya lagi Maha Mengetahui.

Kegagalan Yahudi untuk memujuk Sultan Abdul Hamid samalah dengan usaha Britain dan Perancis yang sejak sekian lama mahu menghancurkan Daulah Islam Uthmaniyah, tetapi istilah Jihad masih lagi cukup bertenaga untuk membuatkan seluruh Eropah menggeletar. Eropah masih gerun terhadap Empayer Turki Uthmaniyah. Pernah suatu ketika Perancis merancang mengadakan pementasan drama teater yang diambil dari hasil karya Voltaire (seorang pemikir Eropah) yang menghina Rasulullah saw, ia juga menghina Zaid dan Zainad.

Sebaik sahaja mengetahui berita pementasan itu, Sultan Abdul Hamid telah memberi amaran kepada pemerintah Perancis melalui dutanya di Paris supaya memberhentikan pementasan drama itu dan mengingatkan akan kesan politik yang bakal dihadapi Perancis jika ia meneruskan pementasan itu. Perancis dengan serta merta membatalkannya. Kumpulan teater itu datang ke England untuk merancang melakukan pementasan yang serupa dan sekali lagi Sultan Abdul Hamid memberi amaran kepada England.

England menolak amaran itu dengan alasan tiket2 telah pun dijual dan pembatalan drama itu adalah bertentangan dengan prinsip kebebasan rakyatnya. Setelah mendengar jawapan itu, Sultan Abdul Hamid sekali lagi memberi amaran: Saya akan mengeluarkan perintah kepada umat Islam dengan mengisytiharkan bahawa England sedang menyerang dan menghina Rasulullah kami! Saya akan isytiharkan Jihad al-Akbar. Britain dengan serta merta melupakan dakwaannya mengamalkan kebebasan bersuara dan pementasan drama itu dibatalkan.

Lihatlah walaupun Khilafah Uthmaniyah berada dalam keadaan tenat namun ia masih lagi dihormati di arena antarabangsa dan perkataan Jihad sudah cukup menggerunkan kuasa-kuasa Besar Barat. Sultan Abdul Hamid masih mampu campurtangan untuk melindungi kepentingan umat Islam dalam urusan dunia yang global.

Ketegasan dan keberanian Sultan Abdul Hamid ini mengingatkan kita kepada firman Allah di dalam surah al-Anfal ayat 60:

Maksudnya: Dan siapkanlah untuk menghadapi kekuatan apa saja yang kamu sanggupi dan daripada kuda-kuda yang ditambat untuk berperang (yang mana dengan persiapan itu) kamu dapat menggentarkan musuh-musuh Allah, musuhmu dan orang-orang selain mereka yang kamu tidak mengetahuinya sedang Allah mengetahuinya. Apa saja yang nafkahkan pada jalan Allah nescaya akan dibalas dengan cukup kepadamu dan kamu tidak akan dizalimi.

Dengan kegagalan inilah, maka British akhirnya mengambil keputusan menggunakan polisi luarnya yang paling penting, ‘Pecah dan Perintah’. British mula menyokong kumpulan-kmpulan baru seperti ‘Turki Mudi’ dan ‘Arab Muda’. Apabila ‘Turki Muda’menjadi berpengaruh di dalam Negara Islam, Britain hanya perlu berpeluk tubuh, membiarkan ‘Turki Muda’ ini meneruskan usaha mereka.

‘Turki Muda’ memulakan aliran kebangsaan dan prejudis di kalangan penduduk bangsa Turki di dalam Negara Islam. Kesannya bangsa Arab, Armenia, Kurdish dan lain-lain termasuklah Tanah Melayu jauh selepas itu juga mahukan aliran kebangsaan bagi bangsa mereka sendiri. Mereka mula merasakan semangat kebangsaan sebagai sebahagian dari perpaduan mereka, tidak lagi sebagai Islam sebagai asas perpaduan mereka dan inilah titik mulanya kejatuhan Khilafah Islam.

Kemudiannya ketika Perang Dunia Pertama bangsa Arab telah bersekongkol dengan British dan Perancis dan melancarkan revolusi ke atas Sultan Uthmaniyah. Mereka kemudiannya bebas dari khilafah Islam yang kemudiannya dijajah oleh British dan Perancis yang akhirnya belot ke atas mereka.

Semasa pemerintahan Sultan Abdul Hamid beliau tidak pernah melupakan pembangunan negaranya. Inilah bukti bahawa sesebuah negara Islam itu apabila berpegang dengan Islamnya maka ia boleh menjadi maju dan moden semuanya adalah kerana segala ushanya mendapat keberkatan daripada Allah sswt. Sewaktu pemerintahan Sultan Abdul Hamid beliau banyak membina institusi dan perkhidmatan kepada rakyat. Tenterea Uthmaniyah pula bukanlah selemah yang dipropagandakan oleh musuh. Bahkan ketenteraan kerajaan Islam Uthmaniyah merupakan yang paling kuat di dunia. Tentera lautnya pula tersusun rapi dan diakui yang ketiga terkuat selepas British dan Perancis.

Sejarah juga mencatatkan hutang Kerajaan Islam Uthmaniyah adalah pada kadar 2.528 juta lira emas Uthmaniyah. Ketika Sultan Abdul Hamid dijatuhkan hutang tersebut hanya tinggal 106 juta lira. Beliau berjaya menurunkan hutang sehingga 1/20 daripada jumlah asalnya. Namun Turki Muda yang berkuasa selepas itu kembali menaikkan hutang Turki sebanyak 300%.

Inilah salah satu petanda keperibadian Sultan Abdul Hamid di dalam pemerintahan negara bahkan satu empater yang besar, yang meliputi dua pertiga dunia tetapi beliau tidak pernah bersikap pecah amanah di dalam memegang amanah Allah sebagai pemimpin tertinggi umat Islam, tidak seperti apa yang berlaku di kalangan pemimpin2 umat Islam hari ini yang sering kita dengar dengan masalah yang berkait dengan skandal kewangan, korupsi, pecah amanah dan sebagainya.

Sultan Abdul Hamid juga bahawa satu-satunya harapan bagi umat Islam adalah Kesatuan Ummah yang jitu Sultan Abdul Hamid menyedari bahawa kuasa-kuasa kuffar Barat senantiasa cuba memecahbelahkan Negara Islam dan kemudiannya menguasai setiap satu secara berasingan. Oleh sebab itu Kesatu Ummah diperlukan. Beliau tidak henti2 menyedarkan ummah tentang konsep khilafah sebagai pemimpin seluruh dunia Islam.

Namun begitu akhirnya, pada hari Selasa, 27 April 1909, 240 ahli senat Kerajaan Uthmaniyah bersetuju disamping tekanan kuat gerakan Turki Muda Kebangsaan untuk menyingkirkan Sultan Abdul Hamid.

Gerakan Turki Muda Kebangsaan akhirnya mengambil alih kuasa dan Mustafa Kamal ataturk membatalkan Khilafah Islam pada tahun 1924. Buat pertama kalinya dalam sejarah umat Islam, kepimpinan Islam yang bersatu semenjak zaman Rasulullah saw dan para sahabat rah, hilang. Perang Salib berakhir dengan kemenangan bagi Barat.

Setelah kita mendengar sedikit sebanyak riwayat hidup tokoh besar Islam Sultan Abdul Hamid di sini kita dapat menyimpulkan bahawa kejatuhan Khilafah Utmaniyah bukan merupakan satu yang mudah dilupakan. Sultan Abdul Hamid pernah mengingatkan kepada kita bahawa kejatuhan Khilafah Islam, akhirnya akan membawa kepada kejatuhan Tanah Palestin ke tangan umat Kuffar Yahudi. Dan ianya jelas telah berlaku pada hari ini.

Oleh kerana itu pada hari ini, ummah diseru agar bangkit dari kehancuran yang pernah berlaku di dalam peperangan Arab-Israel 1967, dari kehancuran Peperangan Bosnia, Peperangan Checnya, peperangan Kashmir, perang Moro, perang Afghanistan dan yang terbaru peperangan Bush sekutu Yahudi untuk memerangi seluruh umat Islam di dunia bila dia mengisytiharkan dalam satu upacaranya bahawa tahun 2002 merupakan tahun perang dan seluruh belanjawan Amerika akan dijuruskan kepada ketenteraan. Ummah perlu sedar bahawa tanpa khilafah Islam mereka tiada kekuatan. Tanpa kesatuan mereka menjadi hidangan musuh, tanpa jihad mereka terus dalam kehinaan.

Semoga dengan ini kita akan kembali jelas dan yakin bahawa perjuangan ini adalah untuk menegakkan semula khilafah Allah di muka bumi dan bukan sekadar membina sebuah negara Islam dalam ertikata yang sempit.

Selasa, 6 April 2010

Surah al Isra' dan Realiti Yahudi Dari Tafsiran Dr Fadhal Hasan Abbas.


Oleh: Ustaz Mohd Aizam Mas'od

Prof. Dr. Fadhal Hassan ‘Abbas, seorang pensyarah tafsir di University of Jordan di dalam bukunya tentang al-Israk wal Mikraj, beliau mempunyai tafsiran yang berbeza berbanding tafsiran para ulama klasik di dalam ayat 4 dan 6 daripada surah al-Israk. Di dalam ayat ke-4 yang berbunyi:

] وقضينا إلى بني إسرائيل في الكتاب لتفسدن في الأرض مرتين, ولتعلن علوا كبيرا [

Bermaksud: Dan kami telah tetapkan terhadap Bani Israel di dalam kitab itu: Sesungguhnya kamu (Bani Israel) akan membuat kerosakan di muka bumi ini dua kali dan pasti kamu akan menyombongkan diri dengan kesombongan yang besar.

Di dalam mentafsirkan ayat ini, Dr. Fadhal mengatakan bahawa orang-orang Yahudi telah ditetapkan oleh Allah s.w.t semenjak di Lauh Mahfuz lagi bahawa mereka akan melakukan kerosakan, kebinasaan dan kehancuran sebanyak dua kali selama mana mereka wujud di atas muka bumi ini. Maka jelas kepada kita bahawa kerosakan yang pertama dilakukan oleh mereka masanya telah pun berlalu iaitu semenjak mereka diutuskan oleh Allah dengan para anbiya sehinggalah perutusan Nabi Isa a.s.

Kita dapati di dalam sejarah mereka, dipenuhi dengan kekejaman dan kehancuran.Mereka adalah bangsa yang dicop oleh Allah sebagai bangsa yang paling banyak mengkhianati janji, bahkan mereka merupakan bangsa yang paling kejam kerana merekalah bangsa yang paling banyak membunuh para Rasul dan Nabi-nabi utusan Allah s.w.t. Bukannya seorang dua Nabi tetapi lebih daripada seorang bahkan ramai sebagaimana yang digambarkan di dalam al-Qur’an al-Karim di dalam surah al-Baqarah ayat 61:

] ذلك بأنهم كانوا يكفرون بآيات الله ويقتلون النبيين بغير الحق ذلك بما عصوا وكانوا يعتدون [

Bermaksud: Mereka itu (orang Yahudi ) telah kufur dengan ayat-ayat Allah dan mereka juga membunuh Nabi-nabi utusan Allah tanpa sebab, demikian itu kerana mereka itu selalu berbuat derhaka dan melampaui batas.

Bahkan hakikatnya tidak ada perbuatan yang lebih kejam dan lebih zalim di dunia daripada perbuatan membunuh para nabi dan rasul utusan Allah s.w.t. Inilah sebenarnya kebinasaan atau kehancuran pertama yang dimaksudkan oleh Allah s.w.t yang mana ianya berlaku sebelum kebangkitan Nabi Muhammad s.a.w.

Kemudian di dalam ayat 6 Allah s.w.t menceritakan pula bagaimana Allah s.w.t akan memberikan sekali lagi kepada golongan Yahudi untuk membuat kerosakan di atas muka bumi ini bahkan ianya merupakan kerosakan terakhir buat mereka sebelum Allah s.w.t mengazab mereka di akhir zaman sebelum berlakunya Qiyamat dan yg lebih pedih di akhirat nanti. Allah berfirman di dalam ayat 6 surah al-Israk berbunyi:

] ثم رددنا لكم الكرة عليهم وأمددناكم بأموال وبنين وجعلناكم أكثر نفيرا [

Bermaksud: Kemudian kami berikan kepadamu giliran sekali lagi (buat kali kedua) untuk mengalahkan mereka kembali (orang Islam) dan kami limpahkan kamu dengan harta kekayaan dan anak pinak dan kami jadikan kamu kelompok yang lebih besar.

Kata Dr. Fadhal sewaktu mentafsirkan ayat ini, ini merupakan ayat yang sangat jelas menunjukkan kerosakan dan kebinasaan yang akan dilakukan oleh orang Yahudi buat kali kedua malahan ianya disokong dengan 4 perkara sebagaimana yg tersebut di dalam ayat ini.

Pertama: Perkataan (Karrah) di dalam ayat ini membawa makna Negara. Iaitu di akhir zaman nanti orang Yahudi akan mendapat sebuah negara untuk tempat tinggal mereka, walaupun sepanjang sejarah Yahudi, tidak pernah mempunyai sebuah negara, negara di sini sudah tentulah bermaksud Baitulmaqdis sendiri.

Kedua: Mereka akan mempunyai ekonomi yg kukuh. Sebagaimana diperjelaskan di dalam ayat (wa amdadnaakum bi amwaal) yg bermaksud kami limpahkan kamu dengan harta benda. Jelas kepada kita bahawa pada hari ini ekonomi dunia dikuasai oleh oleh orang Yahudi.

Ketiga: Mereka akan mempunyai keturunan yang ramai. Sebagaimana di dalam ayat ini yang menyebut kalimah (baniin) bermaksud anak pinak. Lihatlah pada hari ini orang Yahudi telah lama mengembangkan keturunannya dengan mengahwinkan anak2 perempuan mereka dengan berbagai bangsa dan keturunan yang ada di dunia. Bahkan bangsa mereka telah berjaya menguasai banyak orang besar politik dunia hanya dengan mngahwinkan anak2 perempuan cantik mereka.

Keempat: Mereka akan mempunyai pasukan tentera yang ramai. Ini jelas di dalam tafsiran ayat (aksara nafiiraa) yang ditafsirkan oleh Dr. Fadhal dengan makna pasukan tentera. Tafsiran ini sebenarnya tepat kerana pada hari ini kita telah melihat bagaimana kelengkapan persenjataan ketenteraan yang terdapat pada askar Yahudi, ditambah pula dengan sokongan ala tentera oleh Barat terutamanya Amerika, Britain dan selainnya. Semuanya ini menunjukkan bahawa mereka sudah mula mempunyai kekuatan ketenteraan berbeza dengan sejarah kaum Yahudi sebelum kedatangan Nabi Muhammad s.a.w sehinggalah kejatuhan Empayer Islam Turki yang tidak pernah mempunyai sebarang kekuatan dari sudut ketenteraan..

Perhatikanlah baik-baik apa yang dimaksudkan oleh ayat 6 di dalam surah al-Israk ini sekiranya kita mentafsirkannya sebagaimana yang difahami oleh Dr. Fadhal Hassan Abbas, seorang ulama tafsir kontemporari di Jordan. Kita akan dapati ianya benar-benar bertepatan dengan realiti orang Yahudi pada hari ini.

Bayangkan kalau dahulu orang Yahudi mampu berbuat kerosakan tanpa mereka mempunyai sebuah negara, tanpa mempunyai ekonomi yang kukuh, tanpa mempunyai keturunan yang ramai malah tanpa mempunyai bala tentera.Tetapi pada hari ini sepertimana ayat yang kita sebutkan tadi…mereka telah mempunyai segala-galanya.Itulah sebab pada hari ini mereka tanpa teragak-agak berani mengishtiharkan Baitulmaqdis sebagai pusat pentadbiran negara mereka bahkan bakal menjadi Pusat Pentadbiran Dunia bagi orang Yahudi kerana bagi orang Yahudi dunia adalah milik mereka semata-mata…Dan jangan kita terkejut sekiranya orang Yahudi sewenang-wenangnya membunuh kanak2 Palestin tanpa sebarang perasaan belas kasihan….kerana mereka itulah juga pada fasa pertama kerosakan dan kebinasaan mereka dahulu, membunuh nabi2 dan rasul2 utusan Allah…umpama memancung Nabi Yahya, menggergaji Nabi Zakaria dan cubaan membunuh Nabi Isa a.s.

Mengingat kembali saat-saat kejatuhan Baitulmaqdis ianya berlaku ketika runtuhnya Empayer Islam Turki, kota Suci akhirnya diletakkan di bawah mandat Inggeris. Pihak Inggeris kemudiannya menjanjikan sebuah negara bagi umat Yahudi di Palestin melalui Perisytiharan Balfour (1917). Ketika itulah imigran Yahudi dari Eropah mulai membanjiri Palestin.

Persidangan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) pada 1947 telah menghasilkan resolusi untuk membahagi Palestin menjadi dua, iaitu 55 peratus wilayah Palestin menjadi milik Yahudi dan selebihnya untuk Arab. Dan setahun kemudian, pada 1948, diumumkan lahirnya negara Israel dengan Tel Aviv menjadi ibu kotanya.

Walaupun begitu PBB tetap menganggap Baitulmaqdis menjadi milik pihak Arab di Palestin. Wilayah Arab Palestin, termasuk Baitulmaqdis dianggap menjadi sebahagian daripada Jordan. Oleh sebab itu kita mengatakan tidak pernah mana-mana pihak di seluruh dunia mengiktiraf kekuasaan Israel terhadap Baitulmaqdis termasuk PBB, tetapi hari ini Presiden Israel dan Amerika Syarikat telah berani membuat kenyataan membawa maksud bahawa Baitulmaqdis akan menjadi milik Yahudi bahkan tempat peribadatan orang Yahudi.

Apa yang dapat kita katakan, kalau inilah ketetapan Allah s.w.t, sebenarnya Dia ingin menguji sejauh mana keimanan kita kepadaNya, sejauh mana komitmen kita untuk percaya kepada janji2 Allah yang menetapkan bahawa agamanyalah yang pasti mendapat kemenangan di suatu masa kelak. Marilah kita sama2 merenung akhir surah al-Israk ayat 108 yang berbunyi:

] ويقولون سبحان ربنا إن كان وعد ربنا مفعولا [

Bermaksud: Dan orang Mukmin itu hanya berkata: Maha suci Tuhan kami, sesungguhnya janji2 Tuhan kami pasti akan terjadi.

Mungkin inilah akidah yg dipegang oleh salah seorang pemimpin pejuang Palestin ketika ditanya wartawan tentang intifadhah dia menjawab; Hakikatnya rakyat Palestin mempunyai dua pilihan: sama ada menyerah atau terus menentang. Wartawan bertanya pula, Bijakkah membiarkan penduduk Palestin yang lemah menjadi mangsa dengan meneruskan penentangan ini? Dia menjawab: Saya ingin menjawab dengan menanyakan soalan ini. Bijakkah kami mengangkat tangan dan menerima penjajahan?

Inilah jawapan yg keluar daripada mulut seorang pejuang tulen Islam, seorang yg berjuang atas dasar imannya kepada janji-janji Allah s.w.t, bahawa kemenangan adalah kurniaan Allah…dia hanya sekadar berusaha dan berjihad, biarpun seketul batu menjadi senjatanya dia tetap mulia di sisi Allah s.w.t berbanding dengan kita yg belum diuji oleh Allah dgn keadaan sedemikian…