Sabtu, 5 Januari 2013

Hukum Hakam Berkenaan Bermukim Dan Berhijrah Dari Perspektif Feqah Islam




Hukum Pertama :

Permukiman terbaik seorang muslim adalah tempat yang dia boleh melakukan ketaatan di dalamnya.

Orang Islam diperintahkan untuk mencari tempat yang paling hampir dan mudah untuk melakukan ketaatan kepada Allah, tempat yang paling membantu memelihara urusan agama. Inilah perkara yang disepakati oleh semua fuqaha' tanpa khilaf.

Ibnu Taimiyah berkata : 

Pemilihan tempat bermukim adalah setiap tempat yang memiliki ruang untuk lebih taat kepada Allah dan Rasul dan lebih berupaya untuk melakukan kebaikan dan pahala dan juga lebih bertenaga dan subur untuk pelaksanaan perintah agama. Ini kerana, semulia-mulia makhluk Allah adalah yang paling bertakwa.
(Majmu' al Fatawa 27/39).

Hukum Kedua:

Hijrah menjadi wajib kepada setiap muslim apabila agamanya terganggu. 

Tempat dimana terhalangnya aqidah daripada dizahirkan dan syariat agama dari dilaksanakan sama ada bumi itu bumi kafir atau bumi islam yang ditawan kafir atau bumi Islam yang dikuasai oleh pemerintah yang berhukum bukan dengan hukum Islam dan menahan penduduknya dari melaksanakan syiar Islam dan menzahirkan aqidahnya.

Maka ini semua adalah dianggap negeri yang terancamnya aqidah islam yang mesti ditinggalkan kerana kemaslahatan menjaga agama. Hijrah ketika itu adalah wajib dan tidak diberi keuzuran bagi muslim untuk tidak berhijrah kecuali kepada mereka yang lemah dengan sebab sekatan penzalim atau terlampau tua yang tidak mampu berpindah randah atau masih belum mukallaf seperti kanak-kanak dan orang gila atau perempuan yang tidak ditemani mahram dan perjalanan pula tidak aman. Jika jalan itu aman, wanita juga wajib berhijrah, walaupun tanpa mahram dan kenderaan yang sesuai.
(al Wala' wa Bara' 274).

Bukti paling jelas dalaam isu ini ialah hijrah Nabi saw yang berhijrah meninggalkan bumi yang mulia, Mekah al Mukarramah apabila ruang  untuk beragama dan berdakwah menjadi semakin sempit.

Al Mardawi berkata:

Hijrah menjadi wajib kepada mereka yang tidak berkemampuan untuk menzahirkan syiar agama di negara kafir harbi tanpa khilaf lagi. Namun ia terikat dengan syarat kemampuan. Jika berkemampuan maka hijrah menjadi wajib walaupun kepada perempuan dalam idah tanpa mahram dan kenderaan yang sesuai. 
( al Insaf 4/121 ).

Ibnu Taimiyah apabila ditanya tentang negeri Mardin apakah penduduknya wajib berhijrah sedangkan negeri itu sudah dijajah oleh tentera Tatar. Dia menjawab : Penduduk di situ jika tidak mampu lagi menegakkan agamanya, maka wajiblah berhijrah. Jika masih mampu maka hanya digalakkan belum lagi wajib.
( Majmu' al Fatawa 28/240 ).

Hukum ketiga

Seseorang muslim wajib bermukim di tempat yang keberadaannya di situ ada satu kemestian.
Seorang muslim yang bermukim di satu tempat dan permukimannya menjadi jalan untuk menolong Islam dan menjaga negeri atau mempertahankannya atau meringankan kemudaratan yang mendatang atau menghalangnya dari mudarat yang semakin parah.

Sama ada negeri itu negeri Islam yang dibimbangi akan dikuasai oleh musuh dengan sebab berhijrahnya penduduk atau bertambah ramainya musuh jika berlaku hijrah, atau pun negeri itu negeri kafir harbi yang diduduki oleh kaum muslimin di sebahagian juzuknya yang berasingan dari orang kafir dan mereka boleh menzahirkan Islam, yang dibimbangi jika mereka keluar darinya. Maka, kuasa kafir mengambil tempat kuasa Islam itu.
(Mughni Al Muhtaj 4/239).

Di dalam Hasyiyah Qalyubi di sebut :

" Seorang muslim yang tinggal di negeri kafir atau di negeri Islam yang dikuasai oleh orang kafir digalakkan baginya hijrah jika tiada harapan baginya untuk memberi bantuan kepada orang Islam dengan permukiman disitu. Dia juga tidak mampu untuk berpisah dari orang kafir. Jika ada harapan untuk melakukan demikian maka permukimannya disitu adalah lebih baik. Begitu juga jika ia mampu untuk berpisah dari orang kafir maka hijrah juga adalah haram supaya orang kafir tidak menguasai tempat itu dan mengubahnya menjadi negeri kafir.

Jika tidak berlaku semua ini maka hijrah menjadi wajib walaupun kepada perempuan tanpa mahram
(Hasyiyah Qalyubi 4/227).

Hukum keempat

Tempat yang sama sahaja untuk bermukim atau berhijrah ialah jika sesebuah negeri itu sama sahaja dari segi kebolehan menzahirkan agama dan aqidah atau menghalang darinya.

Demikian juga tiada keperluan bagi kaum muslimin untuk menentukan tempat tertentu bagi membantu kaum muslimin atau menyebar dakwah atau menuntut ilmu. Maka yang terbaik ketika itu seorang muslim memilih tempat di negeri Islam yang dikuasai kaum muslimin.

Makruh baginya bermukim di negeri kafir atau di negeri Islam yang dikuasai kafir. Ini kerana permukiman di kalangan kaum muslimin dapat meramaikan bilangan mereka mempereratkan persaudaraan Islam, menyaksikan kebaikan dan menyelami isu-isu kemaslahatan Islam dan kaum muslimin.
(al Mabshut 10/75).

Begitu juga digalakkan untuk memilih tempat-tempat yang dipuji Nabi s.a.w untuk bermukim seperti Syam, Yaman atau berdekatan dengan Makkah dan Madinah.

Hukum ke lima

Kadang-kadang bermukim di negeri kafir harbi atau negeri Islam yang telah dikuasai oleh musuh lebih baik dari berhijrah ke negeri Islam.

Ini berlaku apabila ada ruang yang masih boleh diharapkan untuk membantu kaum muslimin sekalipun tidak boleh berpisah dengan kaum kafir. Namun, masih memiliki kebebasan untuk syiar mengiklankan aqidah. Digalakkan ketika itu bagi ummat islam untuk bermukim di negeri kafir.

(Mughni al Muhtaj 4/239).

Hukum ke enam :

Apabila permukiman seorang muslim di negeri kafir harbi atau bersama kaum musyrikin yang merampas  negeri Islam adalah dengan perintah pemerintah kaum muslimin.

Ini berlaku dengan tujuan keselamatan atau seumpamanya. Dalam keadaan ini, permukiman seorang muslim bersama dengan kaum musyirikin walaupun terpaksa menyembunyikan agama atau beriltizam dengan agama secara senyap.

Maka wajiblah melakukan demikian kepada mereka yang telah ditetapkan oleh pemerintah islam untuk melaksanakannya.

Di dalam kitab Mughni al Muhtaj dicatatkan selepas kenyataan mengenai kewajipan berhijrah dari negeri kafir harbi kepada negeri Islam :

Dikecualikan daripada kewajipan berhijrah sesiapa yang permukimanya disitu membawa kemaslahatan kepada kaum muslimin.

Ibnu Abdul Bar dan beberapa ulama' lain menyebut bahawa Islamnya Al Abbas sebenarnya di Mekah lagi sebelum perang Badar tetapi dia menyembunyikan Islamnya. Dia lah yang menulis kepada Nabi s.a.w membawa berita-berita kaum musyrikin. 

Orang Islam percaya kepadanya. Dia mahu berhijrah kepada Rasulullah s.a.w maka Nabi s.a.w mengutuskan kepadanya surat supaya terus bermukim di Mekah dan itu lebih baik. Dia hanya menzahirkan Islamnya pada hari pembukaan kota Mekah

(Mughni Muhtaj 4/239).



Mutiara Kefahaman Salaf Mengenai Siasah Dan Kepimpinan.




Siasah adalah menguruskan kepentingan awam demi memelihara kemaslahatan mereka. Kepimpinan pula adalah wasilah siasah dalam semua peringkat dan institusi. Siasah dan kepimpinan menurut Islam adalah satu implementasi dari kefahaman yang benar dari cahaya ilmu al Quran dan as Sunnah dalam menguruskan kehidupan manusia sejagat.

Al Imam at Thabari mempunyai pandangan yang bernas ketika menafsirkan ayat 79 surah aly Imran yang membawa metod yang sebenar dalam pengambilan dan penyampaian ilmu kitab. Iaitu firman Allah;


Bermaksud : 

" Tidaklah patut bagi seseorang manusia yang Allah berikan kepadanya Kitab agama dan hikmat serta pangkat Nabi, kemudian dia tergamak mengatakan kepada orang ramai: “Hendaklah kamu menjadi orang-orang yang menyembahku dengan meninggalkan perbuatan menyembah Allah”. Tetapi (sepatutnya ia berkata): “Hendaklah kamu menjadi orang-orang Rabbaniyin, kerana kamu sentiasa mengajarkan isi Kitab Allah itu, dan kerana kamu selalu mempelajarinya. "

Surah aly Imran : 79.

Rabbaniyyin menurut Iman at Thabari ialah :
Mereka yang menguruskan manusia sesuai dengan kemaslahatan mereka. Justeru, seseorang alim yang mendalami kefahamannya dan matang kebijaksanaannya adalah golongan pembawa kemaslahatan ( muslih ) kepada umat manusia, melalui ilmu dan ajaran yang baik serta dakwah pemulihan yang dilakukannya. Dia semestinya seorang yang berhikmah dan bertaqwa kepada Allah.

Begitu juga seorang pemerintah yang menguruskan kepentingan masyarakat awam di atas minhaj ( landasan ) yang dianjurkan oleh konsep keadilan dan islah ( reformasi ) dengan memandu umat manusia mencapai kejayaan dan pulangan keuntungan untuk agama dan dunia mereka, manfaat cepat dan lambat mereka.

Golongan ini semua layak bergelar rabbaniyyun. Justeru rabbaniyyun adalah toggak masyarakat manusiawi dalam kefahaman yang betul terhadap ajaran Islam dan kepimpinan yang bijaksana dalam meperturunkan ilmu yang betul ke medan sebenar. 

Maka rabbaniyyun lebih hebat dari ulama dan pendeta ( ahbar ), sebagaimana kata Mujahid, kerana rabbani bukan sahaja penghimpun ilmu dan fiqh, namun juga berpandangan tajam mengenai siasah dan tadbir dalam menguruskan hal ehwal rakyat demi maslahat dunia dan agama. 
( at Thabari, Jamiul Bayan: 6/543-544 ).

Maka jelas di kalangan para salafussoleh bahawa siasah dan kepimpinan adalah medan sebenar perlaksanaan agama dan ia adalah institusi terpenting untuk dikawal sedia dengan etika agama. Para ilmuan dan negarawan adalah dua golongan paling berpengaruh untuk melangsungkan semangat rabbaniah di dalam kehidupan manusia. Justeru ulama' salafussoleh terlibat langsung dalam memberi konsep yang betul berdasarkan disiplin keilmuan Islam dalam soal siasah dan kepimpinan.

Karya rujukan yang ditulis oleh ulama' Islam dalam topik ini memang banyak. Cuma kita di sini ingin melihatnya dari sudut penghayatan mereka melalui khazanah karyawan yang mencatatkan biografi mereka. Ia menjadi satu lagi sumber yang tidak dapat dipinggirkan di dalam menilai kefahaman para salafussoleh mengenai isu ini. Dibawakan di sini beberapa contoh yang penuh pelajaran dan tauladan.

Harga sebuah kerajaan tidak lebih dari segelas air.

Tercatat dalam kitab "Syadzraat dzahab fii akhbaari man dzahab"  karangan Ibnul Imaad al-Hanbali (1/336), ketika mencatatkan biografi Khalifah Harun ar-Rasyid rahimahullah, berikut nukilannya:

Pada suatu hari Ibnu Samak pernah masuk ke istana Harun ar-Rasyid, maka ar-Rasyid meminta untuk dibawakan air minum untuknya. Berkata Ibnu Samak kepada beliau: "Wahai amirul mu'minin! Demi Allah, saya bertanya kepadamu, jika seandainya engkau terhalang dari meminum air ini, berapa dirhamkah akan engkau bayar? Beliau menjawab: "Dengan setengah kerajaanku".

Ibnu Samak bertanya lagi: " Kalau seandainya setelah kamu meminumnya lantas tidak boleh keluar dari badanmu, berapa banyak akan kamu bayar? Beliau menjawab: "Dengan setengah lagi dari kekuasaanku". Ibnu Samak lantas mengatakan kepadanya: "Sungguh kerajaanmu nilainya tidak lebih dari segelas air. Oleh kerana itu tidak selayaknya untuk saling berlumba-lumba untuk mendapatkanya".
 
Kemarahan pemerintah lebih ringan dari kemurkaan Allah Azza wa jalla.

Di nukil dari kitab "Al-Aqdul Farid" ( 4/25 ) karangan Ibnu Abdirabihi :

Pada suatu hari Jami' al-Mahaaribi masuk berjumpa Hajajj bin Yusuf  - 

Jami' al-Mahaaribi adalah seorang syeikh yang soleh, pemidato terulung, bijaksana dan berbudi pekerti. Beliau adalah orang yang pernah mengatakan kepada al-Hajjaj tatkala membangun kota Wasith: "Engkau membangunnya bukan di negeri asalmu, dan akan diwarisi oleh selain keturunanmu".

Beliau menemui al-Hajjaj, maka al-Hajjaj mengeluh kepadanya tentang buruknya perangai penduduk Iraq di mana mereka juga enggan mentaatinya serta mengeluhkan mengenai buruknya tanggapan mereka terhadap beliau.

Syeikh Jami' berkata kepadanya: 

"Adapun mereka itu, seandainya mencintaimu tentu mereka akan mentaati dirimu. Apa urusan mereka dengan kamu? Engkau tidak ada ikatan nasab dengan mereka. Begitu juga ini bukan negerimu, tidak pula engkau membuat mereka merasa tenang. Buanglah jauh-jauh dari fikiranmu yang membuat mereka malah bertambah jauh darimu. Berfikirlah agar mereka boleh dekat denganmu. Jadilah orang yang suka memaafkan kepada orang yang lebih rendah darimu, maka orang yang di atasmu akan membalasnya.  Hendaklah ancaman itu selaras dengan (perkaranya), dan berilah mereka janji yang baik".

Maka al-Hajjaj membalas: 
"Saya tidak ada pilihan lain supaya Bani al-Lukai'ah kembali mentaatiku melainkan dengan menggunakan pedangku ini". 

Dijawab oleh Syeikh Jami': 

"Sesungguhnya jika pedang sudah bertemu dengan pedang, maka tidak ada lagi pilihan". Berkata al-Hajaj: "Pilihan pada waktu itu diserahkan kepada Allah Ta'ala". Beliau menjawab: "Benar perkataanmu, namun kamu tidak tahu pada siapa Allah akan menjatuhkan pilihannya".

Al-Hajjaj menjawab: 

"Sesungguhnya dirimu termasuk orang yang pandai berperang, bukankah begitu". Beliau lantas menjawab dengan untaian bait syair:
Al-Harb itulah nama kami, dan kami orang yang pandai berperang. Jika kami berperang tentu dengan sebab yang benar
 Al-Hajaj berkata: "Demi Allah, sesungguhnya saya berkeinginan untuk mencabut lidahmu lalu saya pukul wajahmu".

Syaikh Jami' menjawab: 

"Jika kami berkata jujur, kami membuat kamu marah. Namun jika kami berpura-pura dan membuat kamu senang, maka kami telah membuat  Allah murka. Kemarahan pemimpin itu lebih ringan dari pada kemurkaan Allah Azza wa jalla ".
Al-Hajjaj mengatakan: "Benar (apa yang kamu katakan)". Kemudian beliau pun diam.

Masyarakat tidak mungkin menjadi baik melainkan dengan keadilan

Disebutkan dalam kitab "Bidayah wa Nihayah" (10/126) oleh Ibnu Kathir ketika beliau mencatatkan biografi Khalifah al-Abas Abdullah bin Muhammad bin Ali Abu Ja'far al-Manshur rahimahullah, di mana beliau pernah mengatakan kepada anaknya al-Mahdi:

 "Sesungguhnya khalifah tidak layak disandang kecuali oleh orang yang bertakwa, kepemimpinan tidak layak dipegang melainkan bagi orang yang taat kepada Allah. (Ingatlah) masyarakat tidak akan menjadi baik melainkan jika diperlakukan dengan adil. Manusia yang terbaik pula adalah orang yang suka memberi maaf sedangkan dirinya mampu untuk menjatuhkan hukuman kepadanya. Manusia yang paling kurang akalnya adalah orang yang menzalimi orang lain yang di bawah kekuasaannya.

Wahai anak ku !                Sentiasalah mengiringi sesebuah nikmat dengan rasa syukur, sertailah kekuatan dengan senang memberi maaf pada (orang lain), ketaatan dengan lemah lembut, dan ikutilah kemenangan dengan rendah diri dan menyayangi orang lain. Jangan lupakan (untuk mengambil) bahagianmu di dunia serta bahagianmu dari rahmatnya Allah Azza wa jalla".

Diamlah! Fir'aun binasa dahulunya kerana campur tangan Haman.

Disebutkan sebuah kisah dalam kitab "Siraajul Muluuk" ( ms 51), demikian juga dalam kitab "al-Wara'" oleh Imam Ahmad (ms 162), juga dalam kitab "Muqadimah Jarh wa Ta'dil" (ms 14), mengenai biografi Imam Qudwah, ahli ibadah, yang faqih Sufyan bin Sa'id bin Masruuq al-Thauri al-Kufii rahimahullah, sebagai berikut:

Berkata Sufyan al-Thauri: 

"Ketika Abu Ja'far al-Mansyur melaksanakan ibadah haji, dia berkata: "Sekarang saya perlukan Sufyan sebagai pemandu ibadahku". Maka para pengawalnya pun sibuk menyebar di sekitar Ka'bah guna mencari dan mengawasiku, mereka pun menemukanku ketika hari sudah menjelang malam lalu saya dibawa untuk mengadapnya. 

Ketika saya sudah berdiri di hadapannya, dia menyuruh supaya saya mendekat kepadanya, kemudian mengatakan: "Kenapa kamu enggan untuk mendatangi kami, supaya kami boleh meminta pendapat serta fatwa darimu dalam urusan kami. Apa yang kamu perintahkan kepada kami, kami akan mematuhinya, dan apa yang kamu larang untuk kami, kami akan menjauhinya".

Maka saya bertanya kepadanya: "Berapa banyak wang yang telah engkau keluarkan untuk perjalanan ibadah ini? Dia menjawab: " Saya tidak tahu sepastinya, tapi saya punya orang-orang yang amanah yang boleh saya percayai ".

Lalu saya katakan: 

"Dengan apa kamu akan memberi alasan esok (pada hari kiamat), ketika dirimu berdiri di hadapan Allah Azza wa jalla, manakala Allah bertanya kepadamu tentang harta tersebut? Sedangkan kamu hanya mempercayakan kepada orang lain. (Lihatlah kepada) Umar bin Khatab semoga Allah meredainya, tatkala dia pergi menunaikan haji, beliau bertanya kepada pembantunya: "Berapa banyak biaya yang telah kamu keluarkan untuk perjalanan ini? Pembantunya menjawab: "Wahai Amirul Mu'minin, (biaya yang di keluarkan semuanya) lapan belas dinar".

Dia menjawab: 

"Apa engkau menyangka kalau kami menggunakan harta (tersebut) dari baitul muslimin, bukankah kamu telah mengetahui apa yang pernah diceritakan kepada kita oleh Mansyur bin Amaar sedangkan engkau hadir pada saat itu, sebagai orang pertama yang menulis hadis darinya di antara orang-orang yang berada di majlis tersebut, (dia mengatakan, telah meriwayatkan) dari Ibrahim dari al-Aswad dari al-Qamah dari sahabat Ibnu 
Mas'ud bahwa Rasulallah Shalallahu 'alaihi wa salam pernah bersabda:

قال رسول الله صلى الله عليه و سلم :(( رب متخوض في مال الله ومال رسول الله فيما شاءت نفسه له النار غدًا )) [رواه الترمذي وصححه الألباني]

"Berapa ramai orang yang menggunakan harta Allah dan harta RasulNya mengikut keinginan nafsunya, nanti tempatnya di neraka di hari esoknya ( hari kiamat )".   
HR. Tirmizi dan disahihkan oleh alBani

Abu Ubaid seorang bendaharanya mengatakan: "Apakah Amirul Mu'minin boleh menerima diperlakukan seperti ini? Maka Sufyan berkata kepadanya: "Diamlah, hanyalah saja yang membuat hancur Fir'aun dahulunay adalah Hamaan. Demikian pula sebaliknya".


  


Isnin, 1 Oktober 2012

Solat Pembuktian Tauhid.


Solat urusan terpenting selepas tauhid, pembuktian pertama kepada iman, wahyu pertama untuk nabi-nabi as selepas wahyu ubudiyyah dan keperibadian utama Nabi kita Muhammad saw.

1.       Solat terpenting selepas tauhid dalam semua syariat.

Allah berfirman;
[5] Pada hal mereka ( ahli kitab terdahulu ) tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah dengan mengikhlaskan ibadat kepadaNya, lagi tetap teguh di atas tauhid; dan supaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat. Demikian itulah agama yang benar.

Demikian kedudukan  solat yang tidak pernah terubah dengan berubahnya syariat mana-mana nabi dan umat. Allah swt menamakannya sebagai syariat pengiring kepada tauhid dan ubudiyyah.
Ini dijelaskan lagi dengan hadith yang diriwayatkan dari al Harith al Ashaari, sabda Rasulullah saw:
 إِنَّ اللَّهَ أَمَرَ يَحْيَى بْنَ زَكَرِيَّا بِخَمْسِ كَلِمَاتٍ أَنْ يَعْمَلَ بِهَا ، وَيَأْمُرَ بَنِي إِسْرَائِيلَ ، أَنْ يَعْمَلُوا بِهَا ، وَإِنَّهُ كَادَ أَنْ يُبْطِئَ بِهَا ، فَقَالَ عِيسَى : إِنَّ اللَّهَ أَمَرَكَ بِخَمْسِ كَلِمَاتٍ لِتَعْمَلَ بِهَا وَتَأْمُرَ بَنِي إِسْرَائِيلَ ، أَنْ يَعْمَلُوا بِهَا ، فَإِمَّا أَنْ تَأْمُرَهُمْ وَإِمَّا أَنْ آمُرَهُمْ ، فَقَالَ يَحْيَى : أَخْشَى إِنْ سَبَقْتَنِي بِهَا أَنْ يُخْسَفَ بِي أَوْ أُعَذَّبَ ، فَجَمَعَ النَّاسَ فِي بَيْتِ الْمَقْدِسِ فَامْتَلَأَ الْمَسْجِدُ وَقَعَدُوا عَلَى الشُّرَفِ ، فَقَالَ : إِنَّ اللَّهَ أَمَرَنِي بِخَمْسِ كَلِمَاتٍ أَنْ أَعْمَلَ بِهِنَّ وَآمُرَكُمْ أَنْ تَعْمَلُوا بِهِنَّ ، أَوَّلُهُنَّ : أَنْ تَعْبُدُوا اللَّهَ وَلَا تُشْرِكُوا بِهِ شَيْئًا ، وَإِنَّ مَثَلَ مَنْ أَشْرَكَ بِاللَّهِ كَمَثَلِ رَجُلٍ اشْتَرَى عَبْدًا مِنْ خَالِصِ مَالِهِ بِذَهَبٍ أَوْ وَرِقٍ ، فَقَالَ : هَذِهِ دَارِي ، وَهَذَا عَمَلِي فَاعْمَلْ وَأَدِّ إِلَيَّ ، فَكَانَ يَعْمَلُ وَيُؤَدِّي إِلَى غَيْرِ سَيِّدِهِ ، فَأَيُّكُمْ يَرْضَى أَنْ يَكُونَ عَبْدُهُ كَذَلِكَ ، وَإِنَّ اللَّهَ أَمَرَكُمْ بِالصَّلَاةِ فَإِذَا صَلَّيْتُمْ فَلَا تَلْتَفِتُوا ، فَإِنَّ اللَّهَ يَنْصِبُ وَجْهَهُ لِوَجْهِ عَبْدِهِ فِي صَلَاتِهِ مَا لَمْ يَلْتَفِتْ .
"Allah saw perintahkah Yahya bin Zakariyya as lima perkara supaya dia beramal dan dia perintahkan Bani Israel untuk mengamalkannya. Yahya as terlewat sedikit menyampaikannya.
Lalu Isa as berkata: Allah perintahkan kamu lima perkara supaya engkau mengamalkannya dan engkau perintahkannya Bani Israel untuk mengamalkannya. Samada engkau yang perintahkannya atau aku yang perintahkannya. Yahya berkata: Aku takut jika engkau mendahului maka aku akan dihukum atau diazab.
Maka dia himpunkan orang ramai di Baitil Maqdis sehingga penuh masjid dan mereka terpaksa duduk di serambi. Yahya berkhutbah: Sesungguhnya Allah swt telah perintahkan aku lima perkara supaya aku lakukannya dan supaya aku perintahkan kamu pula melakukannya.
Pertamanya hendaklah kamu perhambakan diri kepada Allah swt dan jangan syirikkannya sesiapapun. Sesungguhnya perumpamaan seseorang yang mensyirikkan tuhannya seperti seorang lelaki yang membeli seorang hamba dengan emas atau perak dari hartanya sepenuhnya. Kemudian dia berkata: Inilah rumahku dan ini pula kerjaku. Engkau berkerjalah dan tunaikan ( hasilnya ) kepadaku. Tiba-tiba hamba itu berkerja dan menunaikan ( hasilnya ) kepada orang lain dari tuannya. Siapalah di antara kamu yang suka hambanya menjadi sedemikian rupa.
Maka Allah swt perintahkan kamu supaya bersembahyang. Apabila kamu bersembahyang maka janganlah kamu berpaling-paling. Lantaran Allah menegakkan wajahnya ke wajah hambanya di dalam solatnya selama mana dia belum berpaling .
Hadith riwayat at Turmuzi (2863): Hasan Gharib, Ibnu Khuzaimah (1895) Ibn Hibban dan al Hakim ( Mawarid az Zam'aan-1550 ). al Albani: Sahih al Isnad ( Sahih al Jami' as Shaghir-1720).

2.       Solat petanda taubat dari kekufuran.

Firman Allah;
فَإِذَا انْسَلَخَ الْأَشْهُرُ الْحُرُمُ فَاقْتُلُوا الْمُشْرِكِينَ حَيْثُ وَجَدْتُمُوهُمْ وَخُذُوهُمْ وَاحْصُرُوهُمْ وَاقْعُدُوا لَهُمْ كُلَّمَرْصَدٍ ۚ فَإِنْ تَابُوا وَأَقَامُوا الصَّلَاةَ وَآتَوُا الزَّكَاةَ فَخَلُّوا سَبِيلَهُمْ ۚ إِنَّ اللَّهَ غَفُورٌ رَحِيمٌ

Kemudian apabila habislah (masa) bulan-bulan yang dihormati itu maka bunuhlah orang-orang musyrik itu di mana sahaja kamu menemuinya, dan tawanlah mereka, dan juga keponglah mereka, serta tunggulah mereka di tiap-tiap tempat mengintipnya. Kemudian jika mereka bertaubat (dari kekufurannya) dan mendirikan sembahyang serta memberi zakat, maka biarkanlah mereka (jangan diganggu). Sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. [surah at taubah: 5]
Ayat ini menjadikan solat sebagai bukti taubatnya si kafir harbi dalam peperangan. Maka terpeliharalah darah dan diterimalah taubat mereka. Mereka ketika itu adalah saudara seislam yang wajib dipertahankan sebagaimana ayat selepasnya menyebut;
فَإِنْ تَابُوا وَأَقَامُوا الصَّلَاةَ وَآتَوُا الزَّكَاةَ فَإِخْوَانُكُمْ فِي الدِّين


Oleh itu, jika mereka bertaubat (dari kekufuran), dan mendirikan sembahyang serta memberi zakat, maka mereka itu adalah saudara kamu yang seagama. [surah attaubah: 11]

عَنِ ابْنِ عُمَرَ رَضِيَ اللَّهُ تَعَالَى عَنْهُمَا أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ : أُمِرْتُ أَنْ أُقَاتِلَ النَّاسَ حَتَّى يَشْهَدُوا أَنْ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ ، وَأَنَّ مُحَمَّدًا رَسُولُ اللَّهِ ، وَيُقِيمُوا الصَّلَاةَ ، وَيُؤْتُوا الزَّكَاةَ ، فَإِذَا فَعَلُوا ذَلِكَ ، عَصَمُوا مِنِّي دِمَاءَهُمْ وَأَمْوَالَهُمْ ، إِلَّا بِحَقِّ الْإِسْلَامِ ، وَحِسَابُهُمْ عَلَى اللَّهِ تَعَالَى رَوَاهُ الْبُخَارِيُّ وَمُسْلِمٌ .
Dari Ibn Umar ra, bahawa RAsulullah saw bersabda: Aku diperintahkan memerangi manusia sehinggalah mereka saksikan bahawa tiada tuhan yang yang disembah melainkan Allah, Muhammad pula Rasulullah. Mereka melaksanakan solat dan menyerah zakat. Apabila mereka lalukan demikian, terpeliharalah mereka dari ku darah dan harta mereka kecuali dengan kebenaran Islam. Perhintungan mereka terpulang kepada Allah.
HR al Bukhari dan muslim.



Sabtu, 18 Ogos 2012

PANDUAN SOLAT SUNAT RAYA CARA NABI S.A.W.



Penulis: Ustaz Mohd Yaakub bin Mohd Yunus
Disemak oleh: Ustaz Mohd Fikri Che Hussain


SOLAT AIDILFITRI DAN AIDILADHA

Disyari’atkan bagi seluruh umat Islam untuk mengerjakan solat sebanyak dua rakaat apabila tibanya dua hari perayaan iaitu Aidilfitri dan Aidiladha.


HUKUM SOLAT HARI RAYA

Ulamak berbeza pendapat tentang hukum solat Aidilfitri dan Aidiladha. Bagi kebanyakan umat Islam di Malaysia mereka berpegang kepada pendapat bahawa hukum solat tersebut adalah sunat mu’akkadah (yang dituntut). Ulamak yang berpegang kepada pendapat ini berpandangan bahawa dengan wujudnya hadis-hadis yang menyatakan solat yang hukumnya wajib hanyalah solat lima waktu membuktikan solat pada Hari Raya tidak termasuk di dalam kumpulan solat yang wajib. Antara hadis yang dijadikan pegangan mereka adalah sabda Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam:

خَمْسُ صَلَوَاتٍ كَتَبَهُنَّ اللَّهُ عَلَى الْعِبَادِ مَنْ جَاءَ بِهِنَّ لَمْ يُضَيِّعْ مِنْهُنَّ شَيْئًا اسْتِخْفَافًا بِحَقِّهِنَّ

كَانَ لَهُ عِنْدَ اللَّهِ عَهْدٌ أَنْ يُدْخِلَهُ الْجَنَّةَ.

Maksudnya:

Ada lima solat yang diwajibkan Allah ke atas hamba-hamba-Nya. Maka siapa yang mengerjakannya dan tidak mensia-siakan walau satu pun di antaranya disebabkan menganggap mudah, Allah berjanji akan memasukkannya ke dalam syurga. - Hadis riwayat Imam al-Nasa’i dalam Sunannya, Kitab al-Sholaah, no: 457.

Selain dari hadis di atas mereka juga berhujah dengan riwayat daripada Thalhah bin ‘Ubaidillah, dia berkata:

جَاءَ رَجُلٌ إِلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مِنْ أَهْلِ نَجْدٍ ثَائِرَ الرَّأْسِ يُسْمَعُ دَوِيُّ صَوْتِهِ

وَلاَ يُفْقَهُ مَا يَقُولُ حَتَّى دَنَا فَإِذَا هُوَ يَسْأَلُ عَنْ الْإِسْلاَمِ.

فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ:

خَمْسُ صَلَوَاتٍ فِي الْيَوْمِ وَاللَّيْلَةِ.

فَقَالَ: هَلْ عَلَيَّ غَيْرُهَا.

قَالَ لاَ إِلاَّ أَنْ تَطَوَّعَ.

Seorang lelaki Najd datang kepada Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam dengan kepala penuh debu. Kami mendengar suaranya tetapi tidak mengerti apa yang diucapkannya sehingga dia mendekatkan diri kepada Rasulullah. Kemudian dia bertanyakan perihal Islam. Maka Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
Solat Lima waktu dalam sehari semalam.
Kemudian dia kembali bertanya: Apakah ada lagi selain itu?
Rasulullah pun menjawab: Tidak ada lagi kecuali jika anda suka mengerjakan solat sunat.

– Hadis riwayat Imam al-Bukhari dalam Shahihnya, Kitab al-Imaan, no: 46.

Bagi ulamak yang berpendapat solat pada Hari Raya itu fardu ‘ain atau wajib, mereka melihatkan kesungguhan Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam di dalam menganjurkan para sahabat untuk mengerjakannya sebagai bukti kewajipannya. Malah baginda sendiri tidak pernah gagal untuk mengerjakan solat Hari Raya.

Bahkan baginda memerintahkan para wanita yang sedang haid untuk turut serta menghadirkan diri di musolla hanya untuk menyaksikan upacara solat Hari Raya tersebut. Tambahan pula bagi wanita yang tidak memiliki pakaian yang sempurna untuk menutup aurat telah diperintahkan untuk dipinjamkan pakaian kepada mereka hanya semata-mata untuk turut serta di musolla.

Ummu ‘Athiyah radhiallahu’ anha telah berkata:

أُمِرْنَا أَنْ نَخْرُجَ فَنُخْرِجَ الْحُيَّضَ وَالْعَوَاتِقَ وَذَوَاتِ الْخُدُورِ. قَالَ ابْنُ عَوْنٍ: أَوْ الْعَوَاتِقَ ذَوَاتِ الْخُدُورِ,

فَأَمَّا الْحُيَّضُ فَيَشْهَدْنَ جَمَاعَةَ الْمُسْلِمِينَ وَدَعْوَتَهُمْ وَيَعْتَزِلْنَ مُصَلَّاهُمْ.

Maksudnya:

Kami telah diperintahkan (oleh Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam) untuk keluar, maka kami memerintahkan wanita-wanita yang sedang haid, para gadis dan wanita-wanita pingitan untuk keluar. Ibnu ‘Aun berkata: “atau wanita-wanita pingitan,” dan wanita-wanita yang haid diperintahkan (Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam) agar menyaksikan jamaah kaum muslimin dan dakwah mereka serta menjauhi tempat solat. - Hadis riwayat Imam al-Bukhari dalam Shahihnya, Kitab al-‘Iedaini, no: 981.

Bagi wanita yang tidak memiliki pakaian sempurna untuk bersolat Hari Raya, Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

لِتُلْبِسْهَا صَاحِبَتُهَا مِنْ جِلْبَابِهَا فَلْيَشْهَدْنَ الْخَيْرَ وَدَعْوَةَ الْمُؤْمِنِينَ.

Maksudnya:

(Jika dia tidak mempunyai jilbab) hendaklah temannya meminjamkan jilbabnya, sehingga dia dapat menyaksikan kebaikan dan dakwah orang-orang mukmin.

- Hadis riwayat Imam al-Bukhari dalam Shahihnya, Kitab al-‘Iedaini, no: 980.

Pandangan akan wajibnya solat Hari Raya ini diperkuatkan lagi dengan hakikat bahawa solat Hari Raya ini dapat menggugurkan kewajipan solat Jumaat jika keduanya terjadi pada hari yang sama. Hanya sesuatu yang wajib dapat mengugurkan kewajipan yang lain. Dalil yang menunjukkan kewajipan solat Jumaat gugur sekiranya ianya serentak dengan Hari Raya adalah:

عَنْ إِيَاسِ بْنِ أَبِي رَمْلَةَ الشَّامِيِّ قَالَ: شَهِدْتُ مُعَاوِيَةَ بْنَ أَبِي سُفْيَانَ وَهُوَ يَسْأَلُ زَيْدَ بْنَ أَرْقَمَ.

قَالَ: أَشَهِدْتَ مَعَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عِيدَيْنِ اجْتَمَعَا فِي يَوْمٍ. قَالَ: نَعَمْ.

قَالَ:فَكَيْفَ صَنَعَ." قَالَ: "صَلَّى الْعِيدَ ثُمَّ رَخَّصَ فِي الْجُمُعَةِ.

فَقَالَ: مَنْ شَاءَ أَنْ يُصَلِّيَ فَلْيُصَلِّ.

Maksudnya:

Dari Iyas bin Abi Ramlah al-Syami, dia berkata: Aku pernah menyaksikan Mu’awiyah bin Abi Sufyan yang sedang bertanya kepada Zaid bin Arqam. Dia bertanya: Apakah engkau menyaksikan Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam menghadiri dua Hari Raya (Hari Raya dan hari Jumaat) yang berkumpul dalam satu hari? Dia menjawab: Ya. Mu’awiyah bertanya: Lalu apa yang baginda kerjakan? Dia menjawab: Baginda mengerjakan solat Hari Raya, kemudian baginda memberikan keringanan dalam hal (mengerjakan) solat Jumaat dan bersabda: Barangsiapa yang ingin solat (Jumaat) maka hendaklah dia solat.

- Hadis riwayat Imam Abu Dawud dalam Sunannya, Kitab al-Sholaah, no: 904.

Syaikh al-Islam Ibnu Taymiyyah rahimahullah di dalam Majmu’ Fatawa (jilid 23, ms. 161) berkata:

… oleh kerana itu, kami mentarjih (menguatkan) bahawa solat ‘Ied itu wajib bagi setiap individu muslim, sebagaimana pendapat Abu Hanifah dan lain-lainnya. Dan ini merupakan salah satu pendapat al-Syafi’i, dan ia merupakan salah satu dari dua pendapat di dalam mazhab Ahmad.

Adapun pendapat mereka yang menyatakan tidak wajib maka ia benar-benar jauh (dari kebenaran), kerana ia termasuk salah satu syi’ar agama Islam yang paling agung. Dan orang-orang yang berkumpul untuk mengerjakannya lebih banyak dari solat Jumaat. Di dalamnya disyari’atkan bacaan takbir. Sedangkan pendapat orang yang menyatakan bahawa solat ‘Ied merupakan fardu kifayah, sama sekali tidak kuat… - Dinukil dari kitab Ahkaam al-‘Iedain fis Sunnah al-Muthaharah (Edisi terjemahan dengan tajuk Meneladani Rasulullah S.a.w. Dalam Berhari Raya) ditulis oleh Syaikh ‘Ali Hassan bin ‘Ali al-Halabi al-Atsari, ms. 47-48.

Syaikh Kamal bin al-Sayyid Salim pula berkata:

Pendapat yang kuat adalah pendapat pertama (iaitu hukumnya wajib), yang berdasarkan kepada dalil-dalil di atas. Sedangkan pendapat yang menyatakan bahawa solat Hari Raya hukumnya sunat mu’akkadah adalah pendapat yang lemah, kerana hadis seorang Badwi tidak boleh dijadikan dalil, ia hanya menyebut solat lima waktu untuk menguatkan kewajipannya secara terus-menerus pada setiap siang dan malam harinya. Sedangkan solat-solat yang lain wajib dilakukan hanya pada waktu-waktu tertentu dan jarang. – rujuk Abu Malik Kamal bin As-Sayyid Salim bertajuk Shahih Fiqh as-Sunnah wa Adillatuhu wa Taudhih Madzahib al-A’immah, jilid 1, ms. 924.

Apa pun jua pendapat yang dipegang sama ada wajib mahupun sunat mu’akkadah, ketahuilah bahawa baginda shallallahu ‘alaihi wasallam amat menitik-beratkan agar kesemua umat Islam memenuhi musolla termasuk kaum wanita sebagaimana yang tercatat di dalam hadis-hadis di atas. Ini berbeza dengan amalan kebanyakan umat Islam di Malaysia yang mana kaum wanita hanya ditinggalkan di rumah untuk menyiapkan apa-apa persediaan yang diperlukan di rumah sempena budaya rumah terbuka pada hari Lebaran. Budaya sedemikian rupa perlu dikikis. Berusahalah untuk membawa seluruh isi keluarga untuk menghadirkan diri bagi mengerjakan solat Hari Raya. Setelah selesai solat Hari Raya boleh teruskan apa jua agenda yang berupaya menggembirakan keluarga anda asalkan tidak bertentangan dengan syari’at.


TEMPAT PERLAKSANAAN SOLAT HARI RAYA ADALAH DI MUSOLLA

Mengerjakan solat Hari Raya di musolla merupakan satu amalan yang hampir tidak dilakukan di Malaysia melainkan beberapa kelompok kecil manusia yang benar-benar kuat berpegang kepada sunnah Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam. Apakah itu musolla dan apakah perbezaannya dengan masjid? Al-Hafidz Ibnu Hajar al-Asqalani rahimahullah berkata:

Adapun perbezaan di antara musolla dan masjid adalah bahawa musolla berada di tempat terbuka (seperti padang-pen) sehingga khatib dapat melihat semua hadirin. Sedangkan masjid berada di dalam sebuah tempat (bangunan-pen) yang tertutup, sehingga terkadang seorang khatib hanya dapat melihat sebahagian sahaja para hadirin. Solat Hari Raya disunnahkan untuk dilakukan di musolla, dan tidak dilakukan di masjid kecuali apabila di dalam keadaan darurat (seperti hujan, angin kencang dan lainnya-pen).

- Al-Hafidz Ibnu Hajar al-Asqalani, Fathul Baari, jilid 5, ms.282.

Dalil yang menunjukkan disunnahkan untuk mengerjakan solat Hari Raya di musolla adalah sebuah hadis daripada Abu Sa’id al-Khudri, dia berkata:

كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَخْرُجُ يَوْمَ الْفِطْرِ وَالأَضْحَى إِلَى الْمُصَلَّى.

فَأَوَّلُ شَيْءٍ يَبْدَأُ بِهِ الصَّلاَةُ.

Maksudnya:

Pada hari Aidilfitri dan Aidiladha, Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam keluar menuju musolla. Ketika itu yang pertama baginda lakukan adalah solat Hari Raya.

- Hadis riwayat Imam al-Bukhari dalam Shahihnya, Kitab al-‘Iedaini, no: 956.

Ketahuilah bahawa solat di Masjid Nabawi itu adalah seribu kali lebih baik dari bersolat di masjid-masjid lain. Ini sebagaimana sabda baginda shallallahu ‘alaihi wasallam:

صَلاَةٌ فِي مَسْجِدِي هَذَا خَيْرٌ مِنْ أَلْفِ صَلاَةٍ فِيمَا سِوَاهُ إِلاَّ الْمَسْجِدَ الْحَرَامَ.

Maksudnya:

Solat di masjidku ini (iaitu Masjid Nabawi) adalah lebih baik dari seribu kali solat di masjid lainnya kecuali Masjidil Haram (di Mekah al-Mukarramah). - Hadis riwayat Imam al-Bukhari dalam Shahihnya, Kitab al-Jamaah, no: 1190.

Namun ternyata meskipun dengan keutamaan sebesar ini Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam tetap memerintahkan para sahabat untuk mendirikan solat Hari Raya di musolla.

Ibnu Qudamah rahimahullah di dalam al-Mughni (jilid 3, ms. 260) berkata:

Mengerjakan solat Hari Raya di musolla adalah sunnah, kerana dahulu Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam keluar ke tanah lapang dan meninggalkan masjidnya (iaitu Masjid Nabawi). Demikian pula para khulafa’ al-Rasyidin. Dan ini merupakan kesepakatan kaum muslimim.

Mereka telah sepakat pada setiap zaman dan tempat untuk keluar ke tanah lapang ketika solat Hari Raya.

- Penulis nukil dari artikel bertajuk Bimbingan Berhari Raya Idul Fithri yang disusun oleh Abu Sulaiman Aris S, ms. 40.

Tentang hikmah diselenggarakan solat Hari Raya di musolla, Syaikh Abu Ubaidah Masyhur bin Hasan telah berkata:

Sesungguhnya mengerjakan dua solat Hari Raya di tanah lapang (musolla) memiliki hikmah yang besar. Di antaranya adalah seluruh kaum muslimin setidaknya boleh berkumpul bersama dua kali selama setahun. Semua orang dari penjuru negeri berkumpul di sebuah tempat, baik lelaki, perempuan mahupun kanak-kanak. Mereka semua menghadap Allah dengan hati yang penuh konsentrasi, dikumpulkan dengan satu kalimat (kalimat tauhid), solat di belakang seorang imam, membaca takbir dan tahlil bersama dan berdoa kepada Allah dengan penuh ikhlas. Seakan-akan hati mereka terikat menjadi satu, merasa bahagia dan mensyukuri nikmat Allah yang telah dilimpahkan kepada mereka. Dengan demikian, Hari Raya benar-benar memiliki erti yang agung bagi mereka.

- Syaikh Abu Ubaidah Masyhur bin Hasan, Al-Qawl al-Mubiin fii Akhthaa’ al-Musholliin, (edisi terjemahan dengan tajuk Koreksi Total Ritual Solat, Pustaka Azzam, Jakarta 2001), ms. 394.

Menurut Syaikh Wahid Abdussalam pula:

Para ulamak telah mengemukakan sejumlah hikmahnya:

Berkumpulnya kaum muslimin di satu tempat untuk menampakkan kejayaan kaum muslimin.

Berkumpulnya kaum muslimin di tempat terbuka yang terlihat awal dan akhirnya disertai takbir dan tahlil, dapat menguatkan keimanan dan memantapkan keyakinan.

Keluarnya kaum muslimin di satu tempat, dewasa dan kanak-kanak, laki-laki dan perempuan, adalah salah satu fenomena kegembiraan pada Hari Raya.

Tercerai-berainya kaum muslimin di beberapa masjid pada hari yang diberkahi ini menyebabkan perselisihan hati dan tercerai-berainya kalimat.

Kaum muslimin memakai pakaian baru dan berkumpul di satu tempat dengan bertakbir, bertahlil, solat dan mendengarkan nasihat (khutbah), adalah salah satu bentuk rasa syukur kepada Allah, Rabb semesta Alam yang berfirman

وَلِتُكْمِلُوا الْعِدَّةَ وَلِتُكَبِّرُوا اللَّهَ عَلَىٰ مَا هَدَاكُمْ وَلَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ

Maksudnya:
Dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan), dan supaya kamu membesarkan Allah (dengan bertakbir) kerana mendapat petunjuk-Nya, dan supaya kamu bersyukur. - al-Baqarah (2) : 185

Berkumpulnya kaum muslimim di dalam pemandangan yang disegani ini dapat menggentarkan para musuh agama dan membuat marah kaum kafir.

- Syaikh Wahid Abdussalam Bali, Al-Kalimat al-Nafi’ah fil Akhtha’ asy-Sya’iah, ms. 298-299.

Namun begitu janganlah disebabkan di Malaysia solat Hari Raya tidak dilaksanakan di musolla maka ada yang beranggapan tidak perlu untuk menunaikan solat tersebut kerana menghindari amalan bid’ah. Menunaikan solat Hari Raya di masjid telah dibenarkan oleh Imam al-Syafi’i rahimahullah sekiranya masjid tersebut mampu menampung seluruh penduduk di daerah tersebut. Imam al-Syafi’i berkata:

Jika sesebuah masjid di dalam sebuah daerah dapat menampung seluruh penduduk, maka menurut saya mereka tidak perlu lagi pergi ke tanah lapang (untuk mengerjakan solat Hari Raya). Tetapi jika tidak dapat menampung seluruh penduduk, maka tidak dianjurkan melakukan solat ‘Ied di dalamnya.

- Dinukil daripada Fathul Baari, jilid 5, ms. 283.

Dari fatwa Imam al-Syafi’i ini maka al-Hafidz Ibnu Hajar al-Asqalani rahimahullah telah membuat kesimpulan seperti berikut:

Dari sini dapat disimpulkan, bahawa permasalahan ini sangat bergantung kepada luas atau sempitnya sesuatu tempat, kerana diharapkan pada Hari Raya itu seluruh masyarakat dapat berkumpul di suatu tempat. Oleh kerana itu, jika hal itu dapat dilakukan di dalam masjid, maka melakukan solat Hari Raya di dalam masjid lebih utama dari di tanah lapang.

- al-Hafidz Ibnu Hajar al-‘Asqalani, Fathul Baari, jilid 5, ms. 283.

Apapun jua bagi penulis mencontohi Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam adalah lebih utama kerana hadis-hadis baginda bersifat umum tanpa meletakkan sebarang syarat berkaitan keluasan atau kesempitan sesebuah masjid dalam menentukan tempat untuk dilaksanakan solat Hari Raya. Wallahu a’lam.

Oleh itu sewajarnya umat Islam di Malaysia berusaha untuk mengembalikan pengamalan sunnah Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam yang semakin dipinggirkan ini. Alangkah indahnya sekiranya seluruh kepimpinan tertinggi di Malaysia melaksanakan solat Aidilfitri dan Aidiladha bersama rakyat jelata di tanah-tanah lapang di daerah masing-masing.


TATACARA SOLAT HARI RAYA

q Waktu Mengerjakan Solat Hari Raya.
Waktu untuk mengerjakan solat Hari Raya adalah setelah terbitnya matahari setinggi tombak sehingga tergelincirnya matahari iaitu waktu dhuha. Disunnahkan untuk dilewatkan solat Aidilfitri agar memberikan kesempatan mereka yang belum menunaikan zakat fitrah untuk menyempurnakannya. Manakala bagi solat Aidiladha disunnahkan untuk mempercepatkannya bagi memudahkan untuk menguruskan penyembelihan haiwan korban setelah solat tersebut.

Tiada Solat Sunat sebelum Dan Sesudah Solat Hari Raya.

أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ خَرَجَ يَوْمَ الْفِطْرِ فَصَلَّى رَكْعَتَيْنِ لَمْ يُصَلِّ قَبْلَهَا وَلاَ بَعْدَهَا.

Maksudnya:

Daripada Ibnu ‘Abbas bahawasanya Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam keluar pada Hari Raya al-Fithri kemudian solat dua rakaat dan tidak solat sebelumnya dan tidak pula sesudahnya. - Hadis riwayat Imam al-Bukhari dalam Shahihnya, Kitab al-‘Iedaini, no: 989.

Namun di Malaysia ini solat Hari Raya dikerjakan di masjid-masjid. Maka perlu untuk dilaksanakan solat Tahiyyatul Masjid kerana secara umumnya setiap kali seseorang masuk ke dalam masjid adalah disyari’atkan untuk dikerjakan solat sunat dua rakaat Tahiyyatul Masjid.

q Tiada Seruan Azan atau Iqamah.
Tidak ada azan atau iqamah mahupun apa-apa ucapan sebelum solat Hari Raya. Dari Ibnu ‘Abbas radhiallahu’ anh:

أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ صَلَّى الْعِيدَ بِلاَ أَذَانٍ وَلاَ إِقَامَةٍ.

Maksudnya:

Bahawa Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam melaksanakan solat Hari Raya tanpa azan dan tanpa iqamah. - Hadis riwayat Imam Abu Dawud dalam Sunannya, Kitab al-Sholaah, no: 968.

Apa yang jelas baginda shallallahu ‘alaihi wasallam setibanya di musolla lalu terus mendirikan solat Hari Raya. Ini sebagaimana disampaikan oleh Abu Sa’id al-Khudri, dia berkata:

كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَخْرُجُ يَوْمَ الْفِطْرِ وَالأَضْحَى إِلَى الْمُصَلَّى.

فَأَوَّلُ شَيْءٍ يَبْدَأُ بِهِ الصَّلاَةُ.

Maksudnya:

Pada hari Aidilfitri dan Aidiladha, Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam keluar menuju musolla. Ketika itu yang pertama baginda lakukan adalah solat Hari Raya. - Hadis riwayat Imam al-Bukhari dalam Shahihnya, Kitab al-‘Iedaini, no: 956.

Menurut Imam Ibnu Qayyim al-Jauziyyah rahimahullah:

Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam mendirikan solat dua rakaat dahulu sebelum khutbah, tanpa ada ucapan al-sholatu jami’ah. Apa yang benar menurut al-Sunnah adalah tanpa ucapan itu. Baginda dan para sahabat tidak ada yang mengerjakan solat sebelum mahupun sesudah solat ‘Ied. - Ibnu Qayyim al-Jauziyyah, Zaadul Ma’ad, ms. 48.

q Tiada Laungan al-Sholatu Jami’ah.

Melaungkan al-Sholatu Jami’ah sebelum memulakan solat Hari Raya merupakan satu perbuatan yang lazimnya di amalkan di Malaysia dan inilah juga pendapat Imam al-Syafi’i rahimahullah. Amalan ini adalah bersandarkan kepada sebuah hadis mursal daripada al-Zuhri bahawa dia berkata:

كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَأْمُرُ اَلْمُوءَذِّنَ فِي الْعِدَيْنِ أَنْ يَقُوْلَ: اَلْصَّلاَةُ جَامِعَة.

Maksudnya:

Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam pernah memerintahkan kepada mu’adzin (tukang azan) ketika di dalam solat Hari Raya untuk mengucapkan al-Sholatu Jami’ah.

Hadis mursal adalah hadis yang disandarkan kepada tabi’in secara langsung kepada Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam tanpa menyebut nama sahabat yang meriwayatkan. Di dalam hadis di atas al-Zuhri adalah seorang tabi’in yang menyandarkan sebuah hadis terus kepada Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam tanpa melalui seorang sahabat sedangkan al-Zuhri tidak pernah bertemu dengan Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam. Hadis mursal hukumnya dha’if (lemah) dan tidak boleh dijadikan sebagai hujah. Imam Muslim di muqaddimah kitab Shahih Muslim telah berkata:

Riwayat-riwayat yang mursal itu pada dasar perkataan kami dan perkataan/pendapat ahli ilmu hadis, tidaklah boleh dijadikan sebagai hujah.

- Di nukil dari kitab Al Masaa-il (masalah-masalah agama) karya Ustaz Abdul Hakim bin Amir Abdat, Darul Qolam, Jakarta 2004, jilid 3, ms. 291.

Oleh itu sewajarnya kita kekal hanya dengan riwayat-riwayat yang sabit daripada Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam iaitu dengan tidak melaungkan apa-apa perkataan seperti al-Sholatu Jami’ah sebelum memulakan solat Hari Raya.

q Jumlah Rakaat Untuk Solat Hari Raya.

Jumlah rakaat solat Hari Raya adalah dua. Daripada Ibnu ‘Abbas radhiallahu’ anh dia berkata:

أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ خَرَجَ يَوْمَ الْفِطْرِ فَصَلَّى رَكْعَتَيْنِ...
Maksudnya:
Bahawasanya Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam keluar pada Hari Raya al-Fithri kemudian solat dua rakaat… - Hadis riwayat Imam al-Bukhari dalam Shahihnya, Kitab al-‘Iedaini, no: 989.

q Takbir Dalam Solat Hari Raya.

Oleh itu perlaksanaan solat Hari Raya ini sama dengan tatacara perlaksanaan solat dua rakaat yang lain hanya sahaja terdapat tambahan dua belas kali takbir di dalamnya. Pada rakaat pertama setelah Takbirat al-Ihram dan doa Iftitah serta sebelum bacaan surah al-Fatihah disunatkan membaca takbir sebanyak tujuh kali dan pada rakaat kedua lima kali.

عَنْ عَائِشَةَ: أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ يُكَبِّرُ فِي الْفِطْرِ وَالْأَضْحَى

فِي الْأُولَى سَبْعَ تَكْبِيرَاتٍ وَفِي الثَّانِيَةِ خَمْسًا ... سِوَى تَكْبِيرَتَيْ الرُّكُوعِ.

Maksudnya:
Dari ‘Aisyah, dia berkata: Bahawa Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam biasa bertakbir pada solat Aidilfitri dan Aidiladha, pada rakaat pertama tujuh kali takbir dan pada rakaat kedua lima kali takbir, selain dari dua takbir rukuk. - Hadis riwayat Imam Abu Dawud dalam Sunannya, Kitab al-Sholaah, no: 970.

Tentang haruskah diangkat tangan atau tidak ketika takbir tersebut, menurut Syaikh Abu Ubaidah Masyhur bin Hassan:

Tidak pernah diriwayatkan dari Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bahawa baginda mengangkat kedua tangannya ketika takbir pada solat Hari Raya (takbir pada rakaat pertama yang berjumlah tujuh kali dan pada rakaat kedua lima kali)… Namun Ibnul Mundzir berkata: “Malik telah berkata bahawa di dalam masalah ini (iaitu angkat atau tidak tangan ketika takbir tersebut) tidak ada sunah yang dianggap muktamad. Barangsiapa ingin mengangkat kedua tangannya pada waktu takbir tidak mengapa. Namun pendapat pertama (iaitu tidak mengangkat tangan) lebih aku sukai.” - Syaikh Abu Ubaidah Masyhur bin Hassan, Al-Qawl al-Mubiin fii Akhthaa’ al-Musholliin, ms. 395-396.

Syaikh Kamal bin al-Sayyid Salim berkata:

Dan tidak ada sesuatu pun yang sahih bahawa Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam mengangkat tangan ketika takbir dalam solat Hari Raya. Akan tetapi Ibnul Qayyim menyatakan: Ibnu ‘Umar –dengan semangatnya mengikuti sunnah- beliau mengangkat tangannya setiap kali takbir.
Saya katakan (Syaikh Kamal): Barangsiapa yang berpendapat bahawa Ibnu ‘Umar tidak melakukannya kecuali ada contoh daripada Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam, maka dia boleh mengangkat tangan setiap kali takbir, tetapi jika tidak maka sebaik-baik petunjuk adalah petunjuk Muhammad shallallahu ‘alaihi wasallam. – rujuk Abu Malik Kamal bin As-Sayyid Salim bertajuk Shahih Fiqh as-Sunnah wa Adillatuhu wa Taudhih Madzahib al-A’immah, jilid 1, ms. 935.

Oleh itu di dalam hal ini bolehlah kita memilih untuk mengangkat atau tidak tangan ketika takbir-takbir tersebut, namun yang lebih hampir kepada sunnah Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam ialah dengan tidak mengangkatnya. Wallahu’alam.

q Bacaan Zikir Di Antara Takbir.
Mengenai bacaan di antara takbir-takbir tersebut maka Syaikh ‘Ali Hassan bin ‘Ali al-Halabi al-Atsari berkata:

Tidak ada hadis yang sahih yang diriwayatkan daripada Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam mengenai doa tertentu yang dibaca di antara takbir-takbir solat Hari Raya, tetapi telah ditetapkan dari Ibnu Mas’ud radhiallahu’ anh bahawasanya dia berkata mengenai solat Hari Raya: “Di antara dua takbir dipanjatkan pujian kepada Allah 'Azza wa Jalla sekaligus sanjungan ke atas-Nya. - Syaikh ‘Ali Hassan bin ‘Ali al-Halabi al-Atsari, Ahkaam al-‘Iedain fis Sunnah al-Muthaharah, ms. 61.

Menurut Imam Ahmad dan Imam al-Syafi’i rahimahumallah sunat di antara dua takbir itu membaca zikir seperti سُبْحَانَ اللَّهِ وَالْحَمْدُ لِلَّهِ وَلاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَاللَّهُ أَكْبَرُ “Subhanallah, walhamdulillah,wa la ilaha illallah, wallahu akbar”. - Dinukil darpada kitab Fikih Sunnah, karya Syaikh Sayyid Sabiq (edisi terjemahan oleh Mahyuddin Syaf, Victory Agencie, Kuala Lumpur, 1990) jilid 2, ms. 286.

Pendapat inilah yang telah dipilih oleh umat Islam di Malaysia.

q Bacaan Ayat al-Qur’an Dalam Solat Hari Raya.
Tentang surah-surah yang dibacakan baginda shallallahu ‘alaihi wasallam setelah membaca al-Fatihah pada solat Hari Raya, Imam Ibnu Qayyim al-Jauziyyah rahimahullah telah berkata:

Diriwayatkan secara sahih dari bacaan pertama surah Qaf dan surah al-Qamar dan bacaan kedua surah al-A’laa dan al-Ghaasyiah, dan hanya inilah riwayat yang sahih daripada baginda tentang bacaan itu (iaitu pada solat Hari Raya). - Ibnu Qayyim al-Jauziyyah, Zaadul Ma’ad, ms. 49.

Dalil yang dijadikan sandaran adalah seperti berikut:

عَنْ عُبَيْدِ اللَّهِ بْنِ عَبْدِ اللَّهِ أَنَّ عُمَرَ بْنَ الْخَطَّابِ سَأَلَ أَبَا وَاقِدٍ اللَّيْثِيَّ:

مَا كَانَ يَقْرَأُ بِهِ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي الأَضْحَى وَالْفِطْرِ؟

فَقَالَ:كَانَ يَقْرَأُ فِيهِمَا بِق وَالْقُرْآنِ الْمَجِيدِ وَاقْتَرَبَتْ السَّاعَةُ وَانْشَقَّ الْقَمَرُ

Daripada ‘Ubaidillah bin ‘Abdullah bin ‘Utbah, bahawasanya ‘Umar bin al-Khatthab pernah bertanya kepada Abu Waqid al-Laitsi: Apa yang biasa dibaca oleh Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam pada Hari Raya Aidiladha dan Aidilfitri? Dia menjawab:
Pada Hari Raya tersebut baginda membaca surah Qaaf wal quraanil majeed dan Iqtarabatis saa’atu wanshaqqal qamar. – Hadis riwayat Imam Muslim dalam Shahihnya, Kitab al-‘Iedain, no: 891.

عَنْ النُّعْمَانِ بْنِ بَشِيرٍ قَالَ: كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقْرَأُ فِي الْعِيدَيْنِ وَفِي الْجُمُعَةِ

بِسَبِّحِ اسْمَ رَبِّكَ الأَعْلَى وَهَلْ أَتَاكَ حَدِيثُ الْغَاشِيَةِ.

قَالَ: وَإِذَا اجْتَمَعَ الْعِيدُ وَالْجُمُعَةُ فِي يَوْمٍ وَاحِدٍ يَقْرَأُ بِهِمَا أَيْضًا.

Daripada Nu’man bin Basyir radhiallahu’ anh, dia berkata Rasulullah biasa membaca pada solat Hari Raya Aidilfitri dan Aidiladha serta solat Jumaat Sabbihisma rabbikal a’laa dan Hal ataaka hadiitsul ghaasyiyah. Dia berkata: Jika Hari Raya bertepatan dengan hari Jumaat dibacakan kedua surah tersebut pada kedua solat tersebut. – Hadis riwayat Imam Muslim dalam Shahihnya, Kitab al-Jumu’ah, no: 878.

q Mengqadha Solat Hari Raya.
Apabila seseorang tidak dapat menyertai solat Hari Raya bersama secara berjemaah maka hendaklah dia solat dua rakaat secara sendiri. Di dalam Shahih al-Bukhari terdapat sebuah riwayat dari Atha’ bahawa dia berkata:

وَقَالَ عَطَاءٌ: إِذَا فَاتَهُ الْعِيْدُ صَلَّى رَكَعَتَيْنِ.
Maksudnya:
Jika seseorang terlewatkan (dan tidak dapat menunaikan) solat Hari Raya, maka hendaklah dia solat dua rakaat. - Hadis riwayat Imam al-Bukhari dalam Shahihnya, Kitab al-‘Iedaini, Bab Apabila Seseorang Tidak Mendapatkan Solat Hari Raya, Maka Hendaklah Dia Melaksanakan Solat Dua Rakaat.

Menurut Syaikh Muhammad at-Tuwaijiri:

Sesiapa yang ketika ingin bersolat Hari Raya mendapati imam sebelum salam maka harus menyempurnakan sendiri solatnya sesuai dengan sifat solat Hari Raya. Dan orang yang tertinggal solat Hari Raya maka hendaklah dia mengqadhanya sesuai dengan sifat solat Hari Raya. – Syaikh Muhammad bin Ibrahim at-Tuwaijiri, Mukhtasar al-Fiqh al-Islami, ms. 720.

Ringkasan tatacara mengerjakan solat Hari Raya.

Rakaat Pertama
1) Berniat di dalam hati untuk mengerjakan solat Hari Raya Aidilfitri atau Aidiladha
2) Takbiratul Ihram
3) Doa Iftitah
4) Takbir Tujuh kali dan diselangi membaca zikir seperti سُبْحَانَ اللَّهِ وَالْحَمْدُ لِلَّهِ وَلاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَاللَّهُ أَكْبَرُ “Subhanallah, walhamdulillah,wa la ilaha illallah, wallahu akbar” sebanyak enam kali
5) Membaca surah al-Fatihah
6) Membaca Surah al-Qur’an
7) Rukuk
8) Iktidal
9) Sujud
10) Duduk antara dua sujud
11) Sujud kali kedua
12) Bangun untuk rakaat kedua

Rakaat Kedua
1) Takbir Lima kali dan diselangi membaca zikir seperti سُبْحَانَ اللَّهِ وَالْحَمْدُ لِلَّهِ وَلاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَاللَّهُ أَكْبَرُ “Subhanallah, walhamdulillah,wa la ilaha illallah, wallahu akbar” sebanyak empat kali
2) Membaca surah al-Fatihah
3) Membaca Surah al-Qur’an
4) Rukuk
5) Iktidal
6) Sujud
7) Duduk antara dua sujud
8) Sujud kali kedua
9) Duduk untuk tahiyyat akhir
10) Memberi salam ke kanan dan ke kiri

q Khutbah Hari Raya.
Adalah disunnahkan untuk dilaksanakan khutbah sesudah mengerjakan solat Hari Raya. Dari Abu Sa’id al-Khudri, dia berkata:

كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَخْرُجُ يَوْمَ الْفِطْرِ وَالْأَضْحَى إِلَى الْمُصَلَّى

فَأَوَّلُ شَيْءٍ يَبْدَأُ بِهِ الصَّلَاةُ ثُمَّ يَنْصَرِفُ فَيَقُومُ مُقَابِلَ النَّاسِ وَالنَّاسُ جُلُوسٌ عَلَى صُفُوفِهِمْ

فَيَعِظُهُمْ وَيُوصِيهِمْ وَيَأْمُرُهُمْ.
Maksudnya:
Pada hari Aidilfitri dan Aidiladha, Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam keluar menuju musolla. Ketika itu yang pertama baginda lakukan adalah solat Hari Raya. Kemudian baginda berpusing dan menghadap jamaah yang sedang duduk di shaf-shaf mereka. Kemudian baginda memberikan nasihat, wasiat dan perintah kepada mereka. - Hadis riwayat Imam al-Bukhari dalam Shahihnya, Kitab al-‘Iedaini, no: 956.

Khutbah Hari Raya berbeza dengan khutbah Jumaat kerana ianya tidak dibahagikan menjadi dua khutbah dan khatib tidak perlu duduk di antara dua khutbah tersebut. Imam al-Nawawi rahimahullah telah berkata:

Apa yang diriwayatkan daripada Ibnu Mas’ud bahawa dia mengatakan: “Disunnahkan berkhutbah pada Hari Raya dengan dua khutbah yang keduanya dipisahkan dengan duduk adalah dhai’f (lemah) lagi tidak bersambung. Tidak ada satu riwayat sahih pun yang menyebutkan dua khutbah. - Dinukil dari kitab Al-Kalimat al-Nafi’ah fil Akhtha’ asy-Sya’iah, karya Syaikh Wahid Abdussalam Bali, ms. 424.

Syaikh ‘Ali Hassan bin ‘Ali al-Halabi al-Atsari berkata:

Dan tidak ada satu hadis pun yang diriwayatkan secara sahih yang menyebutkan bahawa khutbah Hari Raya itu terdiri dari dua khutbah, yang dipisahkan antara keduanya dengan duduk.. - Syaikh ‘Ali Hassan bin ‘Ali al-Halabi al-Atsari, Ahkaam al-‘Iedain fis Sunnah al-Muthaharah, ms. 73.

Para jemaah juga tidak diwajibkan untuk menghadiri khutbah Hari Raya ini. Oleh itu setelah selesai mengerjakan solat Hari Raya bagi seseorang yang tidak ingin turut serta untuk mendengar khutbah maka dia dibenarkan untuk meninggalkan majlis tersebut. Ini sebagaimana diriwayatkan daripada ‘Abdullah bin al-Sa’ib, dia berkata:

شَهِدْتُ مَعَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الْعِيدَ فَلَمَّا قَضَى الصَّلاَةَ

قَالَ: إِنَّا نَخْطُبُ فَمَنْ أَحَبَّ أَنْ يَجْلِسَ لِلْخُطْبَةِ فَلْيَجْلِسْ. وَمَنْ أَحَبَّ أَنْ يَذْهَبَ فَلْيَذْهَبْ.

Aku pernah menghadiri solat Hari Raya bersama Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam dan ketika selesai solat baginda bersabda: Sesungguhnya kami akan berkhutbah, barangsiapa ingin duduk untuk mendengarkan khutbah maka dipersilakan. Dan barangsiapa yang ingin pergi, maka dipersilakan untuk pergi. - Hadis riwayat Imam Abu Dawud dalam Sunannya, Kitab al-Sholaah, no: 975.